Barisan Pembebasan Kebangsaan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bendera Barisan Pembebasan Kebangsaan (NLF)
Askar Barisan Pembebasan Kebangsaan

Barisan Pembebasan Kebangsaan adalah parti yang mengawal dan mengarahkan kumpulan pejuang Viet cong di Vietnam Selatan.

Barisan Pembebasan Kebangsaan ditubuhkan pada 20 Disember 1960, dan menjadi penentang utama Kerajaan Kolonial Perancis dan seterusnya Kerajaan Vietnam Selatan dan sekutunya Amerika Syarikat semasa Perang Vietnam. Nama penuh pergerakan ini adalah Barisan Pembebasan Kebangsaan Vietnam Selatan dan dalam Bahasa Vietnam ia dipanggil Mặt Trận Dân Tộc Giải Phóng Miền. Sayap bersenjata pergerakan ini dikenali sebagai Pasukan Bersenjata Pembebasan Rakyat (People's Liberation Armed Forces) yang lebih dikenali sebagai (Viet Cong).

Barisan Pembebasan Kebangsaan adalah serpihan daripada Viet Minh yang berpusat di Vietnam Utara. Apabila Viet Cong mula memerangi kerajaan Vietnam Selatan secara terbuka, infrastruktur yang diwujudkan oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan sudah bertapak selama 20 tahun dan sudah kukuh dan meluas. Organisasinya begitu teratur sehingga Barisan Pembebasan Kebangsaan mempunyai sistem pungutan cukai.

Barisan Pembebasan Kebangsaan terdiri daripada dua kumpulan berbeza (i) para intelek Vietnam Selatan, seperti Truong Nhu Tang, yang menentang kerajaan pimpinan Ngo Dinh Diem dan (ii) anasir Komunis seperti Nguyen Thi Binh, yang terus tinggal di Vietnam Selatan selepas pembahagian Vietnam dan penghijrahan beramai-ramai tahun 1954.

Perjuangan Barisan Pembebasan Kebangsaan

Barisan Pembebasan Kebangsaan pada amnya bebas dari pengaruh Vietnam Utara, tetapi pada hakikatnya terikat secara ideologi dengan Vietnam Utara. Pada masa penubuhannya, bukan semua anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan berfahaman komunis. Tetapi dengan peredaran masa dan dengan penyusupan anggota dari Vietnam Utara, akhirnya Barisan Pembebasan Kebangsaan menjadi sinonim dengan faham komunis. Taktik biasa perjuangan gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan adalah untuk menubuhkan kawasan-kawasan yang dibebaskan (liberated zones) di Vietnam Selatan dan mengakibatkan Tentera Vietnam Selatan (ARVN) memindahkan penduduk di kawasan tersebut ke perkampungan baru. Ini membolehkan viet Cong mempunyai agen dan anasir di dalam kawasan-kawasan selamat.

Tentera Amerika Syarikat mengadu bahawa Barisan Pembebasan Kebangsaan dan anasir-anasirnya memperdayakan penguasa dengan menyamar sebagai orang awam, menyukarkan tentera membezakan orang awam dengan pejuang Viet Cong. Semasa Perang Vietnam, Amerika Syarikat melayan tawanan Viet Cong sebagai tawanan perang di bawah Konvensyen Geneva 1949.

Serangan Tet 1968

Semasa perayaan Tet tahun 1968, Barisan Pembebasan Kebangsaan mengarahkan kumpulan Viet Cong mencabul gencatan senjata dan membuat serangan besar-besaran. Bangunan Kedutaan Amerika di Saigon ditawan dan pada peringkat awal, Viet Cong seperti mampu melancarkan serangan sewenang-wenangnya di merata tempat. Serangan Tet menjadi kejutan besar kepada rakyat Amerika yang sudah lazim dengan penilaian optimistic oleh Jeneral William Westmoreland. Selepas berakhirnya Serangan Tet, Westmoreland mengatakan Viet Cong telah kalah teruk dan hanya mencapai kejayaan psikologi semata-mata. Tetapi sebenarnya Serangan Tet berjaya memaksa Amerika mencari penyelesaian Vietnam melalui rundingan damai.

Walaupun pasukan utama Viet Cong mengalami kerugian jiwa yang besar semasa Serangan Tet, kesan ke atas Barisan Pembebasan Kebangsaan sukar dinilaikan. Yang pasti, lebih ramai wakil dari Vietnam Utara menyertai kepimpinan Barisan Pembebasan Kebangsaan selepas Serangan Tet. Barisan Pembebasan Kebangsaan berjaya menunjukkan pada mata dunia betapa ia mampu memalukan Tentera Amerika. Walter Cronkite umpamanya mengatakan bahawa Amerika Syarikat tiada harapan lagi untuk menang di Vietnam pada 27 Februari 1968 berkata Amerika Syarikat menemui jalan buntu di Vietnam. Presiden Johnson dan Presiden Nixon terpaksa mengambil jalan keluar melalui jalan rundingan dan proses Vietnamisasi. Serangan Tet juga menunjukkan betapa tidak berkesannya aktiviti risikan Tentera Amerika kerana tidak dapat meramalkan satu serangan yang dilancarkan secara meluas.

Kerajaan Revolusi Sementara

Dalam tahun 1969, Barisan Pembebasan Kebangsaan menubuhkan Kerajaan Revolusi Sementara. Semasa penubuhan kerajaan sementara ini, pengaruh bukan komunis dalam Barisan Pembebasan Kebangsaan sudah dihapuskan. Selepas pasukan Vietnam selatan ditewaskan dalam tahun 1975, Kerajaan Revolusi Sementara mengambil kuasa di Vietnam Selatan, tetapi tidak kekal. Kerajaan tersebut dengan pantas mengusulkan penyatuan dengan Vietnam Utara. Selepas Vietnam disatukan, Barisan Pembebasan Kebangsaan dibubarkan dan diserap ke dalam Parti Komunis Vietnam.