Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinopel
Buku / Novel | |
Sultan Muhammad al-Fateh - Penakluk Konstantinopel | |
---|---|
Siri | Novel Sejarah Islam |
Pengarang Asal | Abdul Latip Talib |
Penterjemah | |
ISBN | ISBN 978-967-5136-11-5 |
Kod Buku | |
Saiz | |
Genre | Tidak diketahui |
Terbitan | PTS Publications & Distributors Sdn Bhd |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Tahun Keluaran | 5-Sep-2008 |
Bilangan Muka Surat | 324 |
Harga | Tidak diketahui |
Buku Sultan Muhammad al-Fateh – Penakluk Konstantinopel dikarang oleh Abdul Latip Talib dan diterbitkan pada 5 September 2008. Ia diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd dalam bahasa Melayu.
Buku ini merupakan salah satu daripada siri Novel Sejarah Islam yang ditulis oleh Abdul Latip dan mengisahkan peristiwa Kejatuhan Constantinople yang dilaksanakan oleh Sultan Muhammad II atau lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh (pembuka) disebabkan peranannya dalam membuka semula kota tersebut.
Ringkasan
[sunting | sunting sumber]Semasa hayat baginda Rasulullah SAW, baginda telah meriwayatkan, "Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang pemimpin yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik." Selepas kewafatan baginda SAW, terdapat beberapa khalifah umat Islam yang berusaha untuk merealisasikan sabda baginda itu. Antara khalifah tersebut ialah Sayyidina Ali bin Abi Talib (34 H), Sayyidina Muawiyah (84 H) dan Khalifah Harun Al Rasyid (165 H), namun kesemua usaha itu menemukan kegagalan.
Pada 27 Rejab 835H bersamaan 29 Mac 1432M, Sultan Muhammad II dilahirkan.
Sejak dalam buaian lagi, seorang alim ulama, Syeikh Syamsuddin al-Wali telah menjangkakan bahawa baginda bakal mencipta sejarah yang besar.
Beliau telah berkata kepada ayahanda Muhammad II, Sultan Murad, "Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota Konstantinopel, tetapi anak yang di dalam buaian itu.".
Sejak itu baginda dilatih hidup bersederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan.
Setelah menaiki takhta menggantikan ayahandanya pada usia 19 tahun, baginda mula menjalankan usaha untuk membuka semula Konstantinopel. Bagi merealisasikan sabda Nabi Muhammad SAW yang berkata bahawa kota tersebut bakal ditawan oleh pemimpin, tentera dan rakyat yang baik, maka baginda bukan sahaja berusaha menjadi pemimpin yang baik malahan mendidik bala tentera dan rakyatnya sebaik-baiknya.
Kepemimpinan beliau terserlah melalui sifat sederhananya. Baginda sendiri telah membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir bersama rakyat jelata ketika membina benteng Rumeli Hisarri. Perbuatan baginda telah menyebabkan ulama-ulama serta menteri-menteri berasa malu dan terpaksa ikut serta melakukan kerja-kerja berat itu.
Selain itu baginda berusaha menyediakan segala kelengkapan dan keperluan yang penting dengan rapi untuk menakluk kota itu seperti memperkukuh persenjataan. Kesemua ini bakal menjadi faktor kejayaan baginda dalam penaklukan itu kelak.
Watak-watak utama
[sunting | sunting sumber]Buku ini memerikan beberapa watak sejarah tetapi dengan kebebasan seni (artistic licence):
Sultan Muhammad II- Watak utama novel ini. Baginda merupakan seorang raja yang merendah diri, berpandangan jauh dan berfikiran terbuka walaupun terhadap pandangan orang bawahan baginda.
Sultan Murad- Ayahanda Sultan Muhammad. Baginda pernah cuba membuka Konstantinopel sebelum keputeraan Sultan Muhammad lagi. Sultan Murad juga gemar menuntut ilmu dan sanggup ke masjid untuk mendengar kuliah yang disampaikan oleh Syeikh Bayram walaupun boleh memanggil mana-mana ulama yang dikehendaki mengajar di istana.
Syeikh Bayram- Penasihat Sultan Murad. Beliau menerima cabaran Zaqhanus untuk menghidupkan orang mati dan berjaya dengan izin Allah setelah berdoa.
Syeikh Syamsuddin al-Wali- Anak didik Syeikh Bayram. Baginda yang meramalkan bahawa Konstantinopel bakal dibuka oleh Sultan Muhammad sejak baginda masih bayi. Beliau dilantik menjadi penasihat Sultan Muhammad setelah baginda menaiki takhta.
Panglima Tharhan- Ayah saudara Sultan Muhammad dan adinda Sultan Murad. Beliau juga merupakan guru Sultan Muhammad dalam selok belok peperangan.
Maharaja Konstantine- Pemerintah Konstantinopel dan Empayar Byzantine. Baginda merupakan seorang raja yang zalim serta sangat memusuhi Empayar Uthmaniyah dan agama Islam.
Alexsi- Perdana menteri Maharaja Konstantine.
Panglima Ardogan- Panglima tentera Maharaja Konstantine. Beliau yang selalu menyampaikan sesuatu berita terutamanya yang berkaitan risikan tentera kepada Maharaja Konstantine.
Zaqhanus- bekas ketua paderi Konstantinopel. Beliau memeluk Islam setelah melihat keajaiban Syeikh Bayram. Dalam misi penaklukan Konstantinopel, beliau dilantik sebagai panglima angkatan laut Uthmaniyah.
Urban- Tukang besi yang membina meriam untuk kegunaan tentera Uthmaniyyah.
Abu Ayyub al-Ansari- Sahabat Rasulullah SAW yang dipanjangkan umur sehingga pemerintahan Khalifah Muawiyah. Turut serta dalam ekspedisi menakluk Konstantinopel Muawiyah dan dikebumikan di pinggir tembok Konstantinopel atas wasiatnya. Dalam novel ini, wataknya cuma muncul dalam bentuk imbas kembali.
Edisi Jimat
[sunting | sunting sumber]Pada Ogos 2010, buku Muhammad Al-Fateh - Penakluk Konstantinopel (Edisi Jimat) telah diterbitkan. Terbitan ini mempunyai saiz yang lebih kecil dan harga yang lebih murah. Seperti buku-buku Novel Sejarah Islam yang lain yang diterbitkan dalam edisi jimat, edisi ini disasarkan kepada pelajar dan penduduk di kawasan luar bandar.
Sambungan
[sunting | sunting sumber]Berdasarkan blog rasmi Abdul Latip latiptalib.blogspot.com pada tahun 2008, beliau bakal menerbitkan sambungan kisah Muhammad Al-Fateh berjudul Sultan Muhammad Al Fateh Penakluk Eropah.