Siri tanah Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Di Semenanjung Malaysia, unit asas yang digunakan bagi pemetaan tanah ialah siri tanah. Sistem klasifikasi tanah yang digunakan di semenanjung Malaysia adalah berasaskan sistem “USDA Soil Taxonomy, 1992” yang telah diubahsuai mengikut keadaan tempatan. Dengan menggunakan sistem ini, nama siri-siri tanah dikenalpasti. Sehingga kini, lebih daripada 240 siri tanah telah diwujudkan dan disusun semula kepada 11 kumpulan berasaskan bahan induk, ciri-ciri tanah yang utama, landskap dan cara pembentukan tanah.[1]

Pengelasan jenis tanah[sunting | sunting sumber]

Pembahagian adalah berdasarkan kriteria dalam taksonomi tanah.

Tanah mineral[sunting | sunting sumber]

Tanah mineral dari segi pengkelasan mempunyai 3 kumpulan utama iaitu tanah Bukit, tanah pengubahan semula dan tanah aluvium. Tanah bukit mempunyai 2 Kumpulan iaitu Kumpulan 1 terdiri dari tanah di atas batuan igneus dan batuan metamorfik bergred tinggi seperti siri Rengam, Jeranggau dan Prang. Sementara Kumpulan 2 tanah terbentuk dari batuan igneus dan batuan metamorfik bergred rendah seperti Siri Durian, Batu Annam dan Kemuning.

Tanah pengubahan semula ada dua kumpulan iaitu tanah aluvium Lama dan tanah laterit iaitu dari Kumpulan 3 dan Kumpulan 4. Tanah kumpulan 3 seperti tanah siri Harimau dan siri Kawang sementara tanah Kumpulan 4 seperti siri Melaka, Gajah Mati dan Pokok Sema. Tanah siri ini didapati kurang subur untuk kebanyakan jenis tanaman kerana mengandungi banyak batu dan kerikil.

Tanah aluvium merupakan jenis tanah paling banyak terdapat di Malaysia. Ia mempunyai 2 kelas iaitu tanah aluvium sungai dan tanah aluvium laut serta mempunyai 5 kumpulan dari Kumpulan 5, 6, 7, 8 dan 9. Kelas 5 adalah tanah alluvium terbaru (T1) seperti tanah siri Telemong dan siri Tok Yong. Tanah Kumpulan 6 adalah Tanah aluvium hampir tua (T2) seperti tanah siri Holyrood dan siri Sogomana. Tanah Kumpulan 7 adalah dari jenis tanah Bris seperti tanah siri Rudua dan siri Rusila yang banyak dijumpai di Pantai Timur semenanjung Malaysia. Tanah Kumpulan 8 adalah tanah asid sulfat atau dipanggil tanah masam seperti siri Sedu dan banyak didapati di kawasan pantai. Tanah Kumpulan ke 9 adalah tanah kumpulan tanah lempung laut tidak berasid sulfat seperti siri Tualang.

Tanah organik[sunting | sunting sumber]

Bagi jenis pengelasan taksonomi tanah organik, terdapat kumpulan tanah organik cetek dan tanah gambut sederhana dalam dan gambut dalam. Kumpulan 10 adalah kumpulan tanah organik cetek yang merupakan tanah yang mengandungi banyak bahan organik. Kumpulan 11 adalah tanah gambut sama ada gambut sederhana dalam atau gambut dalam. Terdapat bukti tanah di Gersik, Muar adalah jenis gambut sederhana dalam 45 tahun dulu tetapi kini telah bertukar kepada tanah organik cetek pada tahun 2011.

Galeri[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Abdul Jamil, M.A. 2008. Panduan siri-siri tanah utama di semenanjung Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Pertanian Malaysia. ISBN 978-9-8304-7144-0

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. Panduan siri-siri tanah utama semenanjung Malaysia. Jabatan Pertanian Manjung, Perak.