Balisong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sebilah balisong yang dibuka serta tertutup.

Balisong ialah sejenis pisau lipat yang berasal dari Filipina. Ciri pisau ini ialah dua batang tempat pegangan yang berputar berlawanan di sekitar puting sehingga apabila ditutup, bilah dapat disembunyikan di dalam alur di pegangan. Suatu selak memegang pegangan bersama, biasanya dipasang pada yang menghadap ke tepi pemotong.[1]

balisong lazim digunakan oleh orang Filipina, terutama yang berada di wilayah Tagalog, sebagai alat bela diri serta utiliti. balisong berongga juga digunakan sebagai pisau cukur lurus sebelum pisau cukur konvensional tersedia di Filipina. Bagi pengguna terlatih, pisau ini boleh dibawa dengan cepat menggunakan satu tangan. Pisau ini juga digunakan dalam pertunjukan seni atau hiburan. Versi pisau tumpul "pelatih" ini tersedia dan boleh digunakan untuk melakukan gaya-gaya tanpa risiko kecederaan.

Pisau itu kini diharamkan di sebilangan negara, selalunya di bawah undang-undang yang sama dan dengan alasan yang sama bahawa pisau lipat atau senjata tersembunyi adalah dilarang. Di Filipina, ia tidak lagi biasa digunakan di kawasan bandar seperti di masa lalu.[2]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Asal-usul pisau ini adalah tidak jelas. Sejarah lisan mendakwa bahawa balisong pertama kali diciptakan di Filipina pada sekitar 800 Masihi. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti dokumentasi atau arkeologi yang menyokongnya. Pengeluaran besar-besaran balisong di Filipina hanya dapat dibuktikan bermula pada awal 1900-an. Dakwaan lain ialah balisong pada awalnya merupakan penyesuaian alat pengukur Perancis yang disebut pied du roi ("kaki raja") yang diciptakan antara 1500-an hingga akhir 1700-an. Namun begitu, cara alat ini diperkenalkan ke Filipina adalah tidak diketahui. Terdapat teori bahawa pisau ini mungkin diperkenalkan oleh pelaut Empayar Sepanyol yang kemudian bersekutu dengan Perancis.[3][4]

Terdapat beberapa etimologi bagi nama "balisong". Satu teori mengatakan bahawa balisong pada asalnya ialah nama sebuah barangay di Taal, Batangas. Barangay itu, bersama-sama barangay jiran Pandayan dikatakan sebagai salah satu pusat-pusat pertukangan besi utama Filipina, dan juga menghasilkan pisau-pisau lain seperti pisau bolo.[5][6][7] Satu lagi pendapat mengatakan bahawa perkataan balisong merupakan paduan daripada dua perkataan Tagalog bali (patah) dan sungay (tanduk), berdasarkan dakwaan bahawa pisau ini pada awalnya diperbuat daripada tanduk-tanduk haiwan.[8]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Balisong and Butterfly knife tricks and techniques for beginners". KnifeDude (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-10-25. Dicapai pada 2019-10-25.
  2. ^ "legal possession". www.butterflyknifebutterflyknife.com. Dicapai pada 2019-10-25.
  3. ^ Brown, Trevor (22 Oktober 2018). "Butterfly Knife History". Blade Magazine. Dicapai pada 7 Januari 2019.
  4. ^ Morel, Guillaume. "Between myth & reality". Balisong.net. Dicapai pada 7 Januari 2019.
  5. ^ Rivera, D. J. (August 27, 2017). "BATANGAS | Balisong: Few Things About this Famous Knife from Taal". Pinoy Travelogue | A Philippine travel blog by DJ Rivera. Dicapai pada 2019-10-25.
  6. ^ 'The Making of the Batangas (Balisong) Knife' by Dr Jopet Laraya
  7. ^ "Balisong". Taal Heritage Town. Diarkibkan daripada yang asal pada April 13, 2019.
  8. ^ Imada, Jeff (1984), The Balisong Manual, California: Unique Publications, m/s. 130, ISBN 0-86568-102-3

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • Kategori berkenaan Balisong di Wikimedia Commons