Kuil Preah Vihear

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Prasat Preah Vihear

Nama: Prasat Preah Vihear
Pencipta: Suryavarman I dan Suryavarman II
Tarikh pembinaan: Abad ke-11 dan ke-12 M
Dewa-dewi utama: Shiva
Seni bina: Gaya Banteay Srei dan lain-lain
Lokasi: Preah Vihear, Kemboja

Kuil Preah Vihear (bahasa Khmer: ប្រាសាទព្រះវិហារ, Prasat Preah Vihear; Bahasa Thai: ปราสาทพระวิหาร, Prasat Phra Viharn) ialah sebuah kuil Hindu lama yang dibina pada zaman Empayar Khmer, yang terletak di atas cenuram setinggi 525-meter (1,722 ka) di Pergunungan Dângrêk di wilayah Preah Vihear, Kemboja dan di sempadan wilayah Sisaket di bahagian timur laut Thailand.

Peta menunjukkan lokasi kuil ini di sempadan Kemboja–Thai

Keputusan mahkamah antarabangsa[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1962, berikutan pertikaian hangat antara pihak Thailand dan Kemboja mengenai pemilikan kuil tersebut, Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague memutuskan bahawa kuil berkenaan adalah milik Kemboja. Tanah berhampiran di utaranya pula dikuasai Thailand, meskipun melanggar ketetapan Mahkamah tersebut.[1] Dengan pemandangan indah merentas padang rumput berkilometer jauhnya, Kuil Preah Vihear menikmati latar yang paling mengagumkan di antara semua kuil yang dibina ketika zaman Empayar Khmer yang wujud selama enam abad. Sebagai mahligai terpenting bagi kerohanian empayar, kuil ini disokong dan diubahsuai atas titah raja-raja bersilih ganti, jadi ia menampakkan unsur-unsur pelbagai gaya seni bina. Kuil Preah Vihear lain daripada kuil-kuil Khmer yang lain kerana dibina sepanjang paksi utara-selatan yang panjang, padahal kuil-kuil lain biasanya mengamalkan pelan segiempat tepat dan menghadap ke timur. Kuil ini menyumbangkan namanya kepada wilayah Preah Vihear di Kemboja yang menjadi tempat bertapaknya kuil ini, dan juga Taman Negara Khao Phra Wihan di wilayah Sisaket, Thailand, di mana adalah paling mudah untuk memasuki kuil terbabit.

Tapak warisan dunia[sunting | sunting sumber]

Pada 7 Julai 2008, Kuil Preah Vihear disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.[2]

Pertikaian sejak 2008[sunting | sunting sumber]

Kuil Preah Vihear menjadi titik tengah perbahasan hangat antara negara Kemboja dan Thailand. Pertikaian pemilikan kuil ini timbul semula dewasa ini apabila Kemboja mengemukakan permohonan kepada UNESCO agar Kuil Preah Vihear diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia. Thailand mendakwa bahawa permohonan jirannya itu merangkumi tanah sekeliling kuil itu yang dituntut oleh Thailand. Pihak Kemboja menarik balik permohonannya, sehingga tahun 2008, setelah mendapat restu Thailand, mengemukakan semula permohonannya yang diubahsuai agar hanya kuil itu yang diiktiraf dan bukan tanah di sekelilingnya.

Isu lokasi dan penyenaraian Kuil Preah Vihear itu menjadi titik tengah lagak politik di Kemboja dan Thailand. Perikatan Rakyat untuk Demokrasi selaku parti pembangkang utama Thailand, telah menyebabkan kuil ini daripada perkara kecil menjadi heboh dalam cubaan menjatuhkan kerajaan Parti Kuasa Rakyat pimpinan Perdana Menteri Samak Sundaravej. Kerajaan Parti Rakyat Kemboja pimpinan Perdana Menteri Hun Sen telah mengambil kesempatan terhadap kebetulan masa persidangan tahunan UNESCO dan penyenaraian Kuil terbabit sebagai Tapak Warisan Dunia bagi berkempen dalam pilihan raya parlimen 27 Julai 2008.[3]

Pada 11 November 2009, Menteri Kehakiman, Pirapan Salirathavibhaga menyatakan kerajaan Thailand akan menuntut semula kuil sempadan itu. Sementara itu sekumpulan penduduk kampung di Kemboja membakar patung menyerupai wajah Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva sambil mendakwa polisi beliau telah menyebabkan ketegangan di sempadan. Hubungan diplomatik dengan Kemboja menjadi tegang kerana rakyatnya ditahan oleh pihak berkuasa Kemboja atas tuduhan mengintip.[4]

Pada Februari 2011, semasa pegawai Thai berada di Kemboja merundingkan pertikaian ini, askar Thai dan Kemboja bertempur, menyebabkan kematian di kedua-dua pihak.[5] Kerajaan Kemboja mendakwa serangan bedilan di kawasan itu ketika konflik tersebut menyebabkan kerosakan pada kuil.[6] Misi UNESCO ke situ mendapati kerosakan tersebut ialah akibat tembakan kedua-dua pihak.[7]

ASEAN, yang dianggotai kedua-dua negara, telah menawarkan menjadi pengantara isu ini. Namun, Thailand menegaskan yang perbincangan dua pihak dapat menyelesaikannya dengan lebih baik.[8]

Pada 11 November 2013, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa penghakiman 1962nya memberikan kawasan tanjung tinggi sekitar dan bawah kuil ini kepada Kemboja, dan mana-mana pasukan keselamatan Thai yang masih berada di situ hendaklah meninggalkannya.[9][10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ http://www.preah-vihear.com/
  2. ^ https://web.archive.org/web/20090210122753/http://www.iht.com/articles/ap/2008/07/08/america/NA-Canada-Thailand-Cambodia-Temple.php 900-year-old temple on disputed Thai-Cambodia border named world heritage site
  3. ^ BBC NEWS | Asia-Pacific | Political tensions driving temple row 15 Julai 2008
  4. ^ Menteri Thailand mahu tuntut kuil Kemboja Utusan. 19/11/2009.
  5. ^ Daniel Schearf (4 Februari 2011). "Thailand, Cambodia Border Fighting Breaks Out Amid Tensions". Voice of America.
  6. ^ Petzet, Michael (2010). "Cambodia: Temple of Preah Vihear". Christoph Machat, Michael Petzet dan John Ziesemer (Ed.), "Heritage at Risk: ICOMOS World Report 2008-2010 on Monuments and Sites in Danger" (PDF). Berlin: hendrik Bäßler verlag, 2010
  7. ^ UNESCO (8 February 2011), UNESCO to send mission to Preah Vihear, unesco.org, dicapai pada 6 June 2011
  8. ^ "Shells fly around the temple". The Economist. 7 Februari 2011. Dicapai pada 7 Februari 2011.
  9. ^ "Preah Vihear temple: Disputed land Cambodian, court rules". BBC News. 11 November 2013. Dicapai pada 12 November 2013.
  10. ^ "salinan arkib" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2013-11-11. Dicapai pada 2013-11-14.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]