Pengguna:SyahirSQRT2/Kotak pasir/Hidrogen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Saya nak cuba jadikan rencana hidrogen sebagai rencana pilihan. Kalau ada sesiapa yang hendak tolong saya, marilah sunting rencana ini. Syahir√2 (bs)

Hidrogen, dengan simbol kimia H, ialah sejenis unsur kimia dengan nombor atom 1 dan berat atom 1.007 94 u. Ia wujud dalam bentuk gas dwiatom dalam suhu dan tekanan piawai yang tidak berbau, tidak berwarna dan sangat mudah terbakar.[1] Hidrogen juga adalah unsur semula jadi yang paling banyak, yang membentuk 75% daripada jisim atom alam semesta. Kebanyakannya wujud di ruang angkasa di dalam bintang-bintang dan nebula.[2]

Hidrogen boleh diperolehi melalui tindak balas antara logam dan asid. Pada tahun 1766, Henry Cavendish, seorang ahli kimia dan fizik England, telah mengenalpasti unsur ini buat pertama kali melalui tindak balas tersebut. Antoine Lavoisier telah memberikan nama "hydrogen" kepada unsur baru ini pada tahun 1783.[1][3]

Isotop utama unsur ini ialah protium (1H). Protium adalah atom yang paling ringkas dan paling banyak yang wujud; ia hanya mempunyai satu proton di nukleusnya dan satu elektron yang mengelilinginya. Dua isotop lain unsur ini adalah deuterium (2H) dan tritium (3H) yang masing-masing mempunyai 1 dan 2 neutron. Di dalam sebatian ion, ia boleh menarik elektron dan bercas negatif (anion), ataupun menolak elektronnya dan bercas positif (kation). Hidrogen boleh membentuk sebatian dengan banyak unsur lain di dalam jadual berkala disebabkan struktur atomnya yang ringkas.

Kegunaan utamanya adalah dalam penghasilan ammonia melalui proses Haber untuk menghasilkan baja. Ia juga digunakan sebagai agen penurun untuk menulenkan logam, dan sebagai bahan bakar roket dalam bentuk cecair. Oleh kerana pembakarannya yang bersih dan potensinya mempunyai kecekapan yang tinggi, kajian-kajian sedang dijalankan untuk menjadikan hidrogen sebagai bahan bakar alternatif yang mampu menggantikan petroleum dan gas asli yang digunakan masa kini.[4][5]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penemuan[sunting | sunting sumber]

Pada 1671, Robert Boyle telah menerbitkan satu kertas kerja yang menerangkan tindak balas antara serbuk besi dan asid sulfurik yang menghasilkan sejenis gas mudah terbakar (beliau menjelaskannya sebagai "sebatian mudah terbakar Marikh (besi)").[3] Pada 1766, Henry Canvendish menjadi orang pertama yang mengenalpasti unsur ini sebagai unsur yang baru. Beliau memperolehi hidrogen melalui tindak balas di antara asid hidroklorik dan zink, dan menamakan gas ini "udara mudah terbakar". Beliau juga mengatakan bahawa bahan ini mempunyai ciri-ciri yang sama dengan satu bahan hipotetikal, "phlogiston". Pada 1781, beliau mendapati bahawa apabila bahan ini dibakar, ia membentuk air. Cavendish biasanya dianggap sebagai penemu hidrogen.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Hydrogen." Chemicool Periodic Table. Chemicool.com. Ditulis pada 17-10-2012. Web. Dirujuk pada 21-02-2013.
  2. ^ Hydrogen in the Universe - Ask an Astrophysicist, NASA. Ditulis pada 13-11-1997, dirujuk pada 21-02-2013.
  3. ^ a b WebElements Periodic Table of Elements | Hydrogen | Essential Informations, Mark Winter. Dirujuk 21-02-2013.
  4. ^ Hydrogen. rsc.org. Dirujuk pada 21-02-2013.
  5. ^ Alternative Fuels Data Center: Hydrogen Basics. US Department of Energy. Dirujuk 21-02-2013.