Persekutuan Taekwon-Do Global Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sejarah Taekwon-Do[sunting | sunting sumber]

Taekwon-do adalah merupakan satu seni mempertahankan diri moden yang berasal dari Negara Korea. Ianya merupakan kesinambungan dari seni beladiri purba ‘Taekyun’ yang kemudiannya diolah kembali oleh Jeneral Choi Hong Hi, seorang panglima tentera Korea Selatan dan diberikan nama Taekwon-do. Dalam bahasa Korea, Tae bermakna "menumbuk"; Kwon bermakna "menendang"; dan Do bermakna "cara" atau "seni". Jadi, Taekwondo bolehlah diterjemahkan secara kasar sebagai "seni menendang dan menumbuk".

Taekwon-do diasaskan secara rasminya pada 11 April 1955. Pada 14 September 1961, Korean Taekwon-do Association (KTA) telah ditubuhkan di Seoul dan Jeneral Choi telah dilantik menjadi presidennya yang pertama. Selaku Presiden KTA, beliau telah menghantar jurulatih dan pasukan demonstrasi Korea ke seluruh dunia.

Persekutuan Taekwon-Do Global (GTF)[sunting | sunting sumber]

Persekutuan Taekwon-Do Global atau Global Taekwon-Do Federation (GTF) telah diasaskan oleh mendiang Grandmaster Park Jung Tae pada tahun 1990 di Kanada. GTF amat terkenal di Eropah dan Amerika Utara. Grandmaster Park Jung Tae sebelum ini merupakan bekas Setiausaha Agung di International Taekwon-Do Federation (ITF). Beliau telah mengambil keputusan untuk menubuhkan satu kesatuan baru kerana tidak mahu politik dicampurkan dengan Taekwon-Do. Beliau kecewa dengan perselisihan yang wujud antara ITF dan WTF dan juga Korea Utara dan Korea Selatan.

GTF dibawah kepimpinan Grandmaster Park, pemegang tali pinggang hitam 9 telah mencapai perkembangan yang amat menggalakkan. Grandmaster Park telah menjadi satu lagenda dalam Taekwon-Do dan sering dijemput untuk mengendalikan seminar dan kursus latihan di seluruh dunia. Namanya sering dikaitkan dengan ‘Kesempurnaan Teknik Taekwon-Do’ dan telah dianggap sebagai jurulatih teknikal terbaik di dunia.

Semenjak ditubuhkan, GTF telah muncul sebagai satu pertubuhan ulung di dunia yang memperjuangkan seni mempertahankan diri tanpa melibatkan politik. Dalam masa singkat, GTF telah berkembang pesat dan mempunyai gabungan di lebih 122 negara di seluruh dunia.

Persekutuan Taekwon-Do Global Malaysia (MGTF)[sunting | sunting sumber]

MGTF berfungsi sebagai pemantau aktiviti-aktiviti Taekwon-Do peringkat kebangsaan. MGTF merupakan badan kebangsaan yang diberi tanggungjawab mengawal kelayakan jurulatih-jurulatih dan pemegang-pemegang tali pinggang hitam di Malaysia. MTGF melantik seorang Ketua Jurulatih setiap negeri bagi tujuan menjaga kepentingan dan kewibawaan pelatih.

Tahun 1994 membuktikan bahawa MGTF mampu mengendalikan kejohanan yang bertaraf antarabangsa dan dikatakan kejohanan yang paling cemerlang dan lancar dalam sejarah taekwon-do dunia. Kejohanan Taekwon-Do Sedunia kali ke-11 (sewaktu itu MGTF masih dikenali dengan nama MITF) yang berlangsung di Kuala Terengganu menaikkan nama Malaysia antara lima pasukan terbaik dalam pencapaian keseluruhan.

Presiden pertama MGTF ialah Allahyarham Grandmaster Dato’ D. Sabree Salleh, yang juga Ketua Jurulatih Negara merupakan anak Melayu pertama diiktiraf sebagai Mahaguru Taekwon-Do di peringkat dunia. Beliau memegang tali pinggang hitam Darjah Ke-9. Sekarang MGTF kembali bertumbuh pesat dibawah naungan Grandmaster Dato' Amir Bin Mohd Noor yang telah membawa anak muda Malaysia ke peringkat antarabangsa di Korea Selatan pada tahun 2023. Beliau juga merupakan Mahaguru yang diiktiraf oleh anak pengasas International Taekwondo Federation (ITF) Choi Jung-Hwa. Juga dibawah naunga Grandmaster Dato' Amir, MGTF berjaya menerima pengiktirafan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia yang membolehkan MGTF menganjurkan kejohanan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Atas galakan dan dorongan beliau, anak muda Malaysia muncul beraksi di persada antarabangsa.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]