Bantuan:Pengenalan perujukan/Sumber dipercayai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Rencana Wikipedia memerlukan sumber dipercayai dan diterbitkan yang menyokong secara terus maklumat yang terdapat dalam rencana. Kini, anda tahu cara menambah sumber ke dalam rencana, tetapi sumber apa yang patut anda pakai?

"Sumber" dalam Wikipedia ada tiga maksud: bahan karya itu sendiri (cth. dokumen, rencana, penulisan atau buku), pengkarya (cth. penulis), dan penerbit karya (cth. Dewan Bahasa dan Pustaka). Semua faktor ini dapat memberi kesan terhadap kebolehpercayaan sumber.

Abstract graphic depicting referencing

Sumber yang dipercayai merujuk kepada sumber dengan semakan kesahihan dan ketepatan yang baik. Sumber-sumber ini biasanya memiliki proses editorial tegas yang melibatkan semakan karya oleh pelbagai pihak sebelum diterbitkan. Sumber-sumber dengan darjat kebolehpercayaan tertinggi ialah bahan akademik dengan semakan bersama. Sumber-sumber sebegini yang lain termasuk buku teks universiti, buku terbitan syarikat penerbit dengan reputasi baik, majalah, jurnal, dan laporan berita (bukan pendapat) dari akhbar arus perdana.

Media terbitan sendiri, di mana penulis dan penerbit merupakan orang sama lazimnya tidak diterima sebagai sumber. Ini termasuk suratan berita, laman peribadi, sidang media, paten, wiki terbuka, blog peribadi atau kumpulan dan tulisan media sosial. Walau bagaimanapun, jika satu-satu penulis ialah seorang pakar berkelayakan dengan rekod terbitan pihak ketiga dalam satu-satu topik, karya swaterbitan mereka mungkin dapat disifatkan sebagai boleh dipercayai bagi topik tersebut.

Kebolehpercayaan sumber juga bergantung kepada konteks. Bahan yang boleh dipercayai dalam satu hal mungkin tidak boleh digunakan dalam keadaan lain. Sebagai contoh, bahan terbitan sendiri yang biasanya tidak boleh digunakan sebenarnya boleh dipakai bagi menyokong maklumat tak berkontroversi tentang diri mereka. Anda sebaiknya cuba untuk menggunakan bahan yang terbaik, terutamanya ketika menulis tentang orang yang masih hidup.

Ini ialah garis panduan dasar, tetapi perihal sumber dipercayai adalah rumit, dan mustahil untuk dihuraikan secara penuh di sini. Anda boleh melihat Wikipedia:Pengesahan dan Wikipedia:Sumber yang boleh dipercayai bagi maklumat lanjut.