Segan Sri Lanka (burung)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Segan Sri Lanka
Pasangan B. m. roonwali, betina di belah kiri
Seruan
Pengelasan saintifik e
Domain: Eukaryota
Alam: Animalia
Filum: Chordata
Kelas: Aves
Order: Podargiformes
Keluarga: Podargidae
Genus: Batrachostomus
Spesies:
B. moniliger
Nama binomial
Batrachostomus moniliger
Blyth, 1849
Subspesies
  • B. m. moniliger
  • B. m. roonwali

Burung segan Sri Lanka (Batrachostomus moniliger) ialah burung segan kecil yang terdapat di Ghats Barat di selatan India dan Sri Lanka. Berkaitan dengan burung tukang, ia adalah malam dan ditemui di habitat hutan. Warna buluannya menyerupai daun kering dan ia bertengger dengan senyap di dahan, menjadikannya sukar untuk dilihat. Masing-masing mempunyai tenggeran kegemaran yang selalu digunakan kecuali jika diganggu. Ia mempunyai seruan tersendiri yang biasanya kedengaran pada waktu subuh dan senja. Jantina berbeza sedikit dari segi buluannya.

Penerangan[sunting | sunting sumber]

Segan Sri Lanka boleh mencapai panjang 23 sentimeter (9.1 in). Seperti semua burung segan lain, spesies tersebut mempunyai paruh yang lebar dan bengkok dengan lubang hidung seperti torehan dan kepala besar dengan mata menghadap ke depan untuk penglihatan dwimata yang luas. Berbanding dengan genusnya yang lain, ia mempunyai sayap kecil, yang dibezakan oleh bulu susup sayap yang hujungnya bertompok hitam dan berbucu putih.[2] Jantan berwarna perang kekelabuan dengan sorotan halus dan gombak bertompok. Sesetengah jantan lebih perang dan kelihatan lebih mirip dengan betina. Betina lebih merah keperangan atau perang berangan. Segan Sri Lanka betina yang dari India mempunyai bintik hitam yang sangat halus pada gombaknya tetapi segan betina dari Sri Lanka mungkin tiada atau mungkin kurang coraknya.[3] Segan Sri Lanka juga mempunyai bulu kejur pendek dan kaku di depan dan di sekeliling mata. Populasi dari Ghats Barat, B. m. roonwali (dinamakan sempena Mithan Lal Roonwal), kelihatan sedikit berbeza berbanding populasi dari Sri Lanka, B. m. moniliger. Jantan mempunyai corak bulu terbang sayap perang kekelabuan dan tompok kekuningan di bahagian bawah, berbanding kelabu atau putih pada corak bentuk segan dari Sri Lanka. Betina mempunyai corak bulu terbang sayap berwarna perang kemerahan cair dan sayapnya tidak bertompok di bawah.[4][5]

Habitat dan taburan[sunting | sunting sumber]

Spesies ini ditemui di Ghats Barat di barat daya India dan Sri Lanka. Habitatnya ialah hutan tropika, biasanya dengan semak yang tebal.[6] Ia kadangkala boleh ditemui di habitat yang lebih terganggu, termasuklah ladang.[7][8] Kehadirannya mungkin terlepas pandang kerana tingkah laku nokturnal dan penyamarannya.[9]

Tingkah laku[sunting | sunting sumber]

Segan tersebut jarang dilihat pada waktu siang kecuali di tapak bertengger atau apabila dipaksa keluar. Ia kerap menggunakan tenggeran yang sama selama berbulan-bulan.[10] Apabila tergera di tenggerannya, ia perlahan-lahan menggerakkan kepalanya, menghalakan paruhnya ke atas, dan ia boleh disalah anggap sebagai dahan yang bergerigi dan patah. Ia bergantung pada kripsis ini dan selalunya akan duduk diam dengan lama sebelum melarikan diri.[11] Ia mungkin membuka mulutnya luas dalam pertunjukan mengancam.[10] Seperti segan lain, ia memakan serangga dengan menangkapnya dalam penerbangan atau memungutnya dari tanah atau dahan pokok.[3] Ia kadangkala dikerumuni di tenggeran siangnya oleh burung-burung nyanyi kecil.[3] Ia lantang pada waktu senja, panggilan betinanya ialah "sykeerauuw" yang kuat seperti jeritan dengan kelantangan merendah dan berakhir dengan beberapa sedu-sedan. Seruan lain ialah beberapa "skwar-skwar-skwar" pantas yang dihasilkan oleh jantan dan betina.[3]

Musim pembiakannya di selatan India ialah Januari hingga April, dan di Sri Lanka ialah Februari hingga Mac. Sarangnya ialah pelapik kecil yang diperbuat daripada lumut yang dilapisi bulu gebu dan ditutup di luar dengan kulampair dan kulit kayu. Segan tersebut mengeram sebiji telur putih, menutup sarang, dan menahan ekornya selari dengan pokok, mirip rupa punggur yang dilitupi lumut. Jantan sering mengeram pada siang hari, manakala kedua-dua induk berkongsi tugas pada waktu malam.[11][12] Selepas anaknya mulai terbang, jantan memusnahkan sarangnya. Induk sering menggunakan dahan yang sama untuk sarang berkali-kali.[13] Juvenilnya mungkin tinggal bersama induk selama beberapa bulan, berkepit di antara kedua-dua induk di tenggeran.[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ BirdLife International (2016). "Batrachostomus moniliger". Senarai Merah Spesies Terancam IUCN. 2016: e.T22689603A95214771. doi:10.2305/IUCN.UK.2016-3.RLTS.T22689603A95214771.en. Dicapai pada 12 November 2021.
  2. ^ Marshall, JT (1978). Systematics of smaller Asian night birds based on voice. Ornithological Monographs 25 (PDF). American Ornithologists' Union. m/s. 28.
  3. ^ a b c d Rasmussen PC & Anderton, JC (2005). Birds of South Asia. The Ripley Guide. Volume 2. Washington DC & Barcelona: Smithsonian Institution and Lynx Edicions. m/s. 249–250.
  4. ^ Dutta BB (2009). "Studies of the Ceylone [sic] Frogmouth, Batrachostomus moniliger Blyth from India, with the description of a new sub-species from Western Ghats". Rec. Zool. Survey India. 109 (2): 79–85.
  5. ^ "Documentation of new bird taxa, 5. Report for 2009" (PDF). Vogelwarte. 49: 85–104. 2011.
  6. ^ Sugathan, R (1981). "A survey of the Ceylon Frogmouth (Batrachostomus moniliger) habitat in the Western Ghats of India". J. Bombay Nat. Hist. Soc. 78 (2): 309–316.
  7. ^ Kannan, R. (1993).
  8. ^ Borges, Renee of the Bombay Natural History Society (1986). "On the occurrence of the Ceylon frogmouth (Batrachostomus moniliger) in north Kanara, Karnataka". 83 (1): 200. Cite journal requires |journal= (bantuan)
  9. ^ Kumara, H.N.; Singh, M. (2006). "Ceylon Frogmouth Batrachostomus moniliger Blyth in the rainforests of the Western Ghats, Karnataka". J. Bombay Nat. Hist. Soc. 103 (1): 100.
  10. ^ a b c Kannan, R (1994). "Notes on the status and ecology of the Ceylon Frogmouth (Batrachostomus moniliger Blyth) from the Anaimalai Hills of Tamil Nadu". J. Bombay Nat. Hist. Soc. 91 (3): 454–455.
  11. ^ a b Phillips, W. W. A. (1947). "A Note on the Nesting of the Ceylon Frogmouth, Batrachostomus moniliger Blyth". Ibis. 89 (3): 515–516. doi:10.1111/j.1474-919X.1947.tb04373.x.
  12. ^ Ali, S & Ripley, S D (1983). Handbook of the Birds of India and Pakistan. Volume 4 (ed. 2nd). New Delhi: Oxford University Press. m/s. 1–3.
  13. ^ Jayarathna, K D Thandula (2004). "Observations on a nest of Sri Lanka Frogmouth Batrachostomus moniliger" (PDF). Forktail. 20: 129–130. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2012-03-28.