Bukit Dinding

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.


Bukit Dinding
Titik tertinggi
Ketinggian291 m (955 ka)
Tonjolan218 m (715 ka)
Geografi
LokasiWangsa Maju, Setiawangsa
NegeriKuala Lumpur
Induk banjaranBanjaran Titiwangsa
Pendakian
Laluan paling mudahMendaki melalui jalan tar

Bukit Dinding ialah bukit berhutan setinggi 291m[1] di Kuala Lumpur, yang terletak di antara Setiawangsa dan Wangsa Maju. Menurut Google Earth (2022), ketinggian Bukit Dinding ialah 302m.[2]

Nama "Dinding" merujuk kepada lerengnya yang curam, dengan kecerunan yang lazimnya melebihi 45 darjah, sekaligus menjadi "dinding" yang memisahkan Wangsa Maju dan Setiawangsa. Bagi penduduk setempat, ianya dianggap kawasan hijau terakhir di situ. Lokasinya berdekatan dengan Bukit Antarabangsa di sebelah timur, yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa, dan beberapa kilometer sahaja daripada Highland Towers di situ, yang telah runtuh pada 11 Disember 1993 dahulu.

Geologi[sunting | sunting sumber]

Formasi geologi Bukit Dinding adalah yang tertua di kawasan Kuala Lumpur. Formasi ini dinamakan sebagai "Dinding Schist"[3] – dianggarkan setebal 3400m (Gobbett, 1965).[4].

Flora dan fauna[sunting | sunting sumber]

Hutan ini terdiri daripada tumbuhan primer dan sekunder. Sebelum ini ia merupakan sebahagian daripada ladang getah Hawthornden, dan terdapat banyak pokok getah tua. Di beberapa kawasan terdapat pokok-pokok jenis Acacia, Atrocarpus (Sukun dan Terap), Leucaena dan Alstonia augustifolia (Pulai). Terdapat beberapa hidupan liar, termasuk musang, monyet dan babi hutan. Tidak terdapat tapir, harimau atau gajah di kawasan tersebut.[5]

Aktiviti dan Daya Tarikan[sunting | sunting sumber]

Downhill cycling[sunting | sunting sumber]

Bukit Dinding menjadi pusat aktiviti basikal bukit serta "downhill cycling", oleh kerana kepelbagaian kecuraman cerunnya. Terdapat kemudahan laluan jalan tar yang dibina untuk menara Telekom, membolehkan basikal dibawa ke puncak. Sekurang-kurangnya 5 denai hutan telah diterokai oleh para penggiat aktiviti basikal ini.  

Acara popular: Bukit Dinding Downhill (BDDH) Race anjuran Scarfox.

2018 (Februari): BDDH 2.0[6]

2019: BDDH 3.0[7]

2020 (6-8 Mac): BDDH 4.0[8]

Kembara / Hiking[sunting | sunting sumber]

Pengembara dan pelari denai merupakan pengunjung harian Bukit Dinding.

Acara popular: Bukit Dinding Challenge (BDC)

Bukit Dinding Challenge (BDC) adalah sebuah pertandingan tahunan yang berlangsung selama 12 jam, dari 6.30 pagi hingga 6.30 petang.

BDC 1.0: 8 Oktober 2017

BDC 2.0: 23 Disember 2018

BDC 3.0: 4–5 Februari 2023 (akan datang)

Anak-anak sungai[sunting | sunting sumber]

Menurut Presiden Pertubuhan Suara Setiawangsa, Harun Mohd Amin, sehingga tahun 1960-an terdapat sebuah air terjun di situ, yang kini telah dikambus atau diubah alirannya mengikut binaan sistem perparitan baru.[9]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

1870: Antara Lokasi Perang Klang (1867-1874)[sunting | sunting sumber]

Kawasan sekitar Bukit Dinding, termasuk Gonggang (kemudiannya Ladang Gonggang dan Hawthornden) di sebelah barat, dan lembah Sungai Gisir di sebelah utara, menjadi antara lokasi Perang Kelang / Perang Saudara Selangor di antara kumpulan Tengku Kudin dan Yap Ah Loy (menyebelahi Raja Abdullah) dengan kumpulan Syed Mashhor dan Chong Chong (menyebelahi Raja Mahadi). Di dalam salah satu babak pertempuran tersebut, pasukan Syed Mashhor telah menyerang pasukan Yap Ah Loy (diketuai Hiu Fatt and Tung Khoon) di Ulu Klang dari Ampang, manakala pasukan Chong Chong mara dari sebelah barat Bukit Dinding (yang kemudiannya menjadi Ladang Gonggang dan Hawthornden), lalu mengepung pihak lawan dari belakang, kemungkinan dari lembah Sungai Gisir di sebelah utara Bukit Dinding. Namun pasukan Yap Ah Loy yang lain (diketuai Chung Piang) sempat sampai ke lokasi kepungan dan setelah pertempuran yang panjang, berjaya mematahkan serangan lalu memaksa pasukan Chong Chong berundur kembali ke Ampang.[10]

1883: Kawasan Perlombongan Gonggang[sunting | sunting sumber]

Sekitar tahun 1883, kawasan barat daya Bukit Dinding yang dikenali sebagai "Gonggang" (sekitar Jalan Jelatek - Kampung Datuk Keramat - Setiawangsa kini) adalah antara pusat perlombongan bijih timah. Kawasan tersebut berkembang sehingga ke hulu Sungai Bunus di sebelah barat laut Bukit Dinding, iaitu di sekitar Wangsa Maju kini. Keadaan ini telah direkodkan di dalam sepucuk surat bertarikh 24 September 1883, daripada juruukur M'Carthy kepada H.F.Bellamy, ketika beliau mencadangkan pembinaan jalan baru bagi menghubungkan kedua-dua lokasi tersebut.[11] Sementara itu, ladang-ladang kopi mula dibuka secara besar-besaran di sekitarnya, sejak 1880-an.[12] Namun sehingga awal kurun ke-20, kawasan Gonggang ini, juga sepanjang lembangan Sungai Klang di sebelah selatan dan timur Bukit Dinding, masih menjadi pusat perlombongan bijih timah.[13]

1888 (Oktober): Pembukaan Ladang Hawthornden[sunting | sunting sumber]

Pada Oktober 1888, Ladang "Ulu Gonggang" di Batu 5 Jalan Pahang Kuala Lumpur (di penghujung sebelah utara pusat perlombongan Gonggang) telah dibuka oleh J. A. Toynbee, bekas pengurus ladang Weld's Hill kepunyaan syarikat Messrs. Hill and Rathborne.[14] Kemungkinan ladang Ulu Gonggang ini berkembang ke Batu 6 Jalan Pahang, dan dinamakan sebagai Ladang Hawthornden. Ladang ini kemudiannya berkembang ke timur/tenggara sehingga merangkumi sebahagian besar kawasan Bukit Dinding.[15]

1965 (September): Ladang Hawthornden Mulai Dimajukan[sunting | sunting sumber]

Pada 3 September 1965, kerajaan persekutuan telah mengumumkan perancangan sebuah perbandaran baru di Ladang Wardieburn, termasuk sebahagian kecil Ladang Hawthornden: "Ladang Wardeiburn di-Jalan Ulu Klang menjadi sa-buah 'Bandar Baru' yang paling moden sa-kali di-Ibukota ini manakala Kerajaan membena kira2 200 penchakar langit 17 tingkat yang mengandongi 42,000 rumah pangsa mulai awal tahun hadapan. ... Projek tersebut yang dibahagikan kepada 11 kawasan berasingan akan meliputi seluroh kawasan ladang itu sa-luas 828 ekar termasuk sa-bahagian kechil dari kawasan Ladang Hawthornden."[16] Kemungkinan kawasan tersebut di sekitar Taman Bunga Raya kini. Ini adalah antara pembangunan terawal yang melibatkan Ladang Hawthornden, yang kemudiannya berkembang ke timur/tenggara, ke arah Bukit Dinding.

1983 (9 Disember): Bandar Baru Ladang Hawthornden[sunting | sunting sumber]

Pada 9 Disember 1983, Pelan Induk bagi kawasan ini, dikenali sebagai Projek Pusat Pertumbuhan Bandar Baru Ladang Hawthornden, telah diluluskan. Sejak itu, kawasan Wangsa Maju dibangunkan, seksyen demi seksyen, iaitu Seksyen 1 (apartmen kos rendah), Seksyen 2 hingga 4 (apartmen kos sederhana), dan Seksyen 5 (rumah teres, apartmen dan kondominium). Di dalam pelan tersebut, sebahagian daripada Bukit Dinding (ditandakan sebagai "R-12") telah pun diwartakan sebagai "Tapak Kediaman", namun tidak dibangunkan, dan masih kekal sebagai kawasan hutan sehingga kini.[17]

Bandar Baru Ladang Hawthornden telah dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohamad, pada 26 Februari 1984.[18]

1983-1995: Ladang Gonggang Menjadi Setiawangsa[sunting | sunting sumber]

Sepanjang tahun 1983-1995, Ladang Gonggang Estate, termasuk kawasan kaki dan lereng sebelah barat daya Bukit Dinding, mula dibangunkan oleh syarikat Island & Peninsular (I&P) Group Sdn Bhd, yang telah mengambil alih ladang itu sejak 21 September 1981 lagi.[19] Sekitar Mei 1983, cadangan pelan pembinaan 6,000 unit perumahan, 150 unit kedai, dan sebuah pusat membeli-belah di situ telah diluluskan, dan mula dibina sekitar akhir tahun 1983.[20] Kawasan tersebut kemudiannya dikenali sebagai "Taman Setiawangsa". Peringkat terakhir pembangunan ini ialah Puncak Setiawangsa, dan disiapkan pada tahun 1995.[21]

Pembangunan Bukit Dinding[sunting | sunting sumber]

2008 (15 Mei): Deraf Perancangan Bandar Kuala Lumpur 2020 (KLCP 2020)[sunting | sunting sumber]

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mempamerkan Draf Perancangan Bandar Kuala Lumpur / Draft Kuala Lumpur City Plan 2020 (KLCP 2020), mulai 15 Mei hingga 30 Ogos 2008. Dalam peta cadangan "Environmental Protection Zone" serta "Zoning", sebahagian besar Bukit Dinding telah pun dirancang untuk pembangunan kediaman (Residential).[22]

2012 (28 Disember): Tanah Runtuh Puncak Setiawangsa[sunting | sunting sumber]

Pada hari Jumaat, 28 Disember 2012, sekitar 10 malam, kejadian tanah runtuh telah berlaku di Puncak Setiawangsa, di sebelah barat daya Bukit Dinding. Di dalam kejadian itu, sebuah benteng konkrit di lereng bukit setinggi 43 meter (dibina tahun 1992) tidak berupaya menyekat gelongsoran tanah bukit tersebut, lalu sebahagiannya turut merekah dan runtuh. Sebuah rumah di puncak bukit kelihatan rosak teruk, dan sekitar 10 buah rumah terletak berdekatan dengannya. Turut terancam adalah rumah-rumah dan lot kedai yang terletak di kaki puncak tersebut, berhadapan kawasan runtuhan. Sebagai langkah berjaga-jaga, penghuni 46 buah rumah di situ terpaksa dipindahkan.[23]

2014 (September): Pembangunan di Bukit Dinding[sunting | sunting sumber]

Pembangunan pertama di sebelah timur Bukit Dinding dimulakan sekitar September 2014. Walaupun menerima bantahan daripada penduduk setempat, projek tersebut tetap diteruskan dan telah diluncurkan pada 12 Ogos 2017, dan siap sepenuhnya pada tahun 2020. Dikhabarkan, semenjak itu kejadian banjir dan pencerobohan hidupan liar telah meningkat. Antara penduduk yang terkesan ialah rumah pangsa Kelumpuk Serindit, Keramat AU, dan sekitarnya.[24] Pemaju yang membangunkan kawasan tersebut adalah Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd.[25]

2017 (12 Mei): Rekahan di Puncak Setiawangsa[sunting | sunting sumber]

Berlaku rekahan di tebing Jalan 11/55C, Puncak Setiawangsa, Bukit Setiawangsa, iaitu lokasi sama berlakunya kejadian tanah runtuh hampir lima sebelumnya.[26]

2017 (Julai): EIA Projek Wangsa Maju[sunting | sunting sumber]

Jabatan Alam Sekitar telah meluluskan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environmental Impact Assessment, EIA) bagi "Projek Wangsa Maju", yang dicadangkan oleh Nova Pesona Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang bakal membangunkan sebahagian kawasan Bukit Dinding yang ditandakan sebagai R-12 dalam Pelan Induk Bandar Baru Ladang Hawthornden 1983. Penilaian ini antara lain telah mengenalpasti kawasan Bukit Dinding sebagai kawasan sensitif. Walaupun kawasan hutan dan taburan hidupan liarnya berstatus "miskin", antara impak projek yang dinyatakan ialah hidupan liar bakal melarikan diri ke sebelah timur Bukit Dinding, dan memerlukan khidmat pihak Perhilitan bagi memindahkan mereka, contohnya ke Hutan Simpan Ampang di sebelah timur.[27]

2018 (30 Oktober): Pewartaan KLCP 2020[sunting | sunting sumber]

KLCP 2020 akhirnya diwartakan pada 30 Oktober 2018, namun banyak kandungannya telah dipinda dari versi asal yang turut melibatkan konflik kepentingan, serta tidak melalui proses pameran dan bantahan seperti sebelumnya. Sebagaimana yang telah dicadangkan di dalam Draf KLCP2020 pada tahun 2008, sebahagian besar kawasan Bukit Dinding diwartakan sebagai kediaman (Residential). Namun selebihnya dilabelkan sebagai "Taman Rekreasi Bukit Dinding" di dalam peta "Hierarchy Public Parks and Open Space" serta "Zoning", dan keluasannya berkurang dari 70 ekar (dalam Deraf KLCP 2020) kepada 50 ekar (Warta KLCP 2020).[28]

2020 (18 Februari): Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040)[sunting | sunting sumber]

Di dalam Draf Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040, persempadanan Bukit Dinding masih tidak berubah, dan status tanah kosong yang tinggal, dinyatakan sebagai "Taman Kejiranan" ("Neighborhood Park"). Sehingga kini, ianya kekal sebagai "tanah kosong", dengan hanya pemancar Telekom Malaysia di puncaknya.[29]

2022 (28 Mac): Kelulusan Pembangunan 2 Blok Pangsapuri[sunting | sunting sumber]

Pada 28 Mac 2022, Pengarah Jabatan Kemajuan Bandar Zulkurnain Hassan telah meluluskan cadangan pembangunan 2 blok pangsapuri oleh syarikat Nova Pesona Sdn Bhd, sebagai kesinambungan kepada perancangan bandar sedia ada, dan disokong oleh laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (Environment Impact Assessment - EIA) pada tahun 2017 dahulu. Penduduk setempat yang tidak dimaklumkan mengenai hal-hal ini telah membuat bantahan berdasarkan EIA yang terlalu lama dan tidak menyeluruh, iaitu tidak membuat kajian cerun serta tidak mengambil kira risiko-risiko tanah runtuh dan lain-lain.[30]

2022 (15 September-kini): Bantahan Penduduk Sekitar[sunting | sunting sumber]

Pada 15 September 2022, suatu sesi perjumpaan telah diadakan di antara syarikat pemaju Nova Pesona Sdn Bhd dan penduduk setempat. Di dalam sesi tersebut, pihak penduduk telah menyuarakan bantahan mereka terhadap pembinaan 2 blok kondominium 26 tingkat di situ, atas dasar kekhuatiran terhadap kesan-kesannya seperti tanah runtuh, banjir, dan kesesakan lalulintas. Pihak penduduk berpendapat, pihak syarikat telah gagal meyakinkan mereka berkenaan isu-isu tersebut, lalu bertindak meneruskan bantahan mereka melalui saluran-saluran media serta ruang awam. Pada 26 September, Datuk Bandar Kuala Lumpur menyatakan 25% daripada kawasan itu harus dikekalkan sebagai kawasan hijau, dan kerja pembinaan tidak boleh dimulakan selagi siri perbincangan dengan penduduk setempat belum dijalankan. Pada Oktober 18, penduduk setempat telah membuat laporan polis terhadap pihak pemaju, atas dakwaan penggunaan laporan EIA yang telah tamat tempohnya (2017, iaitu lebih daripada 2 tahun). Pihak pemaju pula menyatakan kawasan tersebut telah pun diwartakan sebagai kawasan kediaman sejak 1983 lagi, dan perkara ini turut termaktub di dalam Kuala Lumpur City Plan 2020. Menurutnya lagi, sistem perparitan akan dibina mengikut panduan keselamatan JKR, lalu akan dapat membendung larian air yang merupakan kekhuatiran utama penduduk setempat.[31]

Dalam suatu perjumpaan anjuran "Friends of Bukit Dinding", 5 calon pilihanraya P118 Setiawangsa berjanji untuk turut sama menentang pembangunan di Bukit Dinding

Pada 16 November 2022, di dalam suatu perjumpaan anjuran "Friends of Bukit Dinding", 5 daripada 6 orang calon pilihanraya yang bertanding bagi kerusi parlimen P118 Setiawangsa turut hadir, termasuk penyandang ahli parlimen Nik Nazmi Nik Ahmad (Pakatan Harapan), Nurul Fadzilah Kamaluddin (Perikatan Nasional) dan Bibi Sunita Sakandar Khan (Pejuang). Mereka telah menandatangani akujanji untuk mempertahankan Bukit Dinding.[32]

References[sunting | sunting sumber]

[33]

  1. ^ "Draft Kuala Lumpur City Plan 2020" (PDF).
  2. ^ "Google Earth - elevation of Bukit Dinding".
  3. ^ "Shear strength along foliation planes in meta-rhyolitic tuff from the Dinding Schist, Kuala Lumpur". Newsletter of the Geological Society of Malaysia.
  4. ^ "THE PALAEOZOIC SEDIMENTARY ROCKS OF PENINSULAR MALAYSIA - STRATIGRAPHY AND CORRELATION". Workshop on Stratigraphic Correlation of Thailand and Malaysia.
  5. ^ "EIA Submission 2017". ERINCO Sdn Bhd @ Enviro Knowledge Management Center (EKMC), Jabatan Alam Sekitar. Julai 2017.
  6. ^ "Bukit Dinding Race 2.0 by Scarfox results". AGS Holeshot Bicycle. 26 February 2018.
  7. ^ "Rules & Regulations for Bukit Dinding Downhill Race 3". Bukit Dinding Downhill. February 28, 2019.
  8. ^ "Bukit Dinding Downhill Race 4.0 Registration". Bukit Dinding Downhill. January 10, 2020.
  9. ^ "Bukit Dinding diancam bahaya". Hidayah Hairom @ Sinar Harian. 20 November 2014.
  10. ^ "Yap Ah Loy (1837-1885)". S. M. Middlebrook, J. M. Gullick and C. A. GIBSON-HILL @ Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS): 56. July 1951.
  11. ^ "CONSTRUCTION OF GONGGANG ROAD TO ULU BUNOSE". PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR @ Arkib Negara Malaysia. 24 September 1883.
  12. ^ Bygone Selangor; a souvenir. Rimba @ C. Grenier. 1922.
  13. ^ "Selangor, Federated Malay States, 1904 / John Bartholomew & Co ; W.T. Wood, chief draftman". Edinburgh Geographical Institute @ Yale University Library - Digital Collections. 1904.
  14. ^ "ENCLOSES AN APPLICATIONS FROM MR.F.A.TOYNBEE MANAGER OF WELDS HILLS ESTATE FOR ONE THOUSAND ACRES OF LAND LYING BETWEEN THE 5TH MILE POST PAHANG ROAD AND ULU GONGGANG FOR THE PURPOSE OF PLANTING COFFEE & PEPPER". PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI SELANGOR @ Arkib Negara Malaysia. 9 Oktober 1888.
  15. ^ "SELANGOR NEWS". The Singapore Free Press and Mercantile Advertiser (Weekly). 5 July 1889. m/s. 15.
  16. ^ "Bandar baru penchakar langit di-Ulu Klang". Berita Harian. 4 September 1965. m/s. 5.
  17. ^ "EIA for the Proposed Residential and Commercial Development On Lot 26413 Mukim Setapak and Lot 3538 Mukim Ulu Kelang, Kuala Lumpur For Nova Pesona Sdn Bhd". ERINCO Sdn Bhd @ Enviro Knowledge Management Center (EKMC), Jabatan Alam Sekitar. Julai 2017.
  18. ^ "PERASMIAN BANDAR BARU DI LADANG HAWTHORNDEN". DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD. 26 Februari 1984.
  19. ^ "I & P moves into Kuala Lumpur". BUSINESS TIMES. 22 September 1981. m/s. 13.
  20. ^ "Island & Peninsular to buy third piece of land". BUSINESS TIMES. 26 May 1983. m/s. 12.
  21. ^ "Cover Story: Still a popular address for property buyers". Hannah Rafee / The Edge Malaysia. January 31, 2019.
  22. ^ "Draft Kuala Lumpur City Plan 2020" (PDF). Kuala Lumpur City Hall. 2008. m/s. 108-109, 307-309, 314, 581-583, 617-619.
  23. ^ "Penduduk Bukit Setiawangsa Dipindahkan Ekoran Benteng Konkrit Runtuh". Nicholas Cheng @ MStar. 29 Disember 2012.
  24. ^ "Bukit Dinding diancam bahaya". Hidayah Hairom @ Sinar Harian. 20 November 2014.
  25. ^ "Cemented by decades of love". Tan Ai Leng @ EdgeProp / The Edge Malaysia. 25 Ogos 2017.
  26. ^ "Rekahan membimbangkan". Mazizul Dani @ Harian Metro. 12 Mei 2017.
  27. ^ "EIA for the Proposed Residential and Commercial Development On Lot 26413 Mukim Setapak and Lot 3538 Mukim Ulu Kelang, Kuala Lumpur For Nova Pesona Sdn Bhd" (PDF). ERINCO Sdn Bhd @ Enviro Knowledge Management Center (EKMC), Jabatan Alam Sekitar. Julai 2017.
  28. ^ "Kuala Lumpur City Plan (2020) Volume 1". Kuala Lumpur City Hall: 105-113, 129-131. Oktober 2018.
  29. ^ "Kuala Lumpur City Plan (2040) Draft". Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. 2020. m/s. 116.
  30. ^ "Penduduk bantah kelulusan pembangunan DBKL di bukit 'berisiko runtuh'". S. Vinothaa @ Malaysiakini. 25 September 2022.
  31. ^ "Concerns grow over Bukit Dinding hill project". Farid Wahab @ The Star. 5 Nov 2022.
  32. ^ "GE15: Setiawangsa Candidates United in Opposition against Bukit Dinding Development". Farid Wahab @ The Star. 16 Nov 2022.
  33. ^ "Proposed Residential and Commercial Development on Lot 26413 Mukim Setapak and Lot 3538 Mukim Ulu Kelang, Kuala Lumpur" – Enviro Knowledge Center".