Azhar Abdul Hamid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Datuk Azhar Abdul Hamid adalah mantan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia bagi membina landasan kereta api bersepadu antara Sungai Buloh dengan Kajang. Beliau pernah menjadi Pengerusi Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA).[1]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Azhar seorang akauntan profesional dan berdaftar dengan Institut Perakaunan Malaysia. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pengurus Audit Dalaman dengan British Telecom di England pada tahun 1989.

Sekembalinya ke negara ini, beliau dilantik sebagai Ketua Kewangan, MCIS Insurance Bhd. Pada Mac 1992 sebelum menyertai Sime Darby Bhd. Dua tahun kemudian selaku Pengurus Kewangan Sime Tyres International dan akhirnya menjadi Pengawal Kewangan, Projet Malaysia Sdn. Bhd, ahli Sime Darby.

Pada tahun 1999, beliau telah dinamakan sebagai Pengarah Pembangunan Korporat Projet Malaysia dan pada Januari 2000, Azhar dilantik sebagai Pengurus Besar Kumpulan, Bahagian Minyak dan Gas, Rantau Malaysia, Sime Darby.

Ketika memegang jawatan kanan itu, Azhar bertanggungjawab mengurus dan mengetuai sekumpulan syarikat yang terdiri daripada Sime Engineering, Sime Sembcorp Engineering, Sime Conoco Energy, Sime Darby Petroleum dan Projet Malaysia.[2]

CEO MRT Corp[sunting | sunting sumber]

Azhar dilantik Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp pada 1 September 2011 berikutan keputusan kerajaan menubuhkan syarikat mengambil alih pemilikan dan pembangunan Projek MRT Lembah Klang daripada Syarikat Prasarana Malaysia Bhd. Pelantikan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.[3] MRT Co akan menjadi pemilik projek dan aset kepada projek My Rapid Transit Lembah Klang (KVMRT), berkuat kuasa 1 September 2011.[4]

Semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Azhar memperkenalkan konsep perjanjian bersama dengan pemilik tanah yang terjejas oleh Projek MRT.Perjanjian bersama yang ditandatangani dengan pemilik tanah membenarkan tanah itu untuk tidak diambil secara wajib oleh kerajaan bagi projek itu dan membolehkan tanah persendirian wujud bersama-sama dengan penjajaran MRT.

Pemilikan tanah itu membuka jalan bagi meneruskan Projek MRT , langkah itu juga mengurangkan jumlah pampasan yang akan dibayar kerajaan dalam memperolehi tanah itu sebanyak kira-kira RM1.5 bilion.Azhar juga sentiasa menekankan keperluan untuk meningkatkan keselamatan dalam industri pembinaan dan secara peribadi berusaha membina mekanisme untuk mencapai matlamat ini.

Beliau mewujudkan Sistem Penilaian Prestasi Kontraktor di mana keselamatan, kesihatan dan alam sekitar merupakan salah satu perkara dinilai pada kontraktor manakala mereka yang melanggar prosedur keselamatan akan disenaraihitamkan.

Letak jawatan ekoran jambatan MRT runtuh[sunting | sunting sumber]

Pada 19 Ogos 2014 Azhar Abdul Hamid mengumumkan peletakan jawatannya selepas konkrit landasan MRT jatuh, mengorbankan tiga pekerja. Keputusannya meletak jawatan sejajar MRT Corp mengambil penuh tanggungjawab atas apa yang berlaku. Saya memaklumkan kepada pengerusi MRT Corp, Tan Sri Dr Ali Hamsa tentang keputusan itu.

Tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh maut selepas dihempap landasan konkrit seberat 300 tan di tapak projek MRT berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Kota Damansara pada 8.30 malam. Mayat Mohammad Elahi Hossain, Mohamad Faruk Khan dan Mohammad Alauddin Mollik ditemui dan dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dalam Twitter meluahkan rasa terkejut dengan insiden itu dan mahu siasatan penuh dijalankan segera.[5]

Pengarah Pihak-Pihak Berkepentingan dan Pengurusan Tanah, Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp.), Haris Fadzilah Hassan disebut-sebut sebagai pengganti.[6]

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng menyarankan pemimpin kerajaan mencontohi tindakan Azhar Abdul Hamid meletakkan jawatan. [7]

Dilantik sebagai Pengerusi FGV[sunting | sunting sumber]

Pada 8 September 2017, beliau dilantik sebagai Pengerusi FGV Holding Berhad menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang dikaitkan dengan skandal rasuah FGV. Tan Sri Mohd Isa juga telah dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia pada bulan Julai 2017.

Rujukan[sunting | sunting sumber]