Kongres Kebangsaan Afrika

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kongres Kebangsaan Afrika (African National Congress)
ANC logo
Pengerusi Tetap Mosiuoa Lekota
Presiden Jacob Zuma
Timbalan Presiden Thandi Modise
Ketua Pemuda Julius Malema
Ketua Wanita Nosiviwe Mapisa-Nqakula
Ketua Puteri tiada
Diasaskan 8 Januari 1912
Ibu pejabat 54 Sauer Street
Johannesburg
Keahlian 621,237 (Pada 2007)
Ideologi Politik Sosial Demokrasi
Affiliasi dalam negara {{{dalamnegara}}}
Affiliasi antarabangsa Sosialis Antarabangsa
Warna hitam, hijau, kuning
Laman web http://www.anc.org.za
{{{footnotes}}}

Kongres Kebangsaan Afrika (Bahasa Inggeris: African National Congress; biasa dikenali sebagai ANC) adalah parti politik terbesar di Afrika Selatan dan telah memerintah negara ini sejak kejatuhan regim aparteid pada tahun 1994.

Sejarah Awal Penubuhan[sunting | sunting sumber]

Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) ditubuhkan pada tahun 1912 dengan nama South African Native National Congress; diasaskan oleh Dr. Pixley Ka Isaka Seme, seorang peguam daripada Durban. Parti ini ditukar nama secara rasmi kepada African National Congress pada tahun 1923. Pada awal penubuhannya ANC bekerjasama dengan Parti Komunis Afrika Selatan (CPSA--kemudiannya, pada 1953, menjadi Parti Komunis Rakyat Afrika Selatan, atau SACP) pada awal 20-an, tetapi kerjasama tersebut terbatal apabila sesetengah pemimpin tradisional berbangsa Afrika menentang penglibatan ahli komunis berkulit putih dalam pergerakan nasionalisme kulit hitam (Blacks). Malangnya, dalam tahun-tahun 30-an, pengaruh ANC telah merosot; antaranya disebabkan oleh kegagalannya merealisasikan impian masyarakat kulit hitam, semangat kepuakan/blok (factionalism) yang semakin ketara, dan ketandusan pemimpin yang berwibawa.

Kebangkitan Parti ANC[sunting | sunting sumber]

Kebangkitan semula ANC pada tahun 40-an merupakan hasil titik peluh golongan pemimpin muda generasi baru-- termasuklah Nelson Mandela, Walter Sisulu, Oliver Tambo, dan Anton Lembede--yang telah dipengaruhi oleh nasionalisme kulit hitam gaya pan-Afrika. Pada tahun 1943, mereka menggerakkan Liga Belia ANC untuk menjana sokongan massa untuk menentang diskriminasi kaum/perkauman. Mereka seterusnya, bersama-sama pertubuhan lain yang sehala, telah mengadakan penentangan secara aman di seluruh negara untuk mempamerkan kemarahan mereka tentang kebangkitan kuasa melulu oleh kolonial dan undang-undang aparteid yang zalim. Gerakan-gerakan sedemikian berjaya menguatkan sokongan kepada ANC apabila keahlian berdaftarnya meningkat daripada 7,000 orang kepada 100,000 orang pada 1952.

Pada pertengahan dekad 50-an, ANC telah merencanakan Perikatan Kongres atau Congress Alliance dengan pertubuhan anti-Aparteid lain untuk menentang ketuanan kulit putih. Pada 26 Jun 1955, pihak-pihak yang bersekutu telah mencadangkan Piagam Kebebasan atau Freedom Charter, yang mengutarakan impian membentuk masyarakat berbilang kaum yang bukan sosialis, tetapi pertelingkahan pendapat berkenaan piagam tersebut menjalar kepada ideologi ANC; antara Charterists dan Africanists, dan isu-isu multikaum masih menjadi masalah yang sangat rumit. Akhirnya, beberapa orang aktivis ANC yang menentang dasar-dasar tertentu kongres telah menubuhkan Kongres Pan-Afrika atau Pan-Africanist Congress (PAC) pada 1959 sebagai usaha menekan penguasaan politik kulit hitam.

Darurat dan Pengharaman Parti ANC[sunting | sunting sumber]

Kerajaan penjajah telah mengisytiharkan ANC sebagai pertubuhan yang tidak sah pada 8 April 1960, sebagai antara usaha kerajaan melumpuhkan kegiatan "bawah tanah", selain darurat di seluruh negara menyusuli insiden anti-Aparteid di Sharpeville dan Langa. Dan ANC kembali ke "bawah tanah"; ramai kadernya berhijrah ke negara jiran Afrika Selatan, tetapi ada juga sesetengah ahli dan pemimpinnya melakukan tindakan bersenjata untuk meneruskan cita-cita ANC. Pada 1961 pemimpin ANC dan SACP telah melancarkan sayap ketenteraan bersekutu, Umkhonto we Sizwe ("Tombak Bangsa" atau juga Umkhonto, MK). Tujuannya untuk menyingkirkan rejim kulit putih Afrika Selatan secara kekerasan untuk mencapai matlamat meraih kesaksamaan sosial dan menebus maruah bangsa. Sabotaj dan serangan sayap ketenteraan ANC ini dalam 1960 dan 1962 telah menyebabkan beberapa orang ketua ditangkap. Pada tahun 1963, perbicaraan mahkamah yang popular, yang sering kali disebut "Perbicaraan Rivonia": Mandela, Sisulu, Govan Mbeki, dan lain-lain dituduh menderhaka dan telah dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat. Kebanyakan ahli ANC kemudiannya meninggalkan Afrika Selatan, menubuhkan rangkaian dan ibu pejabat ANC di Lusaka, Zambia, dan tidak jemu-jemu meneruskan perjuangan menentang rejim Pretoria.

Pada tahun-tahun berikutnya, ANC telah membentuk kerjasama dengan negara-negara blok Timur dan Barat, iaitu bersama-sama kumpulan anti-Apartheid seberang laut. Walaupun sesetengah negara Barat, khususnya negara Skandinavia, memberikan bantuan kewangan, bantuan logistik ANC termasuklah bekalan senjata, datang daripada Soviet dan Republik Demokratik Jerman (Jerman Timur). Kejayaan ANC memperoleh status pemerhati di PBB telah meluaskan lagi pengaruhnya terutamanya dalam kalangan negara Barat.

Organisasi[sunting | sunting sumber]

Struktur kepemimpinan ANC terdiri daripada presiden, timbalan presiden, setiausaha agung, timbalan setiausaha agung, dan bendahari. 90 orang ahli Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan atau National Executive Committee (NEC) menjadi pengantara dengan pegawai kanan dan sangat berpengaruh dalam memutuskan dasar-dasar kongres. 26 orang anggota Jawatankuasa Kerja Kebangsaan atau National Working Committee (NWC), dipilih daripada kalangan NEC, memutuskan dan melaksanakan pelbagai urusan pentadbiran kongres. Tujuh orang penasihat dan pembantu presiden juga dilantik.

Persidangan tahunan ANC menghimpunkan kira-kira 1,300 orang perwakilan, yang antara fungsinya mengundi calon-calon NEC dan mencalonkan mereka yang layak untuk berada dalam Perhimpunan Kebangsaan/Majlis Tertinggi, setiap lima tahun. Pada peringkat pengurusan, terdapat 9 jabatan peringkat kebangsaan--Penyelidikan dan Maklumat, Pembangunan dan Sumber Manusia, Hal Ehwal Luar, Belia, Pendidikan Politik, Penerangan, Kewangan, Keagamaan, dan Wanita--dan juga cawangan di setiap wilayah.

Parti ANC selepas 90-an[sunting | sunting sumber]

Pada awal dekad 90-an, ANC mengambil langkah memugar dan memperkukuh akar umbinya. ANC mengaktifkan semula Liga Belia ANC sebagai usaha berbilang arah untuk merapatkan jurang antara generasi muda dengan generasi pemimpin mapan. Seterusnya, selepas desakan daripada ahli wanita ANC yang berpandangan jauh, ANC juga telah menghidupkan kembali Liga Wanita untuk menyebarluaskan ilmu dan membela hak asasi wanita di seluruh negara. Kedua-dua Liga ini bekerjasama dengan jabatan-jabatan yang sedia ada untuk mengadakan segala kegiatan yang direncanakan.

Walaupun ANC secara umumnya mewakili kepentingan masyarakat majoriti kulit hitam, keahliannya dibuka kepada sesiapa sahaja: kulit putih, Asia, dan lain-lain. Mula merayu untuk semua kaum menganggotainya pada tahun 1969, pada tahun-tahun 70-an dan 80-an, semakin ramai orang kulit putih menganggotai parti ini. Pada April 1991, 5 orang ahli parlimen kulit putih yang mewakili Parti Demokratik meninggalkan parti tersebut untuk menyertai ANC, yang mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memecahkan monopoli orang kulit putih dalam Dewan Perwakilan.

Sehingga sewaktu ANC berbincang dengan kerajaan pimpinan NP tentang masa depan politik Afrika Selatan, pelantar ideologi ANC yang berubah-ubah, daripada bercorak anti-Aparteid ala Mohandas (Mahatma) Gandhi yang bersikap bertahan (awal abad ke-20), kepada pan-Afrika (40-an), seterusnya kepada Piagam Kebebasan pada tahun 1955. Pada tahun 1969 pula, ANC telah secara rasmi melancarkan polisi bersenjata untuk merampas semula kedudukan politik yang dirampas sebelum itu , dan pada tahun 1988 telah mengisytiharkan Panduan Perlembagaan Ke Arah Afrika Selatan yang Demokratik, berasaskan aspirasi Piagam Kebebasan. Panduan tersebut menganjurkan sebuah negara bangsa yang demokratik berlandaskan nilai-nilai sejagat/universal . Pada Ogos 1989, ANC mula menerima pakai Deklarasi Harare, yang mempromosikan persefahaman berbilang parti untuk membentuk suatu bentuk kerajaan baharu, yang cukup menekankan konsep hak asasi individu.

Rakan politik utama ANC sewaktu zaman aparteid ialah SACP. Pemimpin SACP membantu mengekalkan sokongan terhadap ANC khususnya daripada golongan komunis dan sosialis sewaktu anarki , memainkan peranan penting dalam merangka polisi ANC, dan juga menyatukan sokongan pergerakan buruh dalam ANC. SACP juga sesekali menentukan hala tuju ANC walaupun agak minimum, contohnya, pada awal 1993, Pengerusi SACP Joe Slovo merangka cadangan ANC, untuk bertolak ansur dan sanggup berkongsi kuasa dengan NP. Kedudukan Slovo waktu itu dianggap berpatutan kerana parti tidak "melayan parti yang telah tewas" tetapi dengan NP sebagai sebuah parti minoriti.

Walaupun ANC muncul sebagai parti dominan pada tahun 1994, parti tersebut masih berhadapan dengan banyak isu tertangguh dan masalah jangka panjang. Isu pengganti pemimpin veteran atau pemimpin generasi baru masih belum usai . Presiden Mandela dan beberapa orang pemimpin mapan lain yang mewakili generasi terdahulu, sudah mahu mengundurkan diri untuk memberi ruang kepada pemimpin muda. Mandela sendiri tidak bertanding lagi dalam pilihan raya 1999. Calon kegemaran pengganti beliau --Thabo Mbeki, mantan setiausaha hal ehwal luar ANC, dan Cyril Ramaphosa, setiausaha agung ANC sejak 1991--dikatakan tidak dilatih secukupnya sewaktu di bawah pimpinan veteran/senior mereka.