Sistem pemeringkatan filem

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sistem pemeringkatan filem Australia

Sistem pemeringkatan filem ialah sistem untuk mengelaskan filem bagi menentukan kesesuaiannya kepada penonton daripada segi isu-isu seperti seks, keganasan, penyalahgunaan bahan, kelakuan yang tidak senonoh, kata-kata cabul, kebiadaban, serta jenis-jenis kandungan orang dewasa. pemeringkatan yang dikeluarkan dikenali sebagai pensijilan. Ini bertujuan untuk membantu para ibu bapa memutuskan adakah sesuatu filem sesuai ditonton oleh anak-anak mereka. Bagaimanapun, keberkesanan sistem-sistem tersebut telah dipertikaikan secara meluas. Di sesetengah kawasan, sesuatu pemeringkatan boleh mempertanggungjawabkan pawagam kewajipan di sisi undang-undang untuk menghalang kanak-kanak atau mereka di bawah umur daripada memasuki pawagam. Bagaimanapun, jika pawagam itu tidak diwajibkan oleh undang-undang, mereka masih boleh berbuat sedemikian. pemeringkatan filem seringnya disediakan untuk mengelakkan penapisan.

Terdapat banyak perdebatan tentang kebergunaan, keketatan, dan penguatkuasaan sistem-sistem pemeringkatan filem. Aliran-aliran fikiran yang bertentangan berdasarkan asas norma kesusilaan yang bercanggah. Mereka yang lebih suka sistem yang ketat seringnya menimbulkan "nilai keluarga" yang diilhami oleh tatakelakuan atau kepercayaan agama. Salah satu contoh yang jelas dalam kebanyakan sistem pemeringkatan ialah penapisan seks. Ini berdasarkan hawa nafsu yang terangkum dalam senarai "Tujuh Dosa Berat" (lihat senarai Tujuh Dosa Berat dalam agama Kristian yang diterbitkan oleh University of Wisconsin–Eau Claire (UWEC).[1] Terdapat juga perbincangan ringkas mengenai setiap dosa dan mengapa ia dianggap sedemikian.) Satu contoh lagi yang digunakan dalam laman UWEC ialah kemarahan. Oleh sebab kanak-kanak umumnya difahami akan mencontoh dan seringnya belajar dengan mudah perbuatan-perbuatan orang lain serta dunia di sekeliling mereka, banyak orang berasa risau bahawa anak-anak mereka akan belajar perbuatan-perbuatan tak bermoral yang digambarkan dalam filem.

Satu aliran fikiran lagi yang umum tidak banyak atau langsung tidak berkait dengan konotasi agama. Dalam konteks tujuan persatuan pemeringkatan, ia masih berasaskan nilai keluarga. Ideologi ini menggabungkan gagasan-gagasan kebebasan dan kebenaran yang melibatkan kepercayaan seperti kebebasan bersuara dan kebenaran untuk kanak-kanak melihat "dunia yang sebenar" serta menghubungkan hawa nafsu dan perasaan kemarahan mereka yang semula jadi yang dihadapi dalam kehidupan sehari-hari. Ini boleh dikaitkan dengan teori id, ego, dan superego Sigmund Freud. "Id" ditakrifkan sebagai "naluri dan tenaga primitif yang mendasari semua kegiatan psikik".[2] Ego ditakrifkan pula sebagai "fikiran sedar". Menurut Purdue University, super-ego ialah "daya untuk mengawasi apa yang dianggap sebagai keinginan yang tidak dapat diterima".[3] Kepada mereka yang mempercayai bahawa sistem pemeringkatan filem tidak adil dan adalah salah, ia merupakan salah satu penggunaan kuasa yang amat berketerlaluan, dan terlalu menindas id, walaupun ego seringnya berseimbangan secara semula jadi. Banyak orang juga mengatakan bahawa pemeringkatan sebenar menambah sumbaleweng dan keganasan seks kanak-kanak.

Sistem pemeringkatan filem berbeza-beza, berdasarkan kepercayaan kebudayaan setiap negara. Di negara seperti Australia, sebuah badan pemerintahan memutuskan pemeringkatan manakala di negara-negara yang lain, seperti Amerika Syarikat, pemeringkatan dilakukan oleh jawatankuasa industri tanpa sebarang status pemerintahan yang rasmi. Bagaimanapun, dalam kebanyakan negara, filem-filem yang dianggap sebagai menjelikkan daripada segi moral, telah ditapis, disekat, atau diharamkan. Walau jika filem itu tidak disekat atau diharamkan secara eksplisit, biasanya terdapat undang-undang yang mengharamkan sesetengah filem atau melarang orang-orang yang di bawah umur menontonnya.

Pengaruh faktor-faktor dalam memutuskan pemeringkatan berbeza-beza dari sebuah negara ke sebuah negara. Misalnya, di negara-negara seperti Amerika Syarikat, filem-filem dengan banyak kandungan seks seringnya dihadkan kepada penonton dewasa, manakala di negara-negara seperti Perancis dan Jerman, kandungan seks diperlihatkan dengan lebih longgar. Sebaliknya, filem dengan kandungan keganasan seringnya disekat, malah ditapis, di negara-negara seperti Jerman dan Finland, tetapi diperlihat dengan lebih longgar di negara-negara seperti Amerika Syarikat.

Sebuah filem mungkin diterbitkan dengan sesuatu pemeringkatan dijangka. Ia mungkin disunting semula jika pemeringkatan yang diingini tidak dapat diperolehi, khususnya untuk mengelakkan pemeringkatan yang lebih tinggi daripada apa yang disasarkan. Filem itu juga boleh disunting semula bagi menghasilkan versi-versi alternatif untuk diedarkan di negara-negara yang lain.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]