Balingian

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Daerah kecil Balingian adalah salah satu kawasan dalam bahagian Mukah. Balingian mendapat namanya dari sebatang sungai yang merentasi kawasan tersebut. Sungai tersebut pernah digunakan oleh penduduk Balingian untuk turun ke sawah kering (huma). Daerah kecil Balingian juga terkenal dengan udang sungainya dan menjadi tarikan kaki pemancing.[1]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Daerah kecil Balingian mempunyai keluasan berukuran 3,032 km persegi dan berada dalam kawasan pedalaman.[1] Kawasan Balingian terletak di antara daerah Mukah dan bandar Bintulu. Perjalanan melalui darat dari Balingian ke Mukah mengambil masa lebih kurang 1 jam. Perjalanan ke Sibu pula mengambil masa tiga jam. Balingian juga boleh dihubungi melaui laut dari Bintulu dan Tatau.[1] Terdapat juga jalan persisiran yang menghubungi Balingian ke Kuala Balingian dan Tatau.[2]

Demografi[sunting | sunting sumber]

Bilangan penduduk dalam kawasan ini berjumlah 15,327 orang (tahun 2002) dan kebanyakannya terdiri daripada Iban (68.3%) dan Melanau (29.49%). Penduduk di sini tinggal dalam 6 buah kampung dan 137 buah rumah panjang pada tahun 2002.[2]

Politik dan pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Kecenderungan politik kawasan Balingian sentiasa memihak kepada parti campuran Barisan Nasional. YAB Datuk Patinggi (Dr) Hj Abdul Taib Mahmud merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Balingian sejak tahun 2001. Beliau juga adalah ketua menteri Sarawak yang ke-4. Dato' Sri Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah merupakan ahli parlimen bagi kawasan Mukah, yang mana Balingian merupakan salah satu kawasan DUN dalam kawasan parlimen tersebut. Beliau dilantik menjadi Menteri Pelancongan Malaysia dari tahun 2004 hingga tahun 2006.

Daerah kecil Balingian ditadbir oleh seorang Pegawai Pentadbir Sarawak (SAO) serta 3 orang Penghulu. Kawasan pentadbiran Balingian meliputi Kuala Balingian (Sungai Sedupai) sampai ke hulu Sungai Arip, Sungai Bawan dan Sungai Bawang Assan.[2]

Kegiatan ekonomi[sunting | sunting sumber]

Penduduk Pekan Balingian kebanyakannya mengusahakan pintu kedai dan pasar tamu. Pasar tamu diadakan setiap minggu untuk menjual barang keperluan dan hasil pertanian kepada penduduk setempat. Penubuhan Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) telah mewujudkan pasar baru, jalanraya pesisiran dan ladang kelapa sawit untuk membolehkan penduduk tempatan menceburkan diri dalam pelbagai ekonomi tempatan. Ladang kelapa sawit oleh Sarawak Oil-palm Plantation (SOP) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) telah menambahkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Kegiatan ekonomi lain yang dijalankan dalam daerah kecil Balingian termasuk penanaman rumbia, padi, dan kelapa, penternakan ayam dan pengusahaan ikan secara kecil-kecilan. Sebilangan penduduk juga bekerja sebagai pembalak.[1][2] Kawasan Mukah-Balingian mempunyai simpanan arang batu yang terbesar di Sarawak iaitu sebanyak 551 juta tan metrik dan perlombongan sedang dijalankan.[3]

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Stadium mini Balingian mampu menampung 400 hingga 500 penonton. Tempat ini sering digunakan untuk acara sukan dan perayaan. Bekalan air, elektrik, dan kemudahan telekomunikasi juga disediakan. Kemudahan jalan antara kampung-kampung, daerah, dan daerah kecil lain seperti Dalat, Oya, Igan, dan Matu telah dibina dan dinaiktaraf supaya penduduk setempat dapat menikmati keselesaan dengan penggunaan jalan raya tersebut. Perkhidmatan bas, kereta sewa, feri dan bot juga disediakan.[1][4] Daerah kecil ini juga disediakan kemudahan lain seperti masjid, pasar dan deretan kedai. Bangunan kerajaan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Malaysia, Telekom Berhad, dan flat kediaman untuk agensi kerajaan juga dibina dalam kawasan ini.[1]

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Parish, Sekolah Rendah Bantuan (SRB) Chung Hua, Tadika Perpaduan, Tadika Sedidik, dan Taman Perpaduan memberi peluang pendidikan kepada anak-anak penduduk tempatan.[1]

Perkhidmatan kesihatan[sunting | sunting sumber]

Klinik Kesihatan Balingian telah ditubuhkan pada tahun 1989. Klinik ini juga dipilih untuk melaksanakan projek Teleprimary Care (TPC) yang membolehkan pesakit dirawat melalui sistem pandang dengar tanpa perlu dihantar ke hospital bandar.[2] Klinik Desa juga telah ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan rawatan kepada penduduk tempatan.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 1.2 1.3 1.4 1.5 1.6 1.7 "Daerah Kecil Balingian". Rakan Sarawak. September 2002. Dicapai pada 4 Ogos 2010. 
  2. 2.0 2.1 2.2 2.3 2.4 "Klinik Kesihatan Balingian Sarawak". Klinik Kesihatan Balingian. Dicapai pada 4 Ogos 2010. 
  3. "Sarawak kaya dengan arang batu". Harian Metro. 2 Mei 2004. Dicapai pada 4 Ogos 2010. 
  4. "Teras Perkukuh Pembangunan Bahagian Mukah (muka surat 6)" (PDF). Rakan Sarawak. Julai 2007. Dicapai pada 4 Ogos 2010.