Hari Raya Aidilfitri
Hari Raya Aidilfitri هاري راي عيدالفطري | |
---|---|
Official name | Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Puasa, Bahasa Arab: عيد الفطر ʿĪd al-Fiṭr |
Also called | Hari Raya Fitrah, Eid, Idul Fitri, Lebaran (Indonesia), Shemai Eid (Bangladesh), Ramazan Bayramı (Turki), Eid ul Fitr (Inggeris) |
Observed by | Umat Islam seluruh dunia, juga bukan muslim di negara Muslim |
Type | Perayaan agama |
Significance | Menandakan berakhirnya bulan Ramadan, bulan puasa |
Celebrations | Menghias, menziarahi keluarga dan sahabat taulan, memasang lampu pelita, balik kampung |
Observances | Solat |
Date | 1 Syawal |
2023 date | 22 April - 20 Mei |
2024 date | 10 April - 10 Mei |
Related to | Hari Raya Aidiladha, perayaan umat Islam lain, yang disambut 70 hari kemudian |
Hari ini |
---|
15 Jamadilakhir 1446 |
Selasa |
17 Disember 2024 |
(UTC 0) |
Sebahagian daripada siri berkaitan |
Islam |
---|
Hari Raya Aidilfitri (Arab: عيد الفطر ; ʿĪd al-Fiṭr; "perayaan buka puasa") disambut pada 1 Syawal tahun Hijrah. Perayaan tersebut juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah atau Hari Lebaran. Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia tidak kira bangsa sama ada Arab, Inggeris, Melayu, India-Muslim, Cina-Muslim dan lain-lain bangsa di seluruh dunia yang beragama Islam bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadan yang mana umat Islam telah menjalani ibadat puasa dengan tekun. Ia merupakan antara dua perayaan terbesar bagi umat Islam, selain Hari Raya Kurban.
Hari Raya Puasa bermula melalui dua cara; iaitu melalui rukyah (melihat anak bulan) ataupun secara hisab (kiraan). Sekiranya melalui rukyah, apabila anak bulan kelihatan, ini menandakan bermulanya bulan Syawal, iaitu bulan ke-10 dalam Takwim Hijrah Islam. Di Malaysia, anak bulan akan diperhatikan oleh pegawai bertugas pada sebelah petang hingga waktu maghrib di beberapa tempat strategik.
Zakat fiṭrah dan takbir زکاة فطره دان تکبير
Sebahagian daripada kategori berkaitan Islam |
Kebudayaan Islam |
---|
Gaya hidup setempat masyarakat Islam |
Busana Muslim |
Hari Kebesaran |
Kesusasteraan |
Muzik |
Pertunjukan |
|
Reka bentuk Seni bina Islam |
|
Seni |
|
Perayaan Hari Raya Puasa merupakan berakhirnya tempoh untuk membayar zakat fitrah iaitu zakat yang dikenakan kepada mereka yang masih hidup sehingga masa itu. Zakat fitrah tidak perlu dibayar bagi mereka yang telah meninggal dunia. Kebiasaannya orang Islam juga akan mula membayar zakat fitrah semenjak bulan puasa bermula dan zakat fitrah ini akan berhenti dikutip apabila solat sunat Aidilfitri dimulakan. Oleh itu, pada kebiasaannya solat sunat Aidilfitri dilewatkan sedikit berbanding solat sunat Aidiladha. Hikmahnya dilewatkan sedikit solat sunat Aidilfitri adalah bagi memberi peluang kepada mereka yang belum membayar zakat untuk menunaikan kewajipan mereka dan disunatkan makan dahulu sebelum pergi ke masjid. Berlainan pula, solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban.[1]
Apabila tarikh Hari Raya telah ditentukan, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid sambil memuji kebesaran Allah. Tempoh bertakbir bagi Hari Raya Aidilfitri adalah antara terbenamnya matahari(hari terakhir bulan Ramadan) sehingga solat sunat Hari Raya Aidilfitri bermula pada pagi 1 Syawal tahun Hijrah. Hari raya disambut pada pagi hingga malam.
Simbol سيمبول
Simbol terkenal bagi perayaan Hari Raya di Malaysia ialah ketupat. Ketupat adalah juadah istimewa yang masih dihidangkan pada hari ini. Ketupat adalah nasi yang dikukus di dalam anyaman daun kelapa atau daun palas dan selalunya dihidangkan bersama dengan rendang. Juadah-juadah yang lain termasuklah lemang, lontong, dodol, dan kuih raya.
Namun begitu, simbol lain yang berteraskan Islam seperti kalimah Allah dan Nabi Muhammad, bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan, geometri, dan lain-lain yang tiada unsur haram juga adalah digalakkan untuk digunakan sebagai simbol perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Persiapan ڤرسياڤن
Di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri disambut dengan meriah. Berminggu-minggu sebelum perayaan tersebut menjelma, suasana persiapan menjelang Aidilfitri telah dirasai. Pusat-pusat membeli-belah akan mengadakan jualan murah dan dihiasi dengan perhiasan secara besar-besaran. Lagu-lagu raya juga akan diputarkan di radio dan di televisyen. Rancangan-rancangan yang berkisarkan Aidilfitri akan ditayangkan. Bank, sekolah, dan premis-premis perniagaan akan ditutup selama beberapa hari sehingga seminggu sempena Aidilfitri.
Di jalan raya utama dan lebuh raya di seluruh negara, kesesakan akan berlaku akibat kebanjiran warga bandar yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama sanak saudara dan kaum keluarga. Fenomena ini juga dikenali sebagai Balik Kampung.
Amalan lazim عملن لازيم
Antara amalan yang dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri. Pada pagi Hari Raya Aidilfitri (selalunya sebelum dan sejurus sesudah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri), umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah sanak saudara dan rakan taulan. Mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
Amalan memberi wang kepada kanak-kanak juga amat popular pada Hari Raya. Duit raya selalunya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak melalui sampul duit yang selalunya berwarna hijau dan kuning. Sampul duit raya diadaptasi daripada amalan orang Cina yang memberi sampul merah berisi wang ataupun "Ang Pau".[perlu rujukan] Terdapat pelbagai saiz sampul yang dikeluarkan oleh bank-bank dan syarikat-syarikat perniagaan, antaranya saiz yang bersesuaian dengan saiz wang kertas polimer RM 5. Kadangkala amalan pemberian Duit Raya diganti dengan pemberian hadiah-hadiah.
Sudut agama pula, malam tujuh likur sering dikaitkan dengan Lailatulqadar iaitu detik keemasan untuk individu Muslim merebut syurga apabila malaikat dan Jibril akan turun ke bumi untuk mengaminkan doa orang yang bersembahyang, bertasbih, bertahmid dan bertakbir kepada Allah. Dengan itu timbullah tradisi memasang pelita bagi sebagai simbol meraikan bulan mulia dan memudahkan membantu mereka yang berjalan ke surau atau masjid bagi menunaikan tarawih kerana merebutkan Lailatulqadar, kerana suasana pada malam terlalu gelap dan mungkin membahayakan keselamatan. Ini adalah kerana pada masa dahulu, tiada kemudahan elektrik seperti hari ini.[2]
Malah diriwayatkan juga Ali k.w. mengelilingi masjid-masjid pada bulan Ramadhan dengan membawa lampu sambil mengucapkan kata-kata yang bermaksud: "Semoga Allah s.w.t. menerangi kubur Umar sebagaimana dia telah menerangi masjid-masjid kami." [3], dan juga riwayat dari Umar (رضى الله عنه) menyebutkan bahawa:
- "Barangsiapa yang memberikan lampu penerang pada masjid-masjid Allah maka Allah akan memberi pula baginya lampu penerang di dalam kuburnya. " [4]
Rumah terbuka akan diadakan pada Hari Raya itu sendiri ataupun sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri selalunya akan berpanjangan sehingga sebulan, dan kemeriahan itu akan hilang dengan sendirinya apabila semua orang pulang ke bandar setelah cuti tamat. Biasanya di Malaysia, minggu pertama hari raya lebuh raya akan dipenuhi dengan kenderaan dan menyebabkan jalan sesak.[5]
Pakaian ڤاکاين
Baju Melayu adalah pakaian tradisi kaum Melayu yang dipakai oleh kaum lelaki di Malaysia pada Hari Raya. Pakaian ini dilengkapi dengan songkok dan lilitan songket di bahagian pinggang. Pakaian yang menjadi kebiasaan kaum wanita pula ialah Baju kurung dan Baju kebaya. Setiap tahun pelbagai fesyen diperkenalkan bagi mempelbagaikan rekaan baju-baju tradisi ini. Pada tahun 2005, pemakaian batik, songket, dan baju kebaya nyonya semakin meningkat hasil promosi dan komersialisasi oleh Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood, isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Aidifitri mengikut negara
Timur Tengah
Arab Saudi
Aidilfitri di Arab Saudi disambut penuh meriah. Masyarakat Saudi akan menghiasi rumah mereka dan menyediakan makanan-makanan yang mewah untuk keluarga dan rakan-rakan.
Budaya sambutan Hari Raya Aidilfitri di Arab Saudi boleh berbeza mengikut kawasan, namun satu kebiasaan mereka adalah kemurahan hati dan keramahan. Pertama, ia adalah menjadi tradisi biasa bagi keluarga dalam Saudi untuk berkumpul seleoas solat sunat Aidilfitri. Sebelum jamuan Hari Raya disediakan, kanak-kanak akan beratur untuk menerima wang sebagai hadiah dari mereka yang lebih dewasa. Selain itu, ahli keluarga turut akan memberi hadiah kepada kanak-kanak dan kebiasaannya hadiah tersebut merupakan gula-gula dan permaianan.
Dalam semangat Hari Raya, ramai masyarakat Saudi akan keluar untuk menunjukkan kebaikan dan kemurahan hati mereka. Ia merupakan kebiasaan untuk mereka menyapa satu sama lain secara rawak dan memberi tumpang kenderaan walaupun kepada orang asing. Adakala hadiah dan permainan turut diberikan kepada kanak-kanak. Selain itu, kebanyakan penjual akan memberi hadiah percuma bagi setiap pembelian sebagai tanda kemurahan hati mereka.
Secara tradisi, lelaki arab akan membeli sejumlah besar beras dan makanan ruji yang lain untuk diletakkan di hadapan pintu mereka yang kurang bernasib baik tanpa menyatakan nama mereka kepada mereka yang menerimanya.
Pada waktu pagi Aidilfitri dan selepas solat sunat Aidilfitri dilakukan, penduduk di beberapa kawasan tengah Arab Saudi (seperti Al-Qassim) akan menganjurkan majlis makan yang besar. Penganjur akan meletakkan permaidani yang besar di salah satu jalan kejirananan mereka, dan seisi kejiranan akan menyediakan sajian yang banyak untuk dikongsi Bersama jiran-jiran mereka. Amalan ini biasa dilakukan bagi mereka mencuba lebih dari satu hidangan.
Kebanyakan bandar-bandar besar di Arab Saudi akan mengadakan pertunjukan bunga api yang besar setiap malam.[6]
Iran
Di Iran pada hari-hari terakhir bulan Ramadan, beberapa orang pakar dari pejabat Ayatollah Khamenei akan pergi ke zon berbeza di dalam Iran untuk penentuan tarikh Aidilfitri dengan melihat anak bulan.[7] Masyarakat Islam Iran akan mengikuti solat sunat Aidilfitri yang kebiasaannya dilakukan di tanah lapang atau dewan besar serta membayar zakat fitrah.[8] Solat sunat Aidilfitri akan diketuai oleh Ayatollah Ali Khamenei, Pemimpin Agung Iran di Dewan Besar Solat Imam Khomeini Tehran dan beliau akan membaca khutbah raya sejurus selepas solat.[9][10] Di Iran, secara kebiasaannya cuti umum akan diberikan selama sehari atau dua hari.[11]
Turki
Di Turki, sesuatu perayaan kebangsaan dirujuk sebagai bayram, manakala Aidilfitri pula dirujuk sebagai Şeker Bayramı dan Ramazan Bayramı.
Semasa sambutan Aidilfitri, pejabat kerajaan dan sekolah secara kebiasaannya akan ditutup selama tiga hari. Perayaan ini juga biasannya diselit dengan tradisi kebangsaan. Adalah menjadi kelaziman bagi mereka untuk menyapa satu sama lain dengan menyebut Bayramınız kutlu olsun[12] atau Bayramınız mübarek olsun yang membawa maksud yang sama iaitu "Semoga bayram kamu diberkati". Mutlu Bayramlar ("Selamat Bayram") merupakan alternatif yang turut disebut. Masyarakat Islam Turki akan menghadiri solat sunat Aidilfitri dengan memakai pakaian terbaik yang dikenali sebagai bayramlık (kebiasaannya dibeli untuk sambutan Aidilfitri), menziarahi orang tersayang (seperti keluarga, jiran dan rakan) visit all their loved ones (such as relatives, neighbours, and friends), dan menziarahi perkuburan. Hari pertama dianggap paling penting apabila seluruh ahli keluarga akan bangun awal pagi dan lelaki akan pergi ke masjid berdekatan untuk solat istimewa bayram.
Ia dianggap penting untuk menghormati orang tua dengan mencium tangan kanan mereka dan mencium dahi sambil mengucapkan bayram. Ia turut menjadi kebiasaan untuk anak-anak muda berkunjung ke rumah jiran-jiran dengan mengucapakan Bayram, sambil mereka akan diberikan gula-gula, coklat mahupun manisan tempatan seperti baklava, atau wang dengan jumlah yang kecil.
Upacara pengumpulan dana juga dilakukan untuk golongan miskin dengan membuat persembahan umum seperti konsert atau hiburan tradisi yang lain seperti persembahan wayang kulit Karagöz dan Hacivat dan persembahan Mehter – sebuah kugiran Janissari yang ditubuhkan semasa Empayar Uthmaniyah.
Afrika
Mesir
Aidilfitri merupakan perayaan yang disambut selama tiga hari di Mesir dengan penutupan pejabat kerajaan, university dan sekolah termasuk beberapa buah kedai dan restoran yang turut ditutup semasa perayaan ini.
Hari Raya dimulakan dengan juadah ringan sebelum solat sunat Aidilfitri serta khutbah hari raya yang disertai oleh kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak. Sejurus selepas itu, jiran, kenalan dan saudara-mara akan bersalam-salaman sesama sendiri dan mengucapakan "Eid Mubarak" (Hari Raya yang diberkati). Ziarah ahli keluarga merupakan kewajipan di hari pertama Aidilfitri, manakala dua hari seterusnya diluangkan dengan pergi ke taman, panggung wayang dan pantai.
Kanak-kanak kebiasaannya akan diberikana pakaian baharu untuk dipakai sepanjang Hari Raya. Kaum wanita (khususnya ibu, isteri, adik beradik perempuan dan anak perempuan) kebiasaannya akan menerima hadiah istimewa dari yang tersayang. Kanak-kanak juga kebiasaannya akan menerima Eid-ey-yah atau duit raya dari saudara mara yang lebih dewasa. Duit raya ini akan digunakan oleh mereka untuk melakukan aktiviti sepanjang Hari Raya. Mereka akan pergi ke taman hiburan, taman mahupun kawasan awam berdasarkan jumlah duit raya yang diperoleh oleh mereka.
Kaum keluarga akan berkumpul untuk bersama-sama masak dan makan makanan rakyat Mesir seperti Fata mahupun makanan Hari Raya seperti Ka’ak atau Kahka iaitu biskut yang diisi kacang dan disaluti dengan gula tepung. Ia kebiasaannya akan dibakar sendiri atau dibeli di kedai. Rancangan-rancangan di televisyen juga dipenuhi dengan program perayaan seperti tayangan filem dan siaran langsung dari seluruh Mesir mengenai Hari Raya.
Di sesetengah kawasan juga, kanak-kanak berkumpul mengelilingi pencerita, pemain boneka atau ahli silap mata. Turut menjadi kebiasaan untuk kanak-kanak menyewa basikal yang telah dihias untuk mengelilingi pekan.
Masyarakat Mesir gemar meraikan Hari Raya Bersama-sama dengan orang lain. Ini membuatkan jalan-jalan di Mesir sering sesak pada siang dan malam hari.[13]
Tunisia
Sejak tahun 2012, Tunisia meraikannya Hari Raya selama tiga hari dengan hanya dua hari sahaja dikira sebagai cuti umum (Hari Raya pertama dan kedua), dengan melakukan persiapan beberapa hari lebih awal. Biskut istimewa dibuat dan diberikan kepada keluarga dan rakan pada hari tersebut, termasuklah Baklawa dan "ka'ak". Golongan lelaki akan ke masjid pada awal pagi, manakala golongan wanita akan berada di rumah untuk membuat persiapan untuk kanak-kanak serta menyediakan makan tengah hari yang kebiasaannya dilakukan di rumah orang tua mereka. Sepanjang siang hari, terdapat tarian dan muzik dan sambutan berlangsung sepanjang hari. Hadiah turut menjadi sebahagian daripada tradisi masyarakat Tunisia semasa Hari Raya. Pada malam hari, makanan akan menjadi acara sorotan.
Ahli keluarga akan menziarahi satu sama lain. Mereka akan dihidangkan dengan air dan biskut. Kanak-kanak biasanya akan ditemani bapa mereka untuk melakukan ziarah saudara mara dan rakan-rakan. Manakala kaum ibu dan beberapa orang anak akan tinggal di rumah untuk menunggu para tetamu yang datang menziarahi.
Somalia
Di Somalia, Aidilfitri disambut dengan penyediaan jamuan yang rumit seperti xalwo (halwo) dan buskut (buskuit).[14]
Afrika Selatan
Di Cape Town, beribu-ribu masyarakat Islam akan berhimpun di Green Point pada petang hari terakhir Ramadan untuk melihat anak bulan. Perhimpunan ini menyatukan seluruh masyarakat dan setiap orang akan membawa sesuatu untuk dikongsi dengan yang lain semasa berbuka puasa. Solat Maghrib dilakukan secara berjemaah sebelum pengumuman keputusan anak bulan dilakukan selepas itu.[15]
Perayaa AIdilfitri dilakukan dengan melakukan solat sunat Aidilfitri di masjid pada pagi Hari Raya sebelum zirah sanak saudara dan jiran tetangga dilakukan. Kanak-kanak akan diberikan hadiah dan duit raya dari ahli keluarga, saudara mara dan jiran yang lebih dewasa. Pakaian baharu yang berwarna-warni dipakai, sementara juadah seperti biskut, kek, samosa, pai dan tat dihidangkan kepada para tetamu. Makan tengah hari turut dihidangkan untuk ahli keluarga dan menjadi kebiasaan untuk bertukar-tukar hadiah.
Sudan
Di Sudan, dengan populasi masyarakat Islam seramai 97%,[16] persiapan Hari Raya dilakukan dua hari terakhir Ramadan. Penyediaan ka'ak (biskut yang ditabur dengan gula), bettifour dan bertih jaguh dibakar dalam kuantiti yang banyak untuk disajikan kepada para tetamu dan diberikan kepada ahli keluarga dan rakan. Golongan wanita akan menghiasi tangan dan kaki mereka dengan henna.
Pada Hari Raya, golongan lelaki (serta terdapat juga wanita) akan mengikuti solat sunat Aidilfitri. Selama tiga hari, ahli keluarga akan mengunjungi satu sama lain selain mengunjungi jiran-jiran dan rakan-rakan yang lain. Juadah termasuk coklat dan manisan akan dihidangkan selain makanan tengah hari turut dihidangkan kepada tetamu. Kanak-kanak akan diberi hadiah sama ada barang mainan mahupun duit raya.
Nigeria
Nigeria merupakan negara sekular dengan sebahagian besar populasinya adalah masyarakat Islam dan Kristian. Masyarakat Islam secara tradisinya akan menyapa sesame sendiri dengan ucapan "Barka Da Sallah". Aidilfitri merupakan sambutan kebangsaan Nigeria dan diberi cuti selama dua hari.
Asia Tengah dan Selatan
Afghanistan
Dalam budaya masyarakat Ahli Sunnah Wal Jamaah di Afghanistan, Aidilfitri merupakan perayaan penting dan disambut meriah selama tiga hari. Ucapan kebiasaan mereka adalah Eid Mubarak. Bagi masyarakat yang bertutur dalam Pashto, Hari Raya ini digelar Kochnai Akhtar.
Masyarakat Afghanistan akan membuat persiapan sepuluh hari lebih awal dengan mempersiapkan dan menghiasi kediaman mereka. Praktis ini digelar Khana Takani. Mereka akan mengunjungi bazaar tempatan untuk membeli pakaian baharu, manisan dan snek untuk Hari Raya. Antara hidangan Hari Raya di Afghanistan adalah Jelabi (Jalebi), Shor-Nakhod dan Cake wa Kolcha.
Pada pagi Aidilfitri, masyarakat Islam Afghanistan akan menunaikan solat sunat Aidilfitri dan kemudiannya berkumpul di rumah keluarga sambil mengucapkan "Eid Mubarak" dan disusuli ucapan "Eidet Mobarak Roza wa Namazet Qabool Dakhel Hajiha wa Ghaziha," yang bermaksud "Selamat Hari Raya kepada anda; semoga puasa dana mal ibadat diterima Allah, dan semoga anda dipanggil untuk menunaikan ibadat Haji." Ahli keluarga dewasa akan memberi duit raya dan hadiah kepada kanak-kanak. Adalah menjadi kebiasaan untuk mengunjungi keluarga dan sahabat handai, yang mungkin sukar dilakukan pada hari-hari biasa. Kanak-kanak akan berkunjung dari rumah ke rumah sambil mengucapkan "Khala Eidet Mubarak" ("Selamat Hari Raya, mak cik"), dan mereka akan menerima biskut atau Pala.
Pakistan
Di Pakistan, masyarakat Islam tempatan akan memakai pakaian baharu untuk solat sunat Aidilfitri pada hari pertama Hari Raya. Hari Raya Aidilfitri disambut selama tiga hari sebagai hari cuti umum di Pakistan, dan sambutan diteruskan selama sebulan. Sudah menjadi tradisi untuk menghantar kad ucapan Hari Raya kepada ahli keluarga, sanak saudara dan rakan taulan.
Solat sunat Aidilfitri kebiasaannya diadakan di kawasan terbuka yang luas seperti di kawasan sukan, taman atau tempat terbuka yang lain. Selepas solat sunat Aidilfitri, masyarakat di sana akan bertemu dan mengucapkan "Eid Mubarak" sambil berpelukan persahabatan antara satu sama lain. Sebelum pulang ke rumah, mereka akan memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan. Semasa dalam perjalanan ke rumah, menjadi kebiasaan mereka akan membeli manisan, belon gas untuk kanak-kanak dan hadiah untuk ahli keluarga. Di rumah, mereka akan dijamukan dengan pelbagai manisan dan pencuci mulut termasuklah makanan tradisional sheer kurma, iaitu buah kurma yang dimasak dengan susu, buah kering, mentega dan mi suhun (vermicelli) menjadi sebuah puding.
Hari Raya lebih diraikan oleh kanak-kanak apabila mereka menerima duit raya yang digelar "Eidi" yang diperoleh dari ahli keluarga dewasa mahupun jiran tetangga ketika menziarahi mereka.
India
Sambutan di India dan benua kecil India adalah hampir serupa kerana sebahagian besar benua kecil India diperintah sebagai satu negara pada zaman Empayar Mughal dan British Raj. Malam hari sebelum Aidilfitri digelar "Chaand Raat" (Malam Bulan). Masyarakat Islam di sini dan benua kecilnya akan mengunjungi bazaar dan pusat membeli-belah bersama-sama dengan ahli keluarga mereka untuk membuat persiapan Hari Raya. Golongan wanita terutama yang muda kebiasaannya akan memakai inai di tangan dan kaki mereka serta memakai gelang yang berwarna-warni.
Ucapan Eid Mubarak dan disertai dengan berjabat tangan adalah tradisi di sini. Memberi hadiah—termasuk pakaian baharu—dan memberi duit raya (Eidi) kepada kanak-kanak adalah kebiasaan di sini.
Adalah kebiasaan, selepas solat sunat Aidilfitri, beberapa ahli keluarga akan menziarahi pusara dan mendoakan ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Selain itu, mereka akan menziarahi jiran-jiran, ahli keluarga, rakan-rakan dan berkongsi manisan, snek dan sajian istimewa yang disediakan sempena Hari Raya. Antara makanan istimewa yang disediakan di India, Pakistan dan Bangladesh adalah Lachcha/লাচ্চা atau sivayyan/শিমাই (sheer kurma).[17]
Di India, terdapat banyak tempat popular yang sering menjadi tumpuan untuk solat sunat Aidilfitri termasuklah Masjid Jamek di Delhi, Masjid Makkah di Hyderabad, Aishbagh Idgah di Lucknow, Jalan Merah dan Masjid Nakhoda di Kolkata, Masjid Taj-ul di Bhopal, Masjid Jamek di Mumbai, serta Masjid Hajratbal di Kashmir. Menjadi kebiasaan untuk rakan-rakan bukan beragama Islam untuk menziarahi dan menyambut bersama-sama Hari Raya ini
Bangladesh
Aidilfitri di Bangladesh lebih dikenali sebagai 'Romjaner Eid' dan tiga hari diperuntuk sebagai cuti umum kebangsaan. Namun begitu, institusi pendidikan, bank, pejabat korporat kebiasaanya akan ditutup selama seminggu bagi sambutan Aidilfitri. Aidilfitri dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri, berpelukan antara satu sama lain dan bertukar-tukar ucapan, hadiah serta menziarahi satu sama lain. Golongan wanita akan menghiasi tangan mereka dengan inai. Selain itu, pakaian baharu dan hidangan istimewa disediakan untuk sambutan Hari Raya. Antara sajian istimewa yang sering disediakan adalah nasi pilau, kurma ayam, kari malai udang, ayam cili dan banyak lagi. Masyarakat tempatan akan berkunjung ke rumah keluarga dan rakan-rakan selama tiga hari dan sebanyak tiga sehingga empat buah rumah akan diziarahi setiap hari. Kanak-kanak akan menerima duit raya dari orang yang lebih dewasa.
Asia Tenggara
Idul Fitri atau Hari Raya Aidilfitri atau Lebaran merupakan cuti umum bagi Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura. Tradisi Aidilfitri di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina, Selatan Thailand dan Cambodia agak serupa.
Indonesia
Hari Raya Aidilfitri di Indonesia lebih dikenali sebagai Hari Raya Idul Fitri (atau lebih popular sebagai Lebaran) dan ia merupakan salah satu cuti umum di Indonesia.[18] Pusat beli-belah dan bazar akan dipenuhi oleh orang ramai untuk mendapatakan persiapan raya seperti pakaian dan kasut baharu serta hidangan untuk Hari Raya. Pejabat kerajaan, swasta dan bank kebiasaannya akan ditutup sempena sambutan Hari Raya.
Lebaran juga akan disertai dengan sejumlah besar migrasi penduduk untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Hari Raya bersama keluarga dan meminta ampun sesama keluarga, saudara mara dan mereka yang lebih tua. Pada tahun 2013, dicatatkan seramai 30 juta rakyat Indonesia pulang ke kampung halaman sempena cuti Hari Raya.[19] Tradisi ini dikenali sebagai mudik atau pulang kampung. Kerajaan Indonesia kebiasaannya akan menyediakan pengangkutan tambahan untuk menampung permintaan yang tinggi . Namun, ia menyebabkan berjuta-juta kereta dan motosikal terperangkap dalam kesesakan yang teruk di atas jalan raya dan lebuh raya pada setiap tahun.[20]
Pada malam Hari Raya, takbir akan dialunkan di masjid-masjid dan suray berhampiran. Di kawasan pendalaman, obor dan damar/pelita akan dipasang disekitar kawasan luar rumah.
Selepas solat sunat Aidilfitri, kaum keluarga dan jiran tetangga akan berkumpul dan bersalaman antara satu sama lain. Ia menjadi kebiasaan untuk mengucapkan "Selamat Idul Fitri" dan disusuli dengan "mohon maaf lahir dan batin".
Antara sajian istimewa masyarakat Indonesia semasa Hari Raya adalah ketupat, ketupat, opor ayam, rendang, sambal goreng ati, sayur lodeh dan lemang. Kuih-muih, biskut dan dodol turut dihidangkan sebagai manisan. Various types of kue, cookies and dodol sweet delicacies are also served during this day. Kanak-kanak akan menerima sampul berwarna-warni yang mengandungi duit raya.
Golongan lelaki Indonesia akan memakai baju tradisional yang dikenali sebagai baju koko: baju lengan panjang atau pendek tanpa kolaar yang dipakai dengan sarung serta songkok. Golongan wanita pula kebiasaannya akan memakai kebaya kurung.
Malaysia, Singapura, Brunei dan Selatan Thailand
Di Brunei, Malaysia dan Singapura, Hari Raya biasanya disebut sebagai Raya Aidilfitri (Jawi: هاري راي عيدالفطري), Hari Raya Puasa, Hari Raya Fitrah mahupun Hari Lebaran.
Menjadi kebiasaan untuk mereka yang bekerja di bandar untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Hari Raya bersama keluarga. Di Malaysia khususnya, tradisi ini digelar balik kampung.
Malam Hari Raya akan dipenuhi dengan takbir raya dari masjid dan surau berhampiran. Di kebanyakan kawasan di Malaysia, terutama kawasan kampung, pelita atau panjut atau lampu colok akan dipasang disekitar rumah. Sajian istimewa Hari Raya adalah ketupat, rendang, lemang serta pelbagai jenis kuih-muih. Ia menjadi kebiasaan untuk mengucapkan "Salam Aidilfitri" atau "Selamat Hari Raya" dan disertai dengan "maaf zahir dan batin.
Golongan lelaki di Malaysia, kebiasaannya akan memakai Baju Melayu berserta samping dan songkok. Golongan wanita pula akan memakai Baju Kurung dan kebaya.
Di Malaysia, khususnya di bandar-bandar besar, masyarakat Islam akan bergilir-gilir menganjurkan rumah terbuka yang mana mereka akan menjemput dan meraikan tetamu ke rumah mereka. Kanak-kanak juga akan diberikan duit raya dari ibu bapa dan mereka yang lebih tua.[21][22]
Filipina
Di Filipina, di kalangan masyarakat Islam mereka, Aidilfitri dikenali "Araw ng Lebaran" / "Araw ng Raya" atau di kalangan majoriti Kristian dan bukan Islam sebagai "Wakás ng Ramadán" ("Pengakhiran Ramadan") dan diiktiraf oleh Kerajaan Filipina sebagai cuti umum seperti yang termaktub dalam Akta Republik No. 9177 serta Perisytiharan Presiden No. 1083 yang ditandatangani pada 13 November 2002. Ini menjadikan Filipina sebagai satu-satunya negara dengan majoriti Kristian yang membuat sedemikian.
Undang-undang itu telah digubal untuk menghormati masyarakat Islam Filipina dan mempromosikan keamanan serta keharmonian antara agama-agama utama di negara ini. Sambutan Aidilfitri kebangsaan pertama disambut pada 6 Disember 2002 yang disambut dengan doa dan pesta. kebangsaan pertama Eid al-Fitr pada 6 Disember 2002, ditandakan dengan doa dan pesta.
Myanmar
Aidilfitri hanya disambut sehara di kalangan masyarakat Islam Myanmar. Mereka menggelar perayaan ini sebagai Eid Nei’ (Nei’=hari) atau Eid Ka Lay (Ka Lay=kecil) atau Shai Mai Eid (Shai Mai= hidangan bihun manis dihidangkan dengan gajus goreng, hampas kelapa, kismis dan susu yang secara tradisinya dimakan oleh masyarakat Islam Myanmar semasa Hari Raya). Masyarakat Islam Myanmar kebanyakannya merupakah Sunnah Wal Jamaah yang berpegang kepada mazhab Hanafi dan kesemua mereka adalah dari bangsa minoriti seperti Rohingya, Cina Myanmar (Panthay), India Myanmar dan Melayu Myanmar.
Semasa bulan Ramadan, di bandar-bandar kecil dan kampung-kampung yang mempunyai populasi masyarakat Islam yang besar, golongan belia Islam Myanmar akan mewujudkan kumpulan nyanyian yang dikenali sebagai "Jago" yang bermaksud "bangun”. Kumpulan Jago biasanya hanya menggunakan mulut untuk mewujudkan bunyi dan tidak menggunakan sebarang alat muzik.[23] Kumpulan ini akan berjalan di sekitar kejiranan mereka di awal pagi hari bagi mengejutkan masyarakat Islam lain bagi bersahur. Kebiasaannya mereka akan mengambil lagu-lagu popular dari filem Hindi dan menukar liriknya berkaitan puasa, Islam dan solat.[24] Lagu-lagu ini dikenali sebagai Qawwali, yang turut popular di India dan Pakistan. Adakalanya, kumpulan Jago ini juga akan menziarahi rumah-rumah masyarakat Islam yang lain dan dihidangkan dengan jamuan serta diberi sumbangan berbentuk wang yang dikenali sebagai "Eidi" atau Duit Raya.
Hari Raya Aidilfitri bukanlah cuti umum di Myanmar. Namun begitu, kebanyakan majikan akan memberi cuti kepada pekerja mereka yang beragama Islam bagi menyambut sambutan ini. Memandangkan tiada satu pun badan bertanggungjawab untuk melihat anak bulan bagi sambutan Hari Raya, maka ia agak menyukarkan bagi masyarakat Islam di Myanmar untuk mengetahui tarikh sebenar bermula dan berakhirnya ramadan. Disebabkan oleh ini jugalah Hari Raya disambut pada hari yang berbeza terutama di pekan-pekan kecil dan kampung.
Masyarakat Islam Myanmar akan mengucapkan salam dan disertai dengan Eid Mubarak bagi ucapan Hari Raya sambil tangan berjabat dan diletakkan di atas dahi; tiada goncangan tangan dilakukan ketika berjabat. Hadiah dan makanan kebiasaannya akan diberikan kepada saudara mara yang tua serta adakala kepada majikan bukan Islam dan pihak berkuasa kerajaan. Pakaian baharu akan diberikan kepada ahli keluarga yang lain serta rakan sekerja. Bagi kanak-kanak mereka akan menerima hadiah dari golongan yang lebih dewasa terutama dalam bentuk wang.
Solat sunat Hari Raya atau dikenali sebagai "Eid Namaz" kebiasaannya akan dilakukan di ruang luar terbuka dan hanya disertai oleh golongan lelaki sahaja.
Pihak berkuasa agama tidak membenarkan masyarakat Islam Myanmar menghiasi rumah mereka dengan lampu, pelita, mahupun menghantar kad ucapan Hari Raya. Malahan, kanak-kanak dan dewasa juga tidak dibenarkan menyambut mana-mana upacara keagamaan dengan bunga apa mahupun mercun.
Lain-lain
China
Di China, daripada 56 kumpulan etnik yang diiktiraf, Aidilfitri disambut sekurang-kurang oleh 10 kumpulan etnik Islam China. Kumpulan-kumpulan ini merangkumi 18 juta orang mengikut statistik rasmi, namun beberapa pemerhati mengatakan angka sebenar mungkin lebih besar. Aidilfitri merupakan cuti umum di beberapa wilayah termasuklah Ningxia dan Xinjiang. Kesemua penduduk di wilayah-wilayah ini, tidak kira agama, akan mendapat cuti sehari atau tiga hari. Bagi masyarakat di luar wilayah majoriti Islam, hanya masyarakat Islam diberi cuti selama satu hari. Di wilayah Xinjiang, perayaan ini turut disambut oleh bangsa Han di mana bekalan daging diagihkan kepada isi rumah sebahagian daripada program kebajikan yang dibiayai oleh agensi kerajaan, institusi awam dan swasta serta perniagaan.
Di wilayah Yunnan, populasi Islam tersebar luar di wilayah ini. Pada Aidilfitri, beberapa penganut akan mengunjungi perkuburan Sayyid 'Ajjal selepas solat sunat Aidilfitri. Di sana mereka akan membaca ayat al-Quran dan membersihkan pusara, sama seperti festival Qingming tahunan di mana masyarakat tempatan akan membersihkan pusara nenek moyang dan kawasan sekitar sambil mempersembahkan makanan.
Greece
Aidilfitri (Seker Bayram) disambut di Greece terutamanya di wilayah Thrace Barat yang mempunyai minoriti penganut Islam, selain mereka turut meraikan Kurban Bayram dan Hıdırellez. Pada hari Bayram, ahli keluarga akan berkumpul, memakai pakaian terbaik dan menyambut dengan sajian biasa selepas solat sunat Aidilfitri. Golongan wanita akan menyediakan manisan untuk keluarga dan tetamu, sementara kanak-kanak akan memberi penghormatan kepada yang lebih tua dengan mencium tangan mereka. Kanak-kanak akan diberikan gula-gula, manusia dan duit raya.[25][26]
Para penjual tempatan yang beragama Islam akan menutup kedai mereka, manakalan sekolah-sekolah minoriti Islam akan bercuti selama lima hari.[26] Some entertainment venues and clubs hold special events for the night of the Bayram.[27]
Australia
Di Australia, sebagai sebuah negara sekular, masyarakat Islam dibenarkan mengamalkan kepercayaan mereka dengan bebas. Kebanyakan syarikat-syarikat besar akan memberikan cuti khas kepada staf mereka yang beragama Islam untuk bercuti selama sehari bagi meraikan Aidilfitri. Kawasan yang mempunyai populasi Islam yang besar (tidak semestinya majoriti) akan mengadakan solat sunat Aidilfitri di masjid. Pihak polis kebiasaanya akan menutup jalan dan mengawal lalu lintas bagi memudahkan masyarakat Islam di sana melakukan solat sunat Aidilfitri. Di sesetengah kawasan, solat sunat Aidilfitri juga dilakukan di kawasan terbuka seperti di stadium dan tempat permainan.
Pada tahun 1987, Konsortium MEFF Australia menganjurkan Festival dan Pameran Hari Raya Pelbagai Budaya atau Multicultural Eid Festival and Fair (MEFF)[28] bagi menyambut Hari Raya di Sydney, yang dianjurkan beberapa selepas Aidilfitri. Festival ini telah menerima tetamu tidak kira agama sama ada Islam mahupun bukan Islam serta beberapa tetamu istimewa seperti Yusuf Islam, pemain ragbi Australia, Hazem El Masri, jeneral-gabenor Australia, Michael Jeffery dan mantan premier of New South Wales, Kristina Keneally. Kini, festival ini berkembang di banyak bandar-bandar sekitar Australia. Pameran Hari Raya terbesar di Melbourne diadakan di Broadmeadows kebiasannya pada hujung minggu selepas Aidilfitri. Di Canberra, Festival Hari Raya ditaja oleh Polis Persekutuan Australia dan dianjurkan pada hari Ahad selepas Aidilfitri. Festival ini termasuklah gerai-gerai dari negara yang berbeza, program kebudayaan dan permaian untuk kanak-kanak dan juga dewasa.
Amerika Syarikat
Kebanyakan masyarakat Islam di Amerika Syarikat akan mengadakan solat sunat Aidilfitri di pusat Islam, dewan konvensyen mahupun taman terbuka. Masyarakat Muslim dari pelbagai budaya akan bersembahyang dan meraikan bersama-sama. Di beberapa buah bandar, solat sunat Aidilfitri akan dilakukan beberapa kali bagi menampung jumlah jemaah yang ramai. Adakala pihak masjid akan menyewa taman untuk masyarakat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di sana. Wanita dan kanak-kanak kebiasaannya akan memakai inai di tangan. Pakaian baharu akan dipakai dan duit raya akan diberikan kepada kanak-kanak dan anak muda.
Selama tiga hari, ramai masyarakat Islam akan menyertai jamuan besar yang ditaja oleh komuniti masjid atau pusat Islam atau orang kaya Islam.
Di Bandar Raya New York, bermula pada tahun 2016, semua sekolah awam akan ditutup sempena Hari Raya.[29]
Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat telah beberapa mengeluarkan beberapa setem khas Hari Raya bermula pada tahun 2001 bagi meraikan "dua daripada perayaan-perayaan utama dalam kalendar Islam: Aidilfitri dan Aidiladha." [30][31][32][33]
Kanada
Aidilfitri di Kanada adalah sama seperti di Amerika Syarikat, kebanyakan masyarakat Islamnya akan mengambil cuti selama satu hari dan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid-masjid mahupun pusat Islam, dewan konvensyen dan pusat arena sukan. Di bandar-bandar besar Toronto, Montreal, Vancouver, Calgary dan Ottawa, solat sunat adakalanya terpaksa dijalankan selama beberapa kali bagi menampung jemaah yang ramai. Ziarah-menziarahi akan dilakukan pada hari pertama atau hari-hari seterusnya menerusi konsep "rumah terbuka" yang mengalukan semua untuk datang menziarah. Kanak-kanak akan menerima hadiah atau dut raya. Manusian dan juadah akan disediakan sepanjang hari. Bagi komuniti Islam kecil, mereka akan berkumpul di masjid atau menyewa sebuah dewan komuniti. Masyarakat Islam juga akan menyumbangkan duit atau memberi sumbangan kepada pusat makanan tempatan untuk diberikan kepada mereka yang kurang bernasib baik.
Para pelajar di sekolah-sekolah Kanada akan mengambil cuti selama dua hingga tiga hari.
Trinidad dan Tobago
Aidilfitri merupakan cuti umum di Trinidad dan Tobago.
United Kingdom
Walaupun Aidilfitri tidak diiktiraf sebagai cuti umum di United Kingdom, banyak sekolah, perniagaan dan organisasi dibenarkan cuti sekurang-kurangnya sehari untuk sambutan perayaan keagamaan.
Aidilfiṭri dalam kalendar Masiḥi عيدالفطري دالم کاليندر مسيحي
Tarikh Hari Raya Aidilfitri adalah sentiasa tetap dan sama mengikut kalendar Hijrah. Namun begitu tarikhnya sentiasa berubah mengikut kalendar Masihi kerana kalendar Hijrah adalah mengikut peredaran bulan manakala kalendar Masihi pula mengikut peredaran Bumi mengelilingi Matahari. Oleh itu, tarikh Hari Raya adalah berbeza daripada tahun ke tahun, dengan beza lebih kurang antara sepuluh hingga 15 hari.
Hari Raya pada tahun-tahun yang akan datang diramalkan akan jatuh pada tarikh-tarikh berikut. Tarikh-tarikh tersebut adalah tertakluk kepada perubahan.
- 1995: 3 Mac
- 1996: 20 Februari
- 1997: 9 Februari
- 1998: 30 Januari
- 1999: 19 Januari
- 2000: 8 Januari
- 2000: 27 Disember
- 2001: 16 Disember
- 2002: 6 Disember
- 2003: 25 November
- 2004: 14 November
- 2005: 3 November
- 2006: 24 Oktober
- 2007: 13 Oktober
- 2008: 1 Oktober
- 2009: 21 September
- 2010: 10 September
- 2011: 31 Ogos
- 2012: 19 Ogos
- 2013: 8 Ogos
- 2014: 28 Julai
- 2015: 17 Julai
- 2016: 6 Julai
- 2017: 25 Jun
- 2018: 15 Jun
- 2019: 5 Jun
- 2020: 24 Mei
- 2021: 13 Mei
- 2022: 2 Mei
- 2023: 22 April
- 2024: 10 April
- 2025: 31 Mac
- 2026: 20 Mac
Hari Raya bermula pada malam sebelum tarikh-tarikh tersebut, bermula terbenamnya matahari.
Perayaan lain ڤراياءن لاءين
Di Malaysia, terdapat populasi Cina dan India. Masing-masing menyambut perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina. Kadangkala, salah satu perayaan tersebut iaitu Deepavali dan Tahun Baru Cina sering bertembung dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri mengikut kalendar Masihi. Oleh sebab itu, terdapat segelintir pihak yang mengadakan sebuah 'rumah terbuka' untuk dua perayaan sekaligus. Disebabkan situasi itu, wujudlah fenomena "DeepaRaya" dan "KongsiRaya".
Walau bagaimanapun, mufti negeri Perak menyatakan perayaan umat Islam yang dikongsi dengan perayaan keagamaan orang kafir yang lain seperti "DeepaRaya" dan "KongsiRaya" serta lain-lain kerana dianggap menjurus ke arah perbuatan syirik dan ditegah sama sekali oleh Islam. Ini berdasarkan surah Al-Kafirun yang menyebutkan amaran Allah bermaksud " Bagimu (orang kafir) agamamu dan bagi ku agamaku"
Rujukan روجوعن
- ^ Tempoh solat Hari Raya Aidilfitri[pautan mati kekal]
- ^ "Tiga perspektif berbeza malam tujuh likur". 22 September 2008. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-12-23. Dicapai pada 2009-11-30.
- ^ "SOLAT TARAWIH MENGIKUT SUNNAH NABI MUHAMMAD S.A.W. YANG SOHIH". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-03-26. Dicapai pada 2009-11-30.
- ^ "SOAL MALAIKAT MUNKAR NAKIR, DAN AZAB/NIKMAT KUBUR". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-10-20. Dicapai pada 2011-10-20.
- ^ Mior Kamarul Shahid. Jalan raya dan hari raya; Berita Harian online. Dipetik dari: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Jalanrayadanhariraya/Article/cetak[pautan mati kekal] . Dicapai pada: 8 Ogos 2013.
- ^ "Riyadh welcomes Eid Al-Fitr with fireworks display". Arab News. 18 August 2013. Dicapai pada 4 July 2015.
- ^ "Wednesday announced as Eid al-Fitr in Iran". Mehr News Agency. Dicapai pada 6 July 2016.
- ^ "Iranians Celebrate Eid al-Fitr". Tasnim News Agency. Dicapai pada 6 July 2016.
- ^ "World Muslims mark Eid al-Fitr". Press TV. Dicapai pada 6 July 2016.
- ^ "Tehran Eid al-Fitr prayers to be led by Supreme Leader". IRNA. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Julai 2016. Dicapai pada 6 Julai 2016. Unknown parameter
|deadurl=
ignored (bantuan) - ^ Mamouri, Ali. "Eid al-Fitr: religious celebration and cultural marker". Al-Monitor. Dicapai pada 6 July 2016.
- ^ "Kutlu". TDK Sözlük. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-05-07. Dicapai pada 11 August 2013.
- ^ "Egypt's Eid: Celebration for the Young and Old". Tour Egypt.
- ^ Barlin Ali, Somali Cuisine, (AuthorHouse: 2007), p.79
- ^ "Moonsighting on Monday". 91.3FM Voice of the Cape. 27 Ogos 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Mei 2013. Dicapai pada 11 Ogos 2013. Unknown parameter
|deadurl=
ignored (bantuan) - ^ "About Sudan". United Nations Development Programme. 9 January 2011. Dicapai pada 11 August 2013.
- ^ "Food Events – Eid Celebrations". BBC Food Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 January 2010.
- ^ Watson, Todd (4 August 2013). "Indonesia prepares for Idul Fitri". Inside Investor. Dicapai pada 7 August 2013.
- ^ Didik Purwanto (5 August 2013). "EkonomiMakroPemudik Lebaran Alirkan Dana Rp 90 Triliun ke Daerah". Kompas.com (dalam bahasa Indonesian). Dicapai pada 6 August 2013.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ "Govt says roads ready for Lebaran exodus". The Jakarta Post. 1 September 2010. Dicapai pada 11 August 2013.
- ^ "Hari Raya Puasa". All Malaysia.info. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 February 2008.
- ^ Yusof, Mimi Syed; Hafeez, Shahrul (30 October 2005). "When Raya was a bewildering experience". New Straits Times. m/s. 8. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-09-24. Dicapai pada 2018-03-31 – melalui HighBeam Research. Unknown parameter
|subscription=
ignored (bantuan) - ^ Neikbanzaw magazine, No. 1 & 2, December 1952 & 1953
- ^ Interview by Khin Khin Yie with Haji U Bar Bar @ U Win Maung, composer of Jago songs, 28x81 street Mandalay. Published in Prophet Muhammad's Day Golden Jubilee magazine page 88, column 2 paragraph 2
- ^ Relytech, North Cyprus Online. "North Cyprus Tourist Guide".
- ^ a b "Μουσουλμάνοι & ΚΛΙΜΑΚΑ: ΗΘΗ ΚΑΙ ΕΘΙΜΑ ΤΩΝ ΕΛΛΗΝΩΝ ΜΟΥΣΟΥΛΜΑΝΩΝ – ΜΕΡΟΣ Α'" (dalam bahasa Greek). mousoulman-klimaka.blogspot.gr.
- ^ "5 Temmuz 2016–Şeker Gibi Eğlence-My Club*Rzv:6946282655*6973602046*6978124937". facebook.com.
- ^ "Multicultural Eid Festival and Fair". Australian MEFF Consortium.
- ^ McCarthy, Tom. "New York City adds two Muslim holidays to public school calendar". The Guardian. Dicapai pada 17 July 2015.
- ^ "2011 USPS Eid Forever® stamp, with the quotation about the festivals". US Postal Service. 28 March 2011. Dicapai pada 11 August 2013.
- ^ "2009 USPS Eid stamp, with mention of other dates". US Postal Service. 28 March 2011. Dicapai pada 11 August 2013.
- ^ "2008 USPS Eid stamp". US Postal Service. 28 March 2011. Dicapai pada 11 August 2013.
- ^ "2007 USPS Eid stamp". US Postal Service. 28 March 2011. Dicapai pada 11 August 2013.
Pautan luar ڤاءوتن لوار
- Cara solat hari raya
- Haram merayakan perayaan orang-orang kafir. Dicapai 19 Oktober 2009. / Menggantikan "Haram merayakan perayaan orang-orang kafir" Diarkibkan 2006-02-11 di Wayback Machine. Dicapai 2 Nov. 2005.
- "Malaysia feasts after the fast, but clerics disapprove" Diarkibkan 2007-12-11 di Wayback Machine. (2 Nov. 2005). AFP.