Bawean

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Koordinat: 5°46′S 112°40′T / 5.767°S 112.667°T / -5.767; 112.667

Masyarakat Melayu Melaka dan Malaysia lebih mengenali Boyan dari Bawean dan pada pandangan mereka orang-orang Boyan merupakan mereka yang rajin bekerja dan sanggup membuat kerja kasar seperti pemandu kereta atau tukang kebun (kephun dalam bahasa Bawean).

Orang-orang Bawean merupakan satu kelompok kecil sebahagian dari masyarakat Melayu yang berasal dari Pulau Bawean yang terletak di Laut Jawa antara dua pulau yang besar iaitu Pulau Borneo di utara dan Pulau Jawa di selatan. Orang Bawean dan orang Melayu adalah berasal dari satu rumpun yang sama iaitu rumpun Melayu dan tidak terdapat perbezaan yang ketara antara orang Melayu dengan orang Bawean kerana tidak ada perbezaan warna kulit, mempunyai persamaan agama iaitu agama Islam dan kerana asimilasi mereka dengan masyarakat Melayu.

Sukar bagi menentukan tarikh yang tepat kedatangan orang-orang Bawean ke Melaka kerana tidak ada bukti dan dokumentasi sejarah mengenai kedatangan mereka. Kedatangan mereka tidak dicatatkan oleh mereka sendiri dan oleh tokoh-tokoh sejarah. Bermacam-macam pendapat telah diberikan namun untuk mencari tarikh yang tepat tidak dapat dibuktikan. Pendapat pertama mengatakan bahawa ada orang yang bernama Tok Ayar telah datang ke Melaka pada tahun 1819 dan pendapat yang kedua pula mengatakan bahawa tahun 1824 dapat dikira sebagai satu tarikh sudah adanya orang Bawean di Melaka iaitu sewaktu penjajahan Inggeris di Melaka. Pendapat yang ketiga pula mengatakan sudah ada orang Bawean di Melaka sebelum tahun 1900 dan pada tahun itu sudah ramai orang Bawean di Melaka. Tarikh ini dirasakan lebih selamat dari tarikh yang disebutkan di atas.

Pertempatan masyarakat Bawean adalah di kawasan bandar dan kawasan yang berhampiran dengan bandar seperti di Kampung Mata Kuching, Klebang Besar, Limbongan, Tengkera dan kawasan sekitar Hospital Besar Melaka. Jarang terdapat orang Bawean yang tinggal di kawasan-kawasan yang terlalu jauh dari bandar dan jumlah orang Bawean yang terdapat di Melaka dianggarkan tidak melebihi seribu orang.

Terdapat persamaan perlakuan antara orang Bawean dengan orang Melayu terutama dari aspek agama dan pengalaman magis sebagai salah satu daripada unsur kebudayaan mereka. Orang Melayu mengamalkan ilmu-ilmu magis yang dimanifestasikan oleh pawang, bomoh dan dukun. Begitu juga penggunaan ubat guna-guna. Persamaan latarbelakang budaya menyebabkan mereka mudah menyesuaikan diri dengan cara hidup orang-orang Melayu apabila mereka merantau ke Semenanjung Malaysia.

Orang Bawean di Era 2000[sunting | sunting sumber]

Di Lembah Klang, ramai orang Bawean membina penempatan di kawasan Ampang, Gombak, Balakong dan juga Shah Alam. Mereka membeli tanah dengan cara berkongsi dan membina rumah seperti rumah-rumah teres.

Di Gelugor, Pulau Pinang terdapat sekurang-kurangnya 2 keluarga besar orang Bawean. Mereka menggunakan bahasa Melayu dialek Pulau Pinang untuk bertutur dengan orang bukan Bawean.

Menurut www.ethnologue.com di Singapura terdapat kira-kira 14,292 orang Bawean (anggaran tahun 1985). Tetapi hanya 900 sahaja yang boleh berbahasa Bawean.

Anak-anak mereka yang lahir di Malaysia telah menjadi warga Malaysia. Ada yang berjaya memasuki universiti tempatan.

Perantau-perantau yang datang dari tahun 90-an ada yang telah menerima status penduduk tetap, namun masih ramai yang memohon untuk menjadi warga Malaysia yang penuh kemakmuran ini.

Orang Bawean terkenal dengan kemahiran membuat bangunan dan rumah. Ada juga yang menjadi usahawan kecil seperti sub-kontraktor pembersih bangunan dan peniaga runcit.

Orang Bawean dan Orang Madura[sunting | sunting sumber]

Walaupun Bahasa Bawean dan Bahasa Madura mirip serta Bawean merupakan salah satu daripada suku Madura, berdasarkan pengalaman penulis bersama Orang Bawean, budaya dan adat mereka berbeza dengan Orang Madura. Orang Bawean juga kurang gemar dikenali sebagai Orang Madura kerana perbezaan tersebut.

Budaya-Budaya Orang Bawean[sunting | sunting sumber]

  • Kercengan

Kercengan biasanya dipersembahkan sewaktu Majlis Perkahwinan masyarakat Bawean. Masyarakat Madura menggunakan nama kercengan sebagai Hadrah.

Penari akan diletakkan sebaris atau dua barisan. Pemain kompang dan penyanyi duduk di barisan belakang. Lagu-lagu yang diperdengarkan adalah lagu-lagu selawat kepada Nabi Muhammad SAW. Pemain kercengan terdiri daripada lelaki dan perempuan. Kercengan dipersembahkan pada waktu malam sebelum majlis persandingan berlangsung keesokan harinya.

  • Zamrah

Seperti juga kercengan, zamrah juga dipersembahkan pada Majlis Perkahwinan di hadapan pengantin yang sedang bersanding serta tetamu yang sedang makan. Penari zamrah terdiri daripada gadis-gadis muda yang memegang alat muzik tamborin atau kerceng ditangan. Lagu-lagu zamrah dinyanyikan oleh penyanyi lelaki atau wanita dengan lagu-lagu berunsur keagamaan dan nasihat. Alat muzik yang digunakan pula adalah kompang dan kongga, ada juga yang telah menggunakan alat muzik moden seperti 'keyboard'.

  • Cukur Jambul

Bayi yang telah genap usianya 40 hari akan disambut dengan Majlis Kesyukuran bercukur jambul. Adat ini sama seperti adat orang Melayu dan Jawa. Bacaan berzanji bersama paluan kompang meraikan bayi yang akan dicukur kepalanya.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]