Penghulu Naam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Penghulu Naam adalah orang besar daerah Seri Menanti pada kurun ke 18. Ketika pemimpin-pemimpin Negeri Sembilan sedang berusaha mencari seorang raja, datang dari Pagar Ruyung seorang anak raja bernama Raja Khatib mengaku dirinya sebagai calon menjadi Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan. Penghulu Naam mengiktiraf perlantikan Raja Khatib dan mengahwinkannya dengan anak perempuannya.

Tidak berapa lama selepas itu datang ke Seri Menanti, calon sebenar Yang DiPertuan Besar bernama Raja Melewar. Raja Khatib melarikan diri. Bagaimanapun Penghulu Naam berdegil tidak mahu mengakui Raja Melewar sebagai Yang DiPertuan Besar. Dengan itu berlaku peperangan antara angkatan Raja Melewar dengan pengikut Penghulu Naam.

Mitos kehebatan Penghulu Naam[sunting | sunting sumber]

Menurut cerita lisan, Penghulu Naam adalah seorang pendekar yang handal dan banyak mempunyai ilmu sakti. Dalam peperangan itu Penghulu Naam bertarung satu lawan satu dengan Raja Melewar. Akhirnya Raja Melewar berjaya membunuh Penghulu Naam. Mayat Penghulu Naam dikebumikan di tanah perkuburan.

Anehnya, keesokan hari Penghulu Naam muncul semula dan mencabar Raja Melewar. Penghulu Naam hidup semula! Dalam pertarungan itu sekali lagi Raja Melewar membunuh Penghulu Naam. Sekali lagi mayat Penghulu Naam dikebumikan.

Esoknya sekali lagi Penghulu Naam hidup semula dan berperang dengan Raja Melewar. Sekali lagi Raja Melewar membunuh Penghulu Naam. Cuma kali ini Raja Melewar bertafakur mencari jalan bagaimana hendak mengalahkan ilmu Penghulu Naam yang boleh hidup semula ini. Akhirnya Raja Melewar mendapat ilham. Kepala Penghulu Naam di pancung terpisah dari badan. Kepalanya di tanam di puncak sebuah bukit manakala badannya di tanam di puncak sebuah bukit lain. Antara dua bukit ini dipisahkan oleh sebatang sungai.

Pada sebelah malamnya penduduk kampung mendengar suara Penghulu Naam melaung-laung memanggil badannya yang tertanam di bukit seberang sungai. Namun badan itu tidak berupaya menyeberang sungai untuk bersambung dengan kepalanya. Khabarnya suara melaung-laung memanggil badan itu berlangsung selama tiga malam. Malam berikutnya tidak kedengaran lagi. Dengan itu matilah Penghulu Naam. Menurut cerita sampai sekarang bukit yang ditanam kepala itu dipanggil Bukit Tempurung (tempurung kepala) dan bukit yang satu lagi dinamakan Bukit Badan.