Sanjaya Harisdarma

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Sanjaya Harisdarma atau Rakeyan Jamri ialah raja Kerajaan Sunda-Galuh-Kalingga/Mataram Kuno. Baginda menjadi raja Kerajaan Sunda yang kedua dan raja Kerajaan Galuh yang kelima pada tahun 723, serta raja Kerajaan Kalingga/Mataram Kuno pada tahun 732. Sebelum menguasai Kerajaan Galuh, baginda dikenali sebagai Prabu Harisdarma dan kemudiannya selepas menguasai kerajaan tersebut, baginda lebih dikenali dengan nama Sanjaya.

Ibu Sanjaya ialah Sanaha, cucu Maharani Sima dari Kalingga di Jepara, manakala ayahnya ialah Bratasenawa (juga digelar Sena atau Sanna), raja Kerajaan Galuh yang ketiga, serta teman rapat kepada Tarusbawa. Bratasenawa ialah cucu kepada Wretikandayun (namun Sanjaya juga merupakan cicit Wretikandayun) daripada Mandiminyak, putera bongsu Wretikandayun serta juga raja Kerajaan Galuh yang kedua (702 - 709). Pada tahun 716, Bratasenawa digulingkan oleh Purbasora yang menjadi raja Kerajaan Galuh yang keempat. Purbasora dan Bratasenawa sebenarnya adalah saudara seibu, tetapi daripada ayah yang berlainan.

Bratasenawa dan keluarganya melarikan diri ke Pakuan, pusat Kerajaan Sunda, dan meminta bantuan daripada Tarusbawa, datuk isterinya. Secara ironi, Wretikandayun, datuk Bratasenawa, ialah yang mendesak Tarusbawa supaya memisahkan Kerajaan Galuh daripada Kerajaan Sunda. Pada tahun 723, Sanjaya yang merupakan pewaris Kerajaan Galuh yang sah menggulingkan Purbasora dengan bantuan Tarusbawa dan menjadi raja Kerajaan Galuh. Tarusbawa mangkat pada tahun yang sama dan diwarisi oleh Sanjaya kerana bapa mertuanya yang merupakan putera mahkota telah meninggal dunia mendahului Tarusbawa. Oleh itu, Sanjaya menjadi raja Kerajaan Sunda-Galuh.

Pada tahun 732, sebagai pewaris Kerajaan Kalingga daripada jurai keturunan moyang sebelah neneknya, Sanjaya menjadi raja di Kalingga Utara yang dikenali sebagai Bumi Mataram. Dengan itu, Sanjaya menjadi raja kepada tiga kerajaan, iaitu Kerajaan Sunda, Galuh dan Kerajaan Kalingga/Kerajaan Mataram Kuno. Kekuasaannya di Jawa Barat diserahkannya kepada Rakeyan Panaraban (juga digelar Putera Tamperan), puteranya yang dilahirkan oleh Tejakencana. Rakeyan Panaraban ialah abang tiri kepada Rakai Panangkaran, putera Sanjaya yang dilahirkan oleh Sudiwara, puteri kepada Dewasinga, raja Kalingga Selatan.

Menurut Prasasti Canggal (732), Sanjaya yang beragama Hindu membina banyak candi untuk memuja dewa Siva. Baginda mangkat pada pertengahan abad ke-8 dan takhta Kerajaan Mataram diambil alih oleh Rakai Panangkaran (760 - 780), manakala takhta Kerajaan Sunda dan Galuh diteruskan oleh Rakeyan Panaraban (739 - 766).


Raja-raja Sunda
Tarusbawa (669 - 723) | Sanjaya Harisdarma (723 - 732) | Tamperan Barmawijaya (732 - 739) | Rakeyan Banga (739 - 766) | Rakeyan Medang Prabu Hulukujang (766 - 783) | Prabu Gilingwesi (783 - 795) | Pucukbumi Darmeswara (795 - 819) | Prabu Gajah Kulon Rakeyan Wuwus (819 - 891) | Prabu Darmaraksa (891 - 895) | Windusakti Prabu Dewageng (895 - 913) | Rakeyan Kemuning Gading Prabu Pucukwesi (913 - 916) | Rakeyan Jayagiri Prabu Wanayasa (916 - 942) | Prabu Resi Atmayadarma Hariwangsa (942 - 954) | Limbur Kancana (954 - 964) | Prabu Munding Ganawirya (964 - 973) | Prabu Jayagiri Rakeyan Wulung Gadung (973 - 989) | Prabu Brajawisesa (989 - 1012) | Prabu Dewa Sanghyang (1012 - 1019) | Prabu Sanghyang Ageng (1019 - 1030) | Prabu Detya Maharaja Sri Jayabupati (1030 - 1042)