Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) telah ditubuhkan pada tahun 1945-1949 di Tawau, Sabah. Persatuan ini diasaskan oleh beberapa orang pemimpin Melayu di Tawau pada masa tersebut iaitu selepas berakhirnya pendudukan Jepun di Sabah dan juga Tanah Melayu. Tujuan penubuhannya ialah untuk menyatukan seluruh bangsa Melayu di Tawau yang pada ketika itu telah sedar betapa pentingnya perpaduan di kalangan mereka untuk memastikan bangsa Melayu boleh bangkit memajukan diri mereka sama seperti bangsa lain walaupun dijajah oleh bangsa asing. Persatuan ini adalah kesinambungan daripada perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu yang cuba mempertahankan hak dan kepentingan orang-orang Melayu serta menjaga kedaulatan dan kemuliaan agama Islam khususnya untuk orang-orang Melayu Islam di Tawau. Antara pemimpin-pemimpin Melayu Tawau yang berkerjasama mengasaskan PKMT ini ialah Datuk Abu Bakar Titingan ( bapa kepada Datuk Taufik Abu Bakar Titingan, Ahli Parlimen Apas), Datuk Kassim Kamidin (bapa Haji Kamil Kamidin, bekas Ahli Parlimen Tanjung Batu), Datuk Haji Ahmad Ayid, Penghulu Jainal dan adiknya Haji Ampong.[1]

Ketika awal penubuhannya pada secara rasmi pada tahun 1949, ahli-ahli pertubuhan ini telah melantik Penghulu Abu Bakar menjadi pengerusi pertamanya sebagai menghormati beliau kerna beliau adalah pemimpin orang-orang Melayu di Tawau yang paling disayangi dan amat berjasa kepada orang Melayu pada ketika itu dan ketika zaman penaklukan tentera Jepun. Beliau memegang jawatan pengerusi sehingga beliau meninggal dunia pada tahun 1953 dan digantikan oleh anak didiknya yang juga menantu kepada abangnya iaitu Datuk Titingan Damsani atau lebih dikenali sebagai Abu Bakar Titingan. ( Nama 'Abu Bakar' diambil sempena nama mentor atau guru yang sangat beliau hormati iaitu nama Penghulu Abu Bakar sendiri ).[2]

Masyarakat Melayu di Tawau pada ketika itu rata-ratanya adalah golongan miskin sama ada bekerja sebagai nelayan atau menanam tanaman dan hampir kesemuanya tidak berpelajaran tinggi. Kehadiran pemimpin-pemimpin Melayu yang agak terpelajar dan golongan peniaga kaya terutamanya Melayu yang berketurunan Arab telah membantu menyedarkan tanggungjawab masyarakat Melayu untuk bersatu di bawah satu pertubuhan. Dengan penyatuan ini juga masyarakat Melayu boleh berganding bahu bersama sama di dalam pelbagai aktiviti untuk merapatkan silaturahim dan perpaduan di kalangan mereka. Mereka juga boleh bantu membantu dan tolong menolong di dalam mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu pada ketika itu. Bermula dengan tertubuhnya Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau inilah kemudiannya mencetuskan Persatuan Islam Tawau ( PIT ) dan seterusnya bersama sama seluruh masyarakat Melayu Islam di seluruh negeri Sabah bergabung dan membentuk Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 1961 yang berusaha mendapatkan kemerdekaan untuk negeri Sabah bersama Malaysia pada tahun 1963.

Pengasas PKMT[sunting | sunting sumber]

Datuk Seri Haji Abu Bakar Titingan[sunting | sunting sumber]

Nama sebenar beliau ialah Abu Bakar Titingan bin Damsani. Dilahirkan pada 1921 dan meninggal dunia pada tahun 1980. Beliau merupakan bapa kepada Datuk Taufik Hj Titingan (Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Kawasan Apas) dan Datuk Ahmad Baharom Titingan (bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah kawasan Balung). Beliau merupakan antara orang-orang yang penting dalam penubuhan parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bersama sama dengan Tun Datu Mustapa. Menjadi orang kepercayaan Tun Mustapa sebagai wakil kaum Melayu di keseluruhan daerah Tawau dan dilantik sebagai Naib Presiden USNO pada awal penubuhannya dalam tahun 1961. Pada Mei 1962, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi USNO Tawau dan mula menyumbangkan bakti sepenuh masa melalui kerjaya sebagai ahli politik kepada masyarakat Melayu di Tawau.

Beliau sangat dihormati oleh masyarakat Melayu Tawau dan mendapat sokongan sepenuhnya melalui parti keramat Melayu USNO. Sumbangan beliau dalam menyatukan bangsa Melayu Tawau dengan menubuhkan PKMT pada tahun 1945 dan wakil rakyat USNO di Tawau yang banyak berjasa di dalam membantu menyelesaikan permasalahan rakyat dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Melayu di Tawau. Beliau juga banyak menyumbangkan jasa di dalam meningkatkan kemajuan syiar Islam di Tawau dan negeri Sabah semasa menjadi Timbalan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) pada tahun 1969 dan seterus menjadi Yang dipertua MUIS pada tahun 1971.

Datuk Seri Panglima Dr. Haji Mohd Kassim Kamidin[sunting | sunting sumber]

Beliau adalah seorang yang amat dikenali oleh masyarakat Melayu di Tawau. Seorang yang banyak berjasa terutama di dalam meningkatkan kemajuan dan syiar Islam di Tawau sejak sebelum kemerdekaan Malaysia lagi iaitu ketika zaman pemerintahan British. Pernah menjadi naib ketua Persatuan Islam Tawau (PIT) pada tahun 1956. Selepas penggabungan semua pertubuhan Islam seluruh negeri Sabah dengan penubuhan Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA), beliau dilantik menjadi Ketua USIA Bahagian Tawau. Sebelum itu, beliau juga pernah dilantik menjadi Ketua Persatuan Muslim Wallace Bay (PERMUS). Selain itu, Datuk Kassim Kamidin juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Islamiah Tawau di antara tahun 1965 hingga 1970 dan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Raya, Tawau.

Beliau dilahirkan di Tawau pada tahun 1922. Berkahwin dengan Datin Seri Hajjah Zaimah Abdul Karim, anak sulung kepada Haji Abdul Karim Haji Drahman, pengerusi pertama PIT ( Persatuan Islam Tawau ). Kerjayanya bermula sebagai pembantu kerani akaun dengan NBT di Tawau pada tahun 1950. Kemudian dinaikkan pangkat sebagai Kerani Akaun dan dipindahkan ke Sebatik. Pada 29 Januari 1962, beliau menyertai cawangan USNO di Sebatik. Pada tahun berikutnya atas galakan majikannya untuk melibatkan diri dalam politik, beliau ditukarkan kembali ke Tawau dan dilantik menjadi Pengurus Jualan. Setelah kembali ke Tawau ini, beliau terlibat secara aktif dalam politik dan kegiatan dakwah melalui USNO dan PIT dan menyumbangkan banyak jasa kepada orang-orang Melayu di Tawau.

Namun jasa beliau yang terus diingati ialah dengan penglibatan beliau di dalam penubuhan PKMT pada 1945 khususnya yang melibatkan penyatuan masyarakat Melayu di Tawau. Sehingga akhir hayat beliau, beliau terus menyumbang jasa sama ada kepada masyarakat Melayu di Tawau dan keseluruhan masyarakat Islam di Tawau. Peranan dan sumbangan beliau terutama di dalam meningkatkan taraf pendidikan Islam melalui Sekolah Islamiah Tawau yang dimulakan pada tahun 1970 dan Tadika USIA serta pembinaan masjid masjid di seluruh Tawau akan terus diingati.

Penghulu Jainal[sunting | sunting sumber]

Pernah menjawat jawatan sebagai Penghulu ( Ketua Anak Negeri ) sekitar tahun 1950an dan 1960an. Banyak menyumbangkan jasa kepada masyarakat Melayu di Tawau sepanjang beliau menjadi Ketua Penghulu menyebabkan beliau sangat dihormati dan dikenang sepanjang hayatnya. Beliau adalah berasal dari keluarga Melayu Suluk di sebelah ibu dan datuk moyangnya yang merupakan antara penduduk asal di Tawau manakala bapanya adalah seorang perantau dari luar daerah yang berkahwin dan mahu hidup bersama dengan penduduk tempatan di Tawau. Hubungan rapatnya dengan sanak saudara sebelah ibunya dan hubungan mesranya dengan semua ahli masyarakat tempatan di Tawau menjadikannya mudah didekati dan dikenali oleh setiap masyarakat. Sumbangan beliau di dalam membantu menyatukan seluruh bangsa Melayu di Tawau sehingga tertubuhnya PKMT pada tahun 1945.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Buku 'Borneo Under The Sun', Nicholas Chung, Natural History Publication, 2005.
  2. ^ Buku 'Tawau The Making of the Tropical Community', Ken Goodlet, Opus Publication, 2009.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tawau dan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah.