Perbincangan:Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia

Kandungan laman tidak disokong dalam bahasa lain.
Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

DILEMA ORANG ASLI[sunting sumber]

Perbezaan kehidupan orang asli sejak sebelum merdeka hingga sekarang adalah sangat ketara. Ia bukan sahaja dari segi pencapaian akademik, ekonomi mahu pun pembangunan, malah melibatkan sosio-budaya dan adat resam. Daripada hidup yang sinonim dan bergantung 100% kepada hutan belantara, ia telah berubah secara keseluruhan kepada kehidupan moden yang mencabar dimana ia memerlukan orang asli bersaing dan berfikir secara pantas dengan masyarakat perdana yang lain., walaupun kelihatannya orang asli masih agak kurang bersedia dengan sistem dan situasi ini. Contoh daripada beberapa perkara telah membuktikan perkara ini bahawa orang asli memang masih baru dan masih memerlukan suatu sistem kehidupan dengan acuan mereka sendiri iaitu tanah, hutan, alam semulajadi dan suasana bebas bergerak diwilayah sendiri itu masih diperlukan.

Contoh-contoh sistem kehidupan moden yang merimaskan bagi orang asli adalah sangat banyak, antaranya percukaian, sistem kewangan, politik, kaum, perundangan, pentadbiran, malah pembangunan, walaupun mereka turut melalui dan melakukannya namun jelas sekali sistem ini sangat payah bagi orang asli, dimana mereka sebenarnya lebih selesa dengan kehidupan dahulu kala yang lebih aman dan tenteram tanpa dibebani segala masalah yang berlaku hari ini. Justeru itulah orang asli masih selesa hidup secara kampung dan berdekatan dengan hutan atau jauh dari hiruk-pikuk bandar yang serba-serbi memerlukan komitmen yang tinggi untuk melaluinya.

Jika disorot kehidupan 60 atau 70 tahun dahulu iaitu sejak sebelum atau ketika awal kemerdekaan, kebahagian, keakraban hubungan silaturahim dan jangka hayat orang asli adalah lebih ketara. Waktu itu, mereka tidak kenal erti kewangan moden yang membebankan fikiran dengan masalah duit dan hutang piutang. Tiada unsur kebencian dalam setiap diri masyarakat kerana tiada politik yang memerlukan semua orang bersaing untuk berlagak pandai dan menunjuk kuasa, lalu membawa permusuhan antara orang sekampung, saudara-mara, malah adik-beradik dalam keluarga atau rumah yang sama.

Hidup lebih bebas bergerak  didalam wilayah sendiri kerana itu adalah kawasan yang dihuni dan diguna sejak turun temurun sebagai tempat mencari rezeki,  sumber keperluan, ubat-ubatan,  kawasan pemburuan dan kelangsungan hidup.  Namun,  sejak sistem moden masuk dan datang kepada mereka,  orang asli telah mula hilang segala sistem kehidupan lama dimana setiap perkara harus melalui peraturan dan undang-undang yang menyusahkan.  Hutan dan wilayah adat mereka telah menjadi hutan simpan kerajaan, binatang yang boleh diburu telah dihadkan,  kawasan kampung tempat mereka tinggal telah dikecilkan,  hak bebas memiliki tanah telah dinafikan dengan kawalan dan kongkongan akta dan kuasa pesuruhjaya yang mana ini semua adalah tirai besi yang menyekat hak kebebasan orang asli menerus kehidupan.  

Dalam perkara hak memiliki tanah, orang asli telah menjadi seperti pesalah yang terhukum dimana mereka tidak berhak untuk bersuara dan mewakili diri sendiri kerana semua perkara terikat dengan akta dan undang-undang. Jika timbul masalah tanah atau hak yang melibatkan wilayah adat, hanya pesuruhjaya yang boleh dan akan menjadi wakil bagi pihak orang asli seolah seorang peguam kepada seorang pesalah, walaupun ketara pesuruhjaya itu memang tidak akan memihak kepada orang asli, dimana hanya akan mencari jalan untuk menidak dan mengurangkan hak bagi orang asli dari yang sepatotnya.

Ketika kedatangan inggeris, dimana ketika itu orang asli dianggap anak emas kerajaan kerana setiap hal mengenai orang asli akan diambil tahu, dijaga dan dilindungi, atas alasan mereka adalah etnik yang istimewa, kecil dan penduduk asal negara ini, namun itu sebenarnya adalah permulaan suatu zaman gelap bagi masa depan orang asli dari segi menentukan hak. Dengan mewujudkan akta 134 pada tahun 1954, ia sebenarnya telah mengawal dan mengongkong kehidupan dan kemajuan orang asli hingga sekarang. Dengan berpandukan akta ini, segala-galanya harus mengikut peraturan dan telunjuk kerajaan walaupun ia sangat menyusahkan bagi orang asli. Bayangkan, hingga untuk menentukan siapa bangsa orang asli pun harus diputuskan mengikut apa yang terkandung didalam akta ini.

Ketika dunia telah maju kehadapan, dimana telah lahir kesedaran, tahu akan hak dan lahirnya cerdik pandai orang asli, maka telah ramai yang bangkit menuntut dan memperjuangkan hak sebagai penduduk malah peribumi negara ini, tetapi segala perjuangan ini telah dipandang serong oleh pemerintah lalu menuduh golongan ini sebagai penghasut kerana bagi mereka, orang asli itu harus bodoh dan dungu sampai bila-bila. Maka disinilah peranan pesuruhjaya menjadi musang berbulu ayam dalam memanipulasi dan menjajah pemikiran orang asli agar percaya bahawa mereka adalah kaum yang disayangi, walhal semua itu hanyalah manis dibibir demi menjaga periuk nasi orang-orang yang berkedudukan dan berjawatan.

Orang asli sering dimomok dengan alunan kita serumpun kerana paras yang mirip dan latarbelakang yang hampir sama dengan orang melayu, walhal dalam perlembagaan negara dan akta telah jelas membezakan hak antara dua kaum ini. Jadi dengan momokan ini maka semakin ramai orang asli yang perasan dan terpedaya dengannya. Maka bermulalah asimilasi, hilang identiti dan jati diri, malu mengaku asal usul keturunan dan menikam bangsa sendiri dari belakang. Perkahwinan campur antara orang asli dengan kaum lain juga menjadi salah satu punca mereka murtad kepada bangsa dan hilang jati diri.

Ini antara dilema yang dihadapi oleh orang asli sejak sebelum, sedang dan selepas merdeka. Ada banyak lagi perkara-perkara yang belum terhurai dari pelbagai segi yang memerlukan penelitian, kajian dan perbincangan jika mahu bangsa orang asli iru terus wujud dibumi malaysia. Ia termasuklah hak untuk bersuara, hapuskan halangan dan kongkongan keatas pemilikan tanah, beri peluang dan ruang yang sama rata, hentikan diskriminasi antara kaum, jangan jadikan orang asli itu sasaran manipulasi politik dan biarkan orang asli bebas menentu masa depan diri dan bangsanya sendiri, maka barulah orang asli itu merdeka sepenuhnya.

Dollah Tekoi (bincang) 15:51, 29 Mei 2017 (UTC)[balas]