Pulau Pinang
Pulau Pinang ڤولاو ڤينڠ | |
---|---|
Transkripsi lain | |
• Inggeris | Penang |
• Tamil | பினாங்கு Piṉāṅku (Transliterasi) |
• Thai | ปีนัง Pinang (RTGS) |
Nama panggilan: Pulau mutiara | |
Cogan kata: Bersatu dan Setia | |
Lagu: Untuk Negeri Kita | |
![]() | |
Koordinat: 05°24′09″N 100°21′54″E / 5.40250°N 100.36500°E | |
Negara | Malaysia |
Ibu negeri | George Town, Pulau Pinang |
Bandar terbesar | Seberang Perai |
Pentadbiran | |
• Jenis | Sistem berparlimen |
• Yang di-Pertua Negeri | Ramli Ngah Talib |
• Ketua Menteri | Chow Kon Yeow |
Keluasan | |
• Jumlah | 1,048 km2 (405 batu persegi) |
Aras tertinggi | 833 m (2,733 ft) |
Penduduk (2020)[2] | |
• Jumlah | 1,740,405 |
• Kepadatan | 1,659/km2 (4,300/batu persegi) |
Indeks Pembangunan Manusia | |
• IPM (2018) | ▲ 0.838 sangat tinggi [3] |
Zon waktu | UTC+08:00 (WPM) |
Poskod | |
Kod panggilan | 04 |
Huruf pertama plat kenderaan | P |
Laman sesawang | www |
Pulau Pinang (Jawi: ڤولاو ڤينڠ) atau lebih sering disebut Penang (bahasa Inggeris: Penang,pengucapan: "Pī néeng") ialah sebuah negeri di Malaysia yang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia sepanjang Selat Melaka. Negeri ini terdiri daripada dua bahagian: Pulau Pinang, yang menempatkan ibu negaranya George Town, dan Seberang Perai di tanah besar Semenanjung Melayu. Kedua-dua bahagian ini dihubungkan secara fizikal oleh Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah. Negeri ini bersempadan dengan Kedah di sebelah utara dan timur, serta Perak di sebelah selatan.
Ditubuhkan oleh Francis Light pada tahun 1786, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat, iaitu sebuah tanah jajahan mahkota British yang turut merangkumi Melaka dan Singapura. Semasa Perang Dunia Kedua, Jepun telah menduduki Pulau Pinang, namun pihak British berjaya mengambil alih semula pada tahun 1945. Pulau Pinang kemudiannya menyertai Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia), yang mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Ekonomi Pulau Pinang telah beralih daripada perdagangan entrepôt kepada pembuatan elektronik dan sektor tertiari sepanjang akhir abad ke-20.
Dengan jumlah penduduk seramai 1.74 juta orang dan kepadatan penduduk sebanyak 1,659 orang/km² (4,300 orang/mi²) pada tahun 2020, Pulau Pinang merupakan salah satu negeri yang paling padat penduduk dan paling urban di Malaysia. Seberang Perai ialah bandar ketiga terbesar di Malaysia dari segi jumlah penduduk. Pulau Pinang mempunyai kepelbagaian budaya dengan populasi yang merangkumi etnik Melayu, India, Eurasia, Siam, Arab, Cina dan ekspatriat.
Ekonomi Pulau Pinang beralih daripada perdagangan entrepot kepada pembuatan elektronik dan sektor ketiga pada hujung abad ke-20. Kini, Pulau Pinang merupakan salah satu daripada penjana ekonomi yang paling membangun dalam Malaysia, dengan KDNK per kapita kedua tertinggi dalam kalangan negeri-negeri Malaysia, dan Indeks Pembangunan Manusia ketiga tertinggi selepas Kuala Lumpur dan Selangor. Pulau Pinang juga merupakan pengeksport utama Malaysia dengan eksport bernilai hampir RM451 billion pada tahun 2022, terutamanya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, yang juga lapangan terbang ketiga tersibuk dalam negara dari segi traffik penumpang. Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 yang diterbitkan pada 26 Julai 2018 melaporkan bahawa Pulau Pinang mempunyai KDNK per kapita sebanyak RM49,873 pada 2017.[4]
Etimologi
Nama Pulau Pinang ini diambil daripada nama pokok pinang (areca catechu). Pulau Pinang juga dirujuk secara tidak rasminya sebagai "Mutiara Timur" (Pearl of the Orient) dan "Pulau Mutiara".
Di sepanjang aliran sejarahnya, Pulau Pinang dikenali dengan nama-nama berbeza oleh para pelaut dari pelbagai kawasan. Orang tempatan menamakannya Pulo Ka Satu kerana ia merupakan pulau terbesar di sepanjang jalan kelautan antara Lingga dan Kedah.[5] Orang Siam yang pernah dipertuankan Kedah memanggilnya Ko Mak (Bahasa Thai: เกาะหมาก).[6]
Sejarah
Sejarah awal

Raj British 1858–1867
Negeri-Negeri Selat 1826–1941; 1945–1946
Empayar Jepun 1941–1945
Malayan Union 1946–1948
Persekutuan Tanah Melayu 1948–1963

Ahli arkeologi telah menemui rangka manusia seperti "Penang Woman" (Perempuan Pulau Pinang) berserta dengan cengkerang kepah dan kerang, tembikar dan alat batu di Seberang Perai.[7] Artifak-artifak tersebut menunjukkan bahawa sejak sekitar 5,000 dan 6,000 tahun lalu, Pulau Pinang pernah dihuni oleh Orang Melanesia pada Zaman Neolitik.[8][9][10]
Inskripsi Bahasa Pali pada megalit Cherok Tok Kun menandakan bahawa tamadun Hindu-Buddha Lembah Bujang, yang berpusat di Kedah hari ini, pernah berkuasa di sesetengah bahagian Seberang Perai menjelang abad ke-6.[11] Keseluruhan bahagian Pulau Pinang kemudiannya menjadi sebahagian daripada negeri Kedah, yang dinaungi Negara Siam menjelang hujung abad ke-18.[12]
Penubuhan dan pemerintahan British


Sejarah moden Pulau Pinang bermula pada tahun 1786 apabila Francis Light, seorang wakil Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI), memperoleh Pulau Pinang daripada Sultan Kedah sebagai tukaran bantuan ketenteraan. Light dihantar ke Semenanjung Tanah Melayu oleh SHTI untuk membina hubungan perdagangan di kawasan tersebut. Di sana, beliau melihat potensi strategik Pulau Pinang sebagai "stor yang mudah untuk perdagangan" yang dapat membolehkan British untuk menyekat cita-cita wilayah Belanda dan Perancis di Asia Tenggara.[18]
Antara pedagang Inggeris yang paling awal menemui Pulau Pinang ialah Kapten James Lancaster. Kapal The Edward Bonaventure miliknya adalah antara tiga kapal yang dihantar oleh Britain dalam misi perdagangan ke Hindia Timur pada tahun 1591. Berdasarkan catatan pelayaran kapten tersebut, beliau menemui Pulau Pinang selepas singgah beberapa bulan di Pulau Rimau yang terletak di selatan Pulau Pinang pada bulan Jun 1593. Dalam perjalanan meninggalkan Pulau Rimau itulah beliau menemui Pulau Pinang yang kelihatan tidak berpenghuni.
Satu daftar ukur tanah dan kawasan yang bertarikh 1795 menyebut kawasan Datok Keramat telahpun dihuni sejak tahun 1705 berdasarkan penemuan kawasan perkampungan orang Melayu dan tanah perkuburan seluas 18 ekar di kawasan tersebut. Penempatan-penempatan juga turut dibuka oleh orang Melayu di Batu Uban, Sungai Kluang dan beberapa kawasan lain. Di Seberang Perai pula, sewaktu diambil alih oleh SHTI pada tahun 1800, masih dipenuhi hutan dengan penduduknya dianggarkan berjumlah antara 2 hingga 3 ribu orang.[19]
Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, dipajak kepada Syarikat Hindia-Timur British (SHTI) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau itu sebagai Pulau Prince of Wales sempena nama Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaga yang terletak di hujung timur laut pulau dinamakan "Georgetown", iaitu bersempena dengan nama Raja George III dari Britain.
Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah menarik minat SHTI untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangan dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut.
Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran SHTI. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerahkan hak kepada syarikat itu dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah tetapi telah dinaikkan sebanyak RM10 juta pada tahun 2018.
Pada 1826, Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian daripada Negeri Selat di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.
Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, zon perdagangan bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.
Pada tahun 2004, ketidakpuasan terhadap kemerosotan ekonomi Pulau Pinang telah mengakibatkan kempen media untuk mengembalikannya kepada zaman kegemilangannya.
Geografi

Pulau Pinang merupakan salah satu daripada 13 negeri di Malaysia. Dengan jumlah keluasan 1,049 kilometer persegi, Pulau Pinang merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia selepas Perlis. Terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia, bersempadan dengan negeri Kedah di sebelah utara dan timur, negeri Perak di sebelah selatan dan perairan Selat Melaka di sebelah barat. Pulau Pinang terdiri daripada bahagian pulau dan juga tanah besar yang dikenali sebagai Seberang Perai, kedua-duanya dipisahkan oleh Selat Pulau Pinang. Keluasan kawasan pulau adalah 295 kilometer persegi manakala kawasan Seberang Perai berkeluasan 748 kilometer persegi. Kedua-dua bahagian dihubungkan dengan perkhidmatan feri dan Jambatan Pulau Pinang yang panjangnya 13.5 kilometer.
Bentuk muka bumi Pulau Pinang secara umumnya tidak sekata, dengan kawasan berbukit dan dilitupi hutan di kawasan tengah pulau. Titik tertinggi di negeri ini ialah Bukit Bendera, yang berketinggian 833 meter dan terletak di tengah pulau. Dataran pantai di pulau ini sebahagian besarnya sempit, dengan kawasan dataran terluas berada di timur laut pulau. Kawasan timur pulau merupakan kawasan yang paling membangun dan padat, manakala kawasan barat pulau kurang dibangunkan. Seberang Perai pula sebahagian besarnya mempunyai bentuk muka bumi yang rata, dengan sedikit kawasan berbukit di sempadan timur dengan Kedah.
Sungai utama yang mengalir di Pulau Pinang termasuklah Sungai Pinang, Sungai Muda, Sungai Perai dan Sungai Kerian. Sungai Muda menjadi sempadan utara antara Seberang Perai dan Kedah, manakala Sungai Kerian menjadi sempadan selatan antara Seberang Perai, Kedah dan Perak.
Beberapa projek tebus guna tanah telah dilaksanakan di kawasan perairan timur Pulau Pinang disebabkan kekurangan tanah dan kepadatan George Town. Pada tahun 2023, proses penambakan telah dilaksanakan di kawasan selatan pulau bagi membina Pulau Silikon yang berkeluasan 920 hektar.
Iklim
Suhu (siang) | 27°C-30°C |
Suhu (malam) | 22°C-24°C |
Curahan hujan | 2670 mm |
Kelembapan | 70%-90% |
Data iklim untuk Pulau Pinang | |||||||||||||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Bulan | Jan | Feb | Mac | Apr | Mei | Jun | Jul | Ogo | Sep | Okt | Nov | Dis | Tahun |
Purata maksimum suhu harian, °C (°F) | 31.6 (88.9) |
32.2 (90.0) |
32.2 (90.0) |
31.9 (89.4) |
31.6 (88.9) |
31.4 (88.5) |
31.0 (87.8) |
30.9 (87.6) |
30.4 (86.7) |
30.4 (86.7) |
30.4 (86.7) |
30.7 (87.3) |
31.2 (88.2) |
Purata minimum suhu harian, °C (°F) | 23.2 (73.8) |
23.5 (74.3) |
23.7 (74.7) |
24.1 (75.4) |
24.2 (75.6) |
23.8 (74.8) |
23.4 (74.1) |
23.4 (74.1) |
23.2 (73.8) |
23.3 (73.9) |
23.3 (73.9) |
23.4 (74.1) |
23.5 (74.3) |
Purata curahan hujan, mm (inci) | 68.7 (2.70) |
71.7 (2.82) |
146.4 (5.76) |
220.5 (8.68) |
203.4 (8.01) |
178.0 (7.01) |
192.1 (7.56) |
242.4 (9.54) |
356.1 (14.02) |
383.0 (15.08) |
231.8 (9.13) |
113.5 (4.47) |
2,407.6 (94.78) |
Purata bilangan hari hujan (≥ 1.0 mm) | 5 | 6 | 9 | 14 | 14 | 11 | 12 | 14 | 18 | 19 | 15 | 9 | 146 |
Purata bulanan jangka masa sinaran matahari | 248.0 | 234.5 | 235.6 | 225.0 | 204.6 | 201.0 | 204.6 | 189.1 | 162.0 | 170.5 | 183.0 | 207.7 | 2,465.6 |
Sumber 1: National Environment Agency | |||||||||||||
Sumber 2: Hong Kong Observatory[20] |
Kerajaan

Negeri Pulau Pinang merupakan antara empat negeri di Malaysia yang tidak mempunyai sistem beraja. Ketua negeri bagi Pulau Pinang ialah Yang di-Pertua Negeri, yang dilantik Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Jawatan ini kini disandang oleh Ahmad Fuzi Abdul Razak. Bidang kuasa Yang di-Pertuan Negeri sebahagian besarnya hanya sebagai bentuk simbolik, antaranya ialah kuasa melantik ketua menteri dan meluluskan undang-undang yang telah diluluskan badan perundangan negeri.[21]
Pulau Pinang mempunyai badan eksekutif dan perundangannya yang tersendiri, akan tetapi kuasanya terhad apabila dibandingkan dengan bidang kuasa kerajaan pusat. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merupakan badan perundangan utama negeri, dengan ahli seramai 40 orang. Kesemua ahli dewan ini dipilih untuk tempoh maksimum selama lima tahun daripada setiap kawasan pengundian yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri.
![]() | |||||
Hubungan | Ketua parti/gabungan | Status | Kerusi | ||
---|---|---|---|---|---|
PRN 2023 | Semasa | ||||
|
Pakatan Harapan Barisan Nasional |
Chow Kon Yeow | Kerajaan | 29 | 29 |
Perikatan Nasional | Muhammad Fauzi Yusoff[22] | Pembangkang | 11 | 11 | |
Jumlah | 40 | 40 | |||
Majoriti kerajaan | 18 | 18 |
Badan eksekutif utama negeri ini ialah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sama fungsinya dengan Kabinet Persekutuan. Majlis ini diketuai oleh Ketua Menteri, yang berperanan sebagai ketua kerajaan Pulau Pinang. Majlis ini juga terdiri daripada 11 ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Negeri (atas nasihat Ketua Menteri) dan dalam kalangan ahli Dewan Undangan Negeri. Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia di mana jawatan ketua menterinya disandang oleh etnik Cina sejak kemerdekaan. Ketua Menteri Pulau Pinang yang terkini ialah Chow Kon Yeow dari Parti Tindakan Demokratik, yang menyandang jawatan ini sejak 2018.
Terdapat dua kerajaan tempatan berstatus bandaraya yang mentadbir Pulau Pinang, iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang mentadbir kawasan pulau dan Majlis Bandaraya Seberang Perai yang mentadbir kawasan Seberang Perai. Kedua-dua majlis ini masing-masing mempunyai ahli seramai 24 orang dan diketuai seorang datuk bandar.
Pecahan kawasan pentadbiran
Negeri Pulau Pinang dibahagikan kepada 5 daerah dan 81 mukim.
Daerah di Pulau Pinang | |||
---|---|---|---|
![]() | |||
Daerah | Keluasan (km2)[23] | Populasi (2020)[24] | Mukim |
Barat Daya | 174.87 | 237,735 | 22 |
Seberang Perai Selatan | 242.27 | 422,985 | 16 |
Seberang Perai Tengah | 237.8 | 339,132 | 21 |
Seberang Perai Utara | 267.74 | 183,996 | 16 |
Timur Laut | 126.4 | 556,557 | 6 |
Bandar utama
Hubungan luar
Pulau Pinang mempunyai perwakilan diplomatik asing yang terbesar antara negeri-negeri di Malaysia. Setakat tahun 2023, 27 negara telah menubuhkan konsulat atau malantik konsul terhormat di Pulau Pinang.[25] Kerajaan Pulau Pinang juga telah mengadakan hubungan "wilayah kembar" dengan Kanagawa, Jepun dan hubungan wilayah persahabatan dengan Hainan, China.[26][27]
Demografi
Etnik
Pada tahun 2020, etnik Bumiputera (yang merangkumi orang Melayu dan masyarakat Bumiputera Borneo) merangkumi sekitar 41% daripada populasi Pulau Pinang, manakala kaum India membentuk hampir 10%. Negeri ini juga merupakan tempat tinggal bagi gabungan kosmopolitan etnik Cina, Eurasia, Siam, dan Arab.[29][30][31]
Warga asing membentuk 8% daripada populasi Pulau Pinang pada tahun 2020. Lebih daripada 38% ekspatriat di Pulau Pinang menetap di pusat bandar George Town, Paya Terubong, dan Bayan Lepas. Kos sara hidup yang berpatutan di George Town, destinasi alam semula jadi, infrastruktur perkhidmatan kesihatan, ekosistem syarikat multinasional (MNC) yang telah mapan, serta penggunaan bahasa Inggeris yang meluas telah dikenal pasti sebagai faktor penarik bagi para ekspatriat.
Bahasa
Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi di Pulau Pinang. Bahasa Inggeris pernah berfungsi sebagai bahasa rasmi semasa pemerintahan British, dan kebelakangan ini terdapat seruan untuk menjadikannya semula sebagai salah satu bahasa rasmi Pulau Pinang. Bahasa Tamil merupakan bahasa yang paling umum digunakan dalam kalangan etnik India. Selain itu, bahasa India lain seperti Malayalam, Telugu, Hindi dan Punjabi turut digunakan. Sementara itu, populasi etnik Cina di Pulau Pinang menggunakan pelbagai dialek
Agama
Pulau Pinang, seperti negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia, menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Pada tahun 2020, umat Islam membentuk lebih daripada 45% daripada populasi Pulau Pinang, diikuti oleh penganut Buddha hampir 38%, Hindu lebih daripada 8%, dan Kristian sekitar 4%. Pulau Pinang juga memberikan kebebasan beragama dan kebebasan untuk berhimpun atas dasar keagamaan, serta merupakan salah satu daripada tiga negeri yang mempunyai jabatan khas untuk urusan bukan Islam, seperti Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (Penang Hindu Endowment Board).
Ekonomi
Sektor ekonomi di Pulau Pinang mengikut sumbangan KDNK (2023)[33]
Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mempunyai ekonomi terbesar di Malaysia, dengan sebahagian besarnya didorong oleh sektor perkilangan dan perkhidmatan.[34] Pada tahun 2023, keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Pulau Pinang dicatatkan bernilai RM128,593 bilion dengan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.3 peratus.[33] KDNK per kapita Pulau Pinang pula bernilai RM72,586, merupakan yang tertinggi antara negeri di Malaysia. Pulau Pinang menyumbang kira-kira RM 7 bilion dalam cukai tahunan Malaysia dan mencatatkan antara kadar pengangguran terendah di Malaysia, iaitu 2.2 peratus pada 2023. Median pendapatan isi rumah bulanan di Pulau Pinang dicatatkan bernilai RM6,502 dan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 71.3 peratus.[35]
Pulau Pinang merupakan destinasi utama bagi pelabur asing di Malaysia, menguasai hampir 33 peratus daripada pelaburan langsung asing (FDI) negara pada 2023. Negeri ini juga merupakan pengeksport terbesar di Malaysia, dengan nilai lebih RM447 bilion atau 31 peratus daripada nilai eksport negara. Sektor perkhidmatan di negeri ini juga berkembang, dengan Pulau Pinang menjadi hab kedua paling penting di Malaysia untuk Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) dan menjadi pusat kewangan di kawasan barat laut negara. Indeks Pembangunan Manusia (IPM) Pulau Pinang juga dicatatkan sebanyak 0.83, keempat tertinggi di Malaysia.
Pengangkutan


Pulau Pinang dihubungkan dengan tanah besar Seberang Perai melalui dua jambatan, iaitu Jambatan Pulau Pinang yang berukuran 13.5 kilometer dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang berukuran 24 kilometer. Seberang Perai dihubungkan dengan bandar-bandar di pantai barat Semenanjung melalui Lebuhraya Utara Selatan. Antara jalan tol utama di Seberang Perai ialah Lingkaran Luar Butterworth dan Lebuhraya Butterworth–Kulim. Laluan kereta api Pantai Barat juga melalui Seberang Perai, menyediakan perkhidmatan KTM Komuter Utara dan KTM ETS yang menghubungkan enam stesen di Seberang Perai dengan Padang Besar dan Ipoh. Penang Sentral merupakan hab transit utama di negeri ini, yang terletak strategik berdekatan dengan Pangkalan Sultan Abdul Halim dan stesen keretapi Butterworth.
Antara lebuh raya utama di kawasan pulau ialah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang berada di kawasan pesisir timur pulau. Jalan Lingkaran Dalam George Town pula berfungsi sebagai jalan utama di pusat bandar Georgetown. Laluan Persekutuan 6 pula merupakan jalan utama yang mengelilingi keseluruhan timur dan barat pulau. Kerajaan negeri juga mula membangunkan satu sistem transit aliran (LRT) yang digelar sebagai Laluan Mutiara, menghubungkan kawasan di timur pulau. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang terletak 16 kilometer di selatan Georgetown. Ia merupakan lapangan terbang utama di utara Malaysia dan menyediakan kemudahan penerbangan antarabangsa ke London, Hong Kong, Singapura, Medan, Taipei, Bangkok, Seoul, Riau, dan Chennai. Lapangan terbang ini juga merupakan lapangan terbang ketiga tersibuk di Malaysia mengikut trafik penumpang.
Pengangkutan feri juga merupakan penghubung antara kawasan pulau dan Seberang Perai, di mana pada asalnya merupakan satu-satunya penghubung sebelum pembinaan Jambatan Pulau Pinang pada 1985. Kini, pengangkutan feri masih wujud dengan empat feri menyeberangi Selat Pulau Pinang dalam sehari.
Pendidikan

Sistem pendidikan Pulau Pinang berada di bawah seliaan kerajaan Persekutuan, sama seperti negeri lain. Umumnya terdapat dua jenis sekolah di Pulau Pinang, iaitu sekolah biasa dan sekolah vernakular yang mengutamakan penggunaan dan pengajaran Bahasa Mandarin dan Tamil. Kadar celik huruf Pulau Pinang merupakan ketiga tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Kuala Lumpur, iaitu dengan kadar 99.5 peratus pada 2014.[36] Terdapat 49 institusi pengajian tinggi, 13 sekolah antarabangsa, 128 sekolah menengah, 271 sekolah rendah dan 609 tadika di seluruh negeri Pulau Pinang.[37][38]
Universiti Sains Malaysia merupakan sebuah universiti awam di Pulau Pinang. Kebanyakan institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang merupakan institusi swasta, antaranya termasuklah Universiti Terbuka Wawasan dan Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang. Pulau Pinang juga menempatkan beberapa sekolah tertua di Malaysia, antaranya ialah Penang Free School, sekolah Inggeris tertua di Asia Tenggara dan beberapa sekolah lain yang didirikan semasa era British.
Kesihatan

Sistem kesihatan di Pulau Pinang terdiri daripada perkhidmatan hospital awam dan swasta. Hospital Pulau Pinang merupakan hospital kerajaan utama di negeri ini dan di kawasan utara Malaysia. Terdapat juga lima hospital awam lain di Pulau Pinang, kesemuanya di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Pulau Pinang turut mempunyai 19 hospital swasta yang menawarkan khidmat pakar. Jumlah bilangan keseluruhan katil di semua hospital di Pulau Pinang ialah 4,329 buah atau hampir 250 katil per 10 ribu orang.[39] Pulau Pinang juga merupakan hab terkemuka di Malaysia bagi sektor pelancongan perubatan.[40]
Kebudayaan

Pulau Pinang mempunyai warisan kebudayaan yang pelbagai, terdiri daripada kebudayaan masyarakat Melayu, Cina, India dan juga beberapa kebudayaan antarabangsa. Pelbagai festival dan sambutan perayaan disambut di Pulau Pinang termasuklah Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Thaipusam, Krismas, Tahun Baru Cina, Wesak dan Songkran.[41]
Perayaan Islam di Pulau Pinang sangat penting bagi komuniti Muslim yang merupakan sebahagian besar penduduk. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang paling dinanti-nantikan selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Pada hari tersebut, umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri, berkumpul bersama keluarga, serta saling menziarahi sanak saudara dan jiran tetangga sebagai tanda silaturahim. Selain itu, Hari Raya Aidiladha turut disambut dengan pelaksanaan ibadah korban, di mana haiwan korban disembelih dan dagingnya diagihkan kepada golongan fakir miskin, sekali gus memperkukuh rasa keprihatinan sosial dalam masyarakat.
Komuniti India di Pulau Pinang juga mempunyai pelbagai perayaan yang kaya dengan tradisi dan makna kerohanian. Deepavali, atau Diwali, dikenali sebagai perayaan cahaya yang melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan. Pada hari tersebut, umat Hindu menyalakan pelita minyak, berdoa di kuil, serta mengadakan jamuan dan persembahan kebudayaan.
Thaipusam merupakan salah satu perayaan terbesar di Pulau Pinang, di mana ribuan penganut Hindu menyertai perarakan panjang dari pelbagai kuil menuju ke Kuil Arulmigu Balathandayuthapani sambil membawa kavadi dan menjalani ritual pengorbanan sebagai tanda penghormatan kepada Dewa Murugan. Selain itu, perayaan menuai seperti Ponggal dan Vaisakhi turut diraikan sebagai ungkapan kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah.
Bagi komuniti Kristian di Pulau Pinang, Hari Krismas merupakan perayaan utama yang disambut dengan penuh kegembiraan. Perayaan ini diserikan dengan kebaktian di gereja, hiasan pokok Krismas, serta pelbagai acara sosial dan kebajikan. Bandar George Town, ibu negeri Pulau Pinang, kebiasaannya dihiasi dengan lampu berwarna-warni dan dekorasi khas Krismas yang menambahkan suasana meriah sepanjang musim perayaan.
Penganut agama Buddha di Pulau Pinang memperingati perayaan Wesak sebagai detik penting untuk mengenang kelahiran, pencerahan, dan kewafatan Siddhartha Gautama (Buddha). Perayaan ini lazimnya diadakan di kuil-kuil Buddha dengan pelbagai aktiviti keagamaan seperti doa bersama, meditasi, dan program amal yang mengeratkan hubungan dalam kalangan komuniti.
Kehadiran golongan ekspatriat juga telah membawa beberapa festival antarabangsa seperti Bon Odori, Hari Santo Patrick dan Oktoberfest.[42][43][44] Pulau Pinang turut mengadakan beberapa festival tahunan seperti Festival George Town.[45]
Pulau Pinang juga terkenal dengan beberapa seni pertunjukan dan tarian. Antaranya termasuklah Wayang Bangsawan iaitu sejenis teater Melayu yang turut menggabungkan pengaruh India, Cina, Islam dan Barat.[46] Boria merupakan antara persembahan lain yang berasal dari Pulau Pinang, menampilkan nyanyian diiringi biola, marakas dan tabla.[47] Warisan makanan Pulau Pinang juga dipengaruhi budaya Melayu, Cina, India, Peranakan dan Siam, terbukti dengan variasi makanannya seperti asam laksa, kuetiau dan nasi kandar. Georgetown juga telah menjadi salah satu bandar yang mempunyai makanan jalanan terbaik di Asia, dengan gelaran "pusat makanan Malaysia" oleh CNN.[48]
Variasi kebudayaan Pulau Pinang juga mempengaruhi seni bina bandar Georgetown, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2008.[49] Kepelbagaian budaya di Georgetown ditampilkan dengan binaan rumah kedai bersebelahan banglo Inggeris-India, masjid, kuil, gereja dan bangunan komersial bergaya Eropah. Budaya Siam dan Burma juga tampil di binaan beberapa kuil seperti Wat Chayamangkalaram. Georgetown juga terkenal dengan beberapa bangunan pencakar langit, termasuklah Komtar yang merupakan bangunan tertinggi di Pulau Pinang.
Penduduk terkenal
Lihat juga
- Pelancongan di Pulau Pinang
- Senarai masjid di Pulau Pinang
- Identiti Pulau Pinang
- Frekuensi Radio di Pulau Pinang
Rujukan
- ^ "Laporan Kiraan Permulaan 2010". Jabatan Perangkaan Malaysia. m/s. 27. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Julai 2011. Dicapai pada 24 Januari 2011.
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaPenduduk Pulau Pinang
- ^ "| Human Development Reports". hdr.undp.org.
- ^ https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=d21BMHFxZFBIcFlCNExIYUQ1cE92Zz09
- ^ "Pulo Ka Satu : Warisan Sejarah Awal Persuratan Melayu Pulau Pinang" (PDF). Perpustakaan Negara Malaysia.
- ^ Larry, Sternstein. "The London Company's Envoys Plot Siam" (PDF). Siam Society: 37.
- ^ Liew, Jia Xian (12 Aug 2022). "5,000-Year-Old 'Penang Woman' Now Has a Face". The Star. Dicapai pada 11 Mar 2024.
- ^ "Prehistoric Human Skeleton Found at Penang Neolithic Site". TODAY. 19 April 2017. Dicapai pada 2017-04-29.
- ^ "Penang to Seek UNESCO Heritage Status for Guar Kepah Neolithic Site". The Star. 26 April 2017.
- ^ Freedman Leonard, Rousham Emily (1996). Perspectives in Human Biology: Humans in the Australasian Region. World Scientific. ISBN 978-981-4497-86-2.
- ^ Habibu, Sira (9 December 2013). "Lembah Bujang Covers a Larger Area". The Star.
- ^ Bisalputra, Pimpraphai; Sng, Jeffery (2020). "The Hokkien Rayas of Songkhla". Siam Society. 108 (1).
- ^ Hill, Ronald David (23 November 1839). "Plan of Prince of Wales Island and Province Wellesley". National Archives of Singapore. Ms copy by Poon Puay Kee. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
- ^ Moniot, Jules Michael (1860). "Map of Prince of Wales Island, or Pulo Penang and Province Wellesley including a Careful Survey of the South Channel". National Archives of Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
- ^ Stanford, Edward (1870). "Map of Prince of Wales Island and Province Wellesley, Straits Settlements". National Archives of Singapore. Revised by Major J.F.A.McNair. Diarkibkan daripada yang asal pada 18 October 2022. Dicapai pada 10 January 2024.
- ^ Allen, J. De V.; Stockwell, A. J.; Wright, L. R. (1981). "Documents Archive - Pangkor Engagement of 1874". Empire in Asia. Annotated by Aloysius Ng. National University of Singapore. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 November 2016. Dicapai pada 30 January 2023.
- ^ Jou, Michael Hsiao & Aveline-Dubach 2014, halaman 188
- ^ Lewis Su 2016, halaman 34
- ^ "Sejarah - Kerajaan Negeri Pulau Pinang". Dicapai pada 2022-03-31.
- ^ "Climatological Information for Penang, Malaysia". Hong Kong Observatory. Dicapai pada 2010-10-30.
- ^ "Pejabat TYT". Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pulau Pinang (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-01-17.
- ^ Opalyn Mok (17 November 2023). "Penang PAS Chief Fauzi Yusof is New State Opposition Leader". Malay Mail. Dicapai pada 4 Disember 2023.
- ^ "Kependudukan Pulau Pinang" (PDF). Jabatan Perangkaan Malaysia Pulau Pinang. 2020. m/s. 1. Dicapai pada 2022-03-31.
- ^ "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2020. m/s. 54. Dicapai pada 2022-03-30.
- ^ "Diplomatic and Consular List November 2023". Kementerian Luar Negeri Malaysia.
- ^ "Penang-Kanagawa Twin City Ties Renewed to Mark 20th Anniversary". The Star. 22 November 2011.
- ^ Christopher Tan (31 Mei 2019). "Malaysia-China Celebrate 45-year Strong Diplomatic Ties". Buletin Mutiara. Dicapai pada 13 Januari 2024.
- ^ "Population and Housing Statistics". Key Findings Population and Housing Census of Malaysia 2020: Pulau Pinang (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Putrajaya: Department of Statistics (Malaysia). 29 May 2022. m/s. 96. ISBN 978-967-253-516-4.
- ^ Filmer, Andrea (22 August 2023). "Penang Exhibition Offers a Photographic Exploration of Serani Identity". The Star. Dicapai pada 21 December 2023.
- ^ Johnson Lee, Chong Fatt (November 2018). "Siamese Ties in Need of Preservation". Penang Monthly (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 21 December 2023.
- ^ K. Mandal, Sumit (2018). Becoming Arab: Creole Histories and Modern Identity in the Malay World. Cambridge University Press. m/s. 112. ISBN 9781107196797.
- ^ "Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020" (pdf) (dalam bahasa Bahasa Melayu dan Inggeris). Jabatan Perangkaan Malaysia. ISBN 978-967-2000-85-3.
- ^ a b "Gross Domestic Product (GDP) by State, 2023". Jabatan Perangkaan Malaysia. 2 Julai 2024. Dicapai pada 2 Julai 2024.
- ^ "Laporan Sosioekonomi Negeri Pulau Pinang 2022". Jabatan Perangkaan Malaysia. Aug 2023. ISSN 2600-9854.
- ^ "Laporan Sosioekonomi Negeri Pulau Pinang 2023". Jabatan Perangkaan Malaysia. Aug 2024. ISSN 2600-9854.
- ^ "Malaysia Millennium Development Goals Report 2015" (PDF). Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Januari 2016. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 27 Ogos 2018. Dicapai pada 24 Mei 2017.
- ^ "Penang Statistics Quarter 2, 2020" (PDF). Penang Institute.
- ^ "My Local Stats Pulau Pinang 2021". Jabatan Perangkaan Malaysia. 27 November 2023. ISSN 2636-9001.
- ^ "Penang: Healthcare – Penang Institute". penanginstitute.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-02-02.
- ^ "Malaysia's Penang lures medical tourists from Indonesia". Nikkei Asia (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-02-02.
- ^ "Calendar of Events 2022" (PDF). Penang Global Tourism.
- ^ "Information & Culture". Konsulat Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Malaysia. Dicapai pada 7 Disember 2023.
- ^ N. Trisha (14 Mac 2016). "St Patrick's Day Celebrated with Merriment over Four Days". The Star. Dicapai pada 14 Mac 2016.
- ^ Jeremy Tan (9 Oktober 2010). "Oktoberfest Cheer in Penang". The Star. Dicapai pada 9 Oktober 2010.
- ^ Chen, May Yee (31 Julai 2014). "Old Colonial City in Malaysia Becomes a Stage". The New York Times. Dicapai pada 29 November 2017.
- ^ Hon, Yi Wen (13 Ogos 2007). "Keeping Bangsawan Alive". Malaysiakini. Dicapai pada 7 Disember 2023.
- ^ Opalyn Mok (30 Januari 2019). "The Story of How Boria Evolved from a Passion Play into Parody Theatre". Malay Mail. Dicapai pada 7 Disember 2023.
- ^ Cripps, Karla (13 Julai 2017). "George Town, Penang: Asia's Greatest Street Food City?". CNN.
- ^ "Melaka and George Town, Historic Cities of the Straits of Malacca". UNESCO. 7 Julai 2008. Dicapai pada 7 Julai 2008.
- The Penang Tourism Action Council. "The 'Light' Years and Beyond" (2005).