Ramli Selamat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ramli Selamat
Kelahiran
Ramli bin Selamat

(1957-10-07) 7 Oktober 1957 (umur 66)
Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu, Malaysia
Nama lainMarsli N.O
PekerjaanPenulis
Pemuisi
Tahun aktif1970–kini

Marsli N.O atau nama sebenar Ramli Selamat ialah seorang penulis dan pemuisi Malaysia.

Biodata[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Bukit Pahang, Kerteh, Terengganu pada 7 Oktober 1957 dengan galur keturunan di sebelah ayah sebagai orang Jawa dan di sebelah ibu pula negeri Terengganu, sehingga ini sering kali membuatkan beliau dianggap sebagai “anak orang luar”. Minat menulisnya tumbuh lantaran pengaruh bahan bacaan awalnya seperti majalah Dian serta novel-novel seperti “Pertentangan” karya S. Othman Kelantan, “Athies” karya Achdiat Karta Mihardja dan “Ranjau Sepanjang Jalan” Shahnon Ahmad. Ketika panas suasana perang di Vietnam dan di tanah Amerika berkobar bantahan mengenainya, lahirlah sebuah sajak awal beliau dengan judul “Anak Sisa Perang Vietnam” pada tahun 1970. Ketika itu beliau sedang di tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu. Tetapi secara sungguh-sungguhnya beliau melibatkan diri dalam bidang penulisan pada tahun 1975 dan mulai Mei 1979 baru karyanya berupa sebuah sajak berjudul “Harapan” disiarkan di majalah Dewan Sastera. Karya-karyanya berupa cerpen, novel, puisi, naskhah drama pentas, resensi buku dan rencana tersiar di pelbagai akhbar dan majalah.


Anugerah dan Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Tahun 1985 puisinya "Di Hadapan Buku-Buku" antara yang meraih sagu hati Hadiah Sastera Utusan Public-Bank, tahun 1989 puisinya "Negeri Ini, Anak" antara yang memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena.  Pada tahun 1993 cerpennya "Belon" antara yang meraih Hadiah Cerpen Maybank-DBP dan tahun 1994 cerpennya "Pembela" turut meraih anugerah yang sama. Sementara puisinya "Begitu Kata Malam" antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 1996/1997 dan cerpennya “Menanti Buraq” pula antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana 2000/2001. Lirik ciptaannya “Dunia Milik Kita” antara pemenang saguhati Pertandingan Mencipta Lirik sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 2001 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka bersama MACP Bhd. 

Pada tahun  2003, cerpen beliau “Menternak Hantu” telah meraih Hadiah Utama (Kategori Cerpen) Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil 2003. Tahun 2010, cerpen beliau “Ketuanan, Maaf dan Seekor Binatang” antara yang meraih hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009. Pada tahun 2013, puisinya “Ke Negeri Senyap” antara yang meraih hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil 2012.  Di  33rd World Congress of Poets yang berlangsung di Ipoh Perak  pada Oktober 2013 lalu,  puisinya berjudul “Hujan Menuliskan Sungai” yang menyertai sayembara penulisan puisi sempena acara tersebut telah dinobatkan sebagai salah satu pemenang dan melayakkan beliau menghadiri acara berikutnya di Lima, Peru pada November 2014.

Tahun 2013, puisi beliau “Langit Meratap” antara yang meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013, kategori B (eceran). Tahun 2015, kumpulan puisinya “Malam Hujan & Oksimoron” antara yang meraih hadiah saguhati Sayembara Penulisan 2 anjuran ITBM-Pena-BH. 

Selain itu, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta dedikasi beliau membantu pengembangan serta pembinaan bakat-bakat baru di bidang sastera, mulai 14 April 2013 beliau telah ditauliahkan sebagai salah seorang Munsyi Dewan (Sastera) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ketika menghadiri Pertemuan Penyair Nusantara VIII di Pattani, Selatan Thai 2015 pada 23 November 2015, di Universiti Prince of Songkla, kampus Pattani, beliau telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penyair Nusantara 2015.

Karya yang Telah Diterbitkan[sunting | sunting sumber]

Bukunya yang telah diterbitkan ialah kumpulan puisi "Negeri Ini, Anak" (DBP, 1994), "Hanya Kata" (DBP, 1995),  “Kepada Angin Juga” (DBP, 2008), “Mencari Nur” (ITBM, 2013), “Malam Hujan & Oksimoron” (ITBM, 2015) dan “Terima Kasih Merdeka” (ITBM, 2016).  Novel remaja beliau yang diterbitkan ialah "Utusan Di Daerah Asing" (DBP, 1993) dan novel kanak-kanak "Mencari Misteri" (DBP, 1997).

Kumpulan cerpennya yang telah diterbitkan pula ialah "Biduan" (DBP, 1994),  "Demi" (DBP: 1998),  “Menanti Buraq” (DBP, 2008), “Masihkah Aku Bermimpi?” (DBP: 2012) dan “Gunting” (ITBM: 2012). Secara persendirian pula, beliau telah menerbitkan kumpulan puisi "Siapa di Balik Sana?"  (1986), "Bla Bla Bla" (1990), "Ninabobok" (1993) dan “Di Negeri Mabok” (2010).  Juga kumpulan cerpen "Penipu" (1997) dan “Politikus, Badut & Sebuah Cermin” (2009).

Melalui penerbitan mandirinya, Buku Nadir Enterprise, beliau menerbitkan koleksi monolog dan renungan sastera "Surat-Surat Seorang Anonim" (2017), kumpulan anekdot penulisan "KIsah Menulis" (2018), Kumpulan fiksi mini "Merdeka Di Dalam Botol" (2019), kumpulan anekdot penulisan "Motivasi Untuk Penulis" (2020), kumpulan cerpen "Otak-Otak Yang Pecah" (2020) dan kumpulan 30 sajak "Primadona" (2020).

Penderhaka” sebuah novel yang ditulis beliau pada tahun 1991 diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2011.  Sementara sebuah buku mengenai pengalaman kreatif beliau “Merangkai Kisah, Merenda Kata” diterbitkan oleh Institut Terjemahan &  Buku Malaysia pada tahun 2012. “Jom, menulis” pula merupakan buku beliau mengenai mengenai motivasi penulisan kreatif diterbitkan oleh Utusan Publication (2013).

Kumpulan naskhah drama beliau berjudul “Di Suatu Ruang Bernama Pengadilan” juga telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2014.

Dalam kumpulan bersama pula puisinya turut dimuat di dalam “Manifestasi” (Pena, 1982), “Selagi Ombak Mengejar Pantai 5” (Kemudi, 1986), “Masih Adakah Kasih Untukku” (Utusan Melayu, 1986), “Gema Membelah Gema 8” (1987), “Gema Membelah Gema 10” (1991), “Gema Membelah Gema 11” (1994), “Puisirama Merdeka” (PENA, 1986), “Di Luar Kerelaan” (DPMP, 1987), “Jika kau Rindu” (DBP, 1988), “Di Atas Mimbar Merdeka” (DBP, 1989), “Puisi Baharu Melayu 1961-1986” (DBP, 1990), “Salam Samudera” (Universiti Malaya, 1990), “Antologi Temu Puisi” (KKP, 1991), “Takhta dan Rakyat Suatu Manifestasi” (DBP, 1993), “Cetera” (Kelab Sastera DBP, 1994), “Rumah Merdeka” (Gapena, 1998), “Aksara Merdeka” (Gapeniaga Sdn. Bhd, 2000) dan  “Jamung Merdeka” (Gapeniaga Sdn. Bhd, 2005), “Manuskrip Luka Bangsa” (Pena, 2006), “Genting Gaza, Gentingnya genting” (Pena, 2009), “Selamatkan Anak-Anak Palestine” (Jawatankuasa Malam Amal Selamatkan Anak-Anak Palestine, 2009),  “Sumpah 152” (Gapena,  2010) dan “Suara Kita: Antologi Seribu Sajak Merdeka” (Jabatan Penerangan Malaysia, 2013).  

Di luar negara puisinya turut dimuat di dalam “ASEANO: An Anthology of Poems From Southeast Asia” (Asean Committee on Culture & Information: Manila, 1995),  “Antologia  de Poeticas: Kumpulan Puisi Indonesia, Portugal, Malaysia” (Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama, 2008), “Becoming” (Korean-Asean Poets Literature Festival, 2010), “Sipyung” (The Poet Society of Asia, Korea: 2010), “Sauk Seloko” (Dewan Kesenian Jambi, 2012), “Tamadun 1” (Dinas Kebudayaan Propinsi Kepulauan Riau, 2013) dan “Lambaian Nusantara Dari Kota Singa” (Pertemuan Penyair Nusantara Ke VIII  Singapura, 2014).

Dalam kumpulan bersama pula cerpennya dimuatkan dalam “La Q” (DBP, 1991), “Fenomena” (DBP, 1992), “Mercu 2” (DBP, 1993), “Mercu 3” (DBP, 1995), “Titah Paduka Seri” (DBP, 2013).  Karya beliau berupa cerpen pernah diterjemahkan ke bahasa Thailand.

Karya puisinya  pula diterjemahkan  ke bahasa Arab, Portugis, Korea dan Inggeris. Antara kumpulan yang memuatkan terjemahan puisinya ialah “Voices of Malaysian Poets” (DBP, 2009) dan “Emas Tempawan” (DBP, 2006);  ke bahasa Rusia terjemahan Dr. Victor A Pogadaev  “Bertakhta di Atasnya” (Moscow, 2009); dan ke bahasa Korea “Kuala Lumpur: Sebuah Fragmen Cinta” (ITBM, 2012 dan 2013).

Sementara tulisannya berupa rencana teater turut dimuat di dalam antologi “Teater Terengganu Suatu Penelitian Pasca Moden” (Tetamu, 1996) dan “Jenama, Tulang Belakang, Akar Umbi Teater Terengganu” (Tetamu, 1997).

Kegiatan[sunting | sunting sumber]

Sejak 1981 terlibat juga dengan teater selaku penulis naskhah, jurulatih, sutradara dan aktif membacakan naskhah. Di samping tampil dalam sejumlah pementasan, antaranya ialah pada 26 - 28 Ogos 2000 dalam pementasan "Gelanggang Tok Wali" karya Ismail Kassan arahan Shukor Yon, penglibatan ini turut memberikan kesan dalam cara dan gayanya ketika di pentas dan sikapnya dalam mengarang. Di samping itu, pada Pekan Teater Pahang 2000, bersama Bengkel Teater Kuantan pimpinannya dan dengan naskhah “Fragmen Tolong” karya dan arahannya, telah meraih juara Pekan Teater Pahang 2000 dan ketika mewakili negeri Pahang ke peringkat zon Timur di Johor Bharu pada tahun yang sama telah berjaya meraih naib juara.

Sebagai deklamator beliau telah diundang dalam banyak acara. Pada 9 April 1988 di Baca Puisi Minggu Sastera DBP, 29 Oktober 1988 di Malam Puisi Riong III, Pembaca Sajak Terjemahan PPDKL 1988 (24 - 27 1988), 7 Mac 1989 di Puisi DBKL 1989, 15 Disember 1991 di acara Temu Puisi (Matic, KL), pada 13 Februari 1992 bersama beberapa teman dari Bengkel Teater Kuantan pimpinannya membacakan cerpen karya beberapa pengarang mapan tanah air di Sudut Penulis DBP, pada 25 Oktober 1993 menjadi hos Baca Puisi DBKL, 24 November 1993 di baca puisi Majlis Pelancaran Perisa (DBP), 29 Julai 1995 di acara Puisi Sepetang anjuran Kelab Sastera DBP, pada 9 September 1998 di acara Deklamasi Puisi Komanwel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Istana, Kuala Lumpur; pada 24 September 1999 di acara Baca Puisi Bersama-sama Kedutaan Asing sempena Bulan Bahasa dan Sastera Negara 1999 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kelab Darul Ehsan, Ampang Jaya, Selangor; pada 29 Ogos 2000 beliau merupakan salah seorang penyair yang tampil membacakan puisinya bersama Perdana Menteri pada malam Baca Puisi Patriotik anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Putra Jaya; bersempena Festival Puisi Malaysia anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 15 November 2000 beliau mementaskan dekon “Dari Pungguk ke Katarsis bersama warga Bengkel Teater Kuantan pimpinannya; pada 18 Ogos 2001 dijemput sebagai salah seorang pembaca puisi di dalam konsert Phoenix Bangkit M. Nasir tetapi ketika siaran rakamannya pada malam 30 Ogos 2001 di NTV7, segmen baca puisi tersebut tidak diluluskan untuk tayangan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) atas sebab dan alasan yang tidak jelas. Sekali lagi, pada 28 Ogos 2002, beliau merupakan salah seorang yang diundang membacakan puisinya di acara Baca Puisi Patriotik Ke 3 anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri, Putra Jaya. Di kaca tv pula, beliau telah tampil membacakan puisinya di rancangan “Anjung Budi” terbitan RTM 1.

Pada April 1993 hingga Oktober 1995 pernah menjadi tamu rancangan Galeri Minda di Radio Tiga Kuantan yang membicarakan isu-isu sastera semasa dan menyampaikan ulasan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada 27 Januari hingga 3 Februari 1995 mewakili negara ke Second ASEAN Writer's Conference Workshop (Poetry) di Manila. Pada 21 hingga 27 Ogos 2003 beliau mewakili negara ke Singapore Writer’s Festival anjuran National Art Council Singapore di Singapura. Pada 2 hingga 7 Disember 2009 mewakili negara ke Korea-ASEAN Poets Literature Festival di Korea Selatan dan pada 24 hingga 29 Oktober 2011 mengikuti acara sama, Korea-ASEAN Poets Literature Festival II di Pekan Baru, Riau, Indonesia.

Selama lima tahun, dari tahun 1994 hingga 1999, dengan sumber kewangan peribadi dan sumbangan beberapa teman serta tokoh mapan, baik berupa benda mahupun karya, secara tribulan pernah menerbitkan antologi karya kreatif/non kreatif yang diberikan judul P-S.

Dalam pembawaan sehari-harinya sebagai sasterawan, sikapnya yang suka berterus-terang dan tegas lagi lantang menyatakan pendirian seputar sastera serta persekitarannya, sering pula disalah anggap oleh banyak teman sasterawan segenerasi mahupun yang veteran.

Sepanjang penglibatan beliau sebagai sasterawan juga telah beberapa kali diundang sebagai pemakalah, antaranya pada Forum Kemelut Sastera Malaysia anjuran bersama KALAM, DBP dan Gapena pada 30 November 1996, Dialog Sasterawan Generasi Baru 1 (Kelab Sastera dan Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP, 3 Oktober 1998), Perhimpunan Penulis Muda Malaysia (23 - 25 November 1998 anjuran Kelab Sastera DBP), dan Pertemuan Sasterawan Malaysia 1 (anjuran DBP, Gapena dan PPJ di Johor Bahru, 17 - 21 April 1999) dan Perkampungan Penulis Muda Malaysia (anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuching, Sarawak pada 12 - 15 Jun 2003).

Dengan hasrat memartabatkan bahasa dan sastera Melayu serta mengangkatnya ke dunia siber, beliau juga membina laman web sastera yang memuatkan karya-karya peribadi dan sasterawan tamu yang dapat ditelusur melalui alamat http://www.reocities.com/marslino/ atau melalui blognya di alamat http://marslino.blogspot.com/

Pandangan Tokoh Sasterawan, Pengkritik dan Sarjana[sunting | sunting sumber]

Kehadiran Marsli N.O sebagai penyair telah mendapat perhatian istimewa Sasterawan Negara A. Samad Said bila mana dalam puisinya “Cenderahati Mogok Seni 8-19 Ogos  1990 beliau antara lain menyebut: " Dan mogok telah ditimpa nisan,/ Seni sembuh di sisi pelangi./ Kini Marzuki, Azizi, Khalid, Ladin,/ Ismaily, Imlan, Marsli dan Zaen/  --- jerit baru yang bara. Anak semara bangsa. / Aku mula berjalan di belakang mereka / separuh berhujah separuh bertanya. /Riang, juga gulana.

Apa yang telah dinyatakan A. Samad Said ini diulangi lagi pada penerbitan kumpulan puisinya “Balada Hilang Peta” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990 yang menujukan kumpulan puisinya sebagai: Untuk Marzuki, Azizi, Khalid, Ladin, Ismaily, Imlan, Marsli dan Zaen --- jerit baru yang bara."  

Suhaimi Haji Muhammad  dalam kertas kerjanya “Hanya Kata: Lahirnya Seorang Seniman” yang dibentangkan di Seminar Karya Generasi Baru pada 18 Julai 1988 di Sudut Penulis Penulis DBP, Kuala Lumpur membuat rumusan betapa: “Marsli berjaya memberikan kesan yang lebih dan menjadi lebih matang dan teliti dalam dunia kepeyairannya.”

Kehadiran dan sumbangan Marsli N.O sebagai penyair juga turut dibicarakan oleh Dr. Awang Azman Awang Pawi dalam kajiannya berjudul “ Licentia Poetica Puisi Mutakhir Malaysia” yang diterbitkan oleh Universiti Malaysia Sarawak pada tahun 2003. Menurut  Dr. Awang Azman Awang Pawi: “Kehadiran Marsli agak istimewa dalam pengisian penyair generasi baru. Ilmu bantunya ialah kehidupan yang dilaluinya. Tidak ada ilmu pelengkap “tulen” yang mencerminkan kepenyairan Marsli selain menggunakan bayangan kehidupan seharian dan pergolakan sosial semasa yang disaringnya untuk dikaryakan. Dengan kata lain, pengalaman melalui pemerhatian, pengamatan dan penilaiannya terhadap kehidupan yang dilalui memberikan pengalaman yang bererti dalam dunia karyanya.” (2003: 67).

Lama sebelum itu, pada tahun 1995, dalam tulisan laporannya, penyair dan seniman Indonesia, Acep Zamzam Noor telah mengesani kelainan Marsli N.O berbanding rakan-rakan senegaranya yang sama menyertai Second ASEAN Writer's Conference Workshop (Poetry) di Manila  pada 27 Januari hingga 3 Februari 1995, kata Acep dalam bukunya “Puisi dan Bulu Kuduk” (Nuansa, Bandung: 2011): "Sedangkan Marsli N.O yang merupakan penyair dan cerpenis muda yang cukup kreatif dan produktif di Malaysia yang buku-bukunya banyak diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka, memang agak lain meskipun tak beranjak terlalu jauh dari gaya kawan-kawannya." (2011: 90) 

Rujukan[sunting | sunting sumber]