Perjanjian Nkomati

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perjanjian Nkomati atau dalam bahasa Inggeris Nkomati Accord (secara rasmi dikenali sebagai Perjanjian Bukan Agresif dan Kejiranan yang Harmoni antara Mozambique dan Afrika Selatan) ialah pakatan bukan pencerobohan yang ditandatangani pada 16 Mac 1984 antara Republik Rakyat Mozambique dan Republik Afrika Selatan. Acara itu berlangsung di bandar Komatipoort di Afrika Selatan dengan penandatangan ialah Presiden Mozambique Samora Machel dan Perdana Menteri Afrika Selatan P.W. Botha. Fokus perjanjian itu adalah untuk menghalang Mozambique daripada menyokong Kongres Kebangsaan Afrika untuk melakukan tindakan ganas di Afrika Selatan, dan untuk Afrika Selatan menghentikan pembekalan senjata kepada pergerakan RENAMO di Mozambique.

Perjanjian itu telah mendapat bantahan daripada ahli-ahli SADCC dan khususnya daripada ANC yang menyedari kesannya terhadap perjuangan pembebasan mereka. Walaupun begitu, kedua-dua kumpulan mengakui bahawa Mozambique pada dasarnya telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian itu kerana negara itu berada di ambang kemusnahan akibat konflik dengan pemberontak RENAMO yang disokong Afrika Selatan.

Mozambique telah akur dengan perjanjian ini dan mengusir ahli ANC dari selatan negara itu. Sebaliknya kerajaan Afrika Selatan tidak mengendahkan perjanjian itu dan meningkatkan sokongan mereka secara meluas kepada RENAMO. Dokumen yang dirampas dari pangkalan utama Gorongosa pada tahun 1985 mendedahkan bahawa Afrika Selatan telah meneruskan sokongan mereka dan melanggar perjanjian itu. Perjanjian damai kekal, Perjanjian Keamanan Rom, akhirnya menamatkan Perang Saudara Mozambique pada tahun 1992 dan diawasi oleh pasukan ONUMOZ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sehingga 1994.