Pantang larang orang india

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

SEWAKTU MENGANDUNg

Adat Valaikaappu adalah adat yang dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud `kandungan ibu’ dan Kaappu pula bermaksud ‘perlindungan’. Gelang ini dipakai bertujuan untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada kesukaran semasa bersalin.

Adat Valaikaappu diadakan pada hari dan masa yang baik menurut kalendar India. Upacara ini akan diadakan di rumah suami atau ibu bapa dan disertai oleh kaum wanita yang telah bersuami dan mempunyai anak yang dipanggil cumanggali.

Gelang tangan yang dipakaikan dalam upacara ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu gelang kaca, pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak dilahirkan, gelang tangan emas tersebut akan dileburkan untuk dibuat perhiasan bagi bayi tersebut dan akan dipakaikan pada hari pemberian nama.

   SEMASA BERSALIN

Membisikkan Nama Tuhan ear1

Sebaik sahaja bayi dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi mengenai agama Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi sebelum tali pusat dipotong. Namun begitu adat ini disesuaikan dengan hanya membisikkannya sebaik sahaja melihat bayi tersebut kerana perubatan moden tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik bersalin.

Bisikan nama Tuhan pada telinga bayi adalah untuk membolehkan bayi tadi mendengar nama Tuhan sebelum mendengar apa-apa yang lain. Ia bertujuan untuk membawa rahmat kepada bayi tersebut.

Potong tali pusat

Tali pusat yang dipotong akan ditanam bersama uri dan tembuni di sekitar kawasan rumah bersama duit tembaga, serbuk kunyit, garam dan pinang. Bahan-bahan ini dimasukkan bersama untuk mengelak dari dikorek oleh binatang liar dan tidak digunakan oleh ahli sihir. 

Menyapu Madu

Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu bercampur minyak sapi pada lidahnya. Di samping madu, air gula juga boleh digunakan. Minyak savvennai yang merupakan campuran minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan. Kegunaan minyak ini dipercayai boleh membawa kecantikan dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Madu pula dikatakan dapat melembutkan lidah bayi dan memudahkan bayi bertutur. Setitik minyak bijan yang dicampur dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi pelawas dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut.

   SELEPAS KELAHIRAN

Membawa Bayi Pulang Ke Rumah (Upacara aalati) sireh •Dulang yang mengandungi serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang, sirih dan kapur barus yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali mengikut arah jam dan juga lawan jam.

•Dulang juga dilambai sebanyak tiga kali.

•Seterusnya para cumanggali akan mencelupkan ibu jarinya ke dalam dulang tersebut dan mencalitkan ke dahi ibu dan anak.

•Setelah ibu dan anak masuk ke dalam rumah, isi dulang aalati dibuang.

Mandi Selepas Bersalin

Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi dengan menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan herba. Ia bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit bayi.

Selesai dimandikan, bayi ditonggengkan dengan mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian punggung untuk mengeluarkan kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap kemenyan, dan disapu dengan bedak yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung dengan kain bertujuan untuk meluruskan anggota badan bayi.

Mendodoi Bayi

Amalan mendodoi bayi merupakan upacara yang paling penting dalam masyarakat India. Upacara mendodoi ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud penggoyangan lidah. Upacara dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-cerita nasihat. Ia bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Namun amalan ini semakin berkurangan dilakukan dan hanya diamalkan oleh generasi tua sahaja.