Pergi ke kandungan

Agama Wetu Telu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wetu Telu (Tiga Kehidupan) adalah sebuah agama yang hanya didapati di Lombok, Indonesia dan hanya berkhusus di bahagian utara di wilayah Bayan. Ia merupakan sebuah adaptasi agama Islam yang dicampuraduk dengan kepercayaan animisme dan Hindu Bali. Salah satu kepercayaan mereka adalah pemujaan kaum leluhur atau ancestor worship. Amalan Islam mereka berlainan daripada yang ortodoks seperti bersembahyang tiga kali sehari dan tidak lima kali sehari, dan berpuasa pada bulan Ramadhan selama tiga hari. Perayaan paling penting dalam kalendar Wetu Telu adalah Maulidur Rasul.

Tempat ibadah mereka dikenali sebagai masjid adat dan berbeda dengan masjid yang lain kerana ia hanya digunakan tiga kali setahun: sempena Aidilfitri, Aidiladha dan Maulidur Rasul. Mereka juga tidak bersembahyang di masjid kerana mereka percaya bahawa sembahyang yang dilakukan oleh ketua agama mereka yang dipanggil pemangku adat sudah memadai. Amalan mereka yang lain termasuk mengambil bahagian dalam upacara Nyiu yang berlangsung 1000 hari setelah meninggalnya seorang kaum keluarga. Dalam upacara ini mereka akan menyembahkan barang-barang keperluan seperti pakaian, berus gigi, makanan dan tilam supaya rohnya akan lebih bahagia di syurga. Walaupun amalan dan kepercayaan mereka bercanggah dari ajaran Islam yang sebenar, mereka masih menganggap diri mereka sebagai Muslim.

Gunung Rinjani, sebuah gunung berapi yang terdapat di Lombok, dipercayai merupakan tempat kediaman Tuhan dan leluhur mereka. Kuil Pura Lingsar di tengah Lombok memiliki keistimewaan yang unik kerana ia merupakan tempat ibadah penganut Hindu Bali dan Wetu Telu. Di Bayan terdapat sebuah masjid adat yang paling tua dan juga merupakan pusat agama Wetu Telu.