Soeara Berbisa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Soeara Berbisa
Iklan akhbar filem Soeara Berbisa
Iklan akhbar
Pengarah R Hu
Penerbit Ang Hock Liem
Lakon layar oleh Djojopranoto
Dibintangi oleh
Syarikat
produksi
Mula ditayangkan
Oktober 1941 (1941-10)(Hindia Timur Belanda)
Negara Hindia Timur Belanda
Bahasa Bahasa Indonesia

Soeara Berbisa ([suˈara bərˈbisa]; Ejaan yang Disempurnakan: Suara Berbisa) ialah sebuah filem tahun 1941 dari Hindia Timur Belanda. Dihasilkan oleh Ang Hock Liem untuk Union Films dan diarahkan oleh R Hu, filem hitam putih ini dibintangi oleh Raden Soekarno, Ratna Djoewita, Oedjang dan Soehaena. Kisah yang ditulis oleh Djojopranoto ini, menceritakan dua lelaki muda yang bersaing untuk mendapatkan kasih sayang seorang wanita sebelum mengetahui bahawa mereka ialah saudara kandung yang telah lama hilang.

Disiapkan antara September dan Oktober 1941, Soeara Berbisa menampilkan muzik keroncong dan difilemkan sebahagiannya di Jawa Barat. Ia dikeluarkan bertepatan dengan cuti Hari Raya Aidilfitri, dan dinilai untuk semua peringkat umur. Iklannya menekankan bahawa filem ini sesuai ditonton untuk penonton peribumi dan Belanda. Satu ulasan positif diterima oleh filem ini melalui De Indische Courant. Walaupun filem ini merupakan penerbitan praakhir Union - yang ditayangkan selewat-lewatnya tahun 1949, ia kini dianggap hilang.

Plot[sunting | sunting sumber]

Atlet muda Mitra dan kekasihnya Neng Mardinah akan berkahwin. Walau bagaimanapun, seorang lelaki muda yang bernama Mardjohan telah jatuh cinta dengan Mardinah dan untuk memenangi hatinya, dia menyebarkan khabar angin mengenai Mitra sebagai anak penjenayah yang didapati bersalah. Sebagai tindak balas ke atas khabar angin, Mitra meninggalkan bandar dan buah hatinya, dengan harapan untuk mencari kedamaian di kawasan desa.

Di sana, Mitra mendapat pekerjaan di sebuah kilang, yang secara kebetulannya dimiliki oleh Mardjohan. Satu hari, dia terserempak dengan Mardjohan, yang mengalami cedera parah akibat kemalangan. Mitra menyelamatkan lelaki itu dan kemudian membawa dia untuk mendapatkan rawatan. Ibu Mardjohan, melihat Mitra, percaya bahawa Mitra ialah anaknya yang telah hilang ketika dia berumur tiga. Dia mendapatkan beberapa orang saksi untuk memberi kesaksian mengenai keserupaan, dan akhirnya dapat membuktikan kecurigaannya. Sementara itu, nama Mitra telah dibersihkan, dan dia bersatu semula dengan Mardinah.[lower-alpha 1]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Retna Djoewita , pelakon wanita utama Soeara Berbisa
Raden Soekarno, pelakon lelaki utama Soeara Berbisa
Gambar promosi Ratna Djoewita (kiri) dan Raden Soekarno, pelakon Soeara Berbisa

Penerbitan keenam Union Films, Soeara Berbisa telah dihasilkan oleh Ang Hock Liem dan diarahkan oleh R Hu, seorang pengarah berketurunan Cina yang bekerja dengan syarikat itu sejak 1940; juruteknik bunyi Boen Kin Nam berkhidmat sebagai penolong pengarah. Lakon layar ditulis oleh Djojopranoto, yang menggantikan bekas penulis skrip Union, Saeroen selepas meninggalkan syarikat Union untuk ke syarikat pesaing Star Film setelah Wanita dan Satria (1941).[1] Filem ini memulakan penerbitan pada September 1941,[2] dan menjelang Oktober ia hampir lengkap.[3]

Soeara Berbisa dibintangi oleh Raden Soekarno dan Ratna Djoewita, serta menonjolkan bakat Pemangku Oedjang dan Soehaena. Soekarno dan Soehana ialah pendatang baru,[4] manakala Oedjang dan Djoewita sebelum ini pernah bekerja bersama Union sejak penerbitan pertama Union, Kedok Ketawa pada tahun 1940, dan kemudiannya berlakon peranan dalam Wanita dan Satria.[5] Filem hitam putih itu memuatkan beberapa lagu keroncong, dan sebahagiannya difilemkan di kawasan Preanger, yang terletak di Jawa Barat.[6]

Pelancaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Union mengumumkan bahawa Soeara Berbisa akan dilancarkan bertepatan dengan cuti Aidilfitri, yang bermula pada 22 Oktober 1941,[4] dan mengiklankan tayangannya di Medan, Sumatera Utara, pada awal November 1941.[7] Dalam satu ulasan bagi edisi Surabaya De Indische Courant, bagaimanapun, menunjukkan bahawa filem itu hanya ditayangkan di bandar Jawa Timur pada 14 Januari 1942.[6] Akhbar memberikan ulasan positif, menggambarkan Soeara Berbisa sebagai filem tegang dengan detik-detik lucu dan pemandangan yang indah. Ulasannya berakhir dengan saranan bahawa orang muda dan ibu bapa mereka menonton filem ini.[6]

Soeara Berbisa terbuka kepada penonton daripada semua peringkat umur. Untuk mencapai penonton berpendidikan, Union mendakwa "telah memberi perhatian kepada dialog, disusun sebaik mungkin mengikut kehendak rakyat Indonesia".[lower-alpha 2][4] Dalam akhbar-akhbar bahasa Belanda, filem itu telah diiklankan sebagai "kisah menarik dan menakjubkan tentang dua lelaki muda dalam dunia sukan asli",[lower-alpha 3] yang masih dihasilkan dengan cara "bertamadun" supaya ia boleh dihargai oleh para penonton Eropah.[lower-alpha 4][8]

Legasi[sunting | sunting sumber]

Penerbitan akhir Union, Mega Mendoeng, telah diarahkan oleh Boen dan dilancarkan pada awal tahun 1942. Ia sekali lagi dibintangi oleh Soekarno, walaupun kali ini bersama bakat baru, Sofiati. Syarikat ini telah ditutup selepas tentera Jepun menduduki Hindia Belanda pada Mac 1942,[9] dan kebanyakan pekerjanya tidak pernah kembali ke industri perfileman. Namun, Soekarno meneruskan kerjayanya dan beliau terus berlakon sehingga tahun 1970-an, walaupun beliau dikreditkan secara umum sebagai Rendra Karno.[10]

Soeara Berbisa ditayangkan pada Februari 1949.[11] Filem ini berkemungkinan tergolong dalam filem hilang. Filem-filem Hindia Belanda dirakam dengan menggunakan filem nitrat yang sangat mudah terbakar, dan selepas satu kebakaran memusnahkan banyak gudang Produksi Film Negara pada tahun 1952, filem-filem lama yang dirakamkan dengan nitrat dimusnahkan dengan sengaja.[12] Oleh itu, ahli antropologi visual Amerika Syarikat Karl G. Heider menulis bahawa semua filem Indonesia yang dihasilkan sebelum tahun 1950 telah hilang.[13] Walau bagaimanapun, Katalog Filem Indonesia yang disusun oleh JB Kristanto merekodkan beberapa filem masih tersimpan di Sinematek Indonesia dan Misbach Yusa Biran pula menulis bahawa beberapa filem propaganda Jepun masih terselamat dalam Perkhidmatan Maklumat Kerajaan Belanda.[14]

Catatan penjelasan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Plot diperolehi daripada ringkasan dalam Pertjatoeran Doenia dan Film (Pertjatoeran Doenia dan Film 1941, Soeara Berbisa, p. 29).
  2. ^ Asal: " ... moelai memperhatikan dialoognja, diatoer sebaik-baiknja dengan memperhatikan kemaoean penonton bangsa Indonesia".
  3. ^ Asal: "Een interessant en boeiend verhaal over de liefde van twee jonge menschen in de Inheemsche sportwereld."
  4. ^ Asal: "Een productie, beschaafd zoowel in scenario als in spel, waardoor zij ook voor Europeesche begrippen niet stuitend is."

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Sumber petikan[sunting | sunting sumber]