Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Dalam, Segamat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Dalam atau SMK Dato' Bentara Dalam merupakan sebuah sekolah primer yang terletak dalam daerah Segamat, Johor, Malaysia. Sekolah Aspirasi Johor di Segamat

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini merupakan antara sekolah elit yang terdapat dalam daerah Segamat. Bermula dengan penubuhan Kelas Menengah Melayu di Sekolah Menengah Inggeris Segamat atau Segamat High School pada tahun 1960. Ia ditadbir oleh pengetua Sekolah Menengah Inggeris, En. A. Arumugam. Pada tahun 1965, entiti pendidikan ini ditadbir secara berasingan oleh pengetua pertamanya iaitu En. Koh Kam Watt dalam bangunan yang sama.

Pada tahun 1966, sekolah ini mendapat bangunannya sendiri yang dibina pada tapak sekarang iaitu di KM3, Jalan Genuang dan dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Segamat. Pada awalnya, hanya terdapat empat blok bangunan iaitu Blok A, B, C dan D. Blok D menempatkan Asrama Putera dan tidak mempunyai bekalan elektrik pada ketika itu. Pada awal penubuhannya di tapak baharu, hanya aliran sastera yang ditawarkan kepada pelajar manakala guru yang mengajar pula tiada yang berstatus siswazah pada ketika itu.

Tanggal 21 Julai 1968, sekolah ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Encik Mohd Khir Johari (Menteri Pelajaran ketika itu). Aliran sains tulen mula ditawarkan kepada pelajar mulai tahun 1970 dan sains tulen Sukatan Pelajaran Malaysia pada tahun 1978.

Pada 26 November 1973, namanya ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Bentara Dalam bersempena gelaran Dato' dalam sistem pengurniaan dato' oleh Kerajaan Negeri Johor. Gelaran Dato’ adalah dipadankan daripada gelaran hulubalang Empayar Johor dalam kurun ke-15 lagi. Sultan Abu Bakar meneruskan gelaran ini melalui peraturan perundangan dan fisikal.

Pada asalnya Ahli Jemaah Menteri memegang jawatan-jawatan yang mempunyai ascribed title atau gelaran seperti Dato’ Menteri bagi Menteri Besar, Dato’ Bentara Dalam bagi Menteri Hal Ehwal Dalam dan Pelajaran, Dato’ Bentara Luar bagi Menteri Pembangunan dan Tanah, Dato’ Sri Amar DiRaja bagi Menteri Hal Ehwal Luar dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Setia bagi Pesuruhjaya Polis, Dato’ Penggawa Barat bagi Pentadbir Wilayah Barat, dan Dato’ Penggawa Timor bagi Pentadbir Wilayah Timor [1]

Dari segi sejarah pembangunan fizikal pula, sekolah ini dilihat sebagai sebuah sekolah yang lengkap. Gelanggang tenis telah dibina oleh guru pada tahun 1968 dengan menggunakan tiang kayu dan berpagarkan dawai mata punai. Kerja pembinaan gelanggang tenis ini telah diketuai oleh Tuan Sheikh Abdullah Bin Abdul Rahman dan dibantu oleh Encik Zakaria bin Jiman dan Encik Mohd Nog bin Razak serta pekerja - pekerja sekolah yang lain. Hanya pada tahun 1978, gelanggang tenis ini telah dibina semula mengikut rekaan moden seperti sekarang dan dibiayai oleh pihak sekolah dan ahli - ahli Persatuan Tenis ketika itu.

Pada tahun 1976, Blok Perpustakaan, tiga buah Makmal Sains, Makmal Sains Paduan dan Blok G siap dibina. Pada tahun 1978 pula, surau telah dibina dan koperasi sekolah telah ditubuhkan.

Biarpun sekolah ini menerima pelajar perempuan, kemudahan asrama untuk pelajar yang tinggal jauh dari sekolah hanya disediakan kepada pelajar lelaki. Hanya pada tahun 1981, sebuah Blok Asrama telah dibina untuk menempatkan pelajar perempuan yang tinggal jauh dari kawasan sekolah. Ketika itu, pelajar - pelajar yang tinggal jauh seperti dari Felda Chempelak, Felda Kemelah, Felda Redong, Tenang Station, Kg Melayu Raya dan lain - lain mempunyai kesukaran untuk berulang alik ke sekolah lantaran jarak ke sekolah yang agak jauh. Justeru itu, pembinaan asrama telah membantu mereka untuk ke sekolah tanpa perlu risau akan kesukaran jarak yang jauh.

Pada 17 April 1982, Dewan Bentara telah mula dibina dan siap pada 14 Jun 1983. Dewan ini kemudiannya dirasmikan oleh Menteri Pelajaran ketika itu Dato' Seri Anwar Bin Dato' Haji Ibrahim.

Pada tahun 1984, sebuah bilik Pusat Sumber yang menempatkan alat - alat bantuan mengajar telah dibina dan berikutnya pada tahun 1986, bilik ini telah dibekalkan dengan komputer. Dalam tahun 1992, Pusat Sumber telah dipindahtempatkan ke Blok C dan dilengkapi dengan alat - alat bantuan mengajar seperti V/Video, overhead projecter, skrin, rak pita video. Bangunan ini boleh menempatkan sehingga 50 orang pelajar dalam satu - satu masa dan dindingnya dilapisi permaidani. Dalam tahun yang sama, dua blok bangunan yang baharu siap dibina. Blok ini mengandungi tiga buah makmal sains KBSM dan enam buah bilik kelas serta sebuah stor sains. Manakala sebuah blok lagi menempatkan semua kelas Tingkatan Lima dan tandas guru serta sebuah bilik stor.

Pada tahun 1993, bangunan kantin tambahan siap dibina dan mempunyai lantai mozek.

Pada tahun 2001, sebuah bangunan Makmal Komputer siap dibina dan diserahkan kepada pihak sekolah. Makmal Komputer ini mengandungi dua buah kelas makmal komputer, sebuah bilik pentadbiran, sebuah bilik stok dan sebuah Bilik Komputer Pelayan (server computer).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Utusan Malaysia, 19 Jun 2010.