Catatan Tiga Kerajaan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Catatan Tiga Kerajaan (Cina ringkas: 三国志Cina tradisional: 三國志pinyin: Sānguó Zhì) dianggap sebagai catatan sejarah rasmi dan berwibawa mengenai zaman Tiga Kerajaan (tahun 189-280 M) dalam sejarah China. Karya yang dikarang oleh Chen Shou pada abad ke-3 ini menggabungkan sejarah kecil tiga negeri berperang iaitu Cao Wei (曹魏), Shu Han (蜀漢) dan Wu Timur (東吳), yakni Tiga Kerajaan, ke dalam satu karangan. Catatan Tiga Kerajaan menjadi asas kepada novel bersejarah Hikayat Tiga Kerajaan yang dikarang pada abad ke-14.

Asal-usul dan struktur[sunting | sunting sumber]

Bersama Catatan Sejarawan Agung, Buku Han and Buku Han Akhir, buku ini adalah sebahagian daripada empat pensejarahan terawal dalam daftar karya Dua Puluh Empat Sejarah. Catatan ini merangkumi 65 jilid dan kira-kira 360,000 perkataan yang terbahagi kepada tiga buku, iaitu Buku Wei yang merangkumi 30 jilid, Buku Shu (15 jilid) dan Buku Wu (20 jilid). Setiap jilid disusun dalam bentuk biografi seorang dua. Jumlah ruang yang diisi biografi ditentukan oleh kepentingan tokoh berkenaan.

Chen Shou ialah pengarang asalnya yang lahir di tapak yang kini diduduki bandar Nanchong, Sichuan, di Negeri Shu. Setelah tumbangnya negeri Shu pada tahun 263, beliau menjadi Bangsawan Karya yang ditugaskan melakar sejarah Tiga Kerajaan. Setelah jatuhnya negeri Wu pada tahun 280, karyanya disanjungi oleh menteri kanan Zhang Hua. Sebelum ini, negeri-negeri Wei dan Wu juga menulis sejarah masing-masing yang dijadikan asas kepada kerya Chen Shou ini. Namun, disebabkan negeri Shu tidak melakar sejarah sendiri, apa-apa maklumat mengenainya dikarang oleh Chen seingat beliau sendiri, di samping sumber-sumber primer seperti karya Zhuge Liang yang dihimpunnya.[1] Buku ini memakai tarikh selepas kejatuhan Dinasti Han pada tahun 220 sebagai standard permulaan negeri Wei. Buku Wei menggelar para pemerintah Wei sebagai maharaja, manakala para pemerintah Shu dikenali sebagai raja, dan para pemerintah Wu pula dirujuk dengan nama masing-masing atau gelaran 'pemerintah Wu'. Ini adalah untuk mendukung kesahan kerabat diraja Jin sebagai pewaris Mandat Syurga dari Wei.

Anotasi dari Pei Songzhi[sunting | sunting sumber]

Pada abad ke-5, karya ini dibubuh dengan anotasi oleh Pei Songzhi (372-451)[2], yang lahir di tapak Yuncheng, Shanxi. Selepas meninggalkan tanah air, beliau menjadi Bangsawan Catatan untuk Dinasti Liu Song, lalu ditugaskan menyunting karya tersebut, sehingga siap pada tahun 429. Maka lengkapnya sejarah rasmi zaman Tiga Kerajaan yang berjudul Sanguozhi zhu (zhu bermaksud "catatan").[2] Beliau menyediakan penerangan terperinci mengenai maklumat geografi dan unsur-unsur lain yang disebut dalam karya asli. Penting sekali, Pei melakukan beberapa pembetulan pada karya ini dengan merujuk catatan-catatan yang dihimpunkannya. Mengenai peristiwa dan tokoh bersejarah, dan juga pandangan Chen Shou, Pei turut menokok ulasan sendiri. Hasil penyelidikannya yang luas, beliau mampu menghasilkan karya sejarah yang serba lengkap tanpa banyak perkara yang perlu diselesaikan dari karya asal. Ada bahan-bahan tokokannya terlalu berwarna-warni dan sukar dipercayai, mungkin juga berbentuk cereka.[2] Segala maklumat tambahan ini menjadikan panjang buku ini tiga kali yang asal.[2]

Catatan Tiga Kerajaan sebagai catatan bersejarah[sunting | sunting sumber]

Tradisi berhikayat dan bersejarah untuk zaman Tiga Kerajaan semakin abad semakin keliru, sehingga Catatan Tiga Kerajaan sering dianggap sebagai sumber yang sangat berharga. Isi kandungannya, sungguhpun banyak kesilapan, namun lebih tepat berbanding adunan sejarawan zaman selanjutnya. Kebanyakan tokoh politik, ekonomi dan tentera zaman Tiga Kerajaan diterapkan dalam karya ini di samping yang menyumbang kepada bidang-bidang kebudayaan, kesenian dan sains. Karya ini bersifat babad seperti Sejarah Melayu. Catatannya bersahaja dan sedikit selain sekadar himpunan fakta sejarah. Misalnya, dalam petikan berikut:

Pada tahun 219, Bekas Raja [Liu Bei] menjadi Raja Hanzhong, dan melantik Guan Yu sebagai Panglima Barisan Depan. Pada tahun yang sama, Guan Yu bersama para pengikutnya menyerang Cao Ren di Fan. Raja Cao mengutuskan Yu Jin untuk membantu Cao Ren. Pada musim luruh, hujan lebat melimpahkan Sungai Han, sehingga tumpasnya Yu Jin dan tujuh bala tenteranya.

Dengan itu, aliran peristiwa dan pembentangan sejarah mudah ditentukan dengan tepat tetapi sedikit sahaja isinya mengenai latar masyarakat, unsur-unsur institusi atau dasar-dasarnya.

Sebanyak mana imaginasi kreatif atau 'pencerekaan' yang digunakan dalam naratif China kuno mustahil disukat setepat-tepatnya. Sejarawan hebat Sima Qian melakukan pencerekaan dalam karya-karyanya, dan boleh dianggap bahawa Chen Shou juga melakukannya dalam catatannya. Amat sukar untuk mencatat dengan begitu tepat kata-kata yang kononnya disebut oleh para pemimpin atau tentera di tengah-tengah medan pertempuran, maka kebanyakannya mungkin palsu.

Selaku bekas warga Shu Han, Chen Shou memberati negeri asalnya berbanding Wu Timur dalam karyanya, tetapi ini pun kerana mengetepikan kepentingannya berbanding dengan sudut pandangan Dinasti Jin, yang memandang negeri Cao Wei sebagai pewaris negeri Han yang sah. Beliau menyebut para pemerintah Cao Wei sebagai maharaja, pemerintah Shu Han sebagai raja, dan pemerintah Wu Timur dengan nama sendiri atau sekadar "pemerintah".[2][pengesahan diperlukan]

Pustaka klasik ini juga penting untuk kaji selidik sejarah Jepun, kerana satu jilid mengenai "kaum Wa" adalah catatan bersejarah terawal yang terang-terangan menyebut pasal Jepun, dengan menghuraikan negara kuno Yamataikoku dan ratunya Himiko.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Roberts 1991, pg. 946
  2. ^ a b c d e Roberts1991, pg. 947

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Roberts, Moss, tr. Three Kingdoms: A Historical Novel (1991) University of California Press. ISBN 0-520-22503-1
  • (Cina) Zhang Xiuping; dll. (1993). 100 Books That Influenced China: Sanguo Zhi. Nanning: Guangxi Renmin Press. ISBN 7-219-02339-1. Explicit use of et al. in: |author= (bantuan)

Lihat juga[sunting | sunting sumber]