Durian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Durian
Durian merah (Durio kutejensis)
Pengelasan saintifik
Alam: Tumbuhan
Divisi: Magnoliophyta
(unranked): Eudicots
(unranked): Rosids
Order: Malvales
Keluarga: Malvaceae
Subkeluarga: Helicteroideae
Tribus: Durioneae
Genus: Durio
L.
Spesies

Terdapat lebih 30 spesies (lihat teks)

Sinonim

Lahia Hassk.[1]

Durian ialah spesies beberapa jenis tumbuhan dalam genus Durio[2] yang menghasilkan buah beraroma kuat yang boleh dimakan. Ia amat terkenal di Asia Tenggara di mana ia digelar "raja buah". Saiznya besar, baunya unik dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri. Daripada duri itulah ia mendapat namanya.[3] Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 lb). Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies.

Durian ialah buah tropikal yang berasal dari Brunei, Filipina, Indonesia dan Malaysia, tetapi telah dikenali di dunia Barat sekitar 600 tahun. Ahli alamiah British abad ke-19 Alfred Russel Wallace masyhur memerikan isi buah ini sebagai "kastard kaya dengan rasa badam". Buah ini boleh dimakan walaupun belum betul-betul masak, dan digunakan sebagai perisa kepada pelbagai jenis makanan berperisa dan manis dalam masakan Asia Tenggara. Bijinya juga boleh dimakan jika dimasak.

Isi buah ini mengeluarkan bau yang tersendiri, kuat dan tajam walaupun kulitnya belum dibuka. Sesetengah orang menganggap bau durian sebagai semerbak; manakala yang lain berasa aromanya amat kuat dan tidak dapat ditahan. Baunya menarik reaksi daripada penikmatan mendalam kepada amat jijik, dan telah diperikan serupa dengan bau badam, bawang busuk, turpentin dan stokin gim. Bau ini telah menyebabkan larangan buah ini daripada sesetengah hotel dan pengangkutan awam di Asia Tenggara.

Terdapat lebih 30 jenis spesies Durio yang diiktiraf, sekurang-kurangnya sembilan daripadanya menghasilkan buah yang boleh dimakan. Durio zibethinus merupakan satu-satunya spesies yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa: spesies lain hanya dijual untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun terdapat ratusan kultivar durian; banyak pelanggan sukakan kultivar tertentu, yang membuatkan harganya berbeza-beza di pasaran.

Isi kandungan

Spesies [sunting]

Pokok durian muda. Pokok ini boleh tumbuh sehingga 50 m tinggi

Pokok durian bersaiz besar, dengan ketinggian 25–50 meter (80–164 kaki) mengikut spesies.[4] Daunnya malar hijau, berbentuk eliptik ke oblong dan 10–18 cm (4–7 in) panjang. Bunganya terhasil dalam gugusan tiga hingga tiga puluh di dahan besar dan juga batang, dengan setiap bunga mempunyai kaliks (sepal) dan lima (jarang empat atau enam) ranggi. Durian boleh berbunga dan berbuah sekali atau dua kali setahun, bergantung kepada spesies, kultivar dan lokasi. Pokok ini lazimnya boleh berbuah selepas 4-5 tahun. Buahnya boleh tergantung daripada sebarang cabang, dan akan masak kira-kira tiga bulan selepas pendebungaan. Pada kebiasaan, buah durian boleh mencapai 30 cm (12 in) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan seberat 1 hingga 3 kilogram (2–7 lb).[4] menjadikan ladang durian sebagai kawasan berbahaya pada musim durian. Sebiji durian jika jatuh di atas kepala seseorang mampu menyebabkan kecederaan teruk atau membawa kepada kematian.

Selain Durio zibethinus, lapan spesies lain yang dikenal pasti boleh dimakan ialah D. dulcis, D. grandiflorus, D. graveolens, D. kutejensis, D. lowianus, D. macrantha, D. oxleyanus dan D. testudinarum.[5] Bagaimanapun, masih ada spesies yang tidak dikaji dengan teliti, jadi mungkin ada lagi spesies lain yang buahnya boleh dimakan.[4]

Bunga durian selalunya tertutup di waktu siang

Durian, khususnya D. zibethinus, didebungakan secara terbuka, dan dengan itu menunjukkan banyak kepelbagaian dalam warna dan bau buah, saiz biji dan isi, dan fenologi pokok. Nama spesies zibethinus merujuk kepada musang kesturi, Viverra zibetha. Terdapat perselisihan sama ada nama ini, yang diberikan oleh Linnaeus, merujuk kepada sifat musang ini yang sangat sukakan durian sehingga buah ini digunakan sebagai umpan menangkapnya, atau kepada bau durian yang seperti bau musang kesturi.[6]

Bunga durian besar dan berbulu dengan nektar banyak, dan mengeluarkan bau bermentega, masam dan berat. Ciri ini biasa untuk bunga yang didebungakan oleh spesies tertentu kelawar yang memakan nektar dan debunga.[7] Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 1970-an, durian didebungakan hampir sepenuhnya oleh kelawar buah gua (Eonycteris spelaea).[4] Namun, satu kajian 1996 menunjukkan dua spesies, D. grandiflorus dan D. oblongus, didebungakan oleh burung Arachnothera (Nectariniidae) manakala satu lagi spesies, D. kutejensis, didebungakan oleh lebah tualang dan burung selain kelawar.[8]

Kultivar [sunting]

Rencana utama: Klon durian

Setelah beberapa abad, pelbagai jenis kultivar durian hasil daripada pembiakan vegetatif telah muncul di Asia Tenggara. Dahulunya ditanam dengan keputusan campur daripada biji pokok yang menghasilkan buah berkualiti tinggi, kultivar kini dibiakkan dengan perlapisan, penetutan, atau lebih lazim, melalui pencantuman, termasuk cantuman tunas, venir, potongan, tanggam atau U kepada kecambah pokok penanti yang dipilih secara rawak. Kultivar berlainan dapat dibezakan setakat tertentu melalui kepelbagaian dalam bentuk buah, seperti bentuk duri.[4] Penggemar durian menyukai kultivar tertentu, menaikkan harganya di pasaran.[9]

Kultivar berbeza biasanya memiliki warna berbeza. D101 (kanan) memilik isi kuning lemak, jelas lain dengan kultivar yang di kiri

Terdapat banyak klon durian, kesemuanya mempunyai nama bermula dengan "D" dan diikuti dengan nombor. Sebagai contoh, sebahagian klon popular adalah D24, D99 (Kop Kecil), D158 (Kan Yao), D159 (Mon Thong) dan D197 (Raja Kunyit). Nombor D diberikan untuk membezakan mereka daripada "piawaian" jenis liar. Setiap kultivar memiliki rasa dan bau berlainan.

Lebih 200 kultivar D. zibethinus wujud di Thailand. Mon Thong paling dicari secara komersil disebabkan isinya yang sederhana manis dan penuh berkrim dengan bau yang tidak begitu kuat dan biji kecil. Manakala Chanee yang terbaik daripada segi tahan jangkitan oleh Phytophthora palmivora. Selain dua kultivar ini, Kan Yao, Ruang dan Kradum juga ditanam secara komersil skala besar.[10] Di Malaysia pula, terdapat sekurang-kurangnya 199 klon durian yang telah didaftarkan[11][12] dan banyak kultivar baik dikenalpasti melalui pertandingan tahunan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA). Di Vietnam, proses sama turut dilakukan melalui pertandingan anjuran Institut Penyelidikan Buah Selatan. Varieti popular kini ialah D24 dan D101.[13]

Sehingga 2007, Songpol Somsri, seorang ahli sains kerajaan Thai, telah mengacuk lebih 90 klon durian bagi mencipta Chantaburi No. 1, suatu kultivar tanpa bau cirinya.[14] Satu hibrid lain, Chantaburi No. 3, mengeluarkan bau lebih kurang tiga hari selepas dipetik, membolehkan penghantaran tanpa bau dan pada masa sama memuaskan penggemar yang sukakan bau sengit itu.[14] Pada 22 Mei 2012, dua lagi kultivar tanpa bau dari Thailand, Longlaplae dan Linlaplae, ditunjukkan kepada umum oleh Yothin Samutkhiri, gabenor wilayah Uttaradit di mana kultivar ini dibangunkan.[15]

Ada satu klon durian yang memang tidak berduri semula jadi. Klon tersebut ialah D172. Ia didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada 17 Jun 1989. Durian ini diberi nama "Durian Botak". Berasal dari Muar, Johor.[16]

Taburan [sunting]

Gerai durian di Singapura
Durian dijual berhampiran Cirebon, Indonesia

Durian berasal dari Brunei, Malaysia dan Indonesia,[4] meskipun ia boleh tumbuh dalam sebarang cuaca yang serupa. Ia merupakan pohon tropika dan berhenti membesar apabila suhu harian purata jatuh ke bawah 22 °C (72 °F).[5]

Pusat kepelbagaian ekosistem untuk durian adalah kepulauan Borneo, di mana banyak buah spesies Durio seperti D. zibethinus, D. dulcis, D. graveolens, D. kutejensis, D. oxleyanus dan D. testudinarum dijual di pasar tempatan. Di Brunei, D. zibethinus tidak ditanam kerana pelanggan lebih menyukai spesies lain seperti D. graveolens, D. kutejensis dan D. oxleyanus. Bersama dengan spesies lain seperti D. testudinarum dan D. dulcis, kepelbagaian ini mewakili kepelbagaian genetik yang kaya.[17]

Walaupun durian tidak berasal dari Thailand, negara itu adalah pengeksport penting durian, menanam 781,000 tan (769,000 LT; 861,000 ST) daripada 1,400,000 tan (1,400,000 LT; 1,500,000 ST) hasil dunia pada 1999, yang mana 111,000 tan (109,000 LT; 122,000 ST) daripadanya dieksport ke Taiwan, Hong Kong, Malaysia, Singapura dan Kanada.[10][18] Ini diikuti Malaysia dan Indonesia, kedua-duanya menghasilkan sekitar 265,000 tan (261,000 LT; 292,000 ST). Pada 1999, 35,000 tan (34,000 LT; 39,000 ST) hasil Malaysia dieksport.[18] Chanthaburi di Thailand setiap tahun mengadakan Pesta Durian Sedunia pada awal Mei. Wilayah ini bertanggungjawab mengeluarkan separuh hasil durian Thailand.[19][20] Di Filipina, pusat pengeluaran durian adalah di Daerah Davao di kepulauan Mindanao. Pesta Kadayawan merupakan perayaan tahunan menonjolkan durian di Bandar Davao. Tempat yang lain di mana durian ditanam termasuk Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar, India, Sri Lanka, Caribbean, Florida, Hawaii, Papua New Guinea, Polinesia, Madagaskar, selatan China (pulau Hainan), utara Australia (Queensland) dan Singapura.

Durian dijual dalam beg jaring dalam penyejuk beku di pasar California

Durian diperkenalkan ke Australia pada awal 1960-an dan bahan klon diperkenalkan pada 1975. Lebih 30 klon D. zibethinus dan enam spesies Durio telah sampai ke Australia.[21] China merupakan pengimport utama, membeli 65,000 tan (64,000 LT; 72,000 ST) pada 1999, diikuti Singapurs dengan 40,000 tan (39,000 LT; 44,000 ST) dan Taiwan dengan 5,000 tan (4,900 LT; 5,500 ST). Pada tahun yang sama, Amerika Syarikat mengimport 2,000 tan (2,000 LT; 2,200 ST), kebanyakannya beku, manakala Komuniti Eropah mengimport 500 tan (490 LT; 550 ST).[18]

Isi durian dipaket untuk jualan, dengan biji terdedah

Durian merupakan tumbuhan bermusim. Di Semenanjung Malaysia dan Singapura, musim durian lazimnya ialah dari April hingga September mengikut tempat, yang berbetulan dengan musim manggis.[22] Harga durian boleh dikatakan mahal berbanding buah lain. Sebagai contoh, di Singapura, permintaan besar kultivar kualiti tinggi seperti D24, Sultan, dan Mao Shan Wang menyebabkan harga jualan antara S$8 hingga S$15 (RM19 hingga RM$35) per kilogram.[9] Dengan berat purata 1.5 kilogram (3.3 lb), kos sebiji durian ialah antara S$12 hingga S$22 (RM28 hingga US$51).[9] Bahagian yang boleh dimakan, dipanggil aril atau "isi", hanya sekadar 15-30% jisim buah tersebut.[23] Ramai pelanggan di Singapura bagaimanapun sanggup berbelanja sehingga S$75 (RM175) untuk sekitar enam biji bagi dikongsi bersama keluarga.[9]

Durian ketika musimnya boleh ditemui di pasar raya utama Jepun, manakala di dunia Barat, durian terdapat di sesetengah pasar raya bagi memenuhi kehendak masyarakat Asia Timur.

Pembiakan [sunting]

Pendebungaan durian bergantung kepada kelawar, Eonycleris spelaed yang menghisap madu bunga durian. Pada waktu lain, kelawar ini menghisap madu pokok bakau Sonneratia dan petai.

Tegahan [sunting]

Dilarang membawa durian di MRT.

Oleh kerana buah durian berbau busuk bagi sesetengah orang, durian adalah dilarang untuk dibawa di dalam beg sandang di atas pesawat milik sebahagian syarikat penerbangan, dari di bawa di atas sistem pengangkutan transit awam Singapura, atau menyimpan atau makan durian di kebanyakan hotel.

Pemilihan [sunting]

Bagi setiap mereka yang selalu memakan durian mempunyai cara tersendiri untuk memilih buah terbaik dari timbunan durian. Kebanyakan kaedah ini disampaikan secara berbisik dengan perlahan dan setiap pembeli mempercayai kaedah pemilihannya dapat memastikan pemilihan buah terbaik. Pada masa lalu, kepakaran ini adalah penting. Durian merupakan buah bermusim yang dahulunya dituai sekali setahun. Pada masa kini, durian dituai sekitar dua kali setahun,\ dengan itu bekalan durian meningkat. Disebabkan peningkatan bekalan, penjual retail menjadi lebih bersaing dalam pendekatan mereka.

Memilih buah yang tepat amat penting apabila penjual menjual buah "seperti itu" tanpa dibuka. Masa kini adalah lumrah untuk penjual membuka buah dan menjual bahagian dalam boleh dimakan. Dengan sebegini, melihat bahagian boleh dimakan telah menjadikan teknik pemilihan kurang penting.

Pemilihan durian di ladang adalah mudah. Buah dari pohon yang sama secara umumnya mempunyai ciri-ciri yang serupa. Lazimnya buah di ladang masak dan jatuh dari pokok, jadi kemasakan buah bukanlah sesuatu pekara yang dibimbangkan.

Pemilihan buah dari luar satu ladang adalah lebih rumit. Berikut adalah sebahagian daripada kaedah pemilihan asas digunakan :

  1. Lazimnya kesegaran dari satu buah boleh dipastikan dari tangkainya. Apabila buah telah dialih dari pokok, tangkainya mulai kering. Pekedai yang tidak bermoral akan cuba untuk membalut atau mengecat tangkai untuk menghalang pengesanan mudah. Pekedai yang kurang pintar mungkin juga membuang tangkai durian.
  2. Kebanyakan peminat menggemari buah durian yang isinya kering dan matang. Satu jalan mudah untuk mengetahui samaada isi kering tanpa membuka buah adalah dengan menggoncangkan buah dan mengesan getaran kecil. Isi durian yang lembap melekat pada kulit buah. Isi durian yang kering cenderung untuk berpisah dari dinding buah. Seseorang mestilah berhati-hati agar tidak tercedera oleh duri buah durian ketika melakukan perkara ini.
  3. Durian mungkin diserang oleh perosak yang bertelur di dalam buah yang berkembang menjadi larva seperti ulat. Amat penting ketika membeli buah durian untuk mengelakkan membeli buah yang mempunyai sebarang lubang pada kulitnyanya kerana ini sering kali menunjukkan kemasukan "ulat" ke dalam buah.

Membuka [sunting]

Durian yang dibuka.

Dicadangkan bahawa mereka yang baru belajar membeli durian agar mendapatkan durian yang telah siap dibuka kerana membuka buah durian agak sukar. Lazimnya ia mudah untuk mencari kedai yang memberi perkhidmatan membungkus isi. Kebanyakan penjual akan membuka buah sebagai satu perkhidmatan apabila pembeli telah bersetuju membelinya. Ini berlaku walaupun jika mereka tidak membungkusnya ke dalam bentuk bungkusan yang lain. Bagaimanapun, buah durian yang dibuka perlu dimakan di dalam tempoh waktu beberapa jam sahaja kerana buah yang dibuka cenderung untuk "berpeluh ". Apabila isi telah mula untuk menghasilkan air, buah durian kehilangan rasanya dan tidak banyak gunanya.

Buah durian boleh dibuka dengan belajar secara berhati-hati belajar dan dengan menggunakan peralatan yang biasa terdapat. Pemeriksaan kulit luar buah akan mendedahkan "garis" sepanjang permukaan di mana duri durian tersusun dalam baris lurus disebalik duri yang kelihatan bertaburan secara rawak pada permukaan lain. Umumnya terdapat sehingga 5 garis sepanjang permukaan buah durian.

Bahagian tangkai durian sepatutnya diterbalikkan dan garisan urat sepatutnya tertumpu satu titik sekitar di bawah buah. Dengan perlahan jolok satu objek tajam ke dalam titik ini. Lazimnya benda seperti penebuk, penjuru pemotong daging ataupun pemulas skru adalah berguna. Kemudian gelongsor objek tajam sepanjang "garia" yang telah dikenal pasti sebelum ini. Ia adalah satu idea yang baik untuk mempunyai satu sarung tangan atau satu kain buruk yang tebal untuk memegang buah durian dengan sebelah tangan, sementara sebelah yang lain melakukan tugasan ini. Satu buah durian yang berputar mungkin kelihatan seperti satu perkara yang kelakar, tetapi tertusuk duri durian adalah risiko yang benar.

Apabila kulit buah durian telah pun terbuka kepada dua bahagian, isi di dalam boleh dimakan. Bahagian ruas selebihnya boleh ditolak dengan menggunakan tapak tangan untuk menolak pada bingkai kulit durian pada bahagian yang bertentangan. Ia boleh membantu untuk mengoyakkan hujung kulit durian sedikit pada sepanjang pusat titik tengah sebelum melakukan ini.

Ciri-ciri [sunting]

Stesen bayaran berbentuk durian.

Durian dianggap sebagai makanan panas dan sesiapa yang terlebih makan durian akan mendapati dirinya berpeluh dengan banyaknya sejurus selepas makan durian. Penawar tradisi ialah untuk minum air kosong dari pangsa kulit buah. Selain itu, musim durian lazimnya berlaku bersama dengan manggis yang dianggap sebagai mempunyai kesan penyejuk kepada badan. Oleh itu, kedua-dua buah-buahan ini lazimnya dimakan bersama.

Orang yang mempunyai penyakit tekanan darah tinggi, secara tradisinya dinasihati mengelakkan durian kerana ia dipercayai mempunyai kandungan yang berkhasiat yang boleh memberi tekanan pada badan.

Galeri [sunting]

Lihat juga [sunting]

Rujukan [sunting]

  1. "Durio L.". Germplasm Resources Information Network. USDA. 2007-03-12. http://www.ars-grin.gov/cgi-bin/npgs/html/genus.pl?4046. Capaian 2010-02-16. 
  2. "Angiosperm Phylogeny Website — Malvaceae". Missouri Botanical Garden. http://www.mobot.org/mobot/research/APweb/orders/malvalesweb.htm#Malvaceae. Capaian 9 Apr 2013. 
  3. Sobir (2010). Bertanam Durian Unggul. Jakarta: PT Niaga Swadaya. m/s. 7. ISBN 9790024444. http://books.google.com.my/books?id=Ljk36I8LD7oC. Capaian 9 April 2013. 
  4. 4.0 4.1 4.2 4.3 4.4 4.5 Brown, Michael J. (1997) (PDF). Durio — A Bibliographic Review. International Plant Genetic Resources Institute (IPGRI). ISBN 92-9043-318-3. http://www.bioversityinternational.org/fileadmin/bioversity/publications/pdfs/654.pdf. Capaian 2009-11-20. 
  5. 5.0 5.1 O'Gara, E., Guest, D. I. dan Hassan, N. M. (2004). "Botany and Production of Durian (Durio zibethinus) in Southeast Asia". In Drenth, A. dan Guest, D. I. (PDF). Diversity and management of Phytophthora in Southeast Asia. ACIAR Monograph No. 114. Australian Centre for International Agricultural Research (ACIAR). m/s. 180–186. ISBN 1 86320 405 9. http://aciar.gov.au/files/node/598/mn114-part1.pdf. Capaian 2009-11-20. 
  6. Brown, Michael J. (1997) (PDF). Durio — A Bibliographic Review. International Plant Genetic Resources Institute (IPGRI). m/s. 2. ISBN 92-9043-318-3. http://www.bioversityinternational.org/fileadmin/bioversity/publications/pdfs/654.pdf. Capaian 2011-06-12.  Lihat juga m/s. 5–6 sama ada Linnaeus atau Murray merupakan pakar yang benar bagi nama binomialnya
  7. Whitten, Tony (2001). The Ecology of Sumatra. Periplus. m/s. 329. ISBN 962-593-074-4. 
  8. Yumoto, Takakazu (2000). "Bird-pollination of Three Durio Species (Bombacaceae) in a Tropical Rainforest in Sarawak, Malaysia". American Journal of Botany (American Journal of Botany, Jil. 87, No. 8) 87 (8): 1181–1188. doi:10.2307/2656655. JSTOR 2656655. PMID 10948003. 
  9. 9.0 9.1 9.2 9.3 "ST Foodies Club — Durian King". The Straits Times. 2006. Diarkibkan dari yang asal on 2008-12-15. http://web.archive.org/web/20071215124752/http://www.stomp.com.sg/stfoodiesclub/taste/03/index.html. Capaian 2008-07-25. 
  10. 10.0 10.1 (Thai) "Durian Exporting Strategy, National Durian Database (กลยุทธการส่งออกทุเรียน)". Jabatan Pertanian, Thailand. Diarkibkan dari yang asal on 2010-07-26. http://it.doa.go.th/durian/detail.php?id=164&PHPSESSID=0a7dd4c12222a10cdbd00d70796cec00. Capaian 2010-07-26. 
  11. "Comprehensive List of Durian Clones Registered by the Agriculture Department (of Malaysia)". Durian OnLine. Diarkibkan dari yang asal on 2008-11-20. http://web.archive.org/web/20070407225917/http://www.ecst.csuchico.edu/~durian/info/vk_duri.htm. Capaian 2006-03-05. 
  12. Zawawi, J. dan M.K. Zulkiflee. 2008. Klon durian terpilih Malaysia. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia. ISBN 978-9-8948-0828-9.
  13. Teo Wan Gek. "Durian lovers head north on day tours", 2009-06-23. Dicapai pada 2009-09-19. 
  14. 14.0 14.1 Fuller, Thomas. "Fans Sour on Sweeter Version of Asia's Smelliest Fruit", New York Times, 2007-04-08. Dicapai pada 2008-11-20. 
  15. Odourless durians to hit the market The Nation
  16. Boosting Durian Productivity m/s. 20. RIRDC. 2009.
  17. M.B. Osman, Z.A. Mohamed, S. Idris dan R. Aman (1995). Tropical fruit production and genetic resources in Southeast Asia: Identifying the priority fruit species. International Plant Genetic Resources Institute (IPGRI). ISBN 92-9043-249-7. http://www.ipgri.cgiar.org/Publications/HTMLPublications/655/ch08.htm. Capaian 20012-11-20. 
  18. 18.0 18.1 18.2 "Committee on Commodity Problems — VI. Overview of Minor Tropical Fruits". FAO. Disember 2001. http://www.fao.org/DOCREP/MEETING/004/Y1982E.HTM. Capaian 2009-11-20. 
  19. "World Durian Festival 2005". Thailand News — Thailand official news and information. Foreign Office, The Government Public Relations Department. 2005-06-05. http://thailand.prd.go.th/view_inside.php?id=715. Capaian 2012-11-20. 
  20. "Thailand's Durian growing areas". Food Market Exchange. 2003. http://www.foodmarketexchange.com/datacenter/product/fruit/durian/details/durain_02_grow.html. Capaian 2012-11-20. 
  21. Watson, B. J (1983). "Durian". Fact Sheet No. 6.: Rare Fruits Council of Australia. 
  22. "Durian". Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang. 2013. http://jpn.penang.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=64%3Adurian&catid=23%3Abuah-buahan&Itemid=54&lang=ms. Capaian 10 April 2013. 
  23. Brown, Michael J. (1997) (PDF). Durio — A Bibliographic Review. International Plant Genetic Resources Institute (IPGRI), m/s. 35. ISBN 92-9043-318-3. http://www.bioversityinternational.org/fileadmin/bioversity/publications/pdfs/654_Durio.pdf?cache=1364804737. Capaian 2013-04-10. 

Pautan luar [sunting]