Wena Poon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Wena Poon (lahir 1974) ialah peguam korporat Singapura yang dialu-alukan sebagai salah satu penulis muda yang paling berbakat dalam kalangan sasterawan. Cereka, puisi dan karya bukan fiksyennya telah diantologikan dan diterbitkan secara meluas di Asia, Eropah, dan negara adopsinya, Amerika Syarikat. Bagaimanapun, adalah karya Lion In Winter (Singa Pada Musim Sejuk), sebuah koleksi 11 cerpen yang meneliti kehidupan orang Singapura, baik di luar negara mahupun di dalamnya, yang mengagumkan sesetengah penulis sezaman yang terkemuka. Wena juga penterjemah yang bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin, Kantonis, Inggeris dan Perancis.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Singapura kepada seorang ahli perniagaan dan isterinya, seorang guru, Wena merupakan salah seorang kanak-kanak dalam kumpulan pertama yang menyertai Gifted Education Programme (Rancangan Pendidikan Berbakat) di negara itu ketika berumur 10 tahun. Kegemarannya terhadap pengarangan dan kesusasteraan bermula sejak awal lagi. Apabila Wena mencapai umur 14 tahun, beliau telah siap menulis salah satu daripada banyak siri novelnya. Beliau mendapat tempat pertama dalam mata pelajaran kesusasteraan di Raffles Girls' School dan kemudian dihadiahkan Biasiswa Kemanusiaan ke Raffles Junior College.

Wena ke Amerika Syarikat untuk menyertai Kesusasteraan Inggeris di Universiti Harvard pada tahun 1991 dan selepas memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian pada tahun 1995, turut menyertai kursus undang-undang di Harvard Law School. Adalah di sana bahawa Wena digalakkan oleh profesor-profesornya untuk menerbitkan resensi filem di Amerika Syarikat. Selepas dianugerahkan ijazahnya daripada Harvard pada tahun 1998, beliau bekerja sebagai peguam korporat yang mengkhususkan penyatuan dan pengambilalihan antarabangsa serta pasaran modal, dan juga sebagai editor dan wartawan sampingan.

Kerjaya penulisan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2002, Wena mula menerbitkan cerita dan puisi tentang Singapura. Karyanya telah muncul dalam:

  • Antologi The Merlion & The Hibiscus yang diterbitkan oleh Penguin Books;
  • Antologi Singapore oleh Il Saggiatore (Milan);
  • Antologi From Boys To Men oleh Landmark Books;
  • Antologi Collateral Damage oleh Silverfish Books;
  • Antologi Silverfish New Writing 2007 oleh Silverfish Books;
  • Antologi Don't Judge a Book By Its Cover oleh Beaumont Publishing;
  • Antologi Yuan Yang oleh University of Hong Kong;
  • Quarterly Literary Review of Singapore;

dan banyak lagi jurnal kesusasteraan di Asia dan Australia.

Pada tahun 2005, Wena siap menulis Biophillia, novel pengembaraan aksi cereka sains, dan dua tahun kemudian, siap menulis susulannya, Cryptic Tonic. Pada tahun 2006 pula, cerpennya dimasukkan ke dalam Island Voices, buku teks kesusasteraan untuk Tingkatan 3 dan 4 di sekolah menengah Singapura.

Wena yang berkahwin dengan Bailey Korell sejak tahun 2000 mereka bentuk dan meruncitkan bukunya sendiri menerusi Amazon.com dan mempamerkannya di Alternative Press Expo di California. Minatnya terhadap filem dan bahasa menyebabkannya menterjemah sari kata Bahasa Inggeris/Bahasa Mandarin untuk Nanking, filem Hollywood terkini yang diterbitkan oleh seorang pengarah filem yang juga pemenang Oscar. Beliau juga menghabiskan masanya dengan menjadi wartawan, editor dan penulis resensi filem bebas untuk berbagai-bagai akhbar dan majalah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]