Kampar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Rencana ini memaparkan penerangan tentang daerah Kampar di Perak, Malaysia. Sila klik Kampar, Sumatera untuk Kabupaten Kampar, Riau, Sumatera, Indonesia.
Daerah Kampar
Kampar clock tower.jpg
Geografi
Status Daerah
Asal nama N/A
Negara  Malaysia
Negeri  Perak
Daerah Daerah Kampar
Keluasan N/A

Daerah Kampar terletak di negeri Perak, Malaysia kira-kira 40 km dari bandaraya Ipoh dan 16 km dari pekan Tapah.

Kampar telah diisytiharkan sebagai daerah[1] ke-10 Negeri Perak pada 21 Mei 2009 oleh Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Yussuf Izzuddin Shah, Sultan Perak.[2]

Antara tempat-tempat yang terletak berhampiran dengan Kampar ialah Chenderiang, Temoh, Banir, Ayer Kuning, Mambang Di Awan, Kampung Kinjang, Malim Nawar dan Kuala Dipang. Gunung Bujang Melaka ( 1242 m) terletak kira-kira 8 km di timur laut Kampar. Sungai Kampar dan Sungai Kinjang mengairi kawasan ini. Suatu ketika dahulu kedua-dua sungai ini menjadi kawasan perlombongan bijih timah yang penting.

Kampar merupakan sebuah bandar di tepi jalan raya. Jalan raya menghubungkan Kampar dengan Ipoh di Utara dan Tapah, Langkap, Teluk Intan , Tanjung Malim dan Kuala Lumpur di selatan. Lebuh raya Utara Selatan turut melintasi kawasan ini, susur keluarnya ialah Plaza tol Gopeng.

Geologi[sunting | sunting sumber]

Dilihat dari sudut geografi dan geologi, Kampar terletak dalam lingkungan Lembah Kinta, kedudukannya seperti dalam kawah di penghujung barat kaki Gunung Bujang Melaka yang disaliri oleh Sungai Keranji dan Sungai Kampar yang terdiri dari tanah lanar adalah kaya dengan logam-logam timah. Sungai-sungai tersebut memendapkan tanah-tanah dan batu-batu kecil kelikir yang mengandungi logam-logam timah di tebing dan dasarnya, proses ini telah berlaku berjuta-juta tahun dahulu, menjadikan kawasan tersebut kaya dengan longgokan bijih timah.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Nama pekan Kampar itu sendiri mempunyai persamaan nama dengan Bandar Kampar di Sumatera, Indonesia. Ini diakui oleh para sejarawan Malaysia bahawa nama pekan ini diambil sempena nama Kampar, Indonesia. Wujudnya kaitan di antara kedua-dua nama ini adalah melalui perniagaan yang dijalankan oleh kedua-dua penduduk bagi dua pekan ini, perniagaan mereka yang paling utama ialah penjualan tembakau dan alat-alat tembikar sara tembaga.

Kedatangan orang Kampar (Indonesia) yang paling ramai sekali ke sini ialah pada tahun 1880-1900. Mereka datang melalui beberapa batang sungai utama seperti Sungai Kuala Dipang, Sungai Kampar, Sungai Kinta dan lain-lain lagi. Mereka menggunakan jong iaitu sebuah sampan besar yang diperbuat daripada kayu keras dan diukir menyerupai itik. Tempat persinggahan mereka adalah di tebing-tebing sungai. Maka, wujudlah beberapa buah Kampung Jeram di tebing Sungai Keboi.

Selain itu, ada juga yang masuk melalui Teluk Intan dan mudik ke Sungai Perak hingga ke Kuala Kampar di mana Kuala Kampar inilah wujudnya pekan Malim Nawar yang masih ada hingga kini. Mereka datang adalah untuk berniaga. Dari Kuala Kampar mereka singgah ke beberapa buah kampung untuk menjual barang-barang mereka kepada penduduk tempatan.

Kemudian mereka meneruskan lagi perjalanan hingga ke Kuala Keboi. Perniagaan mereka di sini bertambah maju kerana terdapat kerabat diRaja dan Sultan tinggal di Kuala Keboi. Di daerah inilah juga lahirnya Sultan Alang Iskandar dan Panglima Megat Terawis (salah seorang tokoh Negeri Perak).

Setelah habis barang-barang perniagaan mereka dijual di tempat tersebut, mereka pun meneruskan perjalanan ke Batang Tonggang dengan berjalan kaki. Di sini jugalah bermulanya bandar Kampar yang ada hingga kini. Di Batang Tonggang (sekarang Kampar) inilah orang-orang Kampar itu (dari Indonesia) mendirikan kedai sederet atap.

Penduduk dari kampung berhampiran dengan Batang Tonggang seperti Kampung Sultan (sekarang Jalan Baru) membawa hasil-hasil pertanian mereka ke Batang Tonggang untuk dijual kepada orang Kampar (Indonesia) ini.

Tahun demi tahun, kedai sederet atap orang Kampar ini bertambah maju. Setelah perniagaan mereka maju, akhirnya mereka membuat keputusan untuk menetap di sini kerana jarak antara Kampar (Perak) dengan Kampar (Indonesia) adalah jauh. Ini menyukarkan mereka untuk berulang-alik. Selain itu, terdapat bencana di lautan seperti ombak yang besar dan lanun-lanun yang pada masa itu bermaharajalela. Ada sesetengah orang Kampar ini berkahwin dengan penduduk tempatan dan terus bermastautin di sini.

Pada peringkat awal, aktiviti perlombongan di Kampar dijalankan secara mengorek lubang-lubang kecil untuk mendapatkan tanah yang mengandungi bijih dan mendulangnya di tebing-tebing Sungai Keranji dan Sungai Kampar serta di kawasan-kawasan rendah yang mengandungi takungan air. Kegiatan tradisional ini kebanyakannya dilakukan oleh orang-orang Cina dan Eropah. Bagi menambahkan kepesatan kegiatan ekonomi perlombongan bijih timah, kaum Cina dan Eropah ini telah memperkenalkan kaedah perlombongan moden dengan menggunakan pam palong dan Kapal korek. Kedua-dua cara perlombongan ini telah mengeluarkan hasil bijih timah dalam jumlah yang berlipat ganda banyaknya serta dapat menyumbangkan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan-kawasan sekitarnya. Keadaan ini berterusan sehinggalah menjelangnya kemerosotan pasaran timah pada awal tahun 1983.

Penempatan awal Kampar dan kepesatan industri perlombongan mendorong kedatangan orang-orang dari luar terutamanya orang-orang Cina dari Tanah Besar China, terdapat juga orang-orang Cina yang datang ke Kampar ialah mereka yang telah bermastautin di Pulau Pinang dan Taiping untuk memulakan hidup baru di Kampar sebagai pekerja lombong, peniaga dan sebagainya.

Hari ini Kampar telah membangun sebagai pusat pentadbiran Daerah Kecil Gopeng dan Kampar serta menjadi pusat perniagaan dan kewangan yang menjadi tumpuan penduduk sekitarnya. Berbagai-bagai kemudahan dan infrastruktur telah disalurkan oleh pihak kerajaan untuk penduduk Kampar seperti hospital, sekolah, bekalan air, elektrik dan sebagainya.

Jumlah penduduk Kampar sekarang dan kawasan sekitarnya di bawah MDKS berjumlah kira-kira 98,534 (setakat 1993) penduduknya terdiri dari orang Cina, Melayu, India dan sebagainya. Kepesatan pembangunan Kampar setaraf dengan bandar-bandar lain di negeri Perak malah pada satu ketika dahulu Kampar adalah Bandar yang keempat besarnya di Perak selepas Ipoh, Taiping dan Teluk Intan. Ini membuktikan bijih timah menjadi sumber yang memainkan peranan penting menentukan kepesatan Kampar seperti juga Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban dan Taiping.

Kampar era perlombongan[sunting | sunting sumber]

Dalam tahun 1880-an, suatu migrasi besar-besaran pelombong-pelombong Cina dari Pulau Pinang telah datang ke Kampar berikutan pembukaan lombong bijih timah di daerah Larut dan Matang di Utara Perak di Lembah Kinta. Kegiatan perlombongan ini telah dimulakan di kaki bukit di sekitar Bandar Ipoh, Papan, Jelapang, Lahat dan Batu Gajah. Namun pada masa itu, masih belum wujud lagi bandar yang dikenali sekarang sebagai Bandar Kampar.

Berdasarkan artikel Datuk Hashim bin Sam Abdul Latif (cucu Ngah Jabor, Pengasas Kampar) penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch sebagai Residen British di Perak kerana Ngah Jabor sebagai peneroka awal Kampar adalah salah seorang yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, yang lain-lainnya termasuklah Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Putum dan sebagainya. Bagaimanapun, Ngah Jabor terlepas dari sebarang hukuman apabila Raja Idris (Dris) yang kemudiannya menjadi Sultan Perak pada tahun 1887 menjadi hakim mengadili orang-orang yang terlibat dalam Pembunuhan Birch pada 1876.

Raja Idris dan Ngah Jabor mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai saudara sesusu, kerana semasa kecil Raja Idris disusui oleh ibu Ngah Jabor dan menjadi amalan biasa bagi keluarga DiRaja menyusukan anaknya kepada orang lain terutama dari golongan orang-orang kenamaan.

Antara tahun 1876 sehingga 1886 kemungkinan Ngah Jabor menghilangkan diri untuk betapa/menuntut ilmu bagi memperlengkapkan diri dan muncul kembali di kalangan umum dengan satu identiti yang baru sebagai Mohamad Jabor. Kemungkinan pada masa menyepikan diri beliau telah membuka penempatan baru di Kampar untuk mengelakkan diri dari pengetahuan pihak British.

Apabila daerah Kampar dibuka dengan rasmi untuk pajakan lombong pada 1894, Mohamad Jabor adalah salah seorang dari orang yang terawal memililki lombong-lombong tersebut dengan pajakan lombong yang bernombor ML 882 bertarikh 18hb November 1894, seluas 25 ekar dengan pekerja seramai 167 orang. Pada tahun yang sama juga beliau telah memiliki 2 pajakan lombong melibatkan keluasan 55 ekar dan 10 ekar, di mana keseluruhannya berjumlah 90 ekar. Daripada keluasan tanah tersebut Mohamad Jabor menjalankan kegiatan perlombongan sehingga ke tahun 1910.

Menurut kajian pakar sejarawan Encik Chye Kooi Loong pula, menyifatkan Imam Prang Jabor seorang pemimpin Melayu yang berkaliber dan dinamik bertanggungjawab membuka perkampungan Melayu di hilir Sungai Keranji berdekatan pasar lama Kampar pada tahun 1886. Perkampungan asal ini dikenali sebagai Mambang Diawan sempena nama Gunung Mambang Diawan yang tingginya 1,455 kaki yang bermakna ‘ Fairies among the Cloud’.

Suatu hasil kajian oleh jurutera perlombongan Perancis mendapati kawasan Lembah Kinta termasuk Kampar kaya dengan bijih timah dan ini menjadikan Kampar sebagai satu penempatan yang berfaedah untuk diterokai.

Imam Prang Jabor menggalakkan para pengikutnya melombong dengan cara mengorek lubang-lubang kecil di kaki-kaki bukit dan mendulangnya di tebing-tebing sungai. Di samping itu Imam Prang Jabor turut memberitahu pihak pentadbiran British iaitu J.B.M Leech sebagai Pegawai Daerah dan Majistret di Kinta akan potensi perlombongan timah di Kampar. Leech kagum dengan keterangan tersebut seterusnya mengajak Maxwell seorang kader M.C.S dan Bramforth seorang juruukur melawat ke tempat di mana aktiviti perlombongan itu dijalankan.

Seterusnya Leech memilih satu kawasan di tebing kanan Sungai Keranji untuk tapak lot kedai. Bermula dari sinilah usaha-usaha perlombongan telah giat dijalankan dengan kehadiran pelombong Cina dan Eropah. Leech berpendapat nama Mambang Diawan terlalu panjang untuk sebuah pekan yang sedang membangun lalu mengambil nama Sungai Kampar yang mengalir berhampiran untuk menggantikan nama asalnya menjadi Kampar. Masyarakat Cina tempatan yang kebanyakkan dari kalangan para pelombong, menamakan ia sebagai "kam Pou" datang dari bahasa Kantonis yang bermaksud "emas yang berharga".

Dari sumber-sumber Arkib Negara Malaysia membuktikan Kampar telah dibuka dengan rasminya pada 1886 berpandukan minit yang tercatat dalam fail KLO 523/1900 mengenai bayaran cukai tanah yang dikenakan ke atas pihak Sultan yang belum dijelaskan. Walaupun dari sumber-sumber Arkib tidak dijelaskan peneroka awalnya, namun semestinya dari kalangan pihak Istana ataupun orang-orang kenamaan yang ada kaitan dengan Istana, kita ketahui Ngah Jabor adalah seorang yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak Istana terutama dengan Sultan Idris.

Dari Artikel Datuk Hashim dan Kajian Encik Chye Kooi Loong menjelaskan peneroka awal Kampar ialah adalah Imam Prang Jabor dan para pengikutnya di sekitar tahun-tahun 1886 dan 1887.

Mengikut maklumat yang diperolehi daripada Arkib Negara Malaysia yang boleh dijadikan bukti-bukti penempatan awal Kampar adalah seperti berikut:

  • Berdasarkan minit dari fail KLO 523/1900 bertarikh 20 Julai 1900 bertajuk ‘Sultan’s Mining Land at Kampar, payment of arrears of rent on’ dari Pemungut Hasil Tanah (CLR) menyatakan pada tahun 1891 telah lima tahun sejak 1886 cukai tanah seluas 160 ekar telah tidak dijelaskan sehingga kini (1900) telah 14 tahun cukai tersebut sebanyak $ 2,240.00 telah tidak dijelaskan.
  • Berdasarkan Galian Perak 1059-48, Book No 64, Mines Record Book of Mining Leases, tarikh awal pajakan lombong dikeluarkan adalah pada 17 Januari 1888, No Pajakannya adalah ML 4290 seluas 23 A. 3R.2P atas nama Eu Tong Seu yang terletak di Kanggor, Kampar. Bagaimanapun, lombong tersebut hanya beroperasi pada 1904 apabila seramai 5 orang pekerja diambil bekerja semasa catatan diambil pada 19 November 1904. Lombong tersebut beroperasi sehingga 27 Mac 1911 iaitu sehingga tamat tempoh pajakannya.
  • Bagi perbandaran (township) pertama kali disebut, berdasarkan fail KLO No 976/97 bertarikh 5 November 1897 mengenai permohonan Imam Perang Jabor mengenai pembinaan pentas dan pasar di Mambang Diawan.

Sebagai maklumat, individu yang memakai gelaran "Imam Prang Jabor" adalah individu yang sama dengan Ngah Jabor, berdasarkan sumber-sumber yang diberikan diatas, adalah amat dipercayai beliau adalah pengasas bandar Kampar, Perak sejak era perlombongan.

Masjid[sunting | sunting sumber]

  1. Masjid Jamek An-Nur Kampar 31900 Kampar, Perak
  2. Masjid Jamek Bukit Pekan, Kampung Bukit Pekan, 31910 Kampar, Perak
  3. Masjid Kampung Air Hitam Labu, 31910 Kampar, Perak

Kawasan Perindustrian[sunting | sunting sumber]

  1. Kawasan Perindustrian Mambang Diawan
  2. Kawasan Perindustrian Kampar

Bank[sunting | sunting sumber]

  1. AmFinance Bhd,No. 40, Jalan Idris, 31900 Kampar, Perak
  2. Bumiputra-Commerce Bank Bhd,No. 23, Jalan Idris, 31900 Kampar, Perak
  3. Public Bank Bhd,No. 29, Jalan Idris, 31900 Kampar, Perak
  4. RHB Bank Bhd,No. 181723, Jalan Off Jalan Batu Sinar, Taman Bandar Baru, 31900 Kampar, Perak
  5. RHB Bank Bhd,No. 83, Jalan Gopeng, 31900 Kampar, Perak
  6. Southern Bank Bhd,No. 99, Jalan Gopeng, 31900 Kampar, Perak

Bekalan elektrik[sunting | sunting sumber]

  1. Tenaga Nasional Bhd,132/66, Jalan Kampar, 35350 Temoh, Perak
  2. Tenaga Nasional Bhd,Jalan Teluk Intan, New Wah Loong, 31900 Kampar, Perak
  3. Tenaga Nasional Bhd,No. 16, Jalan Kuala Dipang, 31900 Kampar, Perak
  4. Tenaga Nasional Bhd,Setor Lln, Jalan Teluk Intan Lama, 31900 Kampar, Perak

Perkhidmatan kesihatan[sunting | sunting sumber]

  1. Kampar Pharmacy Sdn Bhd,No. 28, Jalan Idris, 31900 Kampar, Perak
  2. Klinik Khoo,17-G, Jalan Pos, 31900 Kampar, Perak
  3. Klinik Rama,No. 9, Jalan Ampang, 31900 Kampar, Perak
  4. Perak Medical Centre,No. 8, Jalan Balai, 31900 Kampar, Perak
  5. Pusat Perubatan Perak,No. 8, Jalan Balai, 31900 Kampar, Perak

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Kampar kini sudah terkenal sebagai salah satu pusat pendidikan tertiari berikutan kewujudan kampus induk Universiti Tunku Abdul Rahman selain Kolej Tunku Abdul Rahman cawangan Kampar. Kampar juga mempunyai banyak sekolah rendah dan menengah yang jika digabungkan boleh menampung kapasiti pelajar kira-kira 20,000 orang. Diantara institusi pendidikan tinggi lain yang terdapat di Kampar seperti Kolej Menara Jaya dan Kolej Sri Ayu.

  1. Institut Perdagangan Sri Ayu Perak,No. 59, Jalan Durian, Taman Kampar Jaya, 31900 Kampar, Perak
  2. Sekolah Kebangsaan Kampar, 31910 Kampar, Perak
  3. Peh Yuan High School Kampar,No. 9, Jalan Kuala Dipang, 31900 Kampar, Perak
  4. Perak Building Workers Union (Secretary),No. 19, Jalan Masjid, 31900 Kampar, Perak
  5. Pusat Komputer Sri Ayu,No. 57, Jalan Durian, Taman Kampar Jaya, 31900 Kampar, Perak
  6. Sri Joy Educare Sdn Bhd,No. 223, Jalan Kampar, 30250 Ipoh, Perak
  7. The Grand Music School & Learning Centre,Ground Floor, Great World Centre, Jalan Kampar, 30250 Ipoh, Perak
  8. Sekolah Kebangsaan Sentosa, Bandar Baru, 31900 Kampar, Perak
  9. Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (A.C.S),31900 Kampar, Perak
  10. Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa, Bandar Baru, 31900 Kampar, Perak

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Daerah Kampar ditadbir sepenuhnya oleh Majlis Daerah Kampar (Dahulu dikenali sebagai Majlis Daerah Kinta Selatan).

Mukim[sunting | sunting sumber]

  1. Mukim Kampar
  2. Mukim Teja
  3. Bandar Gopeng
  4. Bandar Kampar
  5. Pekan Kota Baharu
  6. Pekan Malim Nawar

Pengangkutan Awam[sunting | sunting sumber]

Pekan Kampar mempunyai kemudahan pengangkutan awam seperti Stesyen Bas,stesyen Keretapi dan stesyen teksi. Stesyen Keretapi terletak di belakang Taman Melayu Jaya menghala ke Kg Tersusun Batu Putih, iaitu kira-kira 1 km dari pusat bandar . Antara kemudahan keretapi penumpang yang beroperasi ialah ETS, Tren Sinaran Utara,Tren Senandung Langkawi, Tren Senandung Mutiara dan Ekpress Rakyat . Tren ETS yang paling awal bertolak ke KL seawal pukul 5.24 pagi,diikuti pada jam 7.24 pagi,seterusnya pada pukul 8.24 pagi.Harga tiket untuk ketiga-tiga tren itu ialah RM 31 seorang untuk dewasa.

Terdapat dua stesyen untuk Perkhidmatan Bas awam yang terletak berhampiran dua buah supermaket Minat dan Target.Stesyen-stesyen bas itu ialah stesyen bas ekspres dan stesyen bas tempatan (Lokal). Stesyen bas ekspres terletak di Plaza Kranji di bawah Supermarket Target menempatkan 6 kaunter agen tiket bas ekspres untuk pelbagai destinasi ke seluruh Malaysia. Manakala stesyen bas tempatan pula menempatkan 5 syarikat bas yang beroperasi mulai jam 5.30 pagi hingga 11 malam. Antara syarikat bas yang beroperasi di situ ialah Syarikat bas Kinta,Syarikat bas Kamta,Syarikat bas Hup Soon, Perak Transit dan Syarikat bas SeriMaju. (Aiman Shauqi Shukri)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 2012. Majlis Daerah Kampar
  2. Kampar diisytihar daerah ke-10 Perak. Utusan Online. Dipetik pada:23 Mei 2009. Diakses pada: 11 Ogos 2013. Link: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Utara&pg=wu_03.htm
  • Arkib Negara Malaysia
  • Artikel Datuk Hashim bin Sam Abdul Latiff, "The Identity of Ngah Jabor and Mohamad Jabor bin Bardot (1858 – 1921)".
  • Kajian Encik Chye Kooi Loong, "Pembukaan Kampar"
  • Buku Cenderamata Sambutan Perayaan 100 Tahun Kampar pada 03 & 04 Julai 1987

Pautan luar[sunting | sunting sumber]