Taqiyuddin Qandil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Muhammad Taqiyuddin Qandil merupakan seorang ilmuwan dan pendakwah Islam yang pernah berbakti dalam pendidikan Islam di Tanah Melayu. Beliau dilahirkan pada tahun 1920-an[1] di Mesir. Beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang pengajian Islam dan Bahasa-bahasa Timur dari Universiti Kaherah, Mesir. Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Pelajaran Mesir selama 4 tahun sebelum berhijrah ke Tanah Melayu.

Penghijrahan ke Tanah Melayu (1953-1965)[sunting | sunting sumber]

Taqiyuddin berhijrah ke Tanah Melayu pada 5 September 1953, selepas Kerajaan Mesir (Republik Arab Bersatu) meminjamkan beliau daripada Kementerian Pelajaran Mesir kepada Kerajaan Negeri Perlis. Beliau juga dikatakan berhijrah (lari) ke Tanah Melayu selepas konflik pembunuhan pengasas dan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Hassan Al-Banna, yang mana Taqiyuddin merupakan Setiausaha bagi pertubuhan Islam tersebut[2].

Sebaik sahaja beliau berhijrah dari Mesir, beliau telah dilantik menjadi Mudir (Pengetua) di Madrasah Alawiah, Arau, Perlis. Beliau berkhidmat di sana selama 4 tahun (1953-1956). Dalam tempoh masa yang sama, beliau telah menjadi pengajar di Madrasah Ehya Al-Shariff, Gunung Semanggol, Perak[1]. Beliau turut mengajar di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah. Ketika berada di Perlis dan Kedah, beliau telah membawa pengaruh Ikhwan Muslimin kepada para pelajar. Di Perlis, dua tokoh muda yang paling banyak menerima pengaruh Ikhwan Muslimin ialah Abu Bakar Hamzah (kemudian menjadi Naib Yang Dipertua Agung PAS) dan Ibrahim Yassin (bekas calon PAS PRU 1959 yang juga abang kepada Hashim Jasin, Mursyidul Am PAS). Di Kedah, Taqiyuddin mengendalikan tarbiyah di bawah Kesatuan Pelajar Agama Kedah (KPAK) yang berpusat di Maktab Mahmud. Tokoh-tokoh terlibat termasuklah Jaiz Anwar (bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), Jamaluddin Amini Marzuki (bekas Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat) dan Fadzil Mohd Noor (bekas Presiden PAS). Taqiyuddin Qandil boleh dikatakan orang terawal yang menyusun tarbiyah haraki dalam PAS sejak 1954 sehingga terbentuknya Kesatuan Pelajar Agama Se- Malaya (KPAS).

Selepas itu, beliau berkhidmat di Kolej Islam Kelang (sebelumnya dinamakan Kolej Islam Malaya, kini Kolej Islam Sultan Alam Shah) sebagai pensyarah selama 4 tahun (1956-1959). Dalam tempoh itu, beliau juga telah mengadakan lawatan kerja ke Indonesia pada 1956 bagi mengkaji perkembangan pelajaran Islam di negara tersebut. Pada tahun 1957 dan 1958, beliau telah diminta memberikan kuliah di beberapa Universiti Islam di Indonesia selama sebulan setiap tahun[3].

Dalam lapangan dakwah dan organisasi, beliau terlibat sebagai Pengarah bagi sebuah pusat latihan mubaligh Islam milik Pertubuhan Kebajikan Islam Se-Malaya (kini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) yang dinamakan Darul Arqam[4]. Darul Arqam ditubuhkan pada 1963 dan Taqiyuddin merupakan Pengarah pertama.

Pada 3 Jun 1965, beliau telah belayar pulang ke negara asalnya, Mesir bersama-sama isteri dan anak-anaknya[1].

Rujukan[sunting | sunting sumber]