Walkman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sony Walkman
Dari atas kiri ke kanan: Pemain kaset asal Walkman (1980-an), CD Walkman (2001), MD Walkman (1998), pemain audio digital Walkman (2011).
Jenis produkPemain audio mudah alih, perakam audio mudah alih
PemilikSony
Diperkenalkan1979
PasaranSeluruh dunia

Sony Walkman, ditulis sebagai WALKMAN (Jepun: ウォークマン), ialah sebuah jenama bagi kumpulan pemain audio mudah alih yang dikeluarkan dan dipasarkan oleh Sony bermula pada tahun 1979. Produk asal di bawah jenama Walkman ialah sebuah pemain kaset mudah alih[1][2] dan kemudian jenama ini berkembang dengan pengeluaran banyak produk berkaitan dengan pemain audio mudah alih yang lain.

Sejak tahun 2011, kesemua produk di bawah jenama Walkman merupakan pemain audio digital. Terdapat juga pemain video mudah alih yang dipasarkan di bawah jenama Walkman seperti model NW-800 yang merupakan model pertama Walkman dengan ciri pemain video, dikeluarkan pada bulan Mac 2007[3].

Populariti pemain kaset mudah alih Walkman yang semakin meningkat pada tahun 1980-an melahirkan istilah tidak rasmi "walkman", yang merujuk kepada pemain stereo peribadi untuk pelbagai jenama dan pengeluar lain[4].

Sebanyak 220 juta unit kesemua model untuk pemain kaset Walkman telah terjual setelah produksi produk ini tamat pada tahun 2010[5], manakala sebanyak 400 juta unit kesemua produk di bawah jenama Walkman[5], termasuklah pemain digital Walkman seperti DAT, MiniDisc, CD (pada asalnya dinamakan sebagai Discman kemudian dinamakan sebagai CD Walkman) dan juga pemain audio kad ingatan Walkman telah terjual[6][7]. Jenama Walkman juga pernah digunakan dalam produk lain seperti radio transistor dan juga produk telefon bimbit keluaran Sony Ericsson.


Sejarah[sunting | sunting sumber]

Model berasaskan kaset[sunting | sunting sumber]

Model pertama Walkman (TPS-L2)

Model pertama Walkman (TPS-L2) adalah model berasaskan pemain kaset, dilancarkan pada 1 Julai 1979. Model tersebut adalah ciptaan jurutera bahagian audio Sony iaitu Nobutoshi Kihara untuk pengerusi Sony pada ketika itu, Akio Morita, yang mahu mendengar lagu-lagu opera semasa berulang-alik menaiki kapal terbang untuk lawatan kerja yang kerap. Beliau pada mulanya amat membenci nama "Walkman" sehinggakan beliau mahu nama model tersebut diubah, tetapi sudah terlambat kerana nama tersebut sudah pun digunakan dalam kempen promosi serta dalam pengeluaran. Akhirnya, Morita tunduk kepada keputusan syarikat untuk terus menggunakan nama Walkman. Model TPS-L2 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, dan sejak daripada itulah jenama Walkman mula terkenal.

Walkman II
Interior of a Walkman II

Model-model Walkman berasaskan kaset terus mengalami evolusi; pada awalnya pemain kaset Walkman memerlukan 4 biji bateri saiz AA untuk beroperasi, tetapi model-model kemudiannya hanya memerlukan 2 biji bateri saiz AA sahaja. Selain penggunaan kuasa yang semakin menjimatkan, model-model kaset Walkman juga bertambah kecil sehingga bersaiz lebar sedikit daripada sebuah kotak kaset. Sesetengah model kaset Walkman mempunyai ciri-ciri tambahan seperti fungsi rakaman suara, balikan automatik (auto reverse), fungsi Mega Bass dan kawalan elektronik sepenuhnya dengan paparan LCD.

CD Walkman dan MiniDisc Walkman[sunting | sunting sumber]

Pada lewat 1990-an, pengeluaran model kaset Walkman semakin berkurangan dan semakin banyak digantikan dengan model-model CD Walkman dan MiniDisc Walkman. Model CD Walkman mula dikeluarkan pada tahun 1984, bermula dengan model D-50 (D-5 di sesetengah negara). Pada awalnya barisan model pemain CD peribadi keluaran Sony dikenali sebagai Discman, tetapi kemudiannya dikenali sebagai CD Walkman pada penghujung 1990-an.

Teknologi cakera mini (MiniDisc) mampu menyimpan sehingga 74 minit audio dengan kualiti menghampiri sebuah cakera padat, tetapi dengan hanya dua pertiga saiz sekeping CD. Model pertama MiniDisc Walkman agak besar dan tidak dapat dimuatkan di dalam kocek, tetapi model-model kemudiannya lebih kecil dan boleh dimuatkan di dalam kocek.

Model-model CD Walkman dan MiniDisc Walkman sangat berjaya dan mendapat sambutan yang hangat dalam masa beberapa tahun selepas mula dilancarkan, tetapi kini populariti model-model tersebut semakin merosot setelah kemunculan model-model pemain audio peribadi berasaskan ingatan kilat dan cakera keras.

Network Walkman[sunting | sunting sumber]

Sony berusaha semula untuk meraih pasaran dengan memperkenalkan siri Walkman berasaskan ingatan kilat untuk memainkan fail-fail audio digital (seperti format MP3), dikenali sebagai Network Walkman. Model pertama dalam siri ini iaitu NW-MS70D dengan kapasiti sebanyak 256 MB, dilancarkan pada tahun 2003. Namun demikian, pelancaran model tersebut disifatkan sebagai terlambat kerana dihantui kejayaan Apple iPod - pemain audio digital peribadi berasaskan cakera keras paling berjaya - yang dilancarkan lebih awal. Sejak daripada itulah bermulanya zaman kejatuhan jenama Walkman. Sony cuba meraih semula pasaran dengan melancarkan model-model Network Walkman yang lain termasuklah model yang menggunakan cakera keras, tetapi masih tidak dapat menyaingi populariti iPod dan pemain-pemain audio digital peribadi keluaran syarikat lain.

Beberapa syarikat elektronik telah memperkenalkan model-model pemain audio digital peribadi mereka dalam bentuk pemacu kilat USB seperti Creative MuVo keluaran Creative Labs, dan model-model tersebut mendapat sambutan hangat di kalangan pengguna kerana menggabungkan fungsi pemain audio dan media storan di dalam satu produk. Sony bertindak balas dengan mengeluarkan produk yang serupa iaitu Network Walkman model NW-E010.

Telefon Bimbit Walkman (Sony Ericsson siri W)[sunting | sunting sumber]

Sony Ericsson W300i, salah satu model Telefon Bimbit Walkman

Setelah kehilangan sebahagian besar bahagian dalam pasaran pemain audio kepada syarikat-syarikat pesaing lain, Sony melakukan cubaan untuk menghidupkan semula jenama Walkman dengan menerapkan jenama tersebut di dalam model-model telefon bimbit Sony Ericsson siri W, juga dikenali sebagai Telefon Bimbit Walkman. Model-model Sony Ericsson siri W menggunakan kad ingatan sama ada Memory Stick Pro Duo ataupun Memory Stick Micro (M2). Pemain media pada semua model siri W juga boleh memainkan fail video selain fail audio.

Model pertama telefon bimbit Walkman ialah Sony Ericsson W800, diikuti dengan model-model lain. Kebanyakan model terkini telefon bimbit Walkman dilengkapi menu permulaan yang membolehkan pengguna memilih untuk fungsi pemain audio sahaja, satu fungsi yang sangat berguna di tempat-tempat yang melarang penggunakan telefon bimbit seperti di hospital dan di dalam kapal terbang.

Model-model Sony Ericsson siri W terbukti sangat berjaya menguasai pasaran serta sangat laris dijual sejak model W800 diperkenalkan. Kejayaan model-model siri W ini mendorong kepada kemunculan model-model telefon bimbit yang dilengkapi pemain audio oleh syarikat-syarikat pesaing. Sungguhpun demikian, Sony Ericsson telah pun terlebih dahulu menguasai segmen sedemikian, hasil daripada kempen iklan yang agresif serta reputasi jenama Walkman.


Barisan produk Walkman[sunting | sunting sumber]

Barisan produk Walkman

Model-model Walkman terbahagi kepada beberapa jenis mengikut medium rakaman audio seperti berikut:-

  1. Walkman berasaskan pemain kaset
  2. Walkman berasaskan radio transistor
  3. CD Walkman (Discman)
  4. MiniDisc Walkman
  5. Network Walkman - pemain audio digital yang menggunakan ingatan kilat sebagai media storan (terdapat model yang menggunakan cakera keras untuk bersaing dengan iPod)
  6. Video Walkman (Network Walkman dengan keupayaan untuk memainkan video)
  7. Telefon Bimbit Walkman (telefon bimbit Sony Ericsson siri W)


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Bull, Michael (2006). "Investigating the Culture of Mobile Listening: From Walkman to iPod". Consuming Music Together. Computer Supported Cooperative Work. 35: 131–149. doi:10.1007/1-4020-4097-0_7. ISBN 1-4020-4031-8.
  2. ^ Du Gay, Paul (1997). Doing Cultural Studies: The Story of the Sony Walkman. SAGE Publications. ISBN 9780761954026.
  3. ^ Beschizza, Rob (1 Mac 2007). "Sony NW-A800 Network Walkman Hits EU". WIRED. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 September 2022. Dicapai pada 23 April 2024.
  4. ^ Batey, Mark (2016), Brand Meaning: Meaning, Myth and Mystique in Today's Brands (ed. Second), Routledge, m/s. 140
  5. ^ a b 株式会社インプレス (22 Oktober 2010). "ソニー、カセット型ウォークマンの生産・販売終了". AV Watch (dalam bahasa Jepun). Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Julai 2023. Dicapai pada 2023-08-08.
  6. ^ "Sony's modern take on the iconic Walkman". The Hindu BusinessLine. 18 Mac 2020. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 November 2022. Dicapai pada 17 Mei 2020.
  7. ^ "Sony History". Sony Electronics Inc. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Februari 2024. Dicapai pada 17 Mei 2020.


Lihat juga[sunting | sunting sumber]