Sultan Abdul Aziz al-Mutasim Billah Shah ibni al-Marhum Raja Muda Musa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sultan Abdul Aziz al-Mutasim Billah Shah
Sultan Perak
Sultan abdul aziz.jpg
Pemerintahan 15 Ogos 1938-26 March 1948
Nama penuh Abdul Aziz ibni Musa
Pendahulu Sultan Iskandar Shah
Pengganti Sultan Yussuf Izzuddin Shah
Permaisuri Raja Perempuan Khadijah binti Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah
Ayahanda Raja Musa ibni Sultan Jaafar I

Raja Muda Abdul Aziz telah dilantik menjadi Sultan Perak yang ke-31 pada tahun 1938 dengan gelaran Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah. Istiadat pertabalan baginda berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 4 Mac 1939. Baginda adalah putera tunggal Almarhum Raja Muda Musa I ibni Almarhum Sultan Jaafar I Mua'azzam Shah.

Kehidupan Awal[sunting | sunting sumber]

Baginda diputerakan di Kampung Bandar, Teluk Intan pada 14 November 1887, dan mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Anglo-Chinese di Teluk Intan dan di Ipoh. Kemudiannya, baginda melanjutkan pendidikan di Sekolah Inggeris Central di Taiping, dan seterusnya ke Maktab Babul'd-Darjat (Kolej Melayu) di Kuala Kangsar.


Pada hujung tahun 1908, baginda telah tamat pelajaran di Kolej Melayu, dan masuk berkhidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan di Taiping sebagai seorang Pelatih Pegawai. Pada tahun 1909, baginda bertukar menjadi Penolong Pegawai Daerah Kerian di Parit Buntar, kemudian di Lenggong di daerah Hulu Perak (pada tahun 1911), dan di Taiping sebagai Penolong Pegawai Daerah Larut dan Matang (pada 1912). Dua tahun selepas itu, baginda telah ditukarkan ke Pejabat Pemeriksa Padi di Parit Buntar berjawat sebagai Pegawai Pemeriksa Padi. Dalam tahun 1915, baginda telah lulus peperiksaan ilmu undang-undang, dan sekali lagi baginda memegang jawatan Penolong Pegawai Daerah Hulu Perak di Lenggong. Ringkas kata, baginda merupakan seorang Raja yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan Negeri. Di samping itu, baginda merupakan seorang pemain tennis yang cekap.

Selepas Perang Dunia Pertama pada tahun 1919, apabila Sultan Iskandar Shah menaiki takhta kerajaan Negeri Perak, Raja Abdul Aziz telah diangkat menjadi Raja Muda dan bersemayam di Teluk Intan. Dari tahun 1920 hingga ke tahun 1925, baginda berkhidmat dalam Pasukan Malayan Volunteer Infantry (cawangan Negeri Perak) sehingga mendapat pangkat Kapten.

Orang Penting[sunting | sunting sumber]

Setelah berangkat balik dari England, baginda telah dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Perak, Pengerusi Majlis Mesyuarat Raja-Raja Dan Ulama-Ulama. Antara tahun 1932 dan 1935, baginda mewakili orang-orang Melayu dalam Majlis Mesyuarat Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Selian daripada itu, baginda pula menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Askar Melayu dan Ahli Lembaga Penasihat dalam Jabatan Hal Ehwal Perusahaan Negeri pada tahun 1934. Pada tahun 1939, setelah menjadi Sultan Perak, baginda telah dikurniakan pangkat Kolonel Kehormat dalam Pasukan Volunteer Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Di samping itu, baginda telah dikurniakan Darjah Kebesaran 'Companion of the Order of Saint Michael and Saint George' dan kemudiannya diikuti dengan Darjah Kebesaran 'Knight Commander of the Order of Saint Michael and Saint George' oleh Baginda King George Kelima, Raja Inggeris.

Perang Dunia ke-2[sunting | sunting sumber]

Pada 8 Disember 1941, Perang Dunia Kedua meletus di sebelah pantai timur di Semenanjung Tanah Melayu. Tentera Jepun mula mendarat di Patani, Senggora (di Thailand) dan Kota Bharu di Kelantan, lalu menyerang negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Setelah itu, tentera Jepun memara masuk menyerang bahagian utara Perak dan berjaya mengalahkan pihak British di Negeri Perak. Tentera Jepun menjajah Negeri Perak dari tahun 1942 hingga 1945 di bawah pemerhatian seorang Gabenor Jepun yang berpengkalan di Ipoh. Pada masa itu, baginda tetap berjawat sebagai Sultan Perak, akan tetapi segala gerak-geri baginda diawasi oleh pihak tentera Jepun kerana mensyaki baginda ada berhubungan dengan Pasukan Gerila Inggeris yang menentang penjajah Jepun. Pasukan Gerila Inggeris yang juga dikenali sebagai 'Force 136' telah terjun payung di Hulu Perak dan ada pula yang mendarat di kuala Sungai Perak melalui laut untuk berperang dengan tentera Jepun. Baginda memang tidak suka kepada cara pentadbiran tentera Jepun di Negeri Perak yang telah mendatangkan kesusahan serta kepayahan kepada segala lapisan masyarakat. Keadaan penghidupan penduduk-penduduk semakin menderitakan yang disebabkan kekurangan makanan dan pakaian.

Maka, akibat daripada Amerika Syarikat mengugurkan bom atom ke atas Hiroshima di Negara Jepun pada 6 Ogos 1945 dan Nagasaki pada 9 Ogos 1945, Kerajaan Jepun pun mula menyerah kalah. Berita mengenai kekalahannya tersiar di seluruh dunia pada 15 Ogos 1945. Setelah tentera Jepun menyerah kalah di Semenanjung Tanah Melayu, pihak tentera British, yang dijadualkan mengambil-alih pentadbiran Negeri-Negeri Tanah Melayu, belum sampai dari India. Lanjutan daripada itu, Negeri Perak menjadi huru-hara kerana terdapat askar gerila komunis terutama pasukan M.P.A.J.A. atau askar Bintang Tiga, yang bersembunyi dalam hutan Negeri Perak, telah keluar dari hutan berlengkap dengan senjata-api dan terus bermaharajalela di beberapa bandar dan kampung.

Malayan Union[sunting | sunting sumber]

Pada bulan November 1945, Sir Harold MacMichael datang ke Negeri Perak menemui dengan baginda di Kuala Kangsar dan telah memaksa baginda menandatangani surat perjanjian penyerahan kuasa pemerintahan baginda kepada pihak Kerajaan British. Mengikut perjanjian itu, semua Negeri-Negeri Melayu akan digabungkan menjadi sebuah persekutuan yang dipanggil 'Malayan Union'. Atas desakan Sir Harold MacMichael itu, baginda telah menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak Kerajaan Perak pada 22 Novemebr 1945 dan disaksikan oleh Raja Muda Raja Yussuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamatullah Shah dan Temenggung Haji Wan Hamaruddin (Orang Besar Jajahan Kuala Kangsar). Perjanjian itu tidak diketahui oleh orang besar-besar dan rakyat baginda. Oleh itu, Malayan Union telah ditubuhkan pada 1 April 1946. Sultan Perak serta sekelian Sultan Negeri-Negeri Melayu dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan telah menyesal kerana telah tertipu untuk menandatangani perjanjian untuk mewujudan Malayan Union. Baginda-baginda kesemuanya memulaukan istiadat perlantikan Gabenor Malayan Union kerana tidak bersetuju Malayan Union ditubuhkan. Pada masa yang sama, sebuah badan politik khas untuk orang-orang Melayu bernama 'United Malay National Organization' (atau singkatannya U.M.N.O.) telah pun ditubuhkan. Parti U.M.N.O. itu diketuai oleh Dato' Onn bin Jaafar dari Negeri Johor, dan tujuan utamanya ialah menolak penjajah Inggeris sekaligus menentang kuat terhadap pewujudan Malayan Union yang memberikan kuasa pemerintahan serta pentadbiran kepada Kerajaan Inggeris. Ringkas kata, penubuhan Malayan Union itu bererti merampas kuasa Raja-Raja Melayu serta menyingkiran lambang kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kuasa pertuanan orang-orang Melayu di tanah air mereka sendiri.

Setelah setahun sembilan bulan usia Malayan Union, Kerajaan British menjemput sekelian Sultan berkumpul di Kuala Lumpur pada 21 Januari 1948 lalu menandatangani satu surat perjanjian lagi yang dinamakan Perjanjian Persekutuan. Dengan termeterainya perjanjian tersebut, Kerajaan British memansuhkan Malayan Union dan mewujudkan 'Federation of Malaya' atau Persekutuan Tanah Melayu. Maka, pada 1 Februari 1948, pertubuhan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu selamat disempurnakan, dan sejak itu kuasa Sultan-Sultan Melayu dikembalikan kepada baginda masing-masing seperti sediakala.

Mangkat[sunting | sunting sumber]

Sultan Abdul Aziz Almustasim Billah Shah mangkat pada 29 Mac 1948 di Lumut, dan jenazah Almarhum dibawa balik ke Kuala Kangsar untuk dimakamkan di Permakaman Diraja Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Almarhum digelar 'Marhum Ni'matullah'.

Didahului oleh
Sultan Iskandar Shah
Sultan Perak
1938 - 1948
Diikuti oleh:
Sultan Yussuf Izzuddin Shah

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]