Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II
| Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II سلطان محمد جيوا زين العابدين معظم شاه ٢ | |||||
|---|---|---|---|---|---|
| al-Azizul-Mulk al-Qadir al-Ghalib Ghahr al-Maghlub , us-Sultan Khalifatu’llah ‘Ala Da’irah Kedah Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kedah Darul Aman | |||||
| Sultan Kedah ke-19 | |||||
| Pemerintahan | 1710–1778 | ||||
| Didahului oleh | Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I | ||||
| Diikuti oleh | Sultan Abdullah Mukarram Shah | ||||
| Keputeraan | 1699 | ||||
| Kemangkatan | 23 September 1778 (umur 78-79) Istana Baginda, Alor Setar | ||||
| Pemakaman | Makam Diraja Langgar, Alor Setar | ||||
| Pasangan | Nang Che Puan Paduka Bonda Tengku Putri gundik | ||||
| Anakanda | Tunku Long Putra Shah Tunku Mangku Putra Tunku Abdullah Tunku Dhiauddin Tunku Rahimah Tunku Dayang | ||||
| |||||
| Kerabat | Mahawangsa | ||||
| Ayahanda | Sultan Abdullah Mu'adzam Shah | ||||
| Bonda | Wan Nang Mas | ||||
| Agama | Islam | ||||
Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Mu'adzam Shah (Jawi: سلطان محمد جيوا زين العابدين معظم شاه ابن المرحوم سلطان عبد الله معظم شاه; mangkat tahun 1778) ialah Sultan Kedah ke-19. Baginda merupakan putera kepada Sultan Abdullah Mu'adzam Shah dan Che Puan Paduka Bonda Wan Nang Mas. Baginda juga merupakan kekanda kepada Sultan sebelumnya, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I.[1]
Kehidupan
[sunting | sunting sumber]Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah merupakan putera sulung kepada Sultan Abdullah Mu'adzam Shah dan Che Puan Paduka Bonda Wan Nang Mas. Baginda mempunyai dua orang adinda, iaitu Tunku Ahmad Tajuddin dan Tunku Aishah.[2]
Baginda telah berkahwin dengan dua orang wanita, yang pertama digelar Che Puan Paduka Bonda, manakala yang kedua bernama Tunku Puteri dan berpangkat Tunku Permaisuri. Baginda mempunyai lima orang anakanda, iaitu dua orang putera dengan Che Puan Paduka Bonda yang bernama Tunku Long Putera dan Tunku Anjang, seorang putera dan puteri bersama Tunku Puteri, iaitu Tunku Abdullah dan Tunku Rahimah, serta seorang putera bernama Tunku Dhiauddin dengan gundik baginda.[a][1][2]
Pengembaraan
[sunting | sunting sumber]Sultan Muhammad Jiwa telah berangkat merantau ke luar negeri sewaktu pemerintahan ayahanda baginda, Sultan Abdullah Mu'adzam Shah. Baginda telah merantau ke Palembang di wilayah Jambi dan berguru dengan Sheikh Abdul Jalil yang berasal dari Sanaa, Yaman. Setelah menetap di Palembang selama enam bulan, baginda bersama guru baginda terus berlayar ke pulau Jawa. Tidak lama kemudian, baginda meneruskan perlayarannya ke India. Di India, baginda sering bersama dengan guru baginda itu dan sentiasa mengikutnya. Sheikh Abdul Jalil juga suka akan kelakuan baginda yang cepat memahami perkara yang dipelajari baginda. Namun, beliau tidak tahu baginda merupakan seorang putera raja.[1]
Sewaktu baginda sedang merantau, ayahanda baginda, Sultan Abdullah telah mangkat lalu digantikan oleh adinda baginda, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah. Setelah memerintah lebih empat tahun, Sultan Ahmad Tajuddin pula mangkat tanpa meninggalkan seorang waris. Oleh kerana itu, jemaah menteri Kedah telah melantik Raja Bendahara sebagai pemangku Sultan dan memulakan usaha pencarian baginda yang merantau tanpa khabar berita. [2]
Keberangkatan semula ke Kedah
[sunting | sunting sumber]Setelah lama baginda merantau bersama guru baginda, Syeikh Abdul Jalil dan Hafiz Sab, baginda mula berasa rindu untuk pulang ke Kedah bagi melihat ayahanda dan bonda baginda. Pada 28 Julai 1710, baginda telah mengajak guru baginda untuk datang ke Kedah. Baginda bersama guru baginda telah belayar dengan menaiki kapal milik orang Maskat dari India dan menuju ke Asia Tenggara. Kapal baginda kemudiannya telah tiba di Pelabuhan Mergui, Burma dan ketika itu kapal Dato’ Seri Indera Segara Shahbandar juga singgah di situ dalam misi mencari baginda. Pada hari kedua, Dato’ Seri Indera Segara Shahbandar bersama dua orang kanannya telah menaiki kapal baginda untuk bertemu baginda dan guru baginda.[1]
Setelah masuk ke kapal itu, baginda telah mengenali beliau dan menegurnya. Selepas itu, Dato’ Seri Indera Segara Shahbandar memaklumkan berita kemangkatan ayahanda dan adinda baginda kepada baginda lalu disambut dengan tangisan. Syeikh Abdul Jalil dan Hafiz Sab amat terkejut apabila mengetahui bahawa baginda adalah putera Sultan Kedah dan pewaris takhta. Berita penemuan baginda akhirnya sampai kepada Raja Laksamana dan Raja Bendahara. Rombongan kepulangan baginda tiba di Kuala Bahang dan disambut dengan penuh istiadat.[1]
Pada 13 Oktober 1710, tujuh bulan setelah kemangkatan adinda baginda Sultan Ahmad Tajuddin, baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-19 dan bersemayam di Kota Bukit Pinang. Baginda mengangkat puteranya, Tunku Long Putera sebagai Raja Tanah dan Tunku Anjang sebagai Raja Laut.
Pemerintahan
[sunting | sunting sumber]Di bawah pemerintahannya, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin telah memperkenalkan mata wang emas dan perak bagi kegunaan perdagangan dan menetapkan ukuran tanah dalam negeri Kedah. Baginda bermuafakat bersama jemaah menteri untuk mengangkat Hafiz Sab sebagai Kadi bergelar Dato’ Maharaja Qadi dan guru baginda, Sheikh Abdul Jalil pula diangkat sebagai Mufti. Baginda juga telah mengangkat putera baginda, Tunku Long Putra sebagai Raja Tanah, yang ditugaskan untuk mengatur hal ehwal pentadbiran tanah, manakala Tunku Anjang diangkat sebagai Raja Laut yang menguruskan hal ehwal pentadbiran laut dan pulau-pulau di perairan Kedah.[2]
Sewaktu pemerintahan baginda juga wilayah Kedah semakin bertambah, apabila Tunku Anjang berjaya menakluk kawasan sekitar Tonka (Kawthaung) di Myanmar, Rundong (Ranong) dan Terang (Trang) di Thailand. Kegiatan perompak dan lanun juga berjaya dikurangkan di perairan Kedah.[2]
Perebutan takhta
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1723, Sultan Muhammad Jiwa telah menjemput raja Bugis di Riau untuk membantu baginda mengalahkan pasukan pemberontak yang diketuai adindanya yang ingin merampas takhta. Daeng Parani bersama dengan angkatan tenteranya lalu pergi ke Kedah dan menyerang pasukan pemberontak itu. Akhirnya, pasukan pemberontak itu berjaya dikalahkan dan Sultan Muhammad Jiwa dinaikkan semula ke takhta baginda. Baginda kemudiannya berkehendak untuk memberikan wang sebanyak 15 bahara kepada Daeng Parani sebagai balasan kepada bantuan itu. Daeng Parani bersama angkatan tenteranya kemudiannya pulang semula ke Riau.[2]
Pada awal tahun 1724, Raja Kecil bersama tenteranya dari Siak telah datang ke Kedah bagi membantu pemberontakan adinda Sultan Muhammad Jiwa. Baginda kemudiannya mengutus semula utusan ke Riau bagi meminta bantuan dari Raja Bugis untuk mengalahkan pemberontak itu. Angkatan perang Bugis dari Riau yang diketuai oleh Daeng Parani dan dibantu oleh Daeng Marewah dan Raja Tua Daeng Merampuk telah dihantar ke Kedah. Setibanya di Kedah, Daeng Parani telah meminta kepada Raja Kecil agar hubungan antara Sultan Kedah dengan adinda baginda didamaikan semula, namun tidak diendahkan Raja Kecil. Perang kemudiannya tercetus antara pasukan Daeng Parani dan Raja Kecil. Perang itu berlanjutan selama dua tahun sehingga Daeng Parani mangkat ditembak musuh. Setelah jenazah Daeng Parani dimakamkan, Daeng Marewah kemudiannya memimpin pasukan Bugis sehingga berjaya mengalahkan tentera Raja Kecil. Raja Kecil bersama tenteranya berundur lalu melarikan diri ke Siak,[2]
Pembinaan kota
[sunting | sunting sumber]Baginda telah bermuafakat dengan jemaah menteri untuk membangunkan sebuah kota batu yang diberi nama Kota Setar, kini merupakan ibu negeri, Alor Setar. Baginda juga mengerah rakyat untuk mengorek beberapa terusan baharu, iaitu sebatang terusan hingga ke Alor Semadom dan terus ke sungai besar di Pumpong, sebatang terusan yang melalui Kanchut dan tembus ke sungai besar di Tambang Badak, dan sebatang terusan lain yang menghala ke kawasan Gerbang, melalui Geduk hingga ke sungai besar di Pengkalan Kundor. Pada 30 Disember 1735, baginda bersama kaum kerabat dan Jemaah menteri telah berhijrah ke Kota Setar dan bersemayam di sana. Pada tahun 1738, baginda bermuafakat dengan jemaah menteri untuk membangunkan Kota Anak Bukit di Anak Bukit dan mengorek sebatang terusan dari utara ke selatan Sungai Besar dan dinamakan Sungai Kecil Anak Bukit. Baginda juga telah memerintahkan pembinaan sebuah kota di seberang Akar Peluru.[1]
Baginda telah bermuafakat dengan jemaah menteri baginda untuk mengangkat putera baginda, Tunku Abdullah sebagai pewaris takhta dan Tunku Dhiauddin sebagai Raja Muda yang memerintah Kayang hingga ke Setul, manakala Tunku Long Putera dan Tunku Anjang masing-masing dikekalkan jawatannya sebagai Raja Tanah dan Raja Laut. Pada 5 Jun 1740, istiadat pertabalan Tengku Abdullah sebagai pewaris takhta dan Tengku Dhiauddin sebagai Raja Muda telah diadakan. Tidak lama selepas itu, satu kesalahfahaman telah berlaku antara Tunku Abdullah dengan Tunku Long Putera dan Tunku Anjang. Hal ini telah menyebabkan Tunku Long Putera berasa dukacita dan mengambil keputusan berlayar ke Jambi manakala Tunku Anjang pula ke Padang Pariaman, Sumatera Barat. Sultan Muhammad Jiwa kemudiannya mengarahkan menterinya untuk mencari dua putera baginda yang berlayar tanpa khabar berita itu.
Kemasukan pengaruh British
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1770, apabila Sultan Muhammad Jiwa semakin berusia, muncul beberapa pihak yang menentang pemerintahan dan tindakan baginda yang melantik Tunku Abdullah sebagai pewaris takhta. Baginda kemudiannya menyerahkan urusan pemerintahan Kedah kepada Tunku Abdullah dan memberikan gelaran Sultan Muda kepadanya. Puak penentang telah meminta pertolongan Bugis dari Selangor dan Perak secara sulit untuk memerangi kerajaan Kedah. Pada Mac 1771, angkatan perang Bugis telah tiba di Kuala Kedah dan bersatu dengan puak penentang kerajaan Kedah, lalu berjaya menawan Kota Kuala Kedah dan Kota Setar. Sultan Muhammad Jiwa terkejut akan serangan ini sehingga pengsan. Baginda kemudiannya dibawa oleh pengikutnya untuk berangkat ke Kangar. Baginda telah mencari ikhtiar untuk menentang pemberontakan itu dengan meminta bantuan Inggeris.
Pada 18 Mac 1771, baginda telah mengirimkan surat kepada Gabenor Jeneral Syarikat Inggeris di Madras bagi meminta pertolongan untuk menghalau askar-askar Bugis yang menyerang Kedah. Pada masa itu juga, baginda menghantar seorang utusan ke Aceh untuk meminta bantuan saudagar Inggeris di sana. Pada 24 April 1771, utusan baginda itu telah pulang dari Aceh bersama dengan Francis Light yang membawa yang membawa dua kapal, ubat bedil, senjata dan 30 orang askar Sepai. Satu rundingan telah berjaya dimeterai antara baginda Sultan dengan Francis Light, di mana baginda telah membenarkan sebuah syarikat perniagaan Inggeris bernama Francis Jourdain untuk mendirikan sebuah gudang perniagaan di Kuala Kedah. Francis Light bersetuju untuk memberi 100 orang askar Sepai bagi menolong baginda Sultan, manakala baginda bersetuju hasil keuntungan gudang perniagaan di Kuala Kedah akan dibahagikan antara pihak baginda, Francis Light dan syarikat perniagaan Francis Jourdain. Dengan pertolongan Inggeris, baginda akhirnya berjaya menentang askar Bugis dan menghalau mereka keluar dari Kedah.
Pada April 1772, Edward Monckton, wakil Gabenor-Jeneral Syarikat Inggeris dari India telah datang ke Kedah. Pada 9 April 1772, Sultan Muhammad Jiwa telah menerima sepucuk surat dari beliau untuk menghadap baginda. Dalam perjumpaannya bersama baginda, Edward Monckton menerangkan kepada baginda bahawa beliau datang dengan membawa angkatan perang untuk memenuhi permintaan baginda dalam melindungi kerajaan baginda serta menentang musuh baginda. Sebagai balasan kepada pertolongan mereka, baginda diarahkan untuk memajak beberapa kawasan tanah dalam negeri Kedah kepada Inggeris dan memberikan kota di Kuala Kedah dan lain-lain kepada Inggeris. Baginda terkejut akan pernyataan beliau dan menafikan permintaan baginda yang dinyatakan itu. Dalam pada itu, baginda sebaliknya menyatakan bahawa baginda membenarkan bangsa Eropah untuk datang dan tinggal di Kedah dengan syarat hendaklah mereka membantu baginda.
Pada 20 April 1772, satu perjanjian telah dimeterai antara antara Edward Monckton dengan Sultan Muhammad Jiwa, di mana Inggeris dibenarkan untuk mengambil kota di Kuala Kedah dan kawasan kecil di sekitarnya, dan dibenarkan untuk memborong hasil lada hitam, gading gajah dan timah dari negeri Kedah. Sebagai balasan kepada pemberian Sultan Kedah, Syarikat Inggeris membawa beberapa kapal perang yang mengawal pantai laut negeri Kedah dengan dibiayai cukai yang didapati dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Setelah menandatangani surat perjanjian itu, baginda telah mengirim surat kepada Gabenor Syarikat Inggeris di Madras, mencadangkan supaya perhubungan mereka bertambah erat. Pada 22 April 1772, kota di Kuala Kedah telah diambil dari Francis Light dan diserahkan kepada Edward Monckton. Sejak itu, semua kekuatan pertahanan Kedah ditanggung oleh Inggeris. Kerja memungut cukai di Kuala Kedah dan Kuala Perlis bagi belanja pertahanan Kedah juga diserahkan kepada Inggeris.
Setelah melawat Kangar pada 26 April 1772, Edward Monckton telah berjumpa dengan Tunku Abdullah di Alor Setar. Pada Julai 1772, Edward Monckton telah menerima surat perintah dari ketuanya di Madras. Pada masa itu, barulah Suitan Muhammad Jiwa sedar bahawa Inggeris tidak mahu memberi pertolongan kepada baginda untuk menjalankan apa-apa serangan ke tempat lain. Dalam pada itu, beberapa kerabat baginda telah menasihati baginda supaya baginda menolak sebarang permintaan Inggeris di Kedah. Datuk Bendahara dan Datuk Laksamana menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan baginda memajakkan kawasan tanah di negeri Kedah kepada Inggeris. Pada masa itu, hubungan antara Syarikat Inggeris dengan kerajaan Kedah mula renggang.[2]
Kemangkatan
[sunting | sunting sumber]Pada 23 September 1778, baginda telah mangkat akibat kegeringan dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar.
Eponim
[sunting | sunting sumber]• Jalan Sultan Muhammad Jiwa, Alor Setar, Kedah.
• Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Nota
[sunting | sunting sumber]- ↑ Menurut Sejarah Kedah karya Buyong Adil, Tunku Dhiauddin merupakan putera baginda bersama seorang gundik baginda, manakala menurut Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Hassan Mohd Arshad, Tunku Dhiauddin merupakan putera baginda bersama Tunku Puteri.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- 1 2 3 4 5 6 To' Kerani Mohd Arshad, Muhammad Hassan (1968). Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- 1 2 3 4 5 6 7 8 Adil, Buyong (1980). Sejarah Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
- Mohamad Isa Othman (1990). Politik Tradisional Kedah 1681-1942. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9836215832.
| Didahului oleh Sultan Ahmad Tajuddin I |
Sultan Kedah 1710 – 1778 |
Diikuti oleh: Sultan Abdullah Mukarram Shah |