Sultan Iskandar Shah ibni al-Marhum Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sultan Iskandar Shah
Sultan Perak ke-30
Sultan iskandar shah.jpg
Pemerintahan 27 Oktober 1918 - 14 Ogos 1938
Nama penuh Sultan Iskandar al-Kaddasullah Shah II ibni Sulatn Idris Murshidul Al-adzam
Lahir 10 Mei 1881(1881-05-10)
Tempat lahir Kuala Keboi, Kampar, Perak
Mangkat 14 Oktober 1938 (umur 57)
Tempat mangkat Kuala Kangsar, Perak
Pendahulu Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah
Pengganti Sultan Abdul Aziz Shah
Permaisuri Raja Perempuan Teh Kelsom binti Raja Kulop Muhammad
Anakanda Sultan Idris Shah II
Ayahanda Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah
Bonda Raja Perempuan Nuteh Aishah binti Sultan Yussuf Sharifuddin Mudzaffar Shah

Raja Alang Iskandar ibni Almarhum Sultan Idris Murshidul'Adzam Shah telah dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-30, menggantikan kekanda baginda, Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah ibni al-Marhum Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah, dan bergelar Sultan Iskandar Shah. Baginda bersemayam di Istana Kenangan, kemudian berpindah ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kehidupan Awal[sunting | sunting sumber]

Baginda diputerakan di Kuala Keboi, Kampar, Perak pada tahun 1881. Baginda mula bersekolah di Sekolah Inggeris Central di Taiping. Kemudian baginda melanjutkan pendidikan di Balliol College, Oxford, England. Dalam tahun 1902, baginda berangkat balik ke Negeri Perak bersama Paduka ayahanda, Sultan Idris Shah I, selepas Paduka ayahanda menghabiskan lawatannya ke England. Tiga tahun selepas balik ke tanah air, baginda berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Taiping.

Berkhidmat Sebagai Polis dan Aktif Dalam Sukan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1906, baginda berkhidmat dalam pasukan polis dan tidak berapa lama kemudian telah dilantik menjadi Penolong Pesuruhjaya Polis di Kuala Lumpur. Kegemaran Baginda ialah bermain bolasepak, hoki serta kriket. Baginda juga merupakan seorang ahli pasukan polo Negeri Selangor dan pasukan polo Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Selepas menjadi Sultan Perak pun baginda masih merupakan pemain polo yang handal dan menubuhkan satu pasukan polo Negeri Perak di Kuala Kangsar.

Menjadi Raja Bendahara dan Sultan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1916, ketika berkhidmat dalam pasukan polis di Kuala Lumpur, baginda telah dipanggil balik ke Perak kerana telah dilantik menjadi Raja Bendahara. Apabila Sultan Abdul Jalil mangkat dalam tahun 1918, baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke-30. Enam tahun kemudian, iaitu tahun 1924, baginda berangkat ke England kerana menyaksikan Pertunjukkan Wembley (iaitu pameran barang-barang keluaran negara-negara di dalam empayar British), sekaligus menghadap Baginda King George Kelima.

Baginda ialah seorang 'amateur jockey' dan mempunyai kira-kira tujuh puluh ekor kuda lumbanya sendiri. Dalam Pasukan Volunteer Infantry iaitu cawangan Pasukan Federated Malay States Volunteer Force (atau singkatnya F.M.S.V.F.), baginda adalah seorang Kolonel, manakala di dalam Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu, baginda berpangkat 'Honorary Inspector General'. Baginda King George Kelima, Raja Inggeris, telah menganugerahkan Darjah Kebesaran 'Knight Commander of the Order of Saint Michael and Saint George', K.C.M.G., yang membawa gelaran "Sir' kepada baginda.

Selaku seorang penyokong kuat penubuhan 'Malay Regiment' (sekarang dikenalikan sebagai Askar Melayu Diraja), baginda telah mendesakkan bahawa kuasa pentadbiran yang sejak penubuhannya dipegang oleh pegawai Inggeris, khususnya Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, telah dirombak mengikut sistem desentralisasi dan pangkat-pangkatnya dibahagikan semula kepada semua Sultan mahupun Residen dan Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu itu. Baginda pernah membawa desakan baginda semasa berangkat ke England serta mengemukakannya kepada Setiausaha Negara Bagi Tanah-Tanah Jajahan British di London, dan berjaya memperolehi kelulusan dan restu Setiausaha Negara itu.

Dengan rayuan baginda kepada pihak Kerajaan Inggeris, daerah Dindings dan Pulau Pangkor (sekarang dinamakan daerah Manjung) yang telah diberikan kepada Kompeni Inggeris dalam tahun 1826, diserahkan balik kepada Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1935.

Sultan yang Alim[sunting | sunting sumber]

Tuanku turut dikenali sebagai seorang raja yang alim. Baginda pernah berkata kepada rakyatnya bahawa celakalah seseorang lelaki itu jika tidak menghadiri Solat Jumaat tanpa sebab. Baginda turut melantik seorang alim ulama agama Islam bernama Shaikh Muhammad Saleh yang berasal dari Minangkabau, Sumatera, untuk menjalankan kerja-kerja tabligh di Teluk Anson (sekarang dinamakan Teluk Intan). Sheikh Muhammad Saleh digelarkan Sheikhul-Islam (pangkat itu sesama dengan mufti sekarang) bagi Negeri Perak. Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran agama Islam kepada rakyat di seluruh Negeri Perak.

Dalam pemerintahan baginda, baginda telah mengurniakan gelaran 'Orang Kaya-kaya Mahakurnia Indera Diraja' kepada Alang Ahmad bin Muhanmmad Yunus. Gelaran baru ini menggantikan gelaran 'Orang Kaya-Kaya Maharaja Lela Tan Lela Putera' yang telah dimansuhkan selepas pembunuhan J.W.W. Birch dahulu. Bagaimanapun, gelaran ini pula disingkirkan pada tahun 1987 supaya gelaran lama 'Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja' dapat dihidupkan kembali.

Mangkat[sunting | sunting sumber]

Setelah memerintah selama 20 tahun lamanya dengan jayanya, pada bulan Oktober, 1938, Sultan Iskandar Shah pun mangkat dan dimakamkan di Permakaman Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar, bergelar "Marhum Kadasallah".

Didahului oleh
Sultan Abdul Jalil Nasruddin Muhtaram Shah
Sultan Perak
1918-1938
Diikuti oleh:
Sultan Abdul Aziz al-Mutasim Billah Shah

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]