Hello (drama 1994)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Hello merupakan sebuah telefilem arahan Erma Fatima yang mengisi slot Cerekarama pada 11 Mac 1994 di TV3. Ia membariskan lakonan penyanyi dan komposer M. Nasir bersama pelakon Tiara Jacquelina, Faizal Hussein dan pendatang baharu Umie Aida. Ia diterbitkan oleh BNE Studio.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Drama itu memaparkan bagaimana Imran (lakonan M Nasir), penyajak dari sebuah kampung di Dungun, Terengganu, sering menghantar karyanya untuk program Hello yang ke udara lewat tengah malam. Sajaknya mendapat perhatian DJ bertugas, Haz (Tiara Jacquelina). Mereka akhirnya saling terpikat tetapi diganggu oleh kekasih lama Haz, (Faizal Hussein). Gangguan itu bukan saja menerusi telefon tetapi hingga ke pejabat Haz menyebabkan hubungan Haz dan Imran terjejas. Bagaimanapun kerana cinta mereka akhirnya bertemu juga.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Ulasan[sunting | sunting sumber]

Tema drama ini begitu ringkas tetapi apa yang menariknya ialah persembahannya yang diselang seli dengan lagu popular bagi menggambarkan isi hati dan perasaan Haz dan Imran. Walaupun ia bukan drama muzikal, kehadiran lagu yang menjadi muzik latarnya ketika setiap adegan berlangsung menjadikan drama ini hidup dengan sendirinya tanpa banyak dialog diperlukan. Sesekali keindahan nukilan sajak Imran diperdengarkan sebagai menghiasi drama itu. Menerusi karyanya Imran melahirkan isi hatinya kepada Haz. Bagaimanapun ada beberapa adegan yang agak lembab contohnya ketika Imran dan Haz mengelamun. Angan-angan mereka terlalu lama dan kerap dipaparkan.

Drama Hello ini juga seperti tidak punya klimaks kerana adegan yang mendatar dari mula hingga akhir cerita. Ini menyebabkan penonton berasa ia berlangsung terlalu lama. Erma sepatutnya menampilkan unsur suspense pemanggil yang menyanyikan lagu Hello itu secara lebih menarik lagi bagi menjadikannya satu misteri sehingga penonton tertanya-tanya siapa dia sebenarnya.

Dari segi lakonan Tiara dan M Nasir, kedua mereka menunjukkan lakonan yang baik dan bermutu. Gandingan mereka yang baik itu menjadi tonggak kejayaan drama itu. M Nasir membawakan watak pemuda kampung yang pemalu, seperti mengharap bulan jatuh ke riba untuk menyunting Haz, gadis bandar yang pastinya bukan mudah dihampiri. Begitu juga lakonan Tiara, sebagai DJ yang cekap mengendalikan programnya walaupun banyak menerima gangguan telefon daripada kekasih lamanya. Umi Aida yang membawakan watak gadis kampung yang lincah dan menggoda juga memaparkan mutu lakonan yang baik. Dia berjaya menimbulkan kebencian penonton.Tetapi aksinya yang keterlaluan ketika menggoda Imran menjadikan penonton agak terkejut kerana selama ini gadis kampung ditonjolkan sebagai lemah lembut, pemalu dan bersopan santun. Umi dipaparkan sebagai terlalu lincah, sanggup menipu ibu Imran dengan mengatakan dia sudah dinodai oleh Imran semata-mata ingin mengahwininya walaupun dia tahu cintanya tidak pernah berbalas. Sebelum itu dalam satu adegan Umi menggoda Imran sehingga menariknya untuk bercumbu. Mungkin banyak orang kampung yang kurang senang dengan aksi sedemikian yang menjatuhkan imej mereka.

Selain itu, Hello banyak memaparkan suasana pantai yang indah dan damai menggambarkan irama percintaan Haz dan Imran yang tersembunyi dan sukar untuk diluahkan.