Sugawara no Michizane

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lakaran gambaran Sugawara no Michizane oleh Kikuchi Yōsai

Sugawara no Michizane (Jepun: 菅原 道真/菅原 道眞, juga Kan Shōjō (Jepun: 菅丞相) atau Kanke (Jepun: 菅家), 1 Ogos 845 – 26 Mac 903) merupakan seorang penyajak dan pegawai kerajaan Jepun pada zaman Heian.

Beliau dikenali atas kemahirannya berkarya sajak baik dalam bahasa Cina mahupun dalam bahasa Jepun. Beliau dipuja dalam kepercayaan Shinto sebagai dewa pengajaran dan ilmu pengetahuan dengan gelaran Tenjin (Jepun: 天神) atau Tenman (Jepun: 天満).

Awal hayat[sunting | sunting sumber]

Beliau lahir dalam sebuah keluarga sarjana bergelaran Ason (Jepun: 朝臣) dari sistem Ritsuryō dan pangkat keluarga tersebut sebagai anggota dewan istana: datuknya Sugawara no Kiyotomo merupakan bangsawan yang mengajar sejarah kepada para pelajar sehingga pernah meraih pangkat peringkat ketiga, ayahnya Sugawara no Koreyoshi merupakan pendiri sebuah sekolah swasta di rumah keluarganya dan mengajarkan para siswa yang bersiap memasuki peperiksaan kelayakan pegawai kerajaan.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Dalam pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 886, Sugawara dilantik menjadi gabenor wilayah Sanuki, seperti mana yang lazim untuk para pembesar yang tidak cukup pengaruh dan kuasa ketika itu. Beliau berkuasa di sana selama empat tahun, beliau banyak mengarang hampir 26% sajaknya pada tempoh ini.[1] Pada tahun berikutnya, beliau dilaporkan berjumpa para sami biksu serta membuat upacara persembahan kepada dewa-dewi untuk membantu menghilangkan kemarau yang melanda pada waktu itu. Catatan lain juga ada menunjukkan tempoh jawatan Michizane sebagai gabenor hanya menemui kejayaan sederhana.[1]

Pertembungan dengan suku Fujiwara[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 888 M, Maharaja Uda bertelagah dengan seorang pembesar yang memangku kuasa maharaja sebelumnya, Fujiwara no Mototsune mengenai mana yang selayaknya menjadi penguasa Jepun. Michizane membela baginda maharaja dalam suatu surat tentang kepada Mototsune. Atas hal ini, beliau dikurniakan jawatan penting dalam istana maharaja sebaik beliau kembali ke Kyoto pada tahun 890 dengan baginda maharaja mula mengukuhkan kedaulatan baginda jauh dari campur tangan suku Fujiwara; awatan ini termasuk sebagai penasihat diraja, Pembantu Pengurus Isi Rumah Putera Mahkota Atsuhito dan Duta Kerajaan Tang.[2]

Beliau dilantik sebagai duta besar ke China pada tahun 890-an, tetapi beliau berpaling tadah menggesa pemansuhan jawatan tersebut pada tahun 894 dengan beralasan ia seiring dengan berkurangnya pengaruh kerajaan Tangterhadap Jepun pada ketika itu; ada sejarawan yang mengusulkan bahawa kedudukannya yang dilantik meskipun tidak mahir berbahasa Cina Istana (yang agak biasa dalam kalangan mereka di mana mereka lebih mengetahui bahasa Cina persuratan dari bahasa lisan) turut menjadi pendorong beliau untuk mengelakkan jatuhnya air muka sendiri.[3]

Pembuangan dan senja usia[sunting | sunting sumber]

Pada 901 M, beliau diancam suatu persekongkolan diwujudkan Fujiwara no Tokihira yang menuduhnya memenangkan kakanda sebelah ibu Matushito, Putera Tokiyo sebagai pewaris lebih utama Takhta Bunga Kekwa, lagi-lagi dengan tingkah laku keras Michizane terhadap seorang saudara Tokihira, Fujiwara no Sugane dalam suatu majlis.[4]

Tidak lama selepas Putera Matsuhito naik takhta sebagai Maharaja Daigo, baginda mengisytiharkan semua gelaran Michizane dilucutkan serendahnya dan kesemua ahli keluarganya dibuang ke Dazaifu, pulau Kyūshū. Di sanalah Michizane menghabiskan sisa usianya sehingga beliau meninggal dunia di sana pada tahun 903 M.[4]

Penyanjungan semula dan pendewaan[sunting | sunting sumber]

Gambaran amukan roh Sugawara sebagai suatu dewa petir, dalam gulungan cerita Kitano Tenjin Engi Emaki [fr], bertarikh abad ke-13

Pada 21 Julai 930, Kyoto dilanda suatu ribut petir dahsyat sehingga mengorbankan banyak pembesar Fujiwara serta memusnahkan banyak pekarangan dan kediaman mereka. Para pembesar maharaja lain menyimpulkan bahawa bencana ini disebabkan kemarahan roh Michizane yang tidak tenang. Maka dengan ini, pihak Istana bertindak cuba "menenangkan" rohnya dengan mengembalikan semua pangkat beliau serta membakar semua perintah buangannya. Pada ketika ini juga Michizane juga diisytiharkan menjadi dewa sanjungan pada 947 M atau tahun pertama zaman Tenryaku, sebuah tokong mula dibina untuk pendewaan beliau yang kini menjadi Kitano Tenman-gū di Kyoto.[5][6] Ia dirasmikan pada 976 M.[7] Beliau turut dikurniakan gelaran Menteri Kanan secara anumerta oleh Maharaja Ichijo[7]

Beliau menjadi tumpuan pelajar sekolah serata Jepun yang meminta berkat dan tuah terutamanya semasa peperiksaan. Banyak tokong disembah puja untuk tujuan ini serata negara, namun terdapat tiga tempat yang menjadi tumpuan utama pendewaan beliau ini bergelar Tenman-gū (Jepun: 天満宮): Kitano di Kyoto, Dazaifu Tenman-gū di Fukuoka dan Egara Tenjinsha di Kamakura.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Borgen, Robert (1994). Sugawara no Michizane and the Early Heian Court. University of Hawaii Press. m/s. 158–181. ISBN 978-0-8248-1590-5.
  2. ^ Borgen, Robert (1994). Sugawara no Michizane and the Early Heian Court. University of Hawaii Press. m/s. 201–216. ISBN 978-0-8248-1590-5.
  3. ^ Morris, I. (1975). The Nobility of Failure: Tragic Heroes in the History of Japan. p. 50
  4. ^ a b Plutschow, Herbert (2003), "Ideology and Historiography: The Case of Sugawara no Michizane in the Nihongiryaku, Fusō Ryakki and the Gukanshō" (PDF), dalam Fogel J.; J. Baxter (penyunting), Historiography and Japanese Consciousness of Values and Norms Conference Paper, Kyoto: International Research Center for Japanese Studies, m/s. 136-137
  5. ^ Titsingh, Isaac (1834). Annales des empereurs du Japon. Paris: Royal Asiatic Society, Oriental Translation Fund of Great Britain and Ireland. m/s. 139. OCLC 5850691.
  6. ^ Ryukawa, Kōji (滝川幸司) (2019). 菅原道真 学者政治家の栄光と没落. 中公新書 (dalam bahasa Jepun). Chuokoron-Shinsha. m/s. 246. ISBN 978-4-12-102559-3.CS1 maint: ref=harv (link)
  7. ^ a b Doug (16 September 2010). "Sugawara no Michizane: from scholar to deity". Japan: Life and Religion.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]