Wikipedia:Rencana pilihan/Disember 2015

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buah durian
Buah durian

Durian ialah buah daripada beberapa spesies pokok dalam genus Durio yang menghasilkan aroma kuat dan boleh dimakan. Di Asia Tenggara ia digelar "raja buah". Saiznya besar, baunya unik dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri. Buah ini boleh membesar sehingga 30 sm panjang dan 15 sm diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram. Bentuknya berbeza-beza, bujur hingga bulat, warna kulitnya hijau hingga perang, dan isinya pula kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies. Buah tropikal ini berasal dari Brunei, Filipina, Indonesia dan Malaysia, tetapi telah dikenali di dunia Barat sejak sekitar 600 tahun. Ahli alamiah British abad ke-19 Alfred Russel Wallace memerikan isi buah ini sebagai "kastard kaya dengan rasa badam". Durian boleh dimakan walaupun belum betul-betul masak, dan digunakan sebagai perisa kepada pelbagai jenis makanan berperisa dan manis dalam masakan Asia Tenggara. Bijinya juga boleh dimakan jika dimasak. Isi buah ini mengeluarkan bau yang tersendiri, kuat dan tajam walaupun kulitnya belum dibuka. Sesetengah orang menganggap bau durian sebagai semerbak; manakala yang lain berasa aromanya amat kuat dan tidak dapat ditahan. Bau ini telah menyebabkan sesetengah hotel dan pengangkutan awam di Asia Tenggara melarang buah ini dibawa masuk. Terdapat lebih 30 jenis spesies Durio yang diiktiraf, sekurang-kurangnya sembilan daripadanya menghasilkan buah yang boleh dimakan. Durio zibethinus merupakan satu-satunya spesies yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa: spesies lain hanya dijual untuk pasaran tempatan.

Rencana pilihan sebelum ini: KuchingUpin & IpinKIL (filem)