Pinakang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Pinakang merupakan salah satu tarian tradisional etnik Kimaragang yang banyak mendiami daerah Kota Marudu. Dalam tinjauan yang telah pengkaji jalankan, etnik Kimaragang di Daerah Kota Marudu, Sabah didapati mempunyai empat jenis tarian tradisional seperti tarian Pinakang, Momiluk, Mongilag dan Monongkopiring. Menurut encik Jubin Umbang (informan), antara keempat-empat tarian tradisional Kimaragang ini, tarian Pinakang adalah tarian yang paling popular ditarikan. Sebabnya, tarian ini sering dipersembahkan di majlis-majlis keramaian seperti dalam Pesta Keamatan (Pesta Menuai), Pesta Moginakan, majlis perkahwinan, majlis Hari Ucapan sekolah-sekolah rendah dan sekolah menengah di Kota Marudu. Secara umumnya, ragam gerak tarian Pinakang adalah mudah diikuti oleh sesiapa pun. Dengan kata lain, sesiapa sahaja dapat mempelajari tarian Pinakang dengan mudah. Orang berkenaan hanya perlu mendepakan tangannya seperti gaya seekor burung helang sedang terbang dan mengerakkan kakinya mengikut rentak paluan gong dan kulintangan. Namun dalam persembahan tarian Pinakang yang sebenarnya, terdapat pelbagai aspek yang perlu dititikberatkan oleh penari lelaki dan penari wanita. Mereka perlu berlatih sehingga ragam geraknya menepati ciri-ciri tarian Pinakang yang diwarisi secara turun temurun. Penari lelaki perlu memastikan ragam gerak mereka kelihatan lebih gagah manakala penari wanita perlu menonjolkan aspek kelembutan dan kesopansantuannya.[1]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Tarian Pinakang ialah salah satu tarian etnik suku kaum Dusun Kimaragang yang menetap di daerah Kota Marudu. Perkataan “Pinakang” dalam Bahasa Dusun Kimaragang merujuk kepada perbuatan iaitu “Memukul” (UM, 2020)[2]. Tarian Pinakang merupakan tarian yang terkenal dan sering ditarikan semasa majlis-majlis keramaian. Menurut Sir Viktor (guru subjek Tarian Sabah) Tarian Pinakang selalunya dipersembahkan semasa pesta Kaamatan dan pesta Moginakan.[3]

Kostum[sunting | sunting sumber]

Kostum yang biasanya dikenakan semasa menari tarian pinakang ialah Kinaling bagi wanita dan Sinudaan bagi lelaki.

Gerak Tari Tarian Pinakang[sunting | sunting sumber]

Tarian Pinakang adalah satu tarian yang memerlukan seseorang mempunyai kebolehan untuk mengawal keimbangan berat badan. Tarian ini akan memerlukan kita untuk memindahkan berat badan ke kanan dan ke kiri semasa menari. Tarian ini terdiri daripada empat ragam pergerakan iaitu sumirid, mongigol atau mangandak, mitalib dan mangalikapta. Namun, tiga gerakan tari yang selalu digunakan dalam persembahan kerana mangalikapta adalah satu Gerakan tari yang dicipta untuk pertandingan kerana ianya menguji kemahiran penari lelaki dan perempuan (Victor Pangayan (UMS), 2016).[4]

Konsep Tarian Pinakang[sunting | sunting sumber]

Victor B. Pangayan et.al. (2016)[5] dapati terdapat dua bentuk konteks persembahan tarian Pinakang dipersembahkan berdasarkan situasi dan permintaan majlis yang berlangsung. Bentuk persembahan tarian Pinakang yang pertama, tarian Pinakang ditarikan dalam majlis tidak rasmi dan bersahaja seperti majlis perkahwinan, majlis ulang tahun, dan majlis mongukas (penghormatan terakhir terhadap roh si mati). Konteks persembahan tarian Pinakang yang kedua adalah dalam majlis rasmi, iaitu sambutan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah, Pesta Moginakan peringkat daerah dan Talob Tagayo Tandek 2013. Kedua-dua bentuk konteks persembahan ini adalah berbeza.

Majlis Rasmi Majlis Tidak Rasmi Implikasi
Ruang Persembahan Mempunyai pembahagian ruang antara penari dan penonton.Interaksi antara penari dan penonton kurang. Di dalam dewan atau dataran terbuka. Persembahan berlangsung dalam satu ruang yang sama. Terdapat interaksi antara penari dan penonton. Di kawasan halaman rumah ataupun ruang tamu. Ruang persembahan menentukan komunikasi yang berlaku diantara penari dan penonton.
Penari Penari Khas

Mendapat latihan dan bimbingan khas. Hanya menguasai bentuk tarian sahaja. Orang awam atau sesiapa sahaja.

Tetamu yang hadir

Belajar berdasarkan kepada pengalaman. Dapat menari dengan rasa yang betul. Etnik Kimaragang sendiri.

Cara penyampaian tarian Pinakang yang berkesan bergantung kepada penari yang menarikannya.
Pemuzik Pemuzik khas

Mendapat latihan dan bimbingan khas. Orang awam atau sesiapa sahaja.

Tetamu yang hadir atau pemuzik undangan.

Belajar berdasarkan pengalaman. Etnik Kimaragang sendiri.

Kedua-dua jenis pemuzik mampu memberikan irama dan tempoh yang betul keatas persembahan.
Pengurus Tidak wujud

Tidak penting

Sebagai "flow manager".

Kehadirannya adalah sangat penting.

Kehadiran "pengurus" merupakan satu identiti tarian Pinakang.
Koreografi Telah mendapat sentuhan koreografer khas.

Lebih kreatif. Bunga tari telah diseragamkan dan diselaraskan.

Berdasarkan arahan tukang suruh.

Bentuk tradisional. Berdasarkan pembawaan penari.

Koreografi berubah berdasarkan kepada keperluan majlis.
Tempoh Persembahan Terkawal Bebas Tempoh waktu persembahan juga berdasarkan kepada keperluan majlis.

Ragam Gerak Tarian Pinakang[sunting | sunting sumber]

tarian Pinakang mempunyai empat ragam gerak yang sering diguna pakai dalam persembahan tarian Pinakang, iaitu mongigol atau mangandak, mitalib, sumirid, dan mangalikapta. Antara keempat-empat ragam gerak tari ini, hanya tiga ragam gerak sahaja yang popular dipersembahkan oleh penari iaitu mongigol mangandak, mitalib, dan sumirid. Ragam mangalikapta adalah ragam yang direka khas bagi tujuan pertandingan dan menunjukkan penguasaan teknik menarikan tarian Pinakang. Biasanya ragam gerak ini digunakan bagi menguji kemahiran sesama penari lelaki ataupun penari lelaki mahu menguji kemahiran penari wanita. Dalam persembahan tarian Pinakang, penari-penari wanita yang dapat mengikuti ragam gerak penari lelaki, dianggap hebat. Walau bagaimanapun, dalam persembahan-persembahan yang biasa, ragam gerak ini jarang-jarang diguna pakai kerana penari perlu menguasai sepenuhnya teknik pengawalan dan imbangan berat badan. Selain merakam ragam gerak tarian Pinakang, kajian tarian ini juga telah menggunakan kaedah Laban’s Eight Basic Efforts yang telah diperkenalkan oleh Warren Lamb ,1925 ( Davies ,2001: 46)[6] bagi mengukur effort movement (kualiti gerak) dalam setiap ragam gerak tarian Pinakang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ https://www.researchgate.net/publication/329104595_Tarian_Pinakang_Etnik_Kimaragang_di_Sabah_Analisis_Konsep_Persembahan_dan_Ragam_Gerak
  2. ^ UM, P. (2020, March 27). Seni Tari di Sabah. Retrieved from Facebook: https://www.facebook.com/PermasaUM/posts/topik-seni-tari-di-sabahtarian-pinakang-suku-kaum-dusun-kimaragang-tarian-pinaka/3908915032482701/
  3. ^ https://www.studocu.com/my/document/universiti-malaysia-sabah/tarian-sabah/pinakang-by-me/41907291
  4. ^ Victor Pangayan (UMS), K. O. (2016, October). Tarian Pinakang Etnik KImaragang di Sabah: Analisis Konsep Persembahan dan Ragam Gerak. Retrieved from ResearchGate: https://www.researchgate.net/publication/329104595_Tarian_Pinakang_Etnik_Kimaragang_di_Sabah_Analisis_Konsep_Persembahan_dan_Ragam_Gerak
  5. ^ Victor Pangayan (UMS), K. O. (2016, October). Tarian Pinakang Etnik KImaragang di Sabah: Analisis Konsep Persembahan dan Ragam Gerak. Retrieved from ResearchGate: https://www.researchgate.net/publication/329104595_Tarian_Pinakang_Etnik_Kimaragang_di_Sabah_Analisis_Konsep_Persembahan_dan_Ragam_Gerak
  6. ^ Daves, E. 2006. Beyond Dance: Laban’s Legacy of Movement Analysis. New York: Routledge.