Penghembusan (fonetik)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Masa mula suara
+ Berhembusan
0 Tenuis
Bersuara

Dalam bidang fonetik, penghembusan atau aspirasi ialah letusan udara yang kuat yang mengiringi pelepasan (atau penutupan bagi prahembusan) sesetengah obstruen. Untuk memerhati perbezaan antara bunyi berhembusan dan tak berhembusan, anda boleh meletakkan tangan atau lilin bernyala di hadapan mulut anda, kemudian mengatakan perkataan Inggeris tore ([tʰɔɹ]) dan store ([stɔɹ]). Ketika menyebut tore, anda dapat merasakan hembusan udara pada tangan atau melihat api lilin berkerlip, tetapi tidak ketika menyebut store. Dalam kebanyakan loghat bahasa Inggeris, bunyi t dihembuskan dalam perkataan tore tetapi tidak dalam perkataan store.

Aksara yang menandakan penghembusan dalam Abjad Fonetik Antarabangsa (IPA) ialah huruf "h" superskrip, [ʰ] . Konsonan tak berhembusan biasanya tidak ditandai dengan jelas, tetapi adanya aksara untuk menandakan konsonan tak berhembusan dalam Sambungan IPA, iaitu tanda sama dengan "=" superskrip, [⁼].

Huraian[sunting | sunting sumber]

Konsonan tak bersuara dihasilkan dengan membuka pita suara manakala konsonan bersuara dihasilkan dengan merapatkan lipatan vokal. Penghembusan tak bersuara terhasil apabila pita suara masih terbuka selepas terlepasnya konsonan. Satu cara mudah untuk menyukatnya adakah memerhati masa onset suara konsonan itu, kerana penyuaraan vokal berikutnya tidak menjadi sehingga pita suara ditutup.

Corak penggunaan[sunting | sunting sumber]

Konsonan hentian tak bersuara dalam bahasa Inggeris dihembuskan oleh kebanyakan penutur aslinya apabila berada di awal perkataan atau suku kata bertekanan, seperti pen, ten, Ken, tetapi tidak berhembus apabila menyusuli bunyi "s" di awal perkataan, seperti spun, stun, skunk. Selepas bunyi 's' di tengah atau akhir perkataan, konsonan hentian itu juga selalunya tak berhembusan, kecuali yang mana gugusannya adalah heteromorfem dan konsonan hentian terbabit berada dalam morfem yang tak terikat; bandingkan dis[t]end dengan dis[tʰ]aste. Konsonan hentian di akhir perkataan pula boleh disebut berhembusan atau sebaliknya.

Konsonan berhembusan tidak semestinya diikuti oleh vokal atau bunyi bersuara lain; sememangnya dalam bahasa Armenia Timur, konsonan berhembusan dan tidak berhembusan dibezakan sekalipun di akhir perkataan. Contoh: bandingkan bard͡z bantal, bart͡s⁼ susah dan bart͡sʰ tinggi.

Dalam kebanyakan bahasa lain, seperti bahasa-bahasa Cina, Indo-Arya (dari bahasa Sanskrit), Dravidia (juga dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit), Iceland, Korea, Thai, dan Yunani Kuno, [p⁼ t⁼ k⁼] dsb. adalah berbeza dengan [pʰ tʰ kʰ] dsb..


Penggunaan [ʰ][sunting | sunting sumber]

Penggunaan istilah 'penghembusan' dan lambang penghembusan adakalanya dipakai dengan hentian bersuara, seperti [dʰ]. Namun begitu, "penghembusan bersuara" ini yang juga dikenali sebagai suara mengah atau "desiran", lebih tepat ditranskripsi dengan tanda aksara [d̤] atau [dʱ]. (Sesetengah ahli linguistik mengehadkan tanda subskrip [  ̤] kepada bunyi sonoran, seperti vokal dan konsonan sengauan yang disebut secara berdesir, sebaliknya menggunakan aksara superskrip [ʱ] untuk sebutan konsonan obstruen secara berdesir.) Sungguhpun desiran berada dalam pengertian istilah penghembusan mengikut kefahaman bahasa Indo-Arya, namun "penghembusan tak bersuara" dipanggil sedemikian semata-mata untuk mengelakkan kekaburan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Cho, T., & Ladefoged, P., "Variations and universals in VOT". In Fieldwork Studies of Targeted Languages V: UCLA Working Papers in Phonetics vol. 95. 1997.