Surat Amarna EA 1

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Surat Amarna EA1 adalah sebahagian daripada arkib tablet lempung yang mengandungi surat-surat diplomatik antara Mesir dan pemerintah Timur Dekat yang lain semasa pemerintahan Firaun Akhenaten, pendahulunya Amenhotep III dan pewaris-pewarisnya. Tablet ini ditemui di el-Amarna dan oleh itu dikenali sebagai surat-surat Amarna. Semua tablet ditulis dengan tulisan tulisan pepaku.[1][2]

Surat-surat EA1 hingga EA14 mengandungi perutusan antara Mesir dan Babylonia. Hanya dua daripadanya, EA1 dan EA5, dihantar dari Mesir ke Babylonia. Dua belas yang lain ditulis oleh orang Babylonia.

Kandungan surat[sunting | sunting sumber]

Surat itu, juga bertajuk Firaun Mengeluh kepada Raja Babylonia, telah ditulis oleh Firaun Amenhotep III kepada Raja Kadašman-Enlil I. Tablet itu sendiri ditemui berhampiran Esna dan diperbuat daripada sejenis tanah liat berkalsium tinggi yang dipanggil napal.[3]

Transliterasi dan terjemahan dibuat oleh Rainey (1989-1990 dan 1995 hingga 1996) dan Cochavi-Rainey (1993) dan terjemahan dibuat oleh Moran (1992) dan Liverani (1999).[2][4]

Terjemahan[sunting | sunting sumber]

Surat ini mengandungi maklumat berikut: [5]

Apabila utusan saya pergi berjumpa anak-anak perempuan saya yang berkahwin dengan raja-raja di negeri jiran, mereka berbual dengan satu sama lain dan menghantar saya hadiah sebagai tanda salam. Tetapi yang bersama awak ini miskin

Seluruh surat diterjemahkan dan diolah seperti berikut (teks condong, selain kata-kata sapaan, diolah daripada terjemahan Moran, teks biasa daripada Rainey):[2][4]


Ke hadapan Kardasman-Enlil, raja negeri Karaduniasy, saudaraku! Daripada Nibmu'are'a, raja agung, raja negeri Mesir, saudaramu. Saya khabar baik dan semoga awak juga sama, juga semoga keluarga awak, isteri-isteri, anak-anak, para pembesar, tentera berkereta kuda awak, dan semua yang di dalam kerajaan awak baik belaka. Saya sendiri baik, begitu juga keluarga saya, isteri-isteri, para pembesar, kuda-kuda, tentera berkereta, angkatan saya dan semua yang di dalam kerajaan saya.

Saya sudah mendengar pesanan awak tentangnya, yang mengatakan, "Awak ingin mengahwini anak perempuan saya, dan adik perempuan saya—yang ayah saya berikan kepada awak—ada bersama awak tetapi sekarang tiada sesiapa nampak dia, sama ada hidup ataupun mati." (Ini) apa yang awak hantar dalam tablet awak; ini kata-kata awak. Bila masa awak pernah menghantarkan wakil yang kenal adik awak, yang dapat berbual dengan dia, dapat mengenal pasti dia dan yang adik awak akan benarkan berbual bersamanya?

Lelaki-lelaki yang awak hantarkan kepada saya orang sembarangan. Seorang [...] dari Zaqara, sorang lagi penggembala keldai dari negeri [...]. Tiada seorang pun antara mereka yang [kenal adik awak] yang rapat dengan ayah awak dan [dapat mengenalpastikan dia].

Tambahan pula, tentang utusan-utusan yang kembali kepada awak dan berkata dia bukan adik awak, tidak seorang pun antara mereka berdua kenal adik awak dan dapat memberitahu yang dia sejahtera dan masih hidup. Adakah sesuatu diberikan [kepadanya] untuk dihulurkannya kepada ibunya?

Berkenaan dengan tulisan awak yang menyatakan, "Awak bertitah kepada utusan-utusan saya sementara isteri-isteri awak berkumpul, berdiri di depan awak, sambil berkata 'Lihatlah cik puan kamu yang berdiri di hadapan kamu' sedangkan utusan-utusan saya tidak dapat mengenal pasti jika itu benar-benar adik saya. Sekarang pula awak menulis dan berkata, "Utusan-utusan saya tidak mengenali dia," dan awak berkata, "Jadi siapa yang kenal dia?" Apa kata awak hantar wakil yang akan memberitahu awak dengan jujur tetang keadaan adik awak yang berada di sini? Kemudian awak boleh mempercayai orang yang masuk untuk melihat(!) rumahnya dan hubungan dengan raja.

Awak juga menulis berkata, "Mungkin dia yang utusan-utusan saya nampak itu anak perempuan seseorang yang hina seperti dari kaum Kaska atau anak negeri Khanigalbat, ataupun negeri Ugarit. Siapa boleh dipercayai bahawa dia itu adik saya? Perempuan itu tidak membuka mulutnya. Tiada siapa boleh mempercayainya." Itulah kata-kata awak. Kalau adik awak telah mati sekalipun, buat apa kematian dia disembunyikan dan buat apa kami gantikan tempatnya? ... Sesungguhnya mahadewa(?) Amun tahu adik awak masih hidup!

Saya telah melantiknya sebagai saudari bonda ratu sebagai tuan rumah [...seorang] isteri [...].

[...] berkenaan semua isteri [saya] [...] yang raja-raja dari tanah Mesir [...] di tanah Mesir. Memetik kata awak, "Berkenaan dengan anak perempuan saya yang berkahwin dengan raja-raja jiran, kalau utusan-utusan saya pergi ke sana, mereka akan berbual-bual dan mengirimkan saya hadiah. Mereka yang begitu [...]" Ini kata-kata awak. Barangkali raja-raja yang merupakan jiran awak kaya dan berkuasa; anak-anak perempuan dapat sesuatu daripada mereka lalu mengirimkannya kepada awak tetapi apa saja adik awak yang bersama saya miliki? Sekiranya dia memperoleh sesuatu, barulah dia dapat mengirimkannya kepada awak. Adakah patut awak memfaraidkan anak-anak awak hanya untuk mendapat baju daripada jiran tetangga awak?

Dan mengenai awak menyebut kata-kata bapa saya, biarkannya! Jangan bercakap tentang kata-kata dia! Kemudian awak juga tulis, "Jalinkan semangat persaudaraan antara kita." Kini, kita bersaudara, saya dan awak, kita berdua, tetapi saya marah terhadap utusan-utusan awak kerana mereka memberitahu awak, "Kami tidak diberi apa-apa apabila kami pergi ke Mesir." Yang datang kepada saya, saya memberikan salah seorang itu perak, emas, minyak, pakaian, segala yang baik [lebih daripada yang biasa di] negeri lain tetapi dia menipu si pengutusnya. Pada kali pertama utusan awak berjumpa ayah awak, mulut-mulut mereka menipu. Pada kali dua, mereka pergi dan menipu awak. Jadi saya berkata pada diri sendiri, "kalau saya beri atau tidak beri mereka sesuatu, mereka tetap akan menipu," jadi saya membuat keputusan untuk tidak memberikan apa-apa lagi kepada mereka.

Dan seperti yang awak tulis, mengatakan, "Awak berkata kepada utusan-utusan saya, 'Tuan [kamu] tiada tenterakah? Gadis yang dia berikan kepada beta tidak cantik!'" Ini yang awak kata. Ia tidak benar! Utusan-utusan awak menipu awak dengan begini! Sekiranya awak ada askar atau tidak, itu sudah pun saya ketahui. Buat apa pula saya tanya kalau awak ada tentera atau kuda? Tidak! Jangan dengar dua utusan yang awak hantar ke sini, mulut mereka dipenuhi dusta! Mungkin mereka takut kepada awak, jadi mereka menipu untuk mengelak hukuman awak?

Awak juga berkata, "Dia menempatkan kereta-kereta kuda saya bersama-sama kereta kuda pemerintah bandar, dan awak tidak memeriksanya secara berasingan! Awak telah memalukan mereka di depan orang ramai dan tidak memeriksanya secara berasingan." Sesungguhnya semua kereta kudanya berada di sini; sesungguhnya kuda-kuda negeri saya berada di sini! Semua kereta kuda telah dicukupkan.

Apabila awak menghantar

bekas untuk melumur kepada gadis itu, awak mengirimkan saya satu saja minyak tulen. Awak melawakkah?


Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ David O'Connor (2001-10-10). E.H. Cline (penyunting). Amenhotep III: Perspectives on His Reign. University of Michigan Press. m/s. 253. ISBN 978-0472088331. Dicapai pada 2018-11-17. (please see also pages 20 & 21)CS1 maint: postscript (link)
  2. ^ a b c William L. Moran (2002-01-01). The Amarna Letters. Johns Hopkins University Press. ISBN 978-0801867156.
  3. ^ Anson F. Rainey (14 Nov 2014). The El-Amarna Correspondence (2 vol. set): A New Edition of the Cuneiform Letters from the Site of El-Amarna based on Collations of all Extant Tablets. Handbook of Oriental Studies. Section 1 The Near and Middle East. BRILL. m/s. 1323. ISBN 978-9004281547. Dicapai pada 2018-11-17.
  4. ^ a b Anson F. Rainey (14 Nov 2014). The El-Amarna Correspondence (2 vol. set): A New Edition of the Cuneiform Letters from the Site of El-Amarna based on Collations of all Extant Tablets. Handbook of Oriental Studies. Section 1 The Near and Middle East. BRILL. m/s. 58–65. ISBN 978-9004281547. Dicapai pada 2018-11-17.
  5. ^ Toby Wilkinson (2011-08-01). The Rise and Fall of Ancient Egypt. Bloomsbury UK. m/s. 269. ISBN 978-1408810026. Dicapai pada 2018-11-17.