Hartal Tanah Melayu 1947

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hartal Tanah Melayu 1947 adalah suatu pemogokan dilakukan para pekerja buruh serata Tanah Melayu dan Singapura pada 20 Oktober 1947. Banyak kelompok penting yang terlibat mencetuskan mogok ini: Pusat Tenaga Rakyat (PUTRA) dan Majlis Bertindak Bersama Se-Malaysia (AMCJA) merupakan pihak utama dengan sokongan Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, Barisan Tani Se-Malaya dan Lembaga Persatuan Melayu Johor.

Faktor penyebab[sunting | sunting sumber]

Dengan tentangan hebat rakyat Tanah Melayu terhadap gagasan Malayan Union dilaksanakan pihak British yang dianggap mengurangkan kuasa sultan yang menandatangani secara tidak rela, pihak British mula menggubal suatu dasar pemerintahan gantian yakni pembentukan suatu persekutuan. Walau bagaimanapun, PUTERA dan AMCJA menganggap dasar persekutuan ini sebagai tidak sah kerana ia menurut mereka dibentuk secara sulit antara pihak British dan orang bangsawan Melayu tanpa melibatkan pendapat orang awam Malaya sendiri.[1]:32

Kedua-dua PUTERA dan AMCJA mula mengadakan suatu perjumpaan bersama membincangkan penggabungan kuasa dalam suatu pakatan politik pada 16 November 1946,[2] pakatan ini menjadi terbentuk pada Ogos 1947.[3]

Persediaan[sunting | sunting sumber]

Pada 6 Oktober 1947, suatu "Manifesto Hartal" mula disebarkan dua-dua pihak PUTERA dan AMCJA yang menyeru "semua yang menganggap Malaya sebagai tanah air sebenar mereka" agar mengadakan suatu tunjuk perasaan beramai-ramai menentang usulan yang bakal dibentangkan ini pada 20 haribulan sama.[1]:33-34 Suatu gerakan menghebahkan kegiatan ini mula dilaksanakan dengan tujuan meraih sokongan penduduk awam terhadap hartal ini demi meyakinkan pihak British tehadap tuntutan ingin dikemukakan mereka: "Arahan Hartal" (Hartal Instructions) diberikan mengarahkan apa yang bakal dilakukan para peserta hartal, "12 Slogan Hartal" yang mengemukakan sebab-sebab mereka memogok diberikan kepada media akhbar dan orang awam, "Jawatankuasa Hartal diadakan di setiap negeri menyelenggarakan kegiatan yang sewajar dan seiring dan "Kor Propaganda" ditubuhkan untuk mendidik warga-warga kampung dan daerah terhadap tuntutan mogok.[1]:33-34

Perkara ini mendapat perhatian pihak polis yang menyatakan tenaga kerja tambahan akan diturunkan pada tarikh dirancangkan untuk bertindak terhadap "sebarang pengancam". Tan Cheng Lock, ketua AMCJA membalas dengan mengadakan suatu sidang akhbar di mana beliau meminta semua yang terlibat dalam hartal ini agar duduk di kediaman masing-masing dari jam 6 pagi hingga tengah malam. Semua pekerja yang bertanggungjawab mengendalikan bekalan asas seperti air, elektrik, hospital dan bank dikecualikan atas tujuan keselamatan.[4]

Titik kejadian[sunting | sunting sumber]

Di Kuala Lumpur[sunting | sunting sumber]

Hampir semua restoran, kedai runcit dan pasar-pasar tutup melainkan beberapa perniagaan milik Eropah. Sekolah-sekolah Inggeris beroperasi seperti biasa, namun tidak di banyak sekolah-sekolah Cina di mana pelajar langsung tidak datang. Semua penggung-panggung wayang dan taman hiburan turut ditutup. Kelenggangan ini menjejaskan hampir semua akhbar utama yang tidak menerbitkan isu harian kecuali Majlis dan The Malay Mail.[5]

Di Pulau Pinang[sunting | sunting sumber]

Hampir semua perniagaan di George Town ditutup kecuali yang dimiliki para peniaga Mamak dan syarikat Eropah.[5] Namun, ada juga sebahagian perniagaan yang didapati beroperasi secara sembunyi di mana pelanggan memasuki dari pintu-pintu belakang.[6]

Di kawasan-kawasan lain Semenanjung[sunting | sunting sumber]

Keadaan berjalan seperti biasa di bandar Melaka, malah estet-estet luar bandar seperti Alor Gajah dan Jasin turut dilaporkan ada pekerjaan seperti biasa.[6] Di Seremban, semua peruncit tidak mengira kaum kekal tutup kerana takut diancam keselamatan diri, pengangkutan awam setempat berjalan seperti biasa.[6] Pusat bandar-bandar Batu Pahat dan Ipoh berjalan normal, Taiping pula sunyi menyepi.[6]

Di Singapura[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan catatan dari orang awam yang menyaksikan kejadian ini di Pusat Bandar, jalan-jalan diamati sunyi sepi dengan semua kedai runcit ditutup; semua pengangkutan awam turut tergendala henti dari jadual pada hari ini, malah pasar-pasar kosong dari kunjungan pembeli mahupun kehadiran penjual.[7]

Tindak balas[sunting | sunting sumber]

Pihak polis Pulau Pinang turut mengamalkan pendekatan berjaga-jaga sepertimana dilaporkan Times of Malaya and Straits Echo di mana Ketua Polis Negeri Pulau Pinang dilaporkan meminta orang ramai tidak melibatkan diri dalam mogok tersebut.[8]

Di Singapura pula, tindakan ini mendapat sokongan dari Dewan Perniagaan Cina Singapura khususnya dari pemimpinnya Lee Kong Chian yang menyuarakan bahawa ia "satu-satunya cara rakyat Malaya boleh meluahkan rasa tidak puas hati dengan rombakan perlembagaan yang diusulkan". Malah beliau turut memaklumkan kesudian Dewan Perniagaan ini menyebelahi para peserta hartal kerana maklum balas yang diberikan dewan itu sendiri terhadap usulan dicadangkan — memandangkan perlembagaan baharu ini akan mencakupi Singapura dalam sistem baharu bersama Tanah Melayu langsung ditolak pihak British — maka dewan tersebut dipaksa bertindak kerana dikhuatiri sukar akan meminda lanjut perubahan yang berkemungkinan.[9]

Kejadian ini turut menarik perhatian sejauh Parlimen British di mana ia diajukan Charles Andrew Smith, anggota parlimen mewakili Parti Kekayaan Sepunya (Common Wealth Party).[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Fahmi Reza (2007). The Constitutional Struggle of the Left against British Colonial Rule. Diterbitkan semula dalam halaman 31-35 dalam Constitutional Proposals for Malaya (2017).
  2. ^ Yeoh Kim Wah (1973). Political Development of Singapore, 1945–1955. Singapura: Singapore University Press. m/s. 320. ISBN 0-8214-0486-5.
  3. ^ "PMCJA Ditubuhkan". Arkib Negara. 22 Disember 1980. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Jun 2008. (in Malay)
  4. ^ "Hartal: 'stay indoors', says AMCJA Chief". The Singapore Free Press. 18 October 1947. m/s. 1.
  5. ^ a b "Business at standstill in MU capital". Morning Tribune. 21 Oktober 1947. m/s. 1 – melalui NewspaperSG.
  6. ^ a b c d "Hartal Failure In Malacca: Back Door Trade In Penang". The Straits Times. 21 Oktober 1947. m/s. 5 – melalui NewspaperSG.
  7. ^ "Victoria Street On Hartal Day: A Chinese Observer". The Straits Times. 22 Oktober 1947. m/s. 4 – melalui NewspaperSG.
  8. ^ "Pre-Hartal Warnings by Police". Times of Malaya and Straits Echo. 18 Oktober 1947. m/s. 1. Dipetik Ishak (2010).
  9. ^ "Success claimed for hartal". The Straits Times. 22 Oktober 1947. m/s. 5 – melalui NewspaperSG.
  10. ^ "Volume 444: Malayan Union And Singapore (Hartal)". Hansard. UK Parliament. 19 November 1947.

Sumber utama[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]