Tambo

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tambo (Jawi: تمبو berasal daripada bahasa Sanskrit, tambay yang bermaksud bermula[perlu rujukan]) merupakan sebuah riwayat lama atau sejarah lisan dalam masyarakat Minangkabau.[1] Penulisan tambo buat kali pertamanya ditemui dalam bentuk tulisan Jawi dan selanjutnya dalam tulisan Latin pada awal abad ke-20, yang isinya membandingkannya dengan beberapa bukti sejarah yang berkaitan.[2]

Walaupun mitos, lagenda dan imaginasi bercampur aduk dalam tambo, namun tambo masih dapat membantu peneliti untuk mengenali budaya Minangkabau itu sendiri[3]. Tidak ada sistem tertentu yang digunakan dalam penyampaian kisah tambo ini; kisahnya kadang-kadang disesuaikan mengikut keperluan dan keadaan. Jadi, tambo ini merupakan karya sastera yang menjadi milik bersama, sehingga kisahnya dapat berubah-ubah menurut cita rasa.[4]

Jenis[sunting | sunting sumber]

Tambo Minangkabau biasanya terbahagi kepada dua bahagian:[4]

  • Tambo alam, yang mengisahkan asal usul nenek moyang serta kerajaan Minangkabau.
  • Tambo adat, yang mengisahkan adat dan sistem serta undang-undang tentang pemerintahan Minangkabau pada masa lalu.

Tambo Alam[sunting | sunting sumber]

Dalam tambo alam Minangkabau, diriwayatkan kisah pelayaran putera-putera Raja Iskandar Zulkarnain tiga bersaudara[5], yang paling tua bernama Maharajo Alif, yang tengah Maharaja Dipang, dan yang bongsu bernama Maharaja Diraja. Dekat pulau Sailan terjatuh mahkota emas ke dalam laut. Kesemua ahli selam telah diperintahkan mencarinya. Akan tetapi usaha itu tidak berhasil kerana mahkota itu dibawa ular bidai ke dasar laut. Ceti Bilang Pandai menyeru tukang emas untuk membuat mahkota palsu. Tukang emas menggunakan cermin terus dan dapatlah beliau membuat mahkota yang sama. Untuk menyimpan rahsia si Ceti membunuh tukang emas itu. Ketika Sri Majaraja Diraja terjaga, diambilnya mahkota itu dan dipakai.

Dua orang abang yang lain terbangun dan mendapati si bongsu memiliki mahkota. Maka bertengkarlah ketiga-tiga saudara itu. Akhirnya, mereka berpisah. Sri Maharaja Alif ke Barat menjadi raja di benua Ruhum. Sri Maharajo Dipang ke Timur memerintah negeri Cina dan Jepun. Dan Sri Maharajo Diraja terus balayar ke Selatan. Selain membawa permaisurinya, Maharaja Diraja juga membawa Harimau Campo, Kucing Siam, Kambing Hutan dan Anjing Mualim.

Sesudah belayar sampailah mereka di suatu tempat yang bernama Lagundi Nan Baselo, seterusnya sampai ke Gunung Marapi; gunung ini mula-mula timbul sebesar telur itik, lalu menyentap naik sementara laut menyusut dengan pantas. Kemudian dibangunkanlah negeri bernama Pariangan.

Tambo Adat[sunting | sunting sumber]

Adat bagi orang Minangkabau adalah Kain dipakai usang, adat dipakai baru; maksudnya pakaian jika dipakai terus akan menjadi usang, tetapi adat yang dipakai tarus menerus sentiasa segar dan tidak dimakan zaman. Oleh sebab itu, adat tetap tidak berubah.

Terdapat empat kategori adat dalam masyarakat Minangkabau:

  • Adat yang sebenar adat, adat yang usali, tidak lapuk disebabkan hujan dan tidak lekang disebabkan panas, dicabut tidak mati, diasak tidak layu.
  • Adat istiadat, merupakan kebiasaan yang berlaku dalam masyarakat.
  • Adat yang diadatkan, merupakan undang-undang serta hukum.
  • Adat yang teradat, sesuatu kata sepakat atau muafakat bersama daripada masyarakat.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Sangguno Diradjo, Dt. (1954). Tambo Alam Minangkabau. Balai Pustaka.
  2. ^ Batuah A. Dt., Madjoindo A, Dt., (1957), Tambo Minangkabau, Jakarta: Balai Pustaka.
  3. ^ Djamaris E., (1980), Tambo Minangkabau: tinjauan struktural, Seminar Internasional mengenai Kesusastraan, Kemasyarakatan dan Kebudayaan Minangkabau, Bukittinggi.
  4. ^ a b Navis A. A., (1984), Alam Terkembang Jadi Guru: Adat dan Kebudayaan Minangkabau, Jakarta: PT. Grafiti Pers.
  5. ^ Mansoer, M.D., (1970), Sedjarah Minangkabau, Jakarta: Bhratara.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.