Baja

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Najis ternakan digunakan sebagai baja.

Baja ialah sebatian kimia yang diberikan kepada tumbuhan-tumbuhan untuk menggalakkan pertumbuhan. Ia seringkali dikenakan ke atas tanih, tetapi boleh juga diletakkan terus pada akar atau disembur pada daun-daun tumbuhan. Baja terbahagi kepada dua, iaitu baja asli dan kimia. Baja asli, kadangkala dikenali sebagai baja organik, mengandungi bahan-bahan organik atau berasal daripada organisma hidup, manakala baja kimia pula, kadangkala dikenali sebagai baja tak organik atau baja buatan, mengandungi bahan-bahan kimia tak organik atau galian-galian.

Baja boleh wujud secara semula jadi seperti gambut dan bahan galian, atau dikilangkan setelah melalui proses semula jadi (seperti penguraian) atau proses kimia (seperti proses Haber). Sebatian kimia sebegini menjadikan halaman, taman-taman dan tanah tampak lebih indah kerana ia membekalkan zat-zat penting yang menggalakkan kesuburan tumbuhan.

Baja diformulasi khusus bagi tujuan tertentu, contohnya untuk membantu pertumbuhan daun atau pengeluaran buah. Ia lazimnya mengandungi tiga unsur kimia utama, iaitu nitrogen, fosforus dan kalium dalam kadar yang berbeza-beza. Unsur-unsur lain seperti kalsium, sulfur, magnesium atau zat-zat mikro (micronutrients) turut digunakan berdasarkan keperluan atau penggunaan baja tersebut. Walaupun nitrogen boleh didapati di atmosfera bumi, hanya terdapat sekumpulan kecil tumbuhan (contohnya kekacang) yang mampu mengikat nitrogen atmosfera dengan sendiri kepada bentuk-bentuk yang lebih berguna seperti nitrat, ammonia dan nitrogen oksida). Hampir semua tumbuhan memerlukan sebatian nitrogen di dalam tanih untuk tumbuh subur.

Jenis-jenis baja[sunting | sunting sumber]

Baja asli (organik)[sunting | sunting sumber]

Sisa haiwan[sunting | sunting sumber]

Najis ternakan yang dijadikan sebagai baja, sama ada digunakan secara terus atau setelah diproses. Biasanya, najis tersebut diasingkan daripada rumput dan sampah, dan disimpan selama 40 hari sehingga mengalami penguraian bakteria bagi menghasilkan baja kompos. Baja ini boleh digunakan terus atau dikeringkan. Baja ini dalam bentuk kering sering digunakan kerana keadaannya yang lebih mudah ditangani dan tidak berbau.

Gambut[sunting | sunting sumber]

Dihasilkan melalui proses penguraian secara semulajadi. Organisma-organisma hidup seperti dedaun, bahagian-bahagian tumbuhan lain, bangkai-bangkai haiwan, cangkerang dan sebagainya diurai oleh bakteria-bakteria di dalam tanah dalam tempoh tertentu.