Krohcol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

KROHCOL adalah satu rancangan perang yang digunakan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu (Malaya Command) sebagai satu usaha untuk menyekat kemaraan Tentera Jepun menuju Semenanjung Tanah Melayu dari arah Thailand Selatan. Rancangan ini dilaksanakan sebagai alternatif kepada Operasi Matador yang jauh lebih komprehensif dan besar.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Apabila ancaman serangan oleh Tentera Jepun semakin memuncak, Operasi Matador disandarkan sebagai rancangan terbaik untuk menyekat kemaraan Tentera Jepun sekiranya mereka mendarat di Songkhla dan Pattani untuk mara ke Semenanjung Tanah Melayu. Tetapi Operasi Matador melibatkan kemasukan Tentera British ke wilayah Thailand untuk menubuhkan pertahanan di satu tempat dikenali sebagai “The Ledge”. Ini menjadikan Operasi Matador satu risiko diplomatik.

Jeneral A. E. Percival mengemaskini rancangan perang Operasi Matador dengan menggunakan unit-unit tentera yang boleh beliau gunakan. Beliau merancangkan untuk menugaskan satu Divisyen untuk pertahanan bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu dan dua divisyen dari III Kor Tentera British India (Leftenan General Lewis Heath) untuk pertahanan bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu.

Sebagai alternatif, Jeneral A. E. Percival juga menyediakan perancangan Krohcol yang juga melibatkan kemasukan Tentera British ke wilayah Thailand tetapi pada skala yang jauh lebih kecil daripada Operasi Matador. Krohcol, singkatan daripada perkataan Kroh Column, melibatkan pergerakan satu pasukan kecil dari Kroh ke wilayah Thailand untuk menyekat kemaraan Tentera Jepun.

Ketua Marsyal Udara Robert Brooke-Popham selaku panglima tertinggi di Timur Jauh keberatan melancarkan Operasi Matador kerana enggan masuk ke wilayah Thailand sebelum Jepun melancarkan serangan. Disebabkan kekangan ini Jeneral A. E. Percival mengerahkan Krohcol dilaksanakan.

Serangan Krohcol[sunting | sunting sumber]

Di bawah pimpinan Leftenan Kolonel H.D. Moorhead, Krohcol mempunyai kekuatan 2 batalion askar infantri (Batalion 3/16 Rejimen Punjab dan Batalion 5/14 Rejimen Punjab) dengan bantuan satu kompeni Angkut dari Tentera Australia.

Kolonel H.D. Moorhead membawa masuk Krohcol ke wilayah Thailand pada jam 3 petang, 8 Disember 1941 (selepas Tentera Jepun mendarat di Songkhla dan Pattani) untuk cuba sampai ke tempat pertahanan dikenali sebagai ”The Ledge”. Kedudukan ini kira-kira 30 batu daripada perbatasan Thailand. Kelebihan kedudukan ini membolehkan pasukan kecil menahan kemaraan Tentera Jepun dan dengan itu dapat melindungi Jitra.

Batalion 3/16 Punjab mendahului gerakan diikuti oleh batalion 5/14 Punjab (kurang satu kompeni), 10 Mountain Battery dari Pulau Pinang dan satu terup dari 273 Anti-Tank Battery dari Jitra. Pasukan ini ditentang oleh kira-kira 300 orang Polis Thailand yang mengehadkan kemaraan pasukan Krohcol setakat 3 batu di dalam wilayah Thailand. Pada 9 Disember 1941, tentangan dari Polis Thailand terhenti pada jam 3 petang, dan pasukan Krohcol mara ke arah Betong. Pada 10 Disember, askar-askar Korhcol bergerak dengan lori ke The Ledge tetapi mendapati mereka terlambat kerana askar-askar Jepun sudah menduduki kedudukan di The Ledge. pasukan Krohcol menubuhkan garisan pertahanan. Kolonel H.D. Moorhed mendapati beliau berhadapan dengan 3 batalion askar Jepun. Melihatkan keadaan ini, Jeneral D.M. Murray-Lyon memberi kebenaran berundur pada 12 Disember 1941. Semasa pengunduran ini, serangan udara dan darat Jepun menyebabkan pasukan Krohcol mengalami kesukaran berundur dan akibatnya mengalami kadar kemalangan yang amat tinggi.

Serentak dengan pergerakan masuk Krohcol ke wilayah Thailand, satu pasukan lain askar mekanis masuk ke wilayah Thailand dan bertahan di Sadao tetapi diserang oleh pasukan kereta kebal Jepun. Pasukan itu terpaksa berundur ke Jitra sambil memusnahkan jambatan-jambatan utama semasa pengunduran.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Krohcol gagal memberikan kesan yang dihasratkan disebabkan oleh kegagalan sampai ke kedudukan The Ledge sebelum kedudukan itu dikuasai oleh tentera Jepun. Pasukan Krohcol hanya 3 batu dari kedudukan tersebut apabila tentera Jepun menguasai kedudukan itu.

Kegagalan Krohcol boleh dikesan kepada kelewatan 12 jam dalam membuat keputusan untuk melancarkan Krohcol oleh pemerintah tertinggi Robert Brooke-Popham dan salah tafsir Duta Britain ke Thailand Sir Josiah Crosby yang menyatakan pihak berkuasa Thailand tidak akan menentang pergerakan Tentera British.

Kolonel Moorhead sendiri terselamat semasa pengunduran ke Kroh tetapi terbunuh pada 20 Januari 1942 semasa pertempuran di kawasan Yong Peng.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]