Tteokguk

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tteokguk
Nama Korea
Hangul떡국
Perumian Semakantteokguk
McCune–Reischauerttŏkkuk

Tteokguk ialah sejenis hidangan tradisional Korea yang dijamu pada musim perayaan Tahun Baru Korea. Hidangan ini terdiri daripada air rebusan (guk) yang diisi kuih beras yang dihiris nipis-nipis (tteok). Adalah menjadi tradisi untuk memakan tteokguk pada hari Tahun Baru kerana ia dipercayai membawa tuah kepada pemakannya untuk setahun akan datang serta melanjutkan usia setahun lagi. Tteokguk biasanya dihias dengan telur masak yang terjulienne nipis, daging perap, dan gim.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Tidak diketahui bila tteokguk mula-mula dijadikan hidangan Tahun Baru. Namun demikian, tteokguk disebut dalam buku adat abad ke-19, Dongguksesigi (동국세시기,東國歲時記) sebagai makanan yang diperbuat daripada daging lembu atau burung kuang sebagai ramuan utama air rebusan yang dibubuh lada sebagai perasa.[2] Buku ini juga menyebut adat memakan semangkuk tteokguk pada pagi Hari Tahun Baru supaya lanjut setahun usianya, serta tabiat mengajukan soalan "Kamu dah minum berapa mangkuk tteokguk?" untuk bertanyakan umur orang.[3]

Dalam buku Adat Resam Joseon yang dikarang oleh sejarawan Choe Nam-seon pada tahun 1946, adat memakan tteokguk pada Tahun Baru dipercayai berasal dari zaman purbakala. Tteok putih yang melambangkan kesucian dan kebersihan dimakan secara adat untuk memulakan Tahun Baru demi berkat tuah.[3] Sekalipun tteokguk adalah bermusim, namun ia boleh dimakan bila-bila masa pada zaman sekarang.

Ramuan dan jenis[sunting | sunting sumber]

Pada amnya, air rebusan dibuat dengan mereneh protein utama (dading lembu, ayam, babi, kuang, makanan laut) dalam pati berperasa ganjang. Kemudian, pati itu ditapiskan untuk menjernihkan air rebusan, manakala garaetteok yang berbentuk silinder panajng dihiris nipis-nipis secara serong lalu dididihkan dalam air rebusan. Hidangan dihiaskan sebelum dihidangkan; hiasannya adalah berbeza mengikut setempat dan citarasa, tetapi biasanya terdiri daripada kuning dan putih telur goreng julienne, gim dan daun bawang.[2]

Tteokguk ini ada bermacam-macam jenisnya, termasuk: saeng tteokguk (생떡국) atau nal tteokguk (날떡국), hidangan khas dari wilayah Chungcheong, yang mana campuran beras dengan pulut dibuat menjadi bebola kecil atau digelek menjadi bentuk garaetteok, kemudian dihiris dan dimasukkan ke dalam air rebusan yang mendidih[4]; joraengi tteokguk (조랭이 떡국) dari kawasan Kaesong yang mana tteok dipintal menjadi bentuk kepompong kecil[5]; dan gon tteokguk (곤떡국) dari Pulau Jeju yang terdiri daripada jeolpyeon tteok hiris dan bukan garaetteok yang biasa digunakan.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ (Korea) Tteokguk] at Doosan Encyclopedia
  2. ^ a b (Korea) Tteokguk Diarkibkan 2011-06-10 di Wayback Machine di Nate Encyclopedia
  3. ^ a b (Korea) Tteokguk culture Diarkibkan 2011-06-10 di Wayback Machine di Nate Encyclopedia
  4. ^ (Korea) Saeng tteokguk Diarkibkan 2011-06-10 di Wayback Machine di Nate Encyclopedia
  5. ^ (Korea) Joraengi tteokguk Diarkibkan 2011-06-10 di Wayback Machine di Nate Encyclopedia
  6. ^ (Korea) Gon tteokguk at Doosan Encyclopedia