Kandungan Bhagavad Gita

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Bhagavad Gita (bahasa Sanskerta: भगवद् गीता) ialah sebahagian yang terdiri daripada 701 rangkap dalam puisi epik Mahabharata (Bhishma Parva bab 23 – 40), dan yang telah dihormati sebagai teks suci falsafah Hindu. Nama 'Bhagavad Gita' bermaksud "lagu tuhan", dan Bhagavat merupakan gelaran Krishna.


Kitab Yoga[sunting | sunting sumber]

Gita membincangkan perlawanan antara pancaindera dengan intuisi perpaduan kosmos, dan merangkumi Yoga ketenangan, iaitu satu pandangan yang berkecuali. Istilah "Yoga" meliputi berbagai-bagai maksud, tetapi dalam konteks Bhagavad Gita, perkataan ini memerihalkan satu pandangan bersatu, ketenangan fikiran, kemahiran bertindak, serta keupayaan untuk mengekalkan penyesuaian dengan kemuliaan Diri (Atman), dan yang mempunyai intipati yang sama dengan asas Kewujudan (Brahman). Menurut Krishnan, punca kesemua penderitaan dan perlawanan ialah gangguan fikiran yang disebabkan oleh keinginan. Cara yang tunggal untuk memadamkan keinginan yang bernyala-nyala adalah melalui menenangkan fikiran dengan mendisiplinkan pancaindera dan intelek.

Bagaimanapun, akibat menahan diri daripada tindakan dianggap serupa dengan akibat tindakan berketerlaluan yang menurutkan hati. Menurut Bhagavad Gita, tujuan hidup adalah untuk membebaskan fikiran dan intelek daripada kerumitan masing-masing, dan untuk menumpukan kedua-dua ini kepada kemuliaan Diri melalui penujuan tindakan kepada Tuhan. Tujuan ini dapat dicapai melalui yoga-yoga tafakur, tindakan, pengabdian, dan pengetahuan. Gita memerihalkan bahawa Yogi yang terbaik ialah yogi yang sentiasa berfikir dalam-dalam tentang Tuhan.

Krishna meringkaskan Yoga dalam lapan belas bab. Terdapat empat jenis Yoga:

  • Raja Yoga atau Tafakur Psikofizikal
  • Bhakti Yoga atau Pengabdian
  • Karma Yoga atau Tindakan Tanpa Mementingkan Diri
  • Jnana Yoga atau Pengetahuan Mengatasi Diri.

Sedangkan setiap laluan berbeza, tujuan asas masing-masing adalah sama sahaja, iaitu untuk menyedari bahawa:

  • Brahman ( Intipati Ketuhanan ) merupakan kebenaran tunggal;
  • badan mempunyai batas waktu;
  • Tuhan Yang Maha Agung (Paramatman) adalah tidak terhad.

Tujuan Yoga (nirvana atau moksha) adalah untuk melepaskan diri daripada kitaran penjelmaan semula melalui kesedaran perpaduan dengan kebenaran muktamad. Terdapat tiga peringkat dalam kesedaran diri yang diberikan dalam Bhagavad Gita:

  1. Brahman: tenaga sejagat yang tidak bersifat peribadi
  2. Paramatma: Tuhan yang berada di pusat setiap hidupan
  3. Bhagavan: Tuhan sebagai satu personaliti, dengan bentuk transendental.

Yang berikut adalah beberapa petikan daripada Krishna yang merupakan teks yoga yang pertama dalam sejarah, dan yang memberikan takrif menyeluruh mengenai keempat-empat yoga yang utama:

Mengenai tujuan Yoga[sunting | sunting sumber]

"Dan sesiapa, pada saat mati, meninggalkan badannya dengan mengingati Aku (Krishna) sahaja, dengan segara dia akan memperoleh sifat (transendental) Ku. Tentang ini, sudah pasti." [1]

Mengenai Bhakti Yoga[sunting | sunting sumber]

Secara mudahnya, Bhakti Yoga ialah Perkhidmatan dengan Kasih Sayang dan Pembaktian kepada Tuhan (Krishna dalam konteks Bhagavad Gita).

  • "Aku menganggap bahawa pemuja Yogi yang berfikir dalam-dalam tentang Aku dengan kasih sayang dan penuh kepercayaan serta mempunyai fikiran yang sentiasa menerap Aku adalah Yogi yang terbaik". [2]
  • "Selepas mencapai Aku, orang-orang yang ulung itu tidak perlu menjelmakan semula dalam dunia yang sengsara dan sementara ini kerana mereka telah mencapai kesempurnaan yang tertinggi." [3]
  • "... mereka yang melepaskan semua perbuatan untuk Aku, serta menganggap Aku sebagai Tuhan dan menyembah Aku... Bagi mereka yang mempunyai fikiran yang menerapkan Aku, Aku tidak lama lagi akan menjadi penyelamat mereka daripada lautan kematian dan perpindahan roh, Arjuna. Ingat akan Aku sahaja, tumpukanlah intelek kau kepada Aku. Dengan itu, engkau akan tinggal dengan Aku di alam baqa." [4]
  • "Dan mereka yang berkhidmat untuk Aku dengan yoga penumpuan yang tidak pudar menjangkau sifat- sifat ini [lawan-lawan perduaan, seperti baik dan jahat, kesakitan dan kegembiraan] dan sudah sedia untuk pembebasan ke Brahman." [5]
  • "Tumpukanlah fikiran kau kepada Aku, baktikan Aku, berikan perkhidmatan kepada Aku, tunduk kepada Aku, dan dengan pastinya engkau akan mendapat Aku. Aku berjanji dengan engkau kerana engkau adalah kawan Ku yang amat dikasihi." [6]
  • "Ketepikanlah semua yang patut dipuji (Dharma), cuma serahkan secara langsung kepada kehendak Aku (dengan kepercayaan teguh dan berfikir dalam-dalam dengan penuh kasih sayang). Aku akan membebaskan engkau daripada semua dosa. Jangan takut." [7]

Mengenai Karma Yoga[sunting | sunting sumber]

Karma Yoga pada dasarnya ialah Bertindak, atau menjalankan kewajipan dalam hidup seseorang mengikut dharma, atau tanggungjawab, tanpa berasa bimbang tentang keputusannya – sejenis pengorbanan perbuatan yang tetap kepada Tuhan. Karma Yoga ialah tindakan yang diambil tanpa memikirkan manfaat. Dalam tafsiran yang lebih moden, ini boleh diperlihatkan sebagai perbuatan-perbuatan kewajiban yang dilaksanakan tanpa membenarkan keputusan menjejaskan perbuatan-perbuatan seseorang. Telah dikatakan bahawa keputusan terdiri daripada tiga jenis:

  • keputusan seperti yang dirancangkan;
  • keputusan yang berlawanan dengan apa yang dirancangkan; atau
  • campuran kedua-dua yang tersebut.

Jika seseorang melaksanakan kewajipannya (seperti yang ditentukan dalam Veda tanpa sebarang harapan terhadap hasil perbuatannya, dia harus akan berjaya. Ini termasuk, tetapi tidak dihadkan, kepada penumpuan masa kepada profesion yang dipilih oleh seseorang dan kesempurnaannya kepada Tuhan. Ini juga dapat dilihat dalam perkhidmatan komuniti dan sosial, kerana perbuatan-perbuatan itu memang dibuat tanpa berfikir tentang manfaat peribadi.

Contoh: Jika seorang bermain tenis di dalam gelanggang tenis, tugasnya ialah untuk bermain dengan sebaik yang mungkin. Jika dia merupakan seorang Karma Yogi, kehilangan beberapa mata tidak akan menyekat keghairahan dan tenaganya untuk baki permainan itu. Tetapi jika dia bukan seorang Karma Yogi, dia mungkin akan berasa tegang, takut, malu, dan sebagainya, dan oleh itu, akan membuat lebih banyak kesilapan dan kemudian ditewaskan. Ini merupakan keterangan Karma Yoga yang mudah untuk orang biasa.

Krishna menyokong Nishkam Karma Yoga (Yoga Perbuatan yang Tidak Mementingkan Diri) sebagai laluan yang ideal untuk mencapai Kebenaran. Melaksanakan perbuatan yang diuntukkan tanpa jangkaan, niat, atau pemikiran terhadap keputusannya cenderung menyucikan fikiran, dan beransur-ansur menyebabkan seorang sesuai untuk melihat nilai alasan dan faedah-faedah daripada pelepasan kerja pada dirinya. Konsep-konsep ini dihuraikan dengan jelas dalam rangkap-rangkap yang berikut:

  • "Hanya untuk perbuatan sahaja bahawa engkau mempunyai hak, tetapi bukan untuk hasilnya; janganlah membenarkan hasil perbuatan menjadikan niatkau; janganlah juga membenarkan sebarang perapatankau kepada ketidakgiatan" — Bab 2, rangkap 48: Teori Samkhya dan latihan Yoga, Bhagavadgita - Radhakrishnan
  • "Tumpukanlah kepada yoga, buatlah kerja anda, Oh Pemenang kekayaan (Arjuna), lepaskan perapatan dengan fikiran yang tetap, baik berjaya atau tidak, kerana ketenangan fikiran dipanggil yoga" — Bab 2, rangkap 48: Teori Samkhya dan latihan Yoga, Bhagavadgita - Radhakrishnan
  • "Dengan badan, dengan fikiran, dengan intelek, dan juga dengan hanya deria sahaja, yogi-yogi melaksanakan penyucian diri setelah melepaskan perapatan. Mereka yang dilatih dalam Yoga, dan yang telah melepaskan hasil perbuatan, mencapai keamanan yang tetap..." [8]

Untuk mencapai pembebasan yang benar, adalah penting bahawa seseorang mengawalkan semua keinginan dan kecenderungan mental untuk menikmati keseronokan-keseronokan deria. Ini digambarkan oleh rangkap-rangkap yang berikut:

Bab 2, Rangkap 62,63: Teori Samkhya dan Latihan Yoga, Bhagavadgita - Radhakrishnan'

  • "Ketika seseorang memikirkan objek deria, perapatan terhadap objek itu akan terjadi. Daripada perapatan termuncul keinginan, dan daripada keinginan datangnya kemarahan."
  • "Daripada kemarahan tertimbul kebingungan, daripada kebingungan tertimbul kehilangan ingatan, daripada kehilangan ingatan tertimbul kemusnahan kecerdasan, dan daripada kemusnahan kecerdasan, dia akan maut."

Mengenai Jnana Yoga[sunting | sunting sumber]

Jnana Yoga ialah proses pembelajaran untuk membuat perbezaan antara apa yang benar dengan lawannya, dan apa yang abadi dengan apa yang bukan. Melalui kemajuan yang tetap dalam kesedaran perbezaan antara Benar dengan Khayal, Abadi dengan Sementara, seseorang berkembang menjadi Jnana Yogi. Ini pada dasarnya ialah laluan ke Tuhan melalui pengetahuan dan pembezaan, dan telah diperihalkan sebagai laluan ke Tuhan yang "paling pendek dan paling curam", iaitu laluan yang paling susah.

"Ketika seseorang dapat melihat pelbagai penjelmaan kewujudan sebagai berdasarkan pada Satu, dan daripada Satu itu berpecah-pecah [menjadi banyak], hanya kemudian bahawa seseorang itu mencapai Brahman. / Hanya mereka yang tahu, melalui pengetahuan tentang perbezaan antara medan dengan pengetahu medan serta pembebasan hidupan daripada sifat kebendaan, pergi ke Tuhan." [9].

Mengenai Raja Yoga[sunting | sunting sumber]

Raja Yoga ialah teknik-teknik tafakur untuk menenangkan fikiran serta badan bagi tujuan menyedari sifat benar seseorang. Amalan ini dihuraikan dalam Sutra Yoga oleh Patanjali.

"Untuk berlatih yoga, seseorang harus pergi ke sebuah tempat yang terpencil, meletakkan rumput kusa di atas tanah, dan kemudian melitupinya dengan kulit rusa dan kain lembut. Tempat duduk harus tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah, dan harus ditempatkan dekat tempat yang suci. Si yogi itu kemudian duduk dengan kukuh di atas tempat itu dan berlatih yoga untuk menyucikan hati melalui pengawalan fikiran, deria, serta kegiatan, dan menetapkan fikirannya pada satu titik. Dia harus berduduk tegak, dengan badan, leher, dan kepala dalam garis lurus, dan merenung hujung hidung sendiri. Dengan fikiran yang tidak tergesa-gesa dan tanpa ketakutan, serta bebas daripada hubungan jenis, seseorang harus berfikir dalam-dalam terhadap Aku dalam hatinya dan menjadikan Aku tujuan muktamad dalam kehidupan. Dengan berlatih pengawalan badan, fikiran dan kegiatan dengan tekal, ahli mistik transendental akan mencapai alam baqa [atau tempat kediaman Krishna] melalui penamatan kewujudan kebendaan." [10]

Isi kandungan[sunting | sunting sumber]

Kitab ini terdiri dari 18 bahagian:

  1. Kekhuatiran Arjuna
  2. Yoga dan Samkhya
  3. Pencapaian yoga melalui usaha
  4. Pencapaian yoga melalui khidmat
  5. Pencapaian yoga melalui prihatin
  6. Pencapaian yoga melalui adhyatma
  7. Pencapaian yoga melalui budi
  8. Beryoga sampai ke Dewa Abadi
  9. Mencari yoga dengan raja ilmu dan raja rahsia
  10. Yoga mahakuasa
  11. Menuntut yoga dengan mencerapkan perkembangan alam
  12. Pencapaian yoga melalui bakti
  13. Pencapaian yoga melalui pemisahan medan daripada penghuni medan
  14. Pencapaian yoga melalui pemisahan kepala bahagian tiga
  15. Beryoga pada Dewa Tinggi
  16. Beryoga dengan memisahkan bahagian syurga dengan bukan syurga
  17. Kepercayaan yang ketiga
  18. Beryoga untuk kebebasan muktamad

Bhagavad Gita dalam budaya Jawa kuno dan Bali[sunting | sunting sumber]

Orang Jawa kuno dan Bali sudah mengenali Bhagavad Gita kerana hubungan mereka dengan India dan pengaruh agama Hindu pada masa dahulu.

Bhismaparwa[sunting | sunting sumber]

Dalam buku keenam Mahabharata Jawa kuno, Bhismaparwa, terdapat sebuah ringkasan untuk Bhagawad Gita. Tetapi menurut banyak pakar, penterjemah Jawa kuno kurang faham akan bahasa Sanskerta sehingga terjemahannya kurang sempurna. Bhagawad Gita dalam Bhismaparwa ini terdiri dari seloka-seloka dalam bahasa Sanskerta yang diikuti dengan terjemahan dalam bahasa Jawa Kuno selepas setiap seloka.

Bharatayuddha[sunting | sunting sumber]

Dalam kakawin Bharatayuddha Jawa kuno yang konon diubahkan daripada bentuk aslinya kepada bentuk prosa, Bhagawad Gita tidaklah didapati. Hanya dua rangkap saja ditulis untuk menguraikan nasihat Krishna kepada Arjuna. Rangkap-rangkap ini berasal daripada Bab 10, rangkap 12 dan 13:

Teks Jawa kuno

(12)
mulat mara sang Arjunâsemu kamânus.an kasrepan
ri tingkah i musuhnira n pad.a kadang taya wwang waneh
hana wwang anaking yayah mwang ibu len uwânggeh paman
makâdi Krpa Salya Bhis.ma sira sang dwijânggeh guru

Terjemahan

(12)
Maka melihat merekalah sang Arjuna dan ia pun terliputi rasa kasihan
sebab musuh-musuhnya bukanlah orang asing
ada saudara-saudara daripada pihak ayah maupun ibu, dan juga bapa-bapa saudara
seperti Krepa, Salya, Bhisma dan gurunya (Bhagawan Drona).

(13)

ya kâran.aniran pasabda ri narârya Krs.n.âteher
aminta wurunga ng lagâpan awelas tumon Korawa
kuneng sira Janârdanâsekung akon sars.âpranga
apan hila-hila ng ks.inatriya surud yan ing paprangan

(13)

Oleh sebab itu, ia lalu bercakap kepada prabu Krishna,
meminta supaya ia menghentikan peperangan, kerana kasihan melihat para Korawa.
Akan tetapi sang Janardana (Krishna) menyuruhnya tetap berperang
sebab seseorang yang dianggap sebagai kesatria tidak boleh mengundurkan diri daripada peperangan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar: teks dan terjemahan[sunting | sunting sumber]

Bhagavad Gita dengan pantasnya telah menjadi salah satu teks agama yang terpopular untuk terjemahan, dengan banyak bacaan dan padanan 700 rangkapnya diterbitkan dalam banyak bahasa, khususnya dengan pendedahan buku ini ke dunia di luar India.

Secara tradisi, pengulas-pengulas merupakan ahli-ahli tradisi rohaniah atau aliran fikiran (sampradaya) dan keturunan Guru (parampara) yang mengekalkan ajaran Gita dalam bentuk yang tulen. Oleh itu, tradisi yang berasal daripada Krishna sendiri kini dianggap paling tepat dengan maksud yang asal.

Harus diingati bahawa penterjemah-penterjemah dan pengulas-pengulas mempunyai sudut pandangan yang amat berbeza tentang maksud perkataan dan rangkap yang sebenarnya, dan penyampaian mereka dalam bahasa Inggeris bergantung kepada sampradaya yang mereka dikaitkan. Khususnya pada zaman moden di dunia Barat, berbagai-bagai pengarang telah menghasilkan tafsiran yang berbeza-beza dan yang sering tidak secocok dengan sudut pandangan tradisi. Sebab-sebab untuk keadaan ini berasal daripada latar belakang dan nilai-nilai intrinsik penterjemah dan pengulas yang masih amat dipengaruhi oleh kebudayaan Barat.

Walaupun Gita ditulis dalam bahasa Sanskerta yang agak mudah difahami, penterjemahan teks Sanskerta yang asal kekadang mungkin tidak begitu tepat disebabkan ketiadaan istilah terjemahan yang sesuai.

Ulasan[sunting | sunting sumber]

Pilihan[sunting | sunting sumber]

Terjemahan puisi oleh Eknath Easwaran[sunting | sunting sumber]