Geografi Vietnam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Peta topografi Vietnam.
Peta pengelasan iklim Köppen bagi Vietnam.


Vietnam terletak di bahagian timur Semenanjung Indochina di antara latitud dan 24°U dan longitud 102° dan 110°T. Jumlah keluasannya kira-kira 331,210 km2 (127,881 bt2),[1] lebih kurang sama besar dengan Jerman. Jumlah kepanjangan sempadan daratnya ialah 4,639 km (2,883 mi), dan garis pantainya 3,444 km (2,140 mi).[1] Pada rentasan yang paling sempit di Wilayah Quảng Bình, lebarnya hanya 50 kilometre (31 mi), sementara rentasan yang paling lebar adalah 600 kilometre (370 mi) terletak di utara. Tanah Vietnam rata-rata berbukit-bukau dan berhutan tebal, dengan tanah rata tidak melebihi 20%. 40% keluasan negara adalah gunung-ganang sementara hutan tropika meliputi 42%.

Bahagian utara negara kebanyakannya terdiri daripada tanah tinggi dan Delta Sungai Merah. Phan Xi Păng yang terletak di Wilayah Lào Cai adalah gunung tertinggi Vietnam pada 3,143 m (10,312 ft). Vietnam Selatan terbahagi kepada tanah pamah pinggir laut, gunung-ganang Banjaran Annam, dan hutan merluas. Merangkumi lima bidang penara tanah basalt yang agak rata, tanah tinggi mengambil 16% tanah subur negara dan 22% daripada jumlah tanah berhutan. Tanih di kebanyakan Vietnam selatan agak kurang dari segi nutrien.

Delta Sungai Merah di Utara, sebuah kawasan pamah berbentuk segi tiga yang meliputi 15,000 km2 (5,792 bt2),[2] adalah kecil tetapi lebih pesat membangun dan padat penduduk daripada Delta Sungai Mekong di selatan. Dahulunya serokan Teluk Tonkin, ia sudah beralaf-alaf disumbat oleh mendapan aluvium dari sungai. Deltanya yang lebih kurang 40,000 km2 (15,444 bt2) merupakan dataran paras rendah yang tidak sesekali mencecah 3 meter (9.8 ft) atas paras sungai. Di situ berselang-selinya selirat sungai dan terusan yang membawa banyak endapan hingga deltanya mara 60 to 80 meter (196.9 to 262.5 ft) setahun ke dalam laut.


Iklim[sunting | sunting sumber]

Kampung Mai Châu di Vietnam Utara dengan iklim subtropika lembap.

Disebabkan perbezaan latitud dan kepelbagaian kontras topografi yang ketara, iklim Vietnam banyak berbeza dari tempat ke tempat. Pada musim sejuk atau kemarau iaitu lebih kurang dari November hinggq April, angin monsun yang cukup lembap biasanya bertiupan dari timur laut di sepanjang pesisir China dan merentasi Teluk Tonkin. Natijahnya, musim sejuk di kebanyakan wilayah hanya kering berbanding musim tengkujuh atau panas. Purata suhu tahunan pada amnya lebih tinggi di dataran daripada di gunung, malah tinggi di selatan daripada di utara. Suhu kurang berbagai-bagai di kawasan daratan selatan sekitar Bandaraya Ho Chi Minh dan Sungai Mekong, dengan julat dalam 21–28 °C (69.8–82.4 °F) sepanjang tahun. Variasi bermusim lebih ketara di kawasan gunung dan penara bahkan di utara, dengan suhu serendah 5 °C (41.0 °F) pada Disember dan Januari hingga setinggi 37 °C (98.6 °F) pada Julai dan Ogos.

Ekologi dan biodiversiti[sunting | sunting sumber]

Vietnam mempunyai dua buah Tapak Warisan Semula Jadi Dunia, iaitu Teluk Hạ Long dan Taman Negara Phong Nha-Kẻ Bàng; dan enam buah rizab biosfera, iaitu Hutan Bakau Cần Giờ, Cát Tiên, Cát Bà, Kiên Giang, Delta Sungai Merah, dan Nghệ An Barat.

Saola, antara mamalia paling jarang ditemui di dunia, berasal dari Vietnam.

Vietnam terletak di ekozon Indomalaya. Menurut Laporan Keadaan Semasa Alam Sekitar Negara 2005,[3] Vietnam salah satu daripada 25 buah negara yang dikira mempunyai tahap biodiversiti yang tinggi. Vietnam di tangga ke-16 sedunia dari segi kepelbagaian biologi dengan merumahkan kira-kira 16% daripada jumlah spesies dunia. Di negara telah dikenal pasti 15,986 spesies flora, 10% daripada endemik, sementara faunanya terdiri daripada 307 spesies nematod, 200 oligokaeta, 145 akarina, 113 springtail, 7,750 serangga, 260 reptilia, 120 amfibia, 840 burung 310 mamalia; 100 spesies burung dan 78 spesies mamalia adalah endemik.[3]

Selain itu, Vietnam juga menempatkan 1,438 spesies mikroalga air tawar, iaitu 9.6% daripada semua spesies mikroalga, di samping 794 spesies invertebrat akuatik dan 2,458 spesies ikan laut.[3] Baru-baru ini, 13 genus, 222 spesies, dan 30 takson telah baru dihuraikan di Vietnam.[3] Juga ditemui enam spesies mamalia baharu termasuk saola, kijang besar dan monyet hidung jungkit Tonkin, di samping satu spesies burung baharu, iaitu burung kuang Edwards yang terancam.[4] Pada akhir 1980-an, ditemui sebuah populasi kecil badak sumbu Jawa di Taman Negara Cát Tiên, tetapi dilaporkan bahawa individu terakhir bagi spesies tersebut di Vietnam ditembak pada 2010.[5]

Dari segi kepelbagaian genetik pertanian, Vietnam adalah salah satu daripada 12 pusat kultivar asli dunia. Tabung Gen Kultivar Negara Vietnam memelihara 12,300 kultivar bagi 115 spesies.[3] Kerajaan Vietnam membelanjakan AS$49.07 juta untuk pemuliharaan biodiversiti pada tahun 2004 sahaja, malah menubuhkan 126 pusat pemuliharaan, termasuk 28 buah taman negara.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan IndexMundi2011 tidak disediakan
  2. ^ "Agricultural advanced technologies in Red river delta, Viet Nam these days". Agroviet Newsletter. September 2005. Diarkibkan daripada original pada 21 February 2008. 
  3. ^ a b c d e f "Báo cáo Hiện trạng môi trường quốc gia 2005" (dalam bahasa Vietnamese). Diarkibkan daripada original pada 23 February 2009. 
  4. ^ "Edwards's Pheasant (Lophura edwardsi)". BirdLife International. Dicapai 1 September 2012. 
  5. ^ Kinver, Mark (25 October 2011). "Javan rhino 'now extinct in Vietnam'". BBC News. Dicapai 25 October 2011.