Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I
| Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I سلطان أحمد تاج الدين حليم شاه ١ | |||||
|---|---|---|---|---|---|
| Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kedah Darul Aman | |||||
| Pemerintahan | 1706–1710 | ||||
| Didahului oleh | Sultan Abdullah Mu'adzam Shah | ||||
| Diikuti oleh | Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II | ||||
| Kemangkatan | 15 Februari 1710 Istana Baginda, Kota Bukit Pinang | ||||
| Pemakaman | Makam Diraja Kedah, Langgar, Kedah | ||||
| Pasangan | Tengku Permaisuri[1] | ||||
| |||||
| Kerabat | Mahawangsa Kesultanan Kedah | ||||
| Ayahanda | Sultan Abdullah Mu'adzam Shah | ||||
| Bonda | Wan Nang Mas | ||||
| Agama | Islam | ||||
Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Mu'adzam Shah (Jawi: سلطان أحمد تاج الدين حليم شاه ابن المرحوم سلطان عبد الله معظم شاه; mangkat tahun 1710) ialah Sultan Kedah ke-18. Baginda merupakan putera kepada Sultan Abdullah Al-Mu'adzam Shah dan Che Puan Paduka Bonda Wan Nang Mas.[1]
Kehidupan
[sunting | sunting sumber]Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah merupakan putera kepada Sultan Abdullah Al-Mu'adzam Shah dan Che Puan Paduka Bonda Wan Nang Mas. Baginda juga mempunyai saudara lain bernama Tunku Muhammad Jiwa dan Tunku Aisyah. Baginda telah dilantik sebagai pewaris takhta setelah kekanda baginda, Tunku Muhammad Jiwa mengembara ke Sumatera.[2]
Baginda telah berkahwin dengan seorang wanita yang bergelar Tengku Permaisuri.[1] Namun, baginda tidak dikurniakan zuriat.
Pemerintahan
[sunting | sunting sumber]Pada 22 September 1706, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah ke-18 setelah kemangkatan ayahanda baginda dan bersemayam di Kota Bukit Pinang.
Sewaktu memerintah, baginda sering berangkat dengan perahu dari Bukit Pinang ke Langgar melalui Sungai Telok. Sewaktu melalui sungai itu, baginda melihat tebing sungai itu semakin runtuh akibat aliran air yang turun dari Sungai Bukit Pinang. Baginda mula berasa risau sekiranya masalah keruntuhan tebing itu akan melarat ke Kota Langgar. Baginda kemudiannya telah bermuafakat dengan jemaah menteri untuk menimbus kuala Sungai Bukit Pinang dan mengerahkan rakyat untuk menimbusnya.[1]
Pada tahun 1706, baginda telah menziarahi ayahanda saudara baginda, Raja Muda Tunku Ibrahim yang gering di Kota Limbong. Setelah baginda tiba di sana, mangkatlah Raja Muda Ibrahim, lalu dimakamkan di Makam Diraja Langgar.[2]
Baginda telah memberi kebenaran kepada seorang Cina berbangsa Hokkien yang bernama Lim Chok untuk menjalankan perniagaan dan penghasilan kawah dan kuali di Kampung Nawa, Lesong.[2]
Baginda juga telah mengangkat jawatan para menteri baginda, di mana Dato’ Seri Paduka Maha Menteri telah diangkat sebagai Raja Bendahara, Dato’ Seri Maharaja Putera Dewa diangkat pula sebagai Dato’ Seri Paduka Maha Menteri, Dato’ Seri Paduka Tuan diangkat sebagai Dato’ Seri Maharaja Putera Dewa dan Maharaja Darma Wangsa diangkat sebagai Dato' Seri Paduka Tuan.[1]
Kemangkatan
[sunting | sunting sumber]Pada 15 Februari 1710 bersamaan 15 Zulhijjah 1121 Hijrah, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah telah mangkat akibat kegeringan dan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar.
Disebabkan baginda tidak mempunyai pewaris takhta, maka jemaah menteri bersetuju untuk memasyhurkan Raja Bendahara sebagai pemangku Sultan mengikut adat. Raja Bendahara juga telah memulakan pencarian Tunku Muhammad Jiwa yang hilang perkhabaran setelah enam tahun mengembara, di mana Dato’ Karma Jaya diperintahkan untuk mencari baginda di Sumatera dan Jawa manakala Dato’ Seri Indera Mambang Segara Shahbandar di Burma dan India.
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- 1 2 3 4 5 To' Kerani Mohd Arshad, Muhammad Hassan (1968). Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- 1 2 3 Adil, Buyong (1980). Sejarah Kedah (PDF). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia.
| Didahului oleh Sultan Abdullah Mu'adzam Shah |
Sultan Kedah 1706-1710 |
Diikuti oleh: Sultan Muhammad Jiwa II |